Ulasan Armaggeddon GMK-100, Mirage VII dan Orion 7 – Trio Yang Berbaloi

TechnologyDigital
14 May 2025 • 4:10 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Nama Armaggeddon sememangnya tidak asing lagi terutama sekali untuk gamers kerana penawaran produk gaming pada harga yang mampu milik. Beberapa produk baharu daripada Armaggeddon telah pun tiba di Amanz dan ini adalah artikel ulasan untuk papan kekunci GMK-100 RGB, tetikus Mirage VII dan fon kepala Orion 7.

image is not available

Armaggeddon Mirage VII

Rekaan

Secara peribadinya saya suka dengan rekaan pada Mirage VII kerana ia menggunakan rekaan yang minimal dengan hanya ada logo Armaggeddon dan tulisan Mirage VII di sebelah butang aras DPI. Selain itu, terdapat satu jalur lampu RGB di bahagian belakang tetikus ini. Saiznya juga sempurna kerana tangan terletak cantik sahaja apabila menggunakannya. Walaupun ini bukanlah tetikus gaming yang paling ringan namun dengan berat 92g itu sudah cukup memadai. Namun disebabkan penggunaan warna putih, kotoran sangat mudah terlihat dan mengurangkan nilai estetik pada tetikus ini.

image is not available

Secara keseluruhannya, terdapat 7 butang pada Mirage VII ini tapi salah satu butang sisi mempunyai rekaan yang sedikit berbeza. Pada bahagian hadapan, terdapat port USB-C untuk tujuan pengecasan atau menggunakannya secara berwayar pada sebuah PC.

Di bahagian bawah tetikus ini terdapat slot untuk menyimpan dongle 2.4GHz, butang untuk tetapan Bluetooth yang menyokong dua profil Bluetooth dan butang kuasa merangkap butang untuk tukar mod antara 2.4GHz atau Bluetooth. Selain itu, terdapat 3 pelapik di bahagian bawah ini untuk melancarkan pergerakan tetikus ini.

Penggunaan

Kebanyakan masa saya menggunakan tetikus ini untuk melakukan tugasan seperti suntingan video dan juga gambar. Ia sangat selesa untuk digunakan dalam jangka masa yang lama dan  tiada masalah jika anda seperti saya menggunakan cengkaman jenis ‘palm grip’. Berat 92g ini juga sangat memudahkan pergerakan tetikus ini. 

Untuk sambungan, ia boleh menggunakan tiga jenis sambungan pada satu masa iaitu melalui Bluetooth, dongel 2.4GHz dan juga secara berwayar. Kabel yang diberikan di dalam kotak terasa sangat berkualiti kerana bersulam dengan bahan nilon yang tebal. Sepanjang tempoh ulasan, saya banyak menggunakan sambungan melalui 2.4GHz dan memang tiada sebarang masalah yang dijumpai. 

image is not available

Mirage VII ini juga hadir dengan perisian yang boleh dimuat turun di laman web Armageddon. Antaramuka untuk perisian tetikus kelihatan mudah untuk difahami dan mudah untuk digunakan untuk melakukan apa-apa perubahan kepada tetikus ini. Perkara menarik tentang tetikus ini adalah kesemua tujuh butang yang ada boleh diubah melalui perisiannya. Tahap DPI juga boleh dilaraskan mengikut kesesuaian dan boleh membuat 5 tetapan berbeza.

image is not available

Bateri

Keupayaan bateri Mirage VII boleh dikatakan agak baik dengan kapasiti bateri sebesar 800mAh. Untuk tugasan seperti suntingan video atau gambar tetikus ini boleh bertahan sepanjang hari dan dalam masa 2 minggu saya hanya perlu mengecas tetikus ini sekali sahaja menerusi port Type-C yang disediakan. Ketahanan bateri ini boleh dipanjangkan lagi jika anda mematikan lampu RGB.

Armaggeddon GMK-100 RGB 

Rekaan

Armaggeddon GMK-100 adalah papan kekunci mekanikal bersaiz 60% dan ada 63 kunci secara keseluruhannya. Satu perkara yang menarik adalah Armageddon menggunakan nama 4 musim untuk GMK-100 ini dan warna yang kami dapat adalah warna Winter. Elemen musim sejuk jelas terlihat dengan gabungan warna biru, putih dan juga krim yang ada pada papan kekunci ini. Sekali pandang, papan kekunci ini kelihatan seperti papan kekunci yang mahal dan juga premium. 

image is not available

Keseluruhan bahan yang digunakan pada papan kekunci ini adalah plastik. Pada bahagian kiri dan kanan terdapat jalur lampu RGB manakala bahagian bawahnya terdapat tulisan ‘The Ultimate Gaming Gear’. Port USB-C terletak pada bahagian atas dengan sambungan jalur lampu RGB dari bahagian sisi. Di bahagian belakang papan kekunci ini terdapat satu lagi jalur lampu RGB, slot untuk menyimpan dongle 2.4GHz, suis untuk menghidupkan papan kekunci dan dua kaki yang boleh laraskan ketinggiannya. 

