Honor 400 Pro telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada harga RM2699 dan menggantikan model 200 Pro memandangkan siri 300 tidak ditawarkan di pasaran tempatan. Dari segi spesifikasi, peranti ini menawarkan peningkatan ketara yang bertujuan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih berkualiti tinggi kepada pengguna.
Namun begitu, spesifikasi di atas kertas sahaja tidak mencukupi untuk menilai sepenuhnya keupayaannya. Oleh itu, kami kongsikan pengalaman penggunaan penuh Honor 400 Pro bagi memberikan gambaran yang lebih menyeluruh tentang prestasi sebenar peranti ini dalam penggunaan harian.
Spesifikasi Dan Penggunaan
HONOR 400 PRO Skrin 6.7″ AMOLED FHD+ 120Hz,
HDR Vivid, 5000 nits, (~460 ppi)Pemproses Snapdragon 8 Gen 3 (4 nm) Cip 1 x 3.0 GHz Cortex-X4
5 x 2.95 GHz Cortex-A720
2 x 2.0 GHz Cortex-A520Cip Grafik Adreno 750 RAM 12GB RAM Muatan Dalaman 512GB
(tiada kad mikroSD)Kamera Utama 200 MP (lebar), OIS
50 MP (telephoto) OIS
12 MP (ultralebar)Kamera Depan 50MP (lebar)
2MP (kedalaman)Bateri Si/C Li-Ion 6000 mAh
Berwayar 100W
Nirwayar 50W
Berbalik 5WSIM/Telefoni Dwi SIM Nano NFC Ya Infra Merah Ya Kalis Air IP68/69 Sistem Imbasan Imbasan cap jari
Imbasan wajahHarga Jualan RM2699 (12/512GB)
Honor 400 Pro tampil dengan reka bentuk moden yang menonjolkan gabungan daripada bahan kaca dan logam yang memberikan rasa premium apabila digenggam. Modul kamera disusun rapi di bahagian kiri atas panel belakang bagi mencipta susun atur visual yang seimbang.
Panel belakang menggunakan kemasan pusam yang bukan sahaja menambah sentuhan bergaya, malah berfungsi mengurangkan kesan cap jari. Peranti ini ditawarkan dalam empat pilihan warna seperti Lunar Grey, Desert Gold, Tidal Blue, dan Midnight Black bagi memenuhi citarasa pelbagai pengguna.

Dari segi dimensi, Honor 400 Pro hadir dengan ketebalan 8.1mm dan berat sekitar 205 gram. Walaupun sedikit berat, reka bentuk ergonomiknya dengan bingkai sisi melengkung memastikan cengkaman yang selesa, bahkan ketika digunakan dengan sebelah tangan. Susun atur butang dan port juga direka agar mudah dicapai, menjadikan peranti ini mesra pengguna untuk penggunaan harian.

Butang kuasa dan kawalan audio terletak di sebelah kanan peranti, manakala sisi kiri dibiarkan kosong bagi mengekalkan rekaan yang bersih dan minimalis. Dari segi audio, Honor 400 Pro dilengkapi sistem pembesar suara stereo dengan satu di bahagian atas dan satu lagi di bawah untuk memberi pengalaman bunyi yang lebih seimbang dan imersif.
Kualiti audionya jelas dan sedap didengar dengan dentuman yang memuaskan untuk kebanyakan pengguna. Namun begitu, tahap keseimbangan bunyi mungkin tidak setanding dengan sesetengah peranti lain yang pernah digunakan sebelum ini. Bahagian bawah juga menempatkan port USB-C dan slot SIM yang disusun kemas untuk akses lebih mudah.

Jika anda menggemari telefon pintar dengan skrin yang besar dan terang, Honor 400 Pro pasti tidak mengecewakan. Ia menampilkan paparan berukuran 6.7 inci dengan lengkungan kecil di keempat-empat sisi bagi memberikan pengalaman visual yang luas. Sama ada digunakan untuk menonton video atau melayari media sosial, skrin ini terasa imersif dan selesa digenggam.
Rekabentuk skrin Honor 400 Pro juga baik dalam meminimumkan gangguan visual di bahagian tepi menjadikannya lebih mesra pengguna. Ini berbeza dengan skrin melengkung sepenuhnya pada model Honor 200 sebelum ini yang kadangkala mengakibatkan kandungan terpotong di bahagian sisi.

Dalam penggunaan harian, skrin ini terasa lebih mudah digunakan. Ia selesa untuk menaip dengan dua tangan serta serasi dengan pelindung skrin. Warna pada paparan juga kelihatan cerah dan hidup walaupun digunakan di luar rumah atau di bawah cahaya matahari. Makanya, pengalaman seharian lebih menyeronokkan sama ada digunakan untuk menonton video, membalas mesej atau bermain permua ringan ketika waktu lapang.

