Ugut bunuh ibu bapa Naim Daniel: Polis tahan seorang lelaki di Kamunting, Perak

18 May 2024 • 5:42 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki dipercayai memuat naik ugutan bunuh terhadap ibu bapa kepada pelakon, Naim Daniel di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan di Kamunting, Perak dan polis turut merampas telefon bimbit miliknya yang ada kaitan dengan komen ugutan berkenaan.

Menurut beliau, ia susulan aduan diterima daripada selebriti terbabit berhubung perkara itu, Rabu lalu.

“Menurut laporan, ketika pengadu berada di kediamannya kira-kira jam 9.50 malam, 15 Mei lalu, dia dipercayai menerima satu ugutan jenayah daripada individu tidak dikenali di laman media sosial.

“Susulan itu polis membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 24 tahun di Kamunting, Perak, kira-kira jam 6 petang semalam untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Malik berkata, suspek direman selama empat hari sehingga 21 Mei ini.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Ia akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, polis sedang mengesan suspek yang menghantar komen berbaut ugutan bunuh terhadap ibu bapa kepada selebriti berkenaan.

Naim membuat laporan polis mengenai perkara itu di Balai Polis Lenggeng, Negeri Sembilan.

Menerusi ciapan yang dimuat naik di platform X, Naim melepaskan geram dengan mempersoal tindakan netizen yang dilihat menggunakan tiket untuk memboikot golongan selebriti atas nama agama.

Ciapan Naim itu meraih 540,000 tontonan dan mendapat 4,900 tanda suka sebelum ia dibuang oleh penyanyi dan pelakon versatile tersebut kerana dihujani komen berbaur kecaman dan teguran. - 18 Mei, 2024