Ulasan ASUS Vivobook 15X (K3504) – Memadai Tetapi Bukan Yang Terbaik

TechnologyDigital
15 Nov 2023 • 3:33 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Komputer riba menjadi keperluan bagi kebanyakan orang tidak kiralah di pejabat, sekolah mahupun instiut pengajian tinggi. Akan tetapi lambakan komputer riba di pasaran membuatkan ramai yang keliru untuk komputer riba yang sesuai dengan keperluan masing-masing. Di sini kami mempunyai ASUS Vivobook 15X (K3504) yang boleh menjadi salah satu komputer riba sesuai untuk profesional biasa dan berikut ulasan penuh untuknya;

Spesifikasi

Nama ModelASUS Vivobook 15X (K3504)
Saiz Paparan15.6″ FHD (1920 x 1080) 16:9,
60Hz, 250nits, TÜV Rheinland-certified,
PemprosesIntel Core i5-1335U
10 Teras
Cip GrafikIntel UHD Graphics
RAM8GB DDR4 (terbina)
1x DDR4 SO-DIMM slot
Muatan Dalaman512GB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD
1x M.2 2280 PCIe 4.0×4
KameraHD 720P + pengatup privasi
Palam I/O1 x USB 2.0 Type-A
1 x USB 3.2 Gen 1 Type-C
2 x USB 3.2 Gen 1 Type-A
1 x HDMI 1.4
1 x bicu audio 3.5mm
1 x DC-i
Sistem Operasi Windows 11 Home
SekuritiImbasan Cap jari (Windows Hello)
Bateri42WHrs, 3S1P, 3-cell Li-ion
Pengecas 65W
HargaRM3,199

Rekabentuk Dan Skrin

Binaan tubuh keseluruhan komputer riba menggunakan bahan berasaskan logam dengan kemasan pusam. Kotoran amat mudah dilihat dengan kemasan ini yang mana bila berlaku proses pembersihan perlu dilakukan dengan kerap. Tubuh pula agak mudah lentur apabila ditekan yang dirasakan boleh memberi kesan jangka panjang memudaratkan pengguna. Engsel bagaimanapun agak keras dengan kebolehan membuka sehingga 180 darjah.

image is not available

Seterusnya empat pelapik getah disediakan pada bahagian bawah bagi mengelakkan kesan calar pada komputer riba. Ini diikuti dengan lohong udara yang terus ke engsel dan dua kekisi audio untuk pembesar suara pada bahagian yang sama. Pilihan sambungan juga agak baik dengan sebahagian besarnya diletakkan pada sisi kanan.

image is not available

Melaluinya terdapat 2 X USB A 3.2 Gen 1, HDMI 1.4, bicu audio 3.5mm, USB C 3.2 Gen 1 dan penyeduai AC. Sebelah kiri pula hanya disediakan USB-A 2.0 bersama lampu LED penunjuk pengecasan kuasa. Di Malaysia ia ditawarkan dalam pilihan warna kelabu atau juga dipanggil Cool Silver yang menjadi kebiasaan untuk kebanyakan komputer riba di pasaran.

image is not available

Seperti namanya skrin adalah sebesar 15.6-inci dengan nisbah aspek 16:9 yang sesuai untuk kegunaan multimedia, tetapi bukan sepenuhnya kerja menulis. Panel pula sejenis IPS LCD beresolusi penuh (1920 X 1080 piksel) dengan kadar segar semula 60Hz dan keterangan puncak 250nits. Skrin ini sekadar sederhana sahaja. Tidaklah begitu menarik dan tidak juga terlalu mengecewakan. Seperti kata anak-anak muda Gen Z sekarang ia sekadar “mid”.

image is not available

Saiz bezel juga tidak sekata dengan bahagian bawah yang tebal bersama penjenamaan ASUS Vivobook berwarna perak. Selain itu kamera web HD yang digunakan mempunyai pengatup mekanikal terbina bagi tujuan privasi, tetapi tiada sensor IR bermakna sokongan pengecaman wajah Windows Hello dalam gelap tidak disokong.

Dengan berat sekitar 1.6kg dan ketebalan 17.9mm, komputer riba dapat digunakan dengan lebih efektif tanpa masalah. Pengalaman membawanya kemana-mana juga tidak terasa membebankan. Namun sesuatu yang kurang menyenangkan apabila penutup komputer riba ini tidak boleh dibuka dengan sebelah tangan.

Di mana ia mengakibatkan keseluruhan komputer riba akan terangkat sekiranya berbuat demikian. Seterusnya prestasi paparan pula kelihatan baik-baik sahaja untuk penggunaan dalam kawasan tertutup. Namun jika sebaliknya anda perlu berkompromi dengan perubahan warna paparan yang ketara apabila tidak dilihat pada sisi.


Penanda Aras Dan Prestasi

Unit ulasan diterima menggunakan pemproses Intel Core i5-1335U 10 teras dengan cip grafik Intel Iris Xe (80 EUs). Memori pula sebesar 8GB DDR4-3200 (slot SODIMM tambahan tersedia) dan dipadankan dengan storan sebesar 512GB NVMe PCIe 4.0 SSD.

image is not available

image is not available

Perlu dikatakan terdapat dua slot untuk SSD disertakan sekaligus membolehkan pengguna meningkatkan saiz memori keseluruhan. Begitu juga dengan RAM turut boleh ditambah kerana slot SODIMM tambahan disediakan. Dengan ini storan dan RAM boleh ditambah sendiri oleh pemilik beberapa tahun selepas dibeli.

Berikut dilampirkan hasil ujian penanda aras untuk komputer riba ini :

image is not available

Kelajuan storan SSD ini sekadar sederhana sahaja mencecah 4.3 GBps ketika membaca dan 1.8 GBps ketika menulis. Majoriti komputer riba dalam kelas ini dilengkapi SSD dengan kelakuan yang setanding. Prestasi cip Intel Core-i5 Gen 13 yang digunakan juga memuaskan. Lebih baik berbanding prestasi cip Intel Core-17 Gen 11. Dari segi prestasi penggunaan hari untuk menghasilkan kertas kerja, sesi telesidang dan menyunting gambar menggunakan PhotoScape X ia lebih daripada mencukupi.

image is not available

Komputer riba boleh digunakan dengan baik untuk sebahagian besar tugas harian seperti melayari web dan menaip artikel. Proses melakukan boot up tidak mengambil masa yang lama, selain program juga dilancarkan dengan pantas. Aplikasi suntingan turut boleh dijalankan dengan memuaskan. Tetapi dengan grafik Iris Xe terbina tidak banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan khususnya melibatkan permainan video.

Hanya permainan video yang sudah agak berusia seperti CS Go boleh dimainkan pada tetapan serta kadar bingkai yang agak memuaskan. Permainan era voxel seperti Command and Conquer, Commandos 2 dan Red Alert turut boleh dimainkan. Tetapi anda tidak membeli ASUS Vivobook untuk permainan video.

image is not available

Pengalaman penggunaan ini turut mendapati terdapatnya masalah internet WiFi kerap terputus dan perlahan apabila menggunakan rangkaian pada frekuensi 2.4GHz. Sungguhpun sudah mengemaskini driver modem isu yang sama masih berlaku, melainkan komputer riba ini menggunakan rangkaian pada frekuensi 5GHz atau WiFi 6E. Ini tidak mengejutkan kerana semakan kami di internet mendapati isu yang melihatkan model moderm MT7921 ini sudah berlarutan sejak 2 tahun lalu, dan sehingga kini masih belum dapat diselesaikan.


Audio

image is not available

Dua pembesar suara diletakkan pada bahagian bawah komputer riba. Ia bukanlah posisi yang tepat untuk pengalaman lontaran audio yang baik. Justeru tiada apa yang boleh dibanggakan dengan prestasi audio pada komputer riba ini. Ia tidak cukup kuat pada tetapan tertinggi dengan audio yang tenggelam. Begitu juga dengan impak bass juga langsung tidak kedengaran yang bermakna tidak sesuai buat mereka yang mahukan audio terbaik. Pun begitu kualiti audio menggunakan bicu audio adalah memuaskan dan penggunaan amat disarankan berbanding mendengar terus daripada pembesar suara asal.


Papan Kekunci Dan Pad Sesentuh

Papan kekunci yang digunakan adalah sejenis chiklet bersama lampu LED berwarna putih terbina di belakang. Ia amat berguna untuk kegunaan menaip dalam kawasan gelap dan tahap cahaya boleh dilaras dengan menekan butang F7. Asus menggunakan teknologi Ergosense pada papan kekunci ini bagi tujuan pengalaman menaip lebih baik. Melaluinya ia menggabungkan papan kekunci bersaiz penuh dengan ruang antara kekunci yang mencukupi mencapai 1.4mm untuk keselesaan.

image is not available

Namun perkara sebaliknya pula berlaku pada saya yang mungkin tidak menggemarinya. Saya mengambil sedikit masa dalam tiga hingga empat hari untuk membiasakan diri dengan papan kekunci sebelum boleh dapat menggunakannya dengan baik. Dalam pelbagai situasi misalnya seperti menaip artikel yang panjang, menulis emel atau sebagainya, isu typo merupakan suatu masalah yang sering dialami sepanjang cuba membiasakan diri dengan papan kekunci ini. Belum lagi ditambah dengan masalah papan kekunci yang kadang kala sedikit melekat mengakibatkan proses menaip menjadi perlahan.

image is not available

Beralih ke pad sesentuh pula saya agak senang dengan pengalaman keseluruhan ketika menggunakannya. Ia mempunyai permukaan yang licin sekaligus memudahkan setiap gerakan jari. Saiznya juga memuaskan dengan ukuran yang baik dan tindak balas mengesan jari juga cukup responsif. Turut disediakan ialah pengimbas cap jari terbina yang diletakkan di sudut kanan pad sesentuh dengan sokongan Windows Hello.


Jangka Hayat Bateri

Asus membekalkan bateri sebesar 42Wh yang diiklankan mampu bertahan sehingga 10 jam dengan sekali caj. Kapasiti ini juga bukanlah besar sangat dan dianggap sesuai dengan komputer riba memfokuskan kerja produktiviti. Di dalam dunia nyata komputer riba mampu bertahan sekitar 6 ham bergantung pada jenis kerja yang dilakukan.

image is not available

Misalnya seperti menaip artikel, membalas emel, mendengar muzik dan menyunting beberapa gambar di Photoscape. Ini juga dilakukan dengan keterangan skrin diturunkan pada 60% dengan mod penjimatan bateri diaktifkan. Proses pengecasan semula pula mengambil masa satu jam lebih menggunakan sistem pengecasan pantas 65W yang disokong. Pengecas disediakan hadir dengan blok kuasa yang besar dan berat.


Kesimpulan

Memadai tetapi bukan yang terbaik. Jika melihat pada penawarannya tidak begitu mesra dengan harganya yang dijual pada RM3,199. Terdapat beberapa kekurangan yang perlu dibincangkan, misalnya seperti panel LCD sekadar sederhana, kapasiti bateri kecil, papan kekunci sedikit sticky dan juga masalah internet kerap terputus.

Kalah pada beberapa bahagian namun tidak bermakna tiada kekuatannya pada komputer riba ini. Ia mempunyai konsep reka bentuk dengan gaya bercirikan ringkas dan minimalis. Kemudian boleh berfungsi dengan baik untuk sebahagian besar kerja harian khusus yang melibatkan proses menaip. Kebolehan menambah memori dan storan juga menjadi salah satu kelebihan pada komputer riba ini.


PRO

  • Kemasan ringkas dan minimalis.
  • Storan dan RAM yang boleh dinaiktaraf.
  • Tiada masalah pemanasan dan kipas tidak bising.

KONTRA

  • Skrin IPS LCD yang sederhana.
  • Tiada sokongan untuk skrin sesentuh.
  • Kapasiti bateri kecil.

image is not available