
KUALA LUMPUR - Percutian pengunjung di Pantai Tanjung Bidara di Melaka tengah hari semalam bertukar cemas, apabila seekor ular sawa batik dilihat berenang dari arah laut menuju ke pantai.
Reptilia seberat hampir lapan kilogram dengan anggaran panjang dua meter itu dikesan bergerak menghampiri kawasan mandi-manda kira-kira jam 12.15 tengah hari, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Orang awam yang terkejut dengan kejadian itu segera memaklumkan kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di menara penyelamat pantai.
Ketua Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Shahrulnizam Md Shah mengesahkan dua anggotanya telah dikerah ke lokasi sebelum berjaya mengesan haiwan berkenaan kira-kira 25 meter dari pesisir pantai.
“Lans Koperal (PA) Muhammad Shahril Hizhar Anuawi dan Prebet (PA) Muhammad Irsyad Dini Tawi menggunakan papan luncur penyelamat serta penyepit ular bagi menangkap reptilia itu dengan selamat, untuk mengurangkan risiko kepada orang awam,” katanya ketika dihubungi.
Operasi menyelamat itu mengambil masa kira-kira 30 minit berikutan pergerakan pantas ular di dalam air.
“Ini kali pertama kami berdepan dengan kes ular sawa di laut. Cabarannya agak besar kerana haiwan tersebut berenang dan menyelam dengan sangat pantas,” jelasnya.
Difahamkan, ular sawa terbabit dipercayai keluar dari kawasan semak berhampiran muara sungai berdekatan Kem Terendak, kemungkinan untuk mencari makanan.
Shahrulnizam turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika beriadah di kawasan pantai dan segera melaporkan sebarang penemuan haiwan liar kepada pihak berkuasa. - Getaran, 22 September 2025
