Ulang Alik Singapura 8 Kali Sebulan Dikira Bekerja Di Luar Negara, Tak Layak Terima STR

LocalPersonal Finance
25 Jan 2026 • 10:17 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) merupakan salah satu bantuan kerajaan yang diberikan kepada warganegara Malaysia yang memiliki pendapatan kasar bulanan bawah had ditetapkan.

Bagi yang berkeluarga dan warga emas tiada pasangan adalah bawah RM5,000, dan RM2,500 bagi bujang.

Bantuan ini juga hanya layak diterima oleh mereka yang menetap dan bekerja di dalam negara sahaja berdasarkan syarat ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Berhak Tarik Balik Sebarang Bantuan Termasuk STR Jika Kemuka Maklumat Tak Tepat – MOF

Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2026: Ini Antara Peruntukan Kerajaan Kepada Rakyat Tahun Depan

Ulang-Alik Ke Singapura 8 Kali Sebulan Tak Layak Terima STR

Terbaharu, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, mereka yang keluar dari negara untuk ke Singapura sebanyak lapan kali dalam sebulan, ditafsirkan sebagai bekerja di luar negara dan tidak layak menerima STR, dengan andaian mereka berulang-alik setiap minggu.

“Pendekatan ini dapat memastikan bantuan disalurkan secara adil, tepat sasaran, dan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata sedemikian setelah menerima soalan sama ada rakyat Malaysia yang keluar-masuk Singapura berhak mendapat bantuan berkenaan.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini (25 Januari), Liew menegaskan bahawa pemilihan kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjamin keadilan buat semua rakyat Malaysia, termasuk pembayar cukai.

“Bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan STR, semakan dibuat dengan integrasi data yang lebih menyeluruh melibatkan pelbagai agensi, termasuk Imigresen, bagi tujuan pengesahan maklumat,” katanya lagi.

Perbezaan Jumlah Keluar Masuk Antara Urusan Sementara & Bekerja Di Luar Negara

Tambah beliau lagi, apabila timbul isu kelayakan STR ‘dibatalkan’ untuk warga Malaysia yang kerap keluar masuk Singapura, ia sebenarnya tidak dibatalkan tetapi berstatus ‘Tidak Lulus’.

“Ia sebenarnya tidak dibatalkan tetapi berstatus ‘Tidak Lulus’ (di bawah Kod Alasan 31), iaitu pemohon atau pasangan menetap, bekerja, atau mengikuti pengajian di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, bagi membezakan di antara urusan sementara dan tinggal atau bekerja di luar negara, LHDN menggunakan pendekatan berikut:

  • 1 hingga 7 kali sebulan: Masih dianggap urusan biasa dan munasabah, seperti rawatan perubatan, kecemasan, tugasan jangka pendek atau urusan keluarga.
  • 8 kali dan ke atas sebulan: Ditafsirkan sebagai tempoh signifikan berada di luar negara.

Rayuan Boleh Dibuat Bagi Kes Tertentu

Liew bagaimanapun menjelaskan rayuan dibuka buat kes tertentu, seperti seorang warga Malaysia yang kerap keluar-masuk ke negara jiran itu kerana bekerja sebagai pemandu bagi syarikat logistik tempatan.

“Bagi warganegara yang terkesan dengan pelaksanaan dasar ini, mereka digalakkan untuk membuat rayuan yang dibuka sepanjang tahun 2026,” ujarnya.

Mohon Rayuan Di Laman Web STR

Sebagai info, rayuan STR 2026 bagi individu yang berstatus ‘Tidak Lulus’ telah dibuka sejak 12 Januari hingga 13 Februari ini bagi permohonan Fasa 2.

Bagi penerima yang ingin mengemas kini maklumat pula boleh melakukannya bermula 16 Februari.

Ia boleh dilakukan menerusi laman rasmi STR [DI SINI] dengan memilih menu ‘Permohonan Rayuan’ atau secara manual di cawangan LHDN atau Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Untuk FAQ permohonan atau rayuan STR tekan [DI SINI].