Ulasan Filem : ‘The Little Mermaid’ Tetap Menghiburkan Biarpun Watak Utama Berlainan Daripada Versi Animasi

Movie
24 May 2023 • 2:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Halle Bailey sebagai Ariel - Gambar ihsan Disney Malaysia

Sejak rumah produksi, Disney mengumumkan mereka akan menerbitkan filem The Little Mermaid versi ‘live action’, sebagai pencinta filem ini sejak dari zaman kanak-kanak, pastinya saya sangat teruja.

Tetapi dalam masa yang sama, saya turut risau andai kesan khas babak dalam laut filem ini nanti tidak memuaskan hati. Ini kerana saya pernah tonton karya yang mengangkat ikan duyung sebagai watak utama, dihasilkan sebelum ini. Sayangnya, babak di dalam air kelihatan sangat teruk.

Kemudian Disney mengumumkan pula pelakon yang akan memegang watak ikonik ikan duyung bernama Ariel. 

Seperti semua tahu, Ariel merupakan ikan duyung berambut merah menyala dan berkulit putih. Namun, Disney telah memilih pelakon berkulit hitam iaitu Halle Bailey untuk menjayakan watak ini.

image is not available
Halle Bailey

Pemilihan Halle Bailey untuk membawa watak Ariel telah mencetuskan kontroversi hebat. Rata-rata peminat The Little Mermaid mengecam tindakan Disney yang dikatakan sengaja memilih pelakon berkulit hitam untuk mencipta sensasi. 

Disney bagaimanapun punya alasan mereka yang tersendiri kenapa mereka memilih Halle. Selepas melakukan sesi uji bakat bersama ramai pelakon, Halle dipilih kerana dia mempunyai kebolehan untuk menyanyi dengan baik selain mempunyai semangat yang tinggi, keluhuran hati, keremajaan serta bersifat polos. 

Selain watak Ariel, watak Prince Eric juga merupakan tunjang utama dalam filem ini. Dikhabarkan pada mulanya watak ini sepatutnya digalas penyanyi terkenal, Harry Styles. Namun dia menolak. Kemudian watak ini diberikan kepada Jonah Hauer-King yang turut menjadi pertikaian ramai. 

image is not available
Jonah Hauer-King

Watak antagonis, Ursula pula menjadi milik pelakon yang sering kali muncul dengan watak komedi iaitu Melissa McCarthy.

Sebagai seorang penulis dan seorang yang sentiasa berpegang kepada prinsip ‘tak kenal maka tak cinta’, dan ‘don’t judge a book by its cover’, sudah pasti saya memasuki pawagam dengan minda dan hati yang terbuka untuk melihat versi baharu filem The Little Mermaid ini. 

image is not available

Pandangan pertama saya, teknik kesan khas dasar laut agak menakjubkan, Tidak kelihatan kekok atau pun teruk seperti yang saya pernah bayangkan.

Kemudian muncul watak Ariel yang paling dinanti-nantikan. Sebagai seorang yang sangat fanatik dengan watak Ariel, pastinya anda akan cuba mencari persamaan dalam karakter mereka terutamanya pada bahagian warna rambutnya. 

Jujur saya bilang, memang tidak sama dengan karakter versi animasi dari segi fizikal. Namun persembahan Halle sebagai Ariel tidaklah seburuk yang disangka.

Halle punya suara yang sangat merdu yang akan membuatkan anda jatuh cinta dengannya. Wajah polos yang dimilikinya pasti akan membuatkan kanak-kanak terasa senang dengan karakternya. 

image is not available
Halle punya suara yang sangat merdu yang akan membuatkan anda jatuh cinta dengannya

Halle berjaya membawakan watak gadis duyung remaja yang mempunyai sifat ingin tahu tentang dunia di darat. Dan demi cintanya kepada Eric, dia sanggup melakukan apa sahaja biarpun terpaksa kehilangan suaranya sendiri dan menderhaka pada bapanya iaitu King Triton lakonan Javier Bardem.

image is not available
Javier Bardem

Salah satu karakter penting dalam filem ini iaitu Ursula, si ahli sihir yang jahat berjaya digalas dengan cemerlang oleh Melissa McCarthy.

Biarpun solekannya menjadi pertikaian ramai kerana dikatakan kelihatan murah dan tidak gah seperti karakter animasi, tetapi lakonan beliau sangat hebat. Jarang sekali melihat Melissa beraksi dalam watak antagonis. Inilah masanya untuk anda melihat sisi lainnya.

image is not available
Melissa McCarthy

Mungkin anda akan ambil masa untuk jatuh cinta pada watak Eric. Namun perasaan suka itu akan terbit seiringan dengan perjalanan plot filem ini. Pada saya lakonan Jonah agak baik. Emosi yang cuba diterjemahkan juga sampai. Cumanya, ‘chemistry’ di antara dia dengan Halle kelihatan sedikit kurang. 

image is not available
Eric dan Ariel

Antara karakter yang mencuit hati tentunya rakan-rakan hidupan laut Ariel iaitu Sebastian (ketam), Flounder (ikan) dan Scuttle (burung).

Awkwafina kelihatan sangat cemerlang menyumbangkan suara untuk watak Scuttle. Begitu juga dengan Daveed Diggs yang memberikan suara untuk watak Sebastian. Cuma watak Flounder yang dibawakan oleh Jacob Tremblay bagi saya kelihatan seperti ikan yang sedang sakit. Mungkin kerana warnanya yang pucat. 

image is not available
Scuttle, Flounder dan Ariel

Pujian harus diberikan untuk lagu-lagu yang dimuatkan dalam filem ini. Semuanya sangat menarik dan sedap didengar. Saya rasa ini adalah antara filem yang memiliki senarai lagu yang sangat menarik dari mula sampai akhir.

Halle berjaya menyampai lagu ikonik, ‘Part Of Your World’ dengan sangat baik. Saya terhibur dengan lagu baru yang berjudul ‘The Scuttlebutt’ yang dinyanyikan oleh watak Scuttle dan Sebastian secara rap. Begitu juga dengan lagu ‘Kiss The Girl’.

image is not available
Bukalah minda dan berhiburlah dengan filem 'The Little Mermaid' versi baharu ini bersama keluarga mahupun teman tersayang

Tuntasnya, filem ini agak menghiburkan untuk ditonton oleh seisi keluarga. Cumanya anda mungkin akan terbayang-bayang dan terbawa-bawa perasaan sewaktu menonton filem versi animasi. 

Pesanan saya, bukalah minda dan berhiburlah dengan filem versi baharu ini bersama keluarga mahupun teman tersayang. Filem The Little Mermaid akan mula ditayangkan di pawagam bermula 25 Mei 2023. – Getaran, 24 Mei 2023

Rating : 4 Getar

View Original Article