UEM Sunrise, Universiti Malaya meterai MoU tingkatkan kualiti air Taman Tasik Metropolitan Kepong
zulfadli
27/09/2023 - 10:07
KUALA LUMPUR 27 Sept - UEM Sunrise Bhd melalui anak syarikat usaha samanya Mega Legacy (M) Sdn Bhd dan Kumpulan Melati Ehsan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) bagi menilai kualiti air dan kandungan logam berat di Taman Tasik Metropolitan Kepong yang terletak di sebelah perbandaran syarikat seluas 29.4 hektar di Kiara Bay di Kepong.
Penilaian ini diperlukan untuk mengaktifkan pembangunan di kawasan sekitar Kiara Bay bagi memastikan ia selamat dan menyenangkan untuk komunitinya serta mengaktifkan pelbagai aktiviti air.
MoU tersebut menggariskan dua fasa inisiatif, dibiayai melalui geran yang disediakan Kumpulan UEM, syarikat induk UEM Sunrise. Dalam fasa satu, UM akan menguji kualiti air untuk memeriksa kandungan logam berat dan sedimen, serta kandungan mikrobiologi tasik.
Pemeriksaan tersebut akan menentukan langkah-langkah yang perlu diambil dalam fasa kedua, berdasarkan penilaian dan cadangan yang dikumpul, bagi memulihkan kualiti air tasik.
Penilaian UM juga akan menentukan pembangunan reka bentuk Kiara Bay dan program pembuatan tempat masa hadapan. Tambahan lagi, pemulihan tasik ini akan menjadi asas dalam memelihara hidupan akuatik dan biodiversiti kerana pengekalan tasik adalah penting untuk ekosistem.
Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar, menetapkan langkah kawalan dan program pemantauan berterusan perlu dilaksanakan untuk memastikan kualiti air dan peredaran sistem tasik dipertingkatkan bagi melindungi alam sekitar.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya berbangga dengan tindakan proaktif UEM Sunrise untuk membaikpulih alam sekitar kelestarian pembangunannya.

Katanya, MoU ini menunjukkan bahawa pelbagai langkah boleh diambil bagi melindungi alam sekitar Malaysia melalui kerjasama semua sektor negara, termasuk kerajaan, sektor swasta dan ahli akademik.
"Pemuliharaan Taman Metropolitan Kepong dan tasiknya adalah amat penting untuk orang awam. Kami berharap akan terdapat lebih banyak kerjasama sebegini di masa hadapan, ke arah mentransformasikan ruang bandar Malaysia untuk pelestarian dalam negara secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan media di sini.
Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Datuk Mohd Izani Ghani pula berkata, pihaknya percaya bahawa pemeliharaan kondisi tasik ini mempunyai dua tujuan, termasuk melindungi biodiversiti mereka dan pada masa sama membuka jalan untuk pembangunan lestari Kiara Bay oleh UEM Sunrise.

"Ia menggariskan komitmen kami terhadap unsur-unsur alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), lantas mengukuhkan usaha kamiyang berterusan untuk membina masa depan yang lebih baik untuk seluruh alam sekitar dan komuniti," katanya.
UM akan membuat perbandingan keputusan analisis air tasik dengan Kriteria dan Piawaian Kualiti Air Tasik Kebangsaan (NLWQS) oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (“NRE”) (2015) dan Piawaian Kualiti Air Kebangsaan (NWQS). - DagangNews.com