Penggunaan

Pada awal penggunaan malah sampai sekarang saya masih rasa sedikit kekok dengan papan kekunci bersaiz 60%. Ini disebabkan, terdapat beberapa butang yang berkongsi sehingga empat fungsi serentak dan memang agak memeningkan untuk seorang yang kali pertama dengan papan kekunci bersaiz 60% ini. Armageddon tidak menyatakan nama suis jenis apa yang digunakan, namun saya sangat sukakan jenis suis ini kerana ia terasa linear dan bunyi yang tidak terlalu bising. Secara keseluruhan pengalaman menaip pada papan kekunci ini sangat baik. 

image is not available

Selain itu, GMK 100 ini juga menawarkan ciri untuk menukar suis yang lain jadi ia memberikan kebebasan kepada pengguna sekiranya tidak berkenan dengan suis tersedia. Untuk sambungan ia menawarkan tiga jenis sambungan iaitu melalui Bluetooth yang boleh disambung kepada 3 peranti, 2.4Ghz nirwayar dan juga secara terus menggunakan kabel USB.

Seperti Mirage VII, kebanyakan masa saya menggunakan sambungan 2.4GHz dan mendapati ia mengambil sedikit masa untuk sambung kembali selepas memasuki mod standby. Mungkin juga ini masalah yang didapati untuk unit yang saya dapat ini. 

Seperti kebanyakan papan kekunci moden diluar sana, GMK 100 ini juga dilengkapi dengan sistem lampu RGB. Sebanyak 22 kesan lampu yang boleh digunakan pada papan kekunci ini namun efek pada kekunci dan juga jalur di bahagian sisi tidak selari. Disamping itu, tahap keterangan pada lampu RGB papan kekunci ini juga perlu diberi pujian. Semua lampu RGB pada papan kekunci ini boleh juga dikawal melalui perisian daripada laman web rasmi Armageddon.

image is not available

Bercakap mengenai perisiannya, ia adalah perisian asas yang mudah digunakan tapi saya agak terkejut dengan antara muka yang digunakan kerana ia kelihatan seperti satu perisian yang tidak siap berbeza dengan perisian untuk tetikus Mirage VII. Seperti yang saya katakan di atas, kebanyakan fungsi atau lampu pada papan kekunci ini boleh dikawal dan ubah suis dalam perisian ini. 

image is not available

Bateri

Prestasi bateri pada GMK 100 ini agak hebat disebabkan bateri berkapasiti 2000 mAh yang digunakan. Menurut Armageddon, papan kekunci ini mampu bertahan sehingga 100 jam penggunaan dengan lampu RGB menyala dan sehingga 8 hari dalam mod standby. Dalam penggunaan saya, papan kekunci ini dapat bertahan sekitar 5-6 hari mengikut cara penggunaan. Masa pengecasan pula ambil sekitar 3 jam untuk penuh.

Armaggeddon Orion 7

Armaggeddon Orion 7
JenisFon telinga belakang tertutup
Pemandu50mm Neodymium
Mikrofon1 mikrofon boleh dicabut
Bateri1000 mAh
Sehingga 40 jam pada paras audio 50%
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
SambunganBluetooth 5.4
Kabel 3.5mm
Dongel 2.4GHz USB A+USB C
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Butang kawalanKawalan suara
Kuasa
Bisu Mikrofon
Kemampuan kalis airTiada
Harga Jualan RM 229

Rekaan dan Penggunaan

Armaggeddon Orion 7 merupakan fon kepala dengan sistem audio 7.1. Secara fizikalnya, rekaan pada Orion 7 nampak tidak terlalu menonjol dan minimal dengan tiada sebarang lampu RGB seperti kebanyakan fon kepala dil uar sana. 

