Ugreen melancarkan dua lagi powerbank baharu ke pasaran Malaysia hari ini. Ugreen Nexode Power Bank 20000mAh 130W dan Ugreen Nexode Power Bank 12000mAh 100W masing-masing direka untuk mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Rekaan lebih kompak berbanding powerbank 25,000 mAh yang mereka lancarkan tahun lalu.

Nexode Power Bank 20000mAh 130W dilengkapi dua port USB-C dan satu port USB-A dengan output maksimum 130W. Ini membolehkan ia bukan sahaja mengecas semula telefon pintar dan tablet tetapi juga komputer riba serta konsol mudah alih. Nexode Power Bank 12000mAh 100W mempunyai kapasiti lebih kecil dan sekadar dilengkapi satu port USB-C dan satu port USB-A.
Kedua-duanya mempunyai panel LCD pada bahagian hadapan. Nexode Power Bank 20000mAh boleh memaparkan output kuasa dan juga graf arus pengecasan ketiga-tiga port secara masa nyata. Pada Nexode Power Bank 12000mAh panel LCD hanya memaparkan tahap bateri dan emoji. Harga jualan kedua-dua powerbank adalah seperti di bawah.
- Ugreen Nexode Power Bank 20000mAh 130W – RM487.92
- Ugreen Nexode Power Bank 12000mAh 100W – RM278.85
