
KAJANG, 19 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Selangor (UIS) ke-27 di Dewan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.
Keberangkatan Baginda diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Naib Canselor UIS Dato’ Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Pada istiadat itu, Tengku Permaisuri Norashikin dimasyhurkan sebagai Canselor UIS yang pertama.
Istiadat pengurniaan watikah pelantikan itu disempurnakan oleh Sultan Sharafuddin.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dato’ Setia Salehuddin Saidin sebagai Pro-Canselor I dan Ahli Dewan Diraja Selangor Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa sebagai Pro-Canselor II.
Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menamakan semula Pusat Konvensyen Universiti kepada Dewan Sultan Idris Shah.

Sultan Selangor juga berkenan memasyhurkan UIS secara rasmi berstatus universiti yang kini dikenali sebagai Universiti Islam Selangor.
Seramai 1,528 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian akan menerima skrol masing-masing pada konvokesyen kali ini yang akan berlangsung sepanjang tiga hari bermula hari ini hingga Isnin depan.
Tengku Permaisuri turut berkenan menyampaikan skrol Ijazah Doktor Falsafah kepada 31 graduan termasuk Ijazah Sarjana buat 19 graduan pada sidang canselor hari ini.

The post UIS diiktiraf universiti penuh, Tengku Permaisuri Selangor canselor pertama appeared first on Selangorkini.