Selain itu, saya suka dengan penggunaan dua tona warna yang berbeza. Gabungan antara putih dan juga kelabu menampakkan lagi nilai estetik pada fon kepala ini. Pada bahagian cawan telinga kanan terdapat logo Armaggeddon dan tulisan Orion 7 dengan ayat ‘The Ultimate 7.1 Gaming Headset’ pada bahagian kiri. 

image is not available

Untuk kualiti binaan, ia menggunakan plastik di kedua belah cawan telinga dan penyambung antara cawan telinga dengan cekak kepala menggunakan besi. Penggunaan kusyen juga agak tebal pada bahagian cekak kepala dan cawan telinga.

image is not available

Tambahan lagi, pada cawan telinga kanan terdapat butang untuk menghidupkan fon kepala dan untuk membisukan mikrofon. Sambungan USB-C untuk tujuan pengecasan atau menggunakannya secara berwayar dan sambungan 3.5mm untuk mikrofon yang boleh dicabut. Cawan telinga kiri pula terdapat roda laras suara.

Disebabkan kebanyakan bahan binaan adalah plastik ia dapat membuatkan fon kepala ini terasa sangat ringan di kepala dan kekuatan cengkaman juga terlalu kuat. Namun begitu, keselesaan kusyen pada cawan telinga agak kurang memuaskan dan juga memanas walaupun memakainya dalam bilik dengan penyaman udara. Saya perlu berulang kali memakai dan membuka fon kepala ini untuk berikan telinga ‘bernafas’. Terdapat 4 jenis sambungan yang boleh digunakan dengan fon kepala ini iaitu melalui dongel 2.4GHz USB-A atau USB-C, Bluetooth dan juga secara berwayar.

image is not available

Kualiti Audio

Secara dasarnya, kualiti audio yang dihasilkan oleh Armaggeddon Orion 7 ini baik. Cawan telinganya dapat mengurangkan bunyi persekitaran dan agak kedap. Ini juga dibantu, dengan  dua pemacu audio Dynamic Neodymium bersaiz 50mm. 

Salah satu perkara yang menarik tentang Orion 7 ini adalah ia mempunyai ciri pemproses isyarat digital (eDSP) terbina di dalam fon kepala ini. Dengan ada ciri ini, bunyi yang dihasilkan menjadi lebih kuat namun mungkin pengguna biasa tidak dapat rasakan perbezaan yang ada.

image is not available

Kebiasaan fon kepala gaming akan mempunyai bass yang agak tinggi dan melampau namun untuk Orion 7 ini bass yang dihasilkan berada diparas yang tinggi tapi tidak sehingga menenggelamkan bunyi instrumen yang lain. Bass yang tinggi ini juga membantu di dalam permainan seperti PUBG untuk mengesan tapak kaki musuh, bunyi letupan dan sebagainya. Perkara yang mengejutkan saya adalah bunyi pada frekuensi tingginya. Vokal penyanyi jelas dan merdu didengari. Bunyi enjin dari permainan perlumbaan seperti Need For Speed sangat jelas. 

Dengan kualiti audio yang dihasilkan, Orion 7 ini agak sesuai untuk digunakan dalam pelbagai keadaan sama ada menonton filem, mendengar lagu secara kasual ataupun untuk sesi gaming anda jika anda tidak kisahkan telinga anda memanas menggunakan fon kepala ini.

image is not available

Bateri

Menurut Armaggeddon bateri pada Orion 7 ini mampu bertahan sehingga 40 jam dengan paras audio 50% jika digunakan secara nirwayar kerana bateri yang dimuatkan dalam fon kepala ini bersaiz 1000 mAh. Disebabkan fon kepala ini membuatkan telinga saya panas, saya memang tidak dapat mengujinya dengan lama. Paling lama saya boleh pakai adalah 2 jam sahaja. Jika anda mahukan keupayaan bateri yang lebih tahan, gunakan sahaja fon kepala ini secara berwayar. 

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, ketiga-tiga produk dari Armaggeddon ini baik-baik sahaja jika anda ingin mencari sebuah fon kepala, tetikus dan papan kekunci bersaiz 60%. Walaupun kualiti binaannya tidak tinggi ia tidak menjadi satu sebab kerana harga yang ditawarkan setara dengan kualiti yang diberikan oleh Armaggeddon. Harga jualan untuk ketiga-tiga produk ini adalah RM159 untuk Armaggeddon GMK-100, RM229 untuk Armaggeddon Orion 7 dan RM119 untuk Armaggeddon Mirage VII.

Jika ada satu isu yang perlu diketengahkan ialah ketiga-tiga produk memerlukan dongel 2.4GHz berbeza untuk berfungsi. Pada PC yang digunakan, tiga port USB-A diperlukan jika ketiga-tiga produk disambung. Tidak tahu mengapa Armageddon tidak menawarkan teknologi satu dongel untuk semua aksesori seperti yang ditawarkan oleh Logitech.

View Original Article