Ular sawa gergasi kekenyangan ditemui bawah bangsal rumah

12 Aug 2026 • 10:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ular sawa gergasi kekenyangan ditemui bawah bangsal rumah

WASHINGTON: Sebuah keluarga di  New Jersey berdepan detik cemas selepas menemui seekor ular sawa eksotik gergasi dengan perut yang membuncit bersembunyi di bawah lantai bangsal rumah mereka.

Namun, ujian sinar-X membongkar bahan santapan terakhir reptilia berkenaan.

Kehadiran haiwan itu disedari oleh Leslie Daley yang terserempak dengan reptilia tersebut ketika sedang menyiram pokok bunga di halaman rumahnya di Freehold, menurut suaminya, Ed Daley kepada stesen penyiaran WABC.

Pasangan berkenaan kemudian mendapati ular sawa terbabit yang dikenal pasti sebagai ular sawa Burma sepanjang kira-kira 2.4 meter telah menjalar masuk menerusi satu lubang sebelum berlindung di bawah lantai bangsal mereka.

Terkejut dengan penemuan itu, keluarga berkenaan segera menghubungi Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) daerah Monmouth, yang kemudian bertindak membongkar papan lantai bangsal berkenaan dengan bantuan seorang kontraktor tempatan.

Rakaman video di tempat kejadian menunjukkan ular sawa gergasi berkenaan yang mempunyai bonjolan besar di bahagian tengah badannya, dikeluarkan secara berhati-hati dari tempat persembunyiannya oleh pegawai kawalan haiwan.

Pakar haiwan memaklumkan bahawa spesies ular sawa Burma merupakan haiwan asli yang berasal dari Asia Tenggara dan bukannya spesies tempatan di New Jersey atau bahagian timur laut AS. 

Bagaimanapun, mengikut laporan NBC New York, haiwan eksotik berkenaan boleh dipelihara di New Jersey dengan lesen yang sah.

Pemeriksaan ujian sinar-X yang dijalankan oleh kakitangan veterinar kemudian membongkar misteri perut buncit haiwan berkenaan, yang mengesahkan bahawa santapan terakhir ular sawa tersebut merupakan seekor oposum bersaiz besar.

Reptilia berkenaan kini ditempatkan di dalam kurungan khas yang selamat di bawah jagaan pengendali ular berpengalaman sementara pihak berkuasa berusaha mencari tempat perlindungan jangka panjang yang sesuai. – AGENSI

The post Ular sawa gergasi kekenyangan ditemui bawah bangsal rumah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved