
SHAH ALAM, 27 JAN: Kerajaan disaran mewajibkan ujian psikometrik ke atas pengasuh taska dan guru tadika bagi membendung isu penderaan atau pengabaian kanak-kanak di negara ini.
Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr Intan Farahana Abdul Rani berkata, pendekatan itu penting bagi menyaring individu berkelayakan serta berkemampuan dari aspek mental dan emosi untuk mengendalikan kanak-kanak sekali gus mengurangkan risiko penderaan.
Menyedari kepentingan itu, Dr Intan yang juga Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, pihaknya membangunkan aplikasi MyScreen khusus bagi pelaksanaan saringan tersebut.
“Kami memang menyediakan satu sistem untuk penyaringan guru ataupun kita kata bakal guru. Malah guru pelatih yang akan ditawarkan penempatan untuk mengikuti program pendidikan awam kanak-kanak di UPSI akan melalui satu sistem saringan.
“Sistem saringan tersebut ada lapan perincian termasuklah juga pengenalan berkaitan dengan personaliti, kesesuaian, minat, kecenderungan untuk terlibat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak,” katanya kepada Media Selangor.
Dr Intan Farahana menambah, aplikasi MySecreen yang dibangunkan pada 2019 itu kini digunakan secara meluas oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta beberapa tadika swasta di seluruh negara.
Lebih menarik katanya, MyScreen yang dibuat dengan kerjasama pakar psikologi termasuk pihak berkuasa itu juga mampu mengenal pasti kecenderungan seksual individu termasuk pedofilia.
“Sebagai contoh, pada bahagian ujian pendedahan seksual. Kita dapat kenal pasti dia dalam kategori yang ada kecenderungan untuk menjadi pedofilia. Secara automatik kita akan letak dia ke tepi. Kita tidak akan panggil untuk melalui temuduga seterusnya,” katanya.
Selain ujian psikometrik, beliau berkata, guru tadika atau pengasuh taska sedia ada juga perlu diberi latihan dan kursus secara berkala bagi memastikan kemahiran mendidik serta mengasuh sentiasa berada pada tahap optimum.
Jelasnya, tugas mendidik kanak-kanak merupakan pekerjaan yang mencabar selain guru turut terdedah kepada pelbagai faktor yang menyumbang kepada kemerosotan keupayaan seperti kesihatan mental, ekonomi dan sebagainya.
“Mungkin dari segi pengalaman memang dah banyak. Mungkin dah ada anak sendiri juga dan sudah bertahun-tahun uruskan kanak-anak. Tapi kita faham, sekarang masyarakat semakin peka terutamanya berkaitan istilah 'burn out',” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna aplikasi Thread berkongsi hantaran mendakwa mempunyai video anaknya didera di sebuah taska di Saujana Utama, Sungai Buloh.
Susulan itu, polis menahan dua wanita dipercayai penjaga premis berkenaan bagi membantu siasatan.
Minggu lalu, pempengaruh, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menerusi akaun Munafik Hunter di Instagram, berkongsi video penderaan kanak-kanak dipercayai berlaku di dua premis taska berasingan.
Dalam video pertama yang didakwa dikongsi pelatih di sebuah taska di Shah Alam, seorang kanak-kanak autisme dikatakan dikurung di stor dalam keadaan menangis teresak-esak.
Caprice turut memuat turun satu lagi video memaparkan bayi dibiarkan menangis teresak-esak sambil pekerja pusat asuhan itu memaksa minum susu.
