Sir Jony Ive Dilaporkan “Hilang Semangat” Dengan Arah Tuju Apple Sebelum Meninggalkan Syarikat

2 Jul 2019 • 10:04 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Berita Sir Jony Ive meninggalkan Apple selepas bertugas hampir tiga dekad adalah antara berita palingan hangat minggu lalu. Beliau kini dilihat sebagai antara pereka paling berpengaruh dalam sejarah kerana menghasilkan iPhone, iPad, iPod, iMac, MacBook, dan banyak lagi produk yang menjadi ikutan pengeluar lain. Terdapat banyak spekulasi mengapa Ive meninggalkan Apple bagi membentuk firma rekaan LoveFrom bersama Marc Newson.

image is not available
Semalam laporan Wall Street Journal mengatakan Ive meninggalkan Apple kerana tidak berpuas hati dengan haluan syarikat tersebut selepas kematian Steve Jobs. Beliau dikatakan “hilang semangat” kerana Apple kini dipenuhi pengarah dengan latar belakang sektor kewangan serta operasi dan bukan dari teknologi yang merupakan perniagaan utama syarikat. Tim Cook pula menunjukkan minat yang sedikit untuk membangunkan produk baharu tidak seperti mendiang Jobs.

Ive dikatakan menggesa supaya Apple Watch dihasilkan walaupun mendapat tentangan dari beberapa eksekutif yang merasakan ia tidak mempunyai fungsi membunuh yang membuatkannya menjadi peranti harus dimiliki. Pasca pelancaran Apple Watch, sambutan dari pengguna amat dingin dengan hanya 10 juta terjual berbanding sasaran awal Apple sebanyak 40 juta.

image is not availableBeliau turut semakin jarang datang ke pejabat dan menghabiskan masa di UK bagi menjaga bapa beliau yang mengalami masalah kesihatan. Kadang kala beliau hanya hadir ke pejabat untuk melihat rekaan peranti terkini sebanyak sehari seminggu. Ini menimbulkan pasukan pereka di Apple kecewa dengan ketiadaan beliau kerana perlu mendapatkan kelulusan.

Selepas artikel WSJ diterbitkan, Tim Cook telah mengeluarkan kenyataan menerusi laman NBC yang menyangkal laporan tersebut. Menurut Cook laporan tersebut adalah tidak munasabah dan berbeza sama sekali dengan operasi harian di Apple.