Selepas kejayaan pelancaran semula dunia sinematik DC melalui Superman, filem Supergirl (2026) hadir sebagai naskhah yang memperkenalkan sisi berbeza daripada seorang adiwira wanita yang telah lama dinantikan peminat komik. Diarahkan oleh Craig Gillespie, filem ini menampilkan Milly Alcock sebagai Kara Zor-El atau Supergirl, Jason Momoa sebagai Lobo, Matthias Schoenaerts sebagai Krem, Eve Ridley sebagai Ruthye serta penampilan David Corenswet sebagai Superman.
Dari sudut penceritaan, Supergirl tidak memilih formula klise mengenai penyelamatan dunia. Sebaliknya, filem ini membawa penonton mengikuti perjalanan peribadi Kara Zor-El yang berdepan kehilangan, kemarahan dan pencarian makna sebagai seorang wira. Berbeza dengan Superman yang sering digambarkan penuh harapan dan optimis, Kara dipersembahkan sebagai individu yang emosional dan masih dibayangi trauma masa silam. Pendekatan ini menjadikan wataknya lebih manusiawi dan mudah difahami oleh penonton.
Kisah bermula apabila Ruthye meninggalkan kehidupannya yang tenang selepas sekumpulan musuh yang diketuai oleh Krem membunuh ahli keluarganya. Demi mendapatkan keadilan, Ruthye berganding bahu dengan Kara kerana dia juga mengalami pengalaman yang sama apabila kapal angkasanya dicuri dan anjing kesayangan di racun oleh Krem. Pengembaraan mereka merentasi angkasa lepas telah membuka pelbagai konflik dan dilema moral yang menguji prinsip seorang adiwira. Perjuangan mereka juga turut disertai oleh satu watak anti hero yang sudah lama dinantikan iaitu Lobo. Walaupun jalan ceritanya ringkas, pembangunan watak menjadi kekuatan utama filem ini.

Salah satu aspek yang paling menyerlah ialah rekaan visual dan kostum. Kostum Supergirl masih mengekalkan identiti klasik dengan lambang "S" yang ikonik namun diberikan sentuhan moden melalui material yang lebih realistik dan praktikal. Warna biru dan merah masih mendominasi, tetapi tona yang lebih gelap menjadikan penampilannya seiring dengan personaliti Kara yang lebih matang. Rekaan kostum Lobo pula cukup mengagumkan dengan gaya space punk yang kasar dan liar sekali gus memberikan kontras menarik kepada penampilan Supergirl.
Dari aspek pengarahan, Craig Gillespie berjaya memberikan identiti tersendiri kepada filem ini. Adegan aksi disusun dengan kemas tanpa terlalu bergantung kepada kesan visual semata-mata. Sebaliknya, beliau memberi ruang kepada perkembangan emosi setiap watak. Sinematografi yang memaparkan landskap planet-planet asing serta penggunaan pencahayaan yang dramatik berjaya menghasilkan suasana epik sekali gus memperluaskan skala dunia DC.
Lakonan Milly Alcock juga wajar diberikan pujian. Beliau berjaya membawa dua sisi Supergirl iaitu seorang wanita muda yang masih bergelut dengan emosinya dan pada masa sama memiliki keberanian luar biasa apabila diperlukan. Chemistry antara beliau dan Eve Ridley turut menjadikan hubungan kedua-dua watak terasa ikhlas dan menyentuh hati. Jason Momoa pula tampil mencuri perhatian setiap kali muncul di layar menerusi karisma serta humor spontannya sebagai Lobo.

Walaupun terdapat beberapa bahagian yang bergerak agak perlahan, Supergirl tetap menawarkan pengalaman tontonan yang berbeza daripada kebanyakan filem adiwira. Filem ini lebih menekankan perjalanan emosi, persahabatan dan pencarian identiti berbanding sekadar aksi tanpa henti. Pendekatan tersebut memberikan dimensi baharu kepada watak Supergirl yang selama ini sering berada di bawah bayang-bayang Superman.
Secara keseluruhannya, Supergirl merupakan permulaan yang meyakinkan bagi watak Kara Zor-El dalam dunia sinematik DC yang baharu. Dengan gabungan pengarahan yang mantap, lakonan yang berkesan, rekaan kostum yang menarik serta visual yang memukau, filem ini berjaya mengangkat Supergirl sebagai seorang wira yang mempunyai identiti tersendiri dan berpotensi menjadi antara tonggak utama francais DC pada masa hadapan.
Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). rasfan@aswara.edu.my
Rasfan Abu Bakar (rasfan@aswara.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

