UEM Sunrise, Festival Seni Bina KL pupuk bakat arkitek muda dalam industri binaan menerusi KLAF Design Charrettes 2023
zulfadli
22/12/2023 - 17:00
KUALA LUMPUR 22 Dis - UEM Sunrise bekerjasama dengan Festival Seni Bina Kuala Lumpur menganjurkan KLAF Design Charrettes 2023 bagi memupuk bakat arkitek muda di dalam industri persekitaran binaan, memberi landasan untuk bereksperimentasi di samping meneroka idea dan konsep rekaan.
Ia melibatkan para arkitek daripada badan seni bina profesional, ahli majlis bandaraya, pelajar seni bina, ahli akademik dan pereka ruangan awam bersama matlamat bagi mewujudkan sesi perkongsian idea dan mencipta rumusan inovatif kepada industri.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, KLAF Design Charrettes 2023 merupakan sebuah platform yang baik untuk UEM Sunrise memajukan konsep lestari dan boleh didiami untuk masa hadapan.
"Di samping rakan sekerjasama PAM yang cekap dan kolaboratif, kami mampu memperkasakan bakat pereka muda, membuka peluang untuk mereka mempamerkan ideaidea terkini dan inovatif yang boleh dimanfaatkan sebagai rumusan persekitaran binaan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, penganjur program KLAF 2023 Engage: Design Charrettes, Ar Syah Kamaruddin berkata, program itu merupakan sebuah inisiatif yang transformatif, dengan menampilkan kerjasama rentas disiplin utama, memupuk idea tidak konvensional dan kreatif, penglibatan komuniti serta kerja berpasukan.
Menerusi proses reka bentuk yang dipercepatkan, program tersebut dapat menyatukan pihak berkepentingan utama seperti PAM, UEM Sunrise, Lembaga Arkitek, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
"Dengan semangat kerjasama dan saling menghormati, para pelajar dan siswazah seni bina mengambil bahagian di dalam sesi ini sambil dibimbing barisan mentor yang berpengalaman.

"Sesi-sesi tersebut dijalankan bukan sahaja bertujuan untuk membentuk rumusan reka bentuk segera tetapi juga membuka peluang amalan baharu dan pakar seni bina masa depan untuk mempamerkan kemahiran dan perkhidmatan inovatif mereka," katanya.
Bertemakan 'Kanvas Bandar: Melakar Tempat dan Menghubungkan Bandar', KLAF Design Charrettes 2023 berlangsung di Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), baru-baru ini.

Program tersebut melibatkan 66 pelajar pelbagai universiti yang terbahagi kepada 10 kumpulan, masing-masing dibimbing seorang fasilitator. Misi utama mereka adalah untuk meneliti lokasi tapak terpilih beserta cabarannya yang tersendiri.
Seterusnya, para peserta ditugaskan untuk memberi rumusan seni bina yang inovatif, berteraskan pembinaan komuniti, kelestarian, teknologi dan inovasi dan pelbagai lagi. - DagangNews.com