Sepanjang penggunaan harian, peralihan pada skrin terasa lancar, sama ada semasa menatal gambar, membaca mesej atau bermain pemua. Selain itu, peranti ini juga sesuai untuk rutin mereka yang aktif kerana dilengkapi penarafan IP69. Ini boleh memberi ketenangan apabila digunakan di kawasan terbuka tanpa risau terhadap percikan air atau habuk.
Prestasi Peranti – Cip Snapdragon 8 Gen 3
Honor 400 Pro dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 3, dan ini memberikan peningkatan prestasi yang ketara berbanding Honor 200 Pro yang menggunakan cip Snapdragon 8s Gen 3. Meskipun cip ini tergolong dalam kelas mercu, peranti masih ditawarkan dalam kategori pertengahan premium. Ini menjadikannya pilihan menarik untuk pengguna yang mahukan prestasi tinggi tanpa perlu membayar harga sebuah telefon flagship.

Dalam penggunaan harian, peranti ini terasa lancar dan responsif. Aplikasi boleh dibuka dengan cepat, dan menukar antara aplikasi juga berjalan lancar tanpa lengah masa. Ketika digunakan untuk tugasan harian seperti menyemak emel, melayari media sosicl atau menyunting gambar ringkas, prestasi konsisten dan memuaskan. Untuk pengguna yang gemar bermain permua, pengalaman juga terasa stabil dengan suhu peranti yang kekal terkawal walaupun selepas beberapa pusingan permainan. Kepantasan cip ini menjadikan penggunaan harian terasa lebih lancar dan menyeronokkan sama ada untuk kerja atau berhibur.
AnTuTu 3D
Peranti Skor Honor 400 Pro 1861573 Google Pixel 9a 936,851 Xiaomi 15 2,341,598 Samsung Galaxy S25 Ultra 1,946,864 Oppo Find X8 Pro 2,629,017 Apple iPhone 16 Pro Max 1,720,751 Google Pixel 9 Pro XL 1,016,712
Geekbench 6
Peranti Satu Teras Multi Teras Honor 400 Pro 2024 6083 Google Pixel 9a 1695 4336 Xiaomi 15 2918 8917 Samsung Galaxy S25 Ultra 2957 9435 Oppo Find X8 Pro 2663 8959 Apple iPhone 16 Pro Max 3359 8129 Google Pixel 9 Pro XL 1916 4644
3DMark Wildlife Extreme
Cip Skor Honor 400 Pro 4467 Google Pixel 9a 2666 Xiaomi 15 Tidak boleh dilakukan Samsung Galaxy S25 Ultra 6135 Oppo Find X8 Pro 6251 Apple iPhone 16 Pro Max 4560 Google Pixel 9 Pro XL 2567
Seperti kebiasaan, saya menguji prestasi Honor 400 Pro dengan beberapa permainan popular seperti Mobile Legends: Bang Bang, Honor of Kings dan Temple Run. Sepanjang sesi permainan, peranti ini menunjukkan prestasi yang sangat stabil dan lancar. Untuk Mobile Legends dan Honor of Kings, tetapan grafik boleh dilaras ke tahap tinggi dan permainan berjalan pada kadar stabil 60FPS tanpa penurunan prestasi yang ketara. Animasi kelihatan lancar, waktu respons pantas, dan tiada isu pemanasan berlebihan walaupun selepas beberapa pusingan permainan.
Sementara itu, permainan seperti Temple Run juga berjalan dengan baik pada kadar FPS penuh. Tindak balas sentuhan kekal tepat dan responsif, yang sangat penting untuk permainan yang bergantung kepada tindak balas pantas pengguna. Skrin dengan kadar segar semula 120Hz pula menambahkan lagi kelancaran semasa bermain.
Perisian Peranti – MagicOS 9.0 Berasaskan Android 15
Honor 400 Pro menggunakan sistem operasi MagicOS 9.0 berasaskan Android 15 yang lengkap dengan pelbagai ciri berteraskan AI bagi memudahkan penggunaan harian. Antara yang menarik ialah AI Smart Folder, yang secara automatik mengatur aplikasi mengikut kategori untuk akses yang lebih pantas dan teratur. Turut ditawarkan ialah AI Summary yang memudahkan pengguna memahami dokumen panjang dengan menghasilkan ringkasan pintar.

Melengkapkan pengalaman ini, AI Suggestions mencadangkan aplikasi atau tetapan berdasarkan corak penggunaan harian. Contohnya, apabila peranti sedang dicas pada waktu malam, sistem akan secara automatik mengaktifkan mod tidur dan malapkan skrin tanpa perlu pelarasan manual. Terdapat juga AI Notes dan AI Minutes yang boleh meringkaskan serta menyusun isi kandungan penting secara automatik. Ciri AI Document pula memudahkan pengguna membandingkan dokumen, membina peta minda, serta menjawab soalan berkaitan kandungan dengan cepat dan efisien.


Untuk suntingan imej, AI Magic Photo Editor membolehkan pengguna memadam objek tidak diingini, memulihkan foto lama, serta menambah penuras dengan mudah. AI Image to Video menukarkan gambar kepada video pendek yang kreatif, manakala AI Eraser dan AI Cutout memberikan kawalan yang tepat dalam mengasingkan subjek daripada latar belakang.



Di samping itu, AI Translator menyokong terjemahan masa nyata sama ada sehala atau dua hala. Ciri keselamatan turut dipertingkatkan menerusi AI Deepfake Detection, yang mampu mengesan manipulasi video semasa panggilan sedang berlangsung bagi menambah lapisan perlindungan dalam komunikasi digital.
Bagaimanapun, peranti ini turut hadir dengan beberapa