Ular sawa kekenyangan telan anak lembu

12 Dec 2023 • 7:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ular berkenaan dialihkan sebelum dibawa ke Pejabat APM seterusnya diserahkan kepada Perhilitan.

image is not available
Penduduk ternampak objek panjang di tengah kebun getah sebelum menghampiri reptilia berkenaan.

image is not available
Anggota APM dan penduduk kampung mengalihkan ular sawa yang disyaki menelan anak lembu ke atas lori.

BALING - Seekor ular sawa kekenyangan disyaki menelan anak lembu berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Weng Dalam di sini pada Selasa.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya mengambil masa satu jam untuk menangkap ular sawa sepanjang 5.5 meter dan berat 90 kilogram (kg) itu.

Menurutnya, APM menerima panggilan pada jam 12.45 tengah hari tadi sebelum lapan anggotanya ke lokasi bagi menangkap ular berkenaan.

"Kehadiran ular itu disedari seorang penduduk, Mohd Khatib Ismail, 59, yang ternampak objek panjang di tengah kawasan kebun getah di situ.

"Dia kemudian memaklumkan penemuan itu kepada rakannya yang juga penoreh getah sebelum penduduk kampung yang juga pemilik lembu memaklumkan anak lembu peliharaannya hilang," katanya.

Beliau berkata, pemilik lembu kemudian menghubungi APM dan memaklumkan kejadian.

Mohd Faizol berkata, anggota APM juga terpaksa mengangkat ular sawa itu ke atas lori kerana terlalu berat dengan dibantu penduduk kampung untuk mengalihkannya ke pejabat APM.

Beliau berkata, reptilia itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

"APM menasihatkan orang awam supaya menjaga persekitaran rumah bagi mengelakkan kehadiran reptilia berkenaan," katanya.