Ular sawa batik lima meter baham kambing

14 May 2026 • 4:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ular sawa batik lima meter baham kambing
Seekor ular sawa batik berjaya ditangkap selepas dipercayai membaham kambing di sebuah kandang berhampiran D’ Serai Resort, Jalan Wang Tepus, Cherok Langsat pada Rabu. Foto APM Kubang Pasu

JITRA – Seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira lima meter dengan berat dianggarkan 55 kilogram berjaya ditangkap selepas dipercayai membaham kambing di sebuah kandang berhampiran D’ Serai Resort, Jalan Wang Tepus, Cherok Langsat, di sini pada Rabu.

Kehadiran reptilia gergasi itu disedari pemilik premis sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kubang Pasu kira-kira jam 5.04 petang untuk mendapatkan bantuan.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, sepasukan anggota diketuai PBT (PA) Syed Aswad Syed Sheh bersama seorang anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, operasi menangkap ular sawa tersebut dijalankan secara berhati-hati berikutan saiz reptilia yang besar dan bersifat agresif.

“Anggota berjaya menangkap ular sawa batik tersebut tanpa melibatkan sebarang kecederaan kepada orang awam mahupun anggota operasi.

“Berdasarkan keadaan perutnya, ia dipercayai kekenyangan selepas membaham seekor kambing,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada jam 7.07 malam dan reptilia itu telah dipindahkan dari kawasan berkenaan untuk tindakan lanjut

Dalam pada itu, menurutnya, sehingga kini APM Daerah Kubang Pasu merekodkan sebanyak 305 kes tangkapan ular pelbagai spesies sejak Januari lalu melibatkan kawasan perumahan, kebun, resort, premis awam serta kampung sekitar daerah itu.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau cuba menangkap sendiri haiwan liar sekiranya ditemui kerana ia boleh mengundang risiko keselamatan.

View Original Article