Nama Christopher Nolan sememangnya sinonim dengan filem-filem berskala besar yang menggabungkan penceritaan kompleks, visual hebat dan idea yang mencabar pemikiran penonton. Selepas kejayaan Oppenheimer, Nolan kembali dengan sebuah projek yang lebih epic menerusi The Odyssey, adaptasi daripada puisi seniman Homer yang telah berusia ribuan tahun. Filem ini mengangkat kisah pengembaraan Odysseus, raja Ithaca, yang berusaha pulang ke tanah air selepas berakhirnya Perang Trojan. Namun, perjalanan yang sepatutnya mengambil masa singkat berubah menjadi pengembaraan penuh dengan cabaran, godaan dan ujian yang menguji ketabahan seorang manusia.
Latar belakang penceritaan The Odyssey berasaskan mitologi Yunani yang menjadi antara karya sastera paling berpengaruh dalam sejarah dunia. Ia bukan sekadar kisah seorang pahlawan yang ingin pulang ke pangkuan keluarga tetapi turut menyentuh nilai keberanian, kesetiaan, pengorbanan dan kebijaksanaan. Dalam pengembaraan tersebut, Odysseus perlu berhadapan dengan makhluk legenda seperti Cyclops, Siren, Scylla dan Charybdis, selain kemurkaan dewa laut Poseidon yang menjadi musuh utamanya. Pada masa yang sama, isterinya Penelope tetap setia menunggu kepulangannya walaupun ditekan oleh para pembesar yang mahu merampas takhta Ithaca.

Apa yang menjadikan adaptasi Christopher Nolan berbeza ialah pendekatannya yang terkenal dengan penceritaan non linear. Nolan sering bermain dengan dimensi masa, memori dan perspektif watak seperti yang pernah dilakukan dalam Memento, Dunkirk, Inception dan Interstellar. Oleh itu, ramai menjangkakan The Odyssey bukan sekadar sebuah filem fantasi atau aksi peperangan, sebaliknya sebuah karya psikologi yang menyelami konflik dalaman Odysseus sepanjang perjalanannya. Ini adalah signature Nolan yang sudah sinonim denganya.
Dari segi plot, perjalanan Odysseus dipenuhi pelbagai episod dramatik yang mempunyai simbolik tersendiri. Setiap cabaran bukan sekadar halangan fizikal, malah menggambarkan perjuangan manusia melawan ketakutan, keangkuhan, godaan dan rasa putus asa. Penonton akan mengikuti bagaimana seorang pahlawan yang pernah digelar wira perang akhirnya diuji sebagai seorang suami, ayah dan pemerintah. Plot sebegini memberikan keseimbangan antara aksi berskala besar dan emosi yang dekat dengan kehidupan manusia.
Kekuatan utama filem ini juga terletak pada pembangunan karakternya. Odysseus bukanlah seorang wira yang sempurna. Dia bijak, berani dan memiliki strategi luar biasa, namun kadangkala sifat ego dan keyakinan melampaunya menyebabkan dia serta anak-anak kapalnya menerima padah. Penelope pula menjadi lambang kesabaran dan kesetiaan manakala watak Telemachus, anak kepada Odysseus, menggambarkan proses seorang anak yang membesar tanpa kehadiran seorang ayah. Hubungan antara watak-watak ini dijangka menjadi tunjang emosi yang mengimbangi adegan aksi dan pengembaraan.

Selain itu, salah satu keistimewaan Christopher Nolan ialah keberaniannya menghasilkan visual berskala besar menggunakan kesan khas yang praktikal berbanding bergantung sepenuhnya kepada imej janaan komputer (CGI). Pendekatan ini memberikan rasa realistik yang lebih kuat kepada setiap babak dimana penonton berpeluang menyaksikan lautan bergelora, kapal-kapal perang dan dunia mitologi yang kelihatan lebih hidup dan meyakinkan. Sinematografi format IMAX yang menjadi identiti Nolan juga memperlihatkan skala epik cerita ini menjadi begitu mengagumkan.
Secara keseluruhannya, filem The Odyssey berpotensi menjadi antara filem epik paling besar dalam karier Christopher Nolan. Dengan gabungan kisah klasik yang telah bertahan selama ribuan tahun, pembangunan karakter yang kuat, visual berskala besar dan pendekatan pengarahan yang penuh inovasi, filem ini menjanjikan pengalaman sinematik yang luar biasa. The Odyssey bukan sahaja mampu memikat peminat filem, malah memperkenalkan semula karya agung Homer kepada generasi moden dalam bentuk yang lebih segar dan mengagumkan.
Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). rasfan@aswara.edu.my
Rasfan Abu Bakar (rasfan@aswara.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
