UK utamakan kepentingan negara terlebih dahulu berbanding Trump

WorldPolitics
28 Jul 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UK utamakan kepentingan negara terlebih dahulu berbanding Trump

LONDON: Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK), Andy Burnham, tidak akan ter­agak-agak untuk mengambil pendirian berbeza dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekiranya perkara itu melibatkan kepentingan Britain.

Dalam petikan temu bual bersama BBC yang disiarkan kelmarin, Burnham berkata, perbualan telefon pertamanya dengan Trump, beberapa jam selepas menggantikan Keir Starmer sebagai perdana menteri pada Isnin, berlangsung dalam suasana ‘mesra’.

“Kami sudah tentu akan te­rus membina hubungan itu selepas ini,” katanya dalam temu bual media pertamanya sejak memegang jawatan perdana menteri.

Menurut Burnham, perubahan landskap global memerlukan pemimpin membuat peni­laian berdasarkan perkembangan semasa.

“Saya tidak boleh menyatakan bahawa saya tidak akan mempunyai pandangan berbeza daripadanya atau saya tidak perlu menyuarakan idea lain yang betul untuk Britain dan saya akan berbuat demikian,” katanya.

Burnham, 56, merupakan tokoh berpengalaman dalam parti Buruh berhaluan kiri tengah yang memerintah. Beliau pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Greater Manchester di utara England selama sembilan tahun sejak 2017.

Beliau turut dua kali mengelak menjawab secara terus sama ada beliau mempercayai Trump.

Pemimpin baharu UK itu turut menegaskan beliau ‘sudah tentu’ bersedia untuk menegur Presiden AS sekiranya keadaan memerlukan.

“Anda perlu mempertahankan kepentingan negara sendiri melebihi perkara lain. Itulah tanggungjawab anda jika mahu menjalankan tugas ini dengan betul. Saya akan sentiasa me­ngutamakan kepentingan Bri­tain,” katanya.

Selepas perbualan telefon pada Isnin, Trump menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya dengan berkata, Burnham mempunyai tugas besar di hadapan, tetapi beliau mampu melaksanakannya. – AFP

 

The post UK utamakan kepentingan negara terlebih dahulu berbanding Trump appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved