Ulasan Bowers & Wilkins Pi8 – Dia Kembali Dengan Serba-Serbi

TechnologyDigital
20 Nov 2024 • 12:39 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada tahun lepas, saya telah mengulas mengenai fon telinga TWS kelas bangsawan Bowers & Wilkins Pi7 S2. Ia tampil dengan kualiti audio terbaik dan tampil dengan ciri-ciri serba unik yang jarang dilihat pada fon telinga lain, tetapi masih tampil dengan sejumlah kekurangan yang menyukarkan saya untuk mengesyorkannya.

image is not available

Baru-baru ini, saya diberi peluang untuk mengulas pula mengenai salah satu penawaran TWS terbaru mereka, iaitu Bowers&Wilkins Pi8, yang merupakan penaiktarafan kepada model Pi7 S2 yang dilancarkan pada tahun lepas.

Spesifikasi Dan Rekaan

Bowers & Wilkins Pi7 S2
JenisFon putik dalam telinga
Pemandu12mm
Mikrofon3 mikrofon
BateriANC 6.5 jam/ 20 jam dengan pod
Tiada ANC 8 jam / 35 jam dengan pod
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarYa
CODECAAC, SBC, aptX Classic, aptX Adaptive, aptX Lossless
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaYa
Pad KawalanYa
Kemampuan kalis airIP54
Harga JualanRM2399

Perbezaan paling ketara pada fon telinga Pi8 apabila dibandingkan dengan Pi7 S2 semestinya dari segi rekaan rangka dan fon telinga sendiri. Saiz rangka pada Pi7 S2 dilihat jauh lebih besar berbanding dengan Pi8, manakala rekaan fon telinga Pi8 sendiri memperlihatkan saiz yang sama, tetapi bentuk yang cukup berbeza.

image is not available

Untuk rangka pengecasan, ini adalah satu perubahan yang baik untuk saya, kerana saya tidak lagi perlu berasa kekok menyimpan fon telinga kegemaran saya tanpa merasakan ada sesuatu yang membonjol dari poket seluar saya.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, bahagian fon telinga Pi8 memperlihatkan saiz yang lebih kurang sama, tetapi satu perbezaan yang sangat ketara hadir pada bahagian pad sentuh. Ia kini hadir dengan permukaan yang berkilat dan kini lebih panjang berbanding dengan apa yang diperlihatkan pada Pi7 S2 sebelumnya.

image is not available

Bagi saya, ini adalah perubahan rekaan yang sangat baik kerana dengan fon telinga Pi8 saya tidak lagi perlu tercari-cari permukaan yang perlu ditekan untuk menjeda audio ataumelangkaui lagu yang dimainkan.

Satu lagi perubahan yang saya suka ialah B&W akhirnya menggunakan output audio berbeza bergantung kepada berapa kali anda menekan pad sesentuh untuk menatal fungsi berbeza. Jika anda menekan sekali, bunyi audio “klik” sekali akan didengari, bunyi audio “klik” dua kali akan didengari dan sebagainya.

Ini juga adalah penambahbaikan yang baik kerana dengan Pi7 S2, sering kali saya tidak tahu jika saya menekan pad sesentuh tersebut hanya sekali atau dua kali untuk menatal audio kerana audio penanda yang diperdengarkan adalah sama tidak kira berapa kali saya menekannya.

Ciri-Ciri

Selain daripada rekaan fizikal, fon telinga Pi8 ini juga hadir dengan penambahbaikan dari segi dalaman dan ciri-ciri tambahan. Pi8 menggunakan pemandu audio carbon cone bersaiz 12mm. Carbon cone ini adalah bahan yang sama digunakan untuk membina pemandu audio pada fon kepala B&W Px8 dan pembesar suara B&W 700 Series mereka sebelum ini.

Pihak B&W mengatakan bahawa dengan pemandu audio ini, fon telinga ini mampu menangkap bunyi yang dihasilkan pada tahap frekuensi yang lebih tinggi sambil mengekalkan kualiti audio semula jadi yang terkenal untuk fon-fon telinga dan fon kepala B&W.

Selain daripada itu, fon telinga Pi8 ini juga hadir dengan sokongan untuk sambungan Bluetooth 5.4 yang membolehkan pengguna untuk menyambungkan fon telinga ini kepada dua peranti secara serentak. Jika anda suka mendengar lagu sambil beriadah di luar, fon telinga Pi8 ini juga tampil dengan ciri kalis debu dan air IP54.

image is not available

Dengan sambungan Bluetooth baru ini, ia juga menawarkan ciri sambungan kepada dua peranti sekaligus, dan ciri ini saya manfaatkan pada komputer riba dan juga peranti pintar saya sewaktu bekerja untuk mengubah fokus audio secara automatik dan mudah.

Dua ciri yang saya sangat minta sewaktu saya mengulas fon telinga Pi7 S2 dahulu ialah ciri EQ dimana saya boleh mengubahsuai tetapan kualiti audio dan juga kebolehan untuk menukar tetapan pad sesentuh melalui aplikasi.

Ciri EQ dengan lima palang pengubahsuaian diperkenalkan, dan ini membolehkan saya mengubahsuai tahap treble dan bass dengan mudah, akan tetapi untuk menukar tetapan pad sesentuh, saya terhad kepada mengubahsuai tetapannya kepada menggunakan ciri long press untuk mengaktifkan pembantu digital (Google Assistant) dan ciri Active Noise Cancelling atau Audio Pass Through ataupun untuk menatal kelantangan audio.

Ia bukanlah penyelesaian lengkap seperti apa yang saya inginkan, tetapi ia sekurang-kurangnya adalah satu langkah ke hadapan.

Salah satu ciri utama pada Pi7 S2 sebelum ini, iaitu kebolehan untuk disambungkan kepada sistem inforia kapal terbang melalui palam audio 3.5mm yang disambungkan ke rangka pengecasan melalui USB Type-C juga kembali, dan ini sangat berguna jika anda sering menaiki kapal terbang dan gemar menonton kandungan hiburan yang ditawarkan.

Pengalaman Pengguna

Sama seperti sebelum ini, penggunaan pertama fon telinga Pi8 ini boleh dilakukan samada melalui Google Fast Pair ataupun melalui aplikasi Music | B&W yang kami sarankan anda untuk muat-turun untuk membolehkan anda mengubahsuai pelbagai tetapan pada fon telinga seperti yang kami jelaskan diatas, dan juga untuk mengemaskini perisian pemandu fon telinga anda kepada versi terbaru.

Seperti yang saya beritahu dalam bahagian rekaan fon telinga ini, saya lebih menyukai rekaan B&W Pi8 baru yang lebih padat dan lebih mesra poket. Rekaan fon telinga dengan permukaan sesentuh yang lebih luas juga membolehkan saya menatal lagu dengan lebih tepat tanpa perlu meraba-raba bahagian telinga untuk mengetahui dimanakah saya perlu tekan.

image is not available

Dari segi kualiti audio pula, B&W Pi8 dilihat memiripi fon telinga sebelumnya, Pi7 S2 yang mana ia mempunyai alunan kualiti audio yang lebih semulajadi, tetapi pada kali ini dengan kualiti vokal yang jauh lebih menyerlah.

Jujur saya katakan bahawa kualiti audio lalai pada fon telinga ini adalah diantara yang terbaik dalam kategori fon telinga premium bagi saya, khususnya kebelakangan ini saya lebih gemar mendengar lagu dalam kategori pop dan rock yang lebih mengetengahkan alunan vokal. Dengan aplikasi Music, saya akhirnya boleh mengubahsuai sedikit tetapan bass unruk dentunan yang lebih mendalam dan membolehkan saya lebih menjiwai lagu-lagu kegemaran saya.

Bercakap mengenai menjiwai lagu, satu lagi ciri baru yang saya tidak nyatakan sebelum ini ialah berkenaan sokongan codec audio terbaru Qualcomm, iaitu aptX Lossless. Secara ringkasnya, fon telinga ini boleh menyokong penstriman audio dengan kualiti medium cakera padat melalui sambungan Bluetooth.

Sokongan codec aptX Lossless ini bukanlah sesuatu yang baru untuk banyak peranti-peranti pintar yang dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon, akan tetapi sokongan untuknya pada fon telinga dan juga perkhidmatan penstriman boleh dilihat sebagai terhad.

image is not available

Jika anda mempunyai fail audio pada kualiti CD ataupun MQA/FLAC/ALAC, anda boleh menggunakan peranti anda untuk memainkan fail-fail audio ini tanpa masalah. Untuk perkhidmatan penstriman, aplikasi Music | B&W memperlihatkan promosi untuk aplikasi seperti Tidal dan Deezer sebagai diantara aplikasi penstriman audio yang terbaik untuk fon telinga ini.

Bateri

Bowers & Wilkins mengatakan bahawa fon telinga Pi8 ini hadir dengan jangkahayat bateri selama 6.5 jam dengan ciri ANC dipasang, dan selama 20 jam berterusan sekiranya digabungkan dengan kuasa bateri yang terkandung didalam rangka pengecasan. Dalam pengalaman saya menggunakan fon telinga ini selama 3-4 jam sehari, saya dapati bahawa fon telinga ini perlu dicas setiap kira-kira 4-5 hari.

Walaupun begitu, pengecasan fon telinga ini dilihat cukup pantas sekali, dimana rangka dan juga fon telinga boleh dicas secara penuh dalam kira-kira 1 jam.

Ada Apa Dalam Kotak

Ini adalah apa yang ditawarkan didalam kotak Bowers & Wilkins Pi8 apabila anda membelinya:

  • 1x Rangka pengecasan dan sepasang fon telinga Bowers & Wilkins Pi8
  • 1x kabel pengecasan USB Type-C
  • 1x kabel audio 3.5mm-ke-USB Type-C
  • 4x tip telinga bersaiz XS, S, M, L, XL

Penutup

Sebagai pengguna fon telinga Pi7 S2 untuk sekian lamanya, pengenalan fon telinga B&W Pi8 memperbaiki 90 peratus daripada isu-isu yang saya ada dengan fon telinga sebelumnya. Dari segi kualiti audio, rekaan fizikal dan juga ciri-ciri baru yang diperkenalkan, saya boleh katakan bahawa ia adalah penaiktarafan yang cukup baik.

image is not available

Cumanya, pada tanda harga RM2399, ia agak sukar untuk saya mengesyorkan fon telinga ini sebagai pengganti kepada Pi7 S2 sekiranya anda sudah memilikinya. Jika anda sedang mencari pengganti kelas premium kepada model fon telinga lebih murah, ya saya boleh katakan bahawa ia berbaloi untuk dibeli sekiranya anda mampu.

Pro:

  • Kualiti audio premium dan semulajadi
  • Penambahbaikan ciri-ciri baru
  • Rekaan rangka yang lebih padat
  • Rekaan fon telinga yang lebih mesra pengguna
  • Bateri yang lebih tahan lama

Kontra:

  • Harga
  • Pengubahsuaian tetapan sesentuh yang tidak cukup mendalam

image is not available