johardy13/05/2026 - 11:20 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Mei - UEM Group Berhad dan anak-anak syarikatnya telah membelanjakan sejumlah RM5.5 bilion bagi perolehan daripada vendor dan pembekal Bumiputera antara tahun 2023 hingga 2025.
Sepanjang tempoh itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) selaku sayap pengendali lebuh raya dan UEM Edgenta Berhad selaku sayap pengurusan aset dan fasiliti di bawah UEM Group, masing-masing telah memperuntukkan sebanyak 90% dan 49% daripada jumlah perolehan mereka kepada syarikat Bumiputera.
Komitmen ini menjadi pemangkin utama pertumbuhan lebih 5,000 syarikat Bumiputera yang terlibat, sekali gus menggalakkan penyertaan mereka dalam projek bernilai tinggi dalam sektor infrastruktur dan kejuruteraan.
Usaha UEM Group, yang merupakan anak syarikat milik penuh dan sayap infrastruktur utama Khazanah Nasional Berhad, ini memastikan nilai ekonomi yang dijana daripada projek pembangunan negara kekal dalam ekosistem tempatan, sekali gus memacu pertumbuhan serta penskalaan syarikat milik Bumiputera.
Selain perbelanjaan perolehan ini, UEM Group turut membimbing vendor Bumiputera menerusi pelaksanaan berterusan Program Pembangunan Vendor Bumiputera (VDP) oleh rangkaian anak syarikatnya termasuk PLUS, UEM Edgenta, UEM Sunrise Berhad dan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA).
Program VDP perkukuh keupayaan vendor Bumiputera
Inisiatif berstruktur ini bukan sekadar penganugerahan kontrak, tetapi turut menyediakan sokongan komprehensif dalam bidang pembangunan perniagaan, pengurusan kewangan dan pembinaan keupayaan teknikal.
Program VDP ini dirangka bagi mengembangkan lagi keupayaan vendor terlibat, melengkapkan mereka dengan kemahiran teknikal yang diperlukan untuk bersaing dalam landskap yang kian berubah serta meneroka peluang komersial lain di luar Kumpulan UEM Group.

Dengan mengadunkan strategi pemerkasaan Bumiputera ke dalam teras operasinya, UEM Group dan anak-anak syarikatnya memperkukuh penyertaan ekonomi Bumiputera, membolehkan mereka bersaing secara lebih saksama, meningkatkan status sosioekonomi golongan Bumiputera serta menterjemahkan dasar kebangsaan iaitu Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) kepada hasil komersial yang bernilai.
Menurut Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin, perbelanjaan RM5.5 bilion ini merupakan pelaburan penting bagi membangunkan daya tahan jangka panjang ekonomi negara.
“Menerusi penglibatan lebih 5,000 vendor Bumiputera dalam operasi harian kami merentasi pengurusan lebuh raya, perkhidmatan aset dan fasiliti, pembangunan hartanah serta bekalan bahan binaan, ia secara langsung membangunkan rangkaian usahawan mahir dan berdaya saing yang membantu mengurangkan risiko kepada ekonomi Malaysia.
“Tatkala UEM Group terus berkembang dan memainkan peranan dalam projek infrastruktur yang lebih kompleks, kita perlu memastikan rantaian bekalan tempatan berkembang seiring dengan tuntutan tersebut.
"Ini akan memastikan pulangan daripada pembangunan Malaysia dikongsi secara saksama, sekali gus meletakkan asas berdikari dan kecemerlangan yang akan meningkatkan lagi nilai ekosistem tempatan di samping memastikan ekonomi negara terus berkembang pada masa hadapan,” katanya.
PuTERA35 perkasa ekonomi Bumiputera jangka panjang
PuTERA35 berperanan sebagai kerangka tindakan komprehensif yang bertujuan memperkukuh ekonomi Bumiputera sepanjang dekad akan datang.
Diperkenalkan pada 19 Ogos 2024, pelan hala tuju selama 11 tahun itu bertujuan meningkatkan kedudukan ekonomi komuniti Bumiputera menerusi peluasan penyertaan, pemilikan dan kawalan mereka dalam ekonomi negara.

Inisiatif itu selaras dengan keutamaan nasional yang lebih luas di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk agenda Ekonomi MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030).
Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, populasi Bumiputera di Malaysia kini meningkat kepada kira-kira 21.8 juta orang, mewakili 63.6% daripada jumlah penduduk negara.
Beliau berkata, komuniti itu merupakan tonggak utama landskap demografi negara serta penyumbang penting kepada kekuatan tenaga kerja dan daya tahan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.
Sebelum ini, Anwar turut menegaskan keperluan kementerian serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memberi keutamaan kepada penilaian keberkesanan program berimpak tinggi di bawah PuTERA35.
Pada mesyuarat sulung Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikannya Januari lalu, beliau menekankan bahawa kementerian dan GLIC perlu memastikan setiap inisiatif yang dirancang diselaraskan dengan baik, saling melengkapi dan tidak bertindih secara tidak perlu.
Beliau turut menegaskan bahawa penilaian yang ketat dan berterusan amat penting bagi mengelakkan sikap selesa, selain mengingatkan supaya tidak sekadar menyenaraikan inisiatif yang telah dilaksanakan tanpa menilai impak sebenar atau mengenal pasti ruang penambahbaikan. - DagangNews.com






