UIAM belum mulakan kajian rasmi pilihan raya Datuk Bandar KL

LocalPolitics
12 Feb 2026 • 11:57 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menegaskan kajian kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur masih belum dimulakan secara rasmi, sekali gus menepis tanggapan bahawa penyelidikan itu sudah berjalan.

Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, berkata pihaknya setakat ini hanya menjalankan kajian akademik awal dan belum membuat sebarang keputusan.

“Kami hanya diarahkan untuk buat kajian akademik. Untuk memulakan kajian rasmi, kami perlukan penjelasan lanjut daripada pihak yang melantik kami – apa sebenarnya yang mereka mahu daripada kajian ini,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, kajian itu dijangka melibatkan pelbagai disiplin kerana isu pilihan raya Datuk Bandar mempunyai implikasi besar terhadap tadbir urus bandar dan sistem pentadbiran.

Awal bulan lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, menyatakan kajian kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dimulakan UIAM sejak Disember lalu ketika Dr Zaliha Mustafa menerajui kementerian. Namun, beliau menekankan kajian itu masih di peringkat awal dan terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.

Yeoh sebelum ini menegaskan kajian menyeluruh perlu dilakukan susulan bantahan beberapa pihak terhadap cadangan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Isu ini bukan baharu. Pada 2023, DAP Wilayah Persekutuan pernah menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur, namun cadangan itu ditentang oleh beberapa pihak termasuk pimpinan Umno dan PAS. - 12 Februari, 2026

The post UIAM belum mulakan kajian rasmi pilihan raya Datuk Bandar KL appeared first on Scoop.