Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini memohon maaf melalui Twitter atas kesilapan yang membuatkan data lebih 11,000 orang calon terdedah ke arena internet.
Permohonan maaf ini hadir lanjutan daripada perkongsian salah seorang pengguna Twitter yang memperlihatkan data sejumlah besar calon UiTM yang boleh diakses secara terbuka – sekaligus memperlihatkan nama, nombor kad pengenalan dan juga emel para calon.
Akses kepada data ini dilihat dikongsikan kepada para calon terlibat, dalam membenarkan calon menyemak info dan butiran peribadi. Namun, langkah ini adalah sangat silap untuk dilakukan oleh organisasi – membawa kepada pendedahan data milik yang lain secara terbuka.
Sebanyak 11891 rekod terdedah melalui perkongsian UiTM ini. Pihak UiTM melalui permohonan maaf turut menyatakan telah mematikan akses kepada pautan berkenaan, dan ianya tidak aktif lagi.
Kemaskini: Pautan kepada senarai tersebut tidak lagi aktif dan kemaskini telah dilakukan.
Pihak UiTM mohon maaf di atas kesilapan yang berlaku. Terima kasih.




