
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ulama dan umara (pemerintah) mempunyai peranan yang berbeza namun saling menguatkan khususnya dalam memartabatkan Islam.
Baginda bertitah, hubungan antara raja dengan ulama mempunyai peranan berbeza tetapi saling melengkapi dalam memastikan urusan Islam terus dipelihara.
“Raja memberikan naungan dan dukungan institusi. Manakala ulama berani menyampaikan nasihat dengan benar dan bebas daripada kepentingan yang mencemarkan martabat ilmu.
“Hubungan yang baik bukanlah hubungan yang menutup ruang teguran, tetapi hubungan yang memelihara adab, menghormati bidang kuasa dan mendahulukan kepentingan ummah,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah : Legasi Kesultanan Selangor dalam memperkasa Islam di Alam Melayu.
Pada majlis tersebut, Sultan Sharafuddin turut berkenan melancarkan Buku Sheikhul Islam dan Mufti-Mufti Selangor (1930 hingga 2021), Buku Kompilasi Artikel Fatwa Tahun 2001 – 2005 (Jilid 1), dan Sistem e-Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Baginda bertitah, legasi Kesultanan Selangor dalam memperkasa Islam berteraskan tiga teras utama merangkumi kesinambungan pemerintahan dan usaha memartabatkan Islam.
dukungan sistem pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu selain pembinaan institut yang menterjemahkan hukum syarak kepada dasar, fatwa dan perkhidmatan untuk rakyat.
Titah baginda, usaha itu perlu dilaksanakan secara bijaksana dengan mengambil kira tuntutan zaman.
“Sejarah tidak wajar hanya dibaca sebagai kisah kejayaan yang terpisah daripada ujian. Kesultanan Melayu terdahulu berhadapan dengan pelbagai cabaran.
“Walaupun bentuk pemerintahan berubah, amanah memelihara Islam terus dipertahankan. Di sinilah terletaknya kekuatan sebenar sesebuah legasi,” titahnya.
Baginda turut menegaskan komitmen untuk meneruskan legasi Kesultanan Selangor dengan memberikan perhatian kepada pengukuhan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, kewibawaan fatwa, pentadbiran Islam, pendidikan dan pengembangan ilmu.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin berharap pertemuan para ilmuwan dapat menghasilkan rumusan bernilai yang boleh diterjemahkan kepada tindakan berkesan, khususnya untuk generasi muda.
“Manfaatkanlah kemudahan digital untuk mendalami ilmu dan mengamalkannya.
Janganlah sekadar bergantung kepada cebisan maklumat daripada video-video pendek yang belum tentu sahih dan lengkap.
“Sebaliknya rujuklah kepada sumber yang berautoriti dan bergurulah dengan para ilmuwan yang diiktiraf,” titahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Ulama, umara saling melengkapi pelihara Islam appeared first on Kosmo Online.




