Ular sawa batik jatuh dari siling rumah

6 Sep 2024 • 12:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebuah keluarga di Rumah Rakyat Padang Lebar, Batu Kikir di sini dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa batik seberat 15 kilogram yang tiba-tiba jatuh dari siling rumah mereka, pada Khamis. Foto APM Kuala Pilah)

image is not available
Ular itu dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya. Foto APM Kuala Pilah

KUALA PILAH - Sebuah keluarga di Rumah Rakyat Padang Lebar, Batu Kikir di sini dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa batik seberat 15 kilogram yang tiba-tiba jatuh dari siling rumah mereka, pada Khamis.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Pilah, Leftenan Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.50 pagi sebelum tiga anggota bersama seorang pegawai ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, anggota dimaklumkan terdapat seekor ular berada di dalam bilik air.

"Salah seorang penghuni rumah lelaki warga emas berusia 70 tahun, sempat menghalau ular itu masuk ke dalam bilik air lalu mengurungnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Ujarnya, operasi diketuai oleh Leftenan (PA) Mila Hirmah Tahiruddin bersama tiga lagi anggota APM berjaya menangkap ular berkenaan.

"Ular itu dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya,"katanya.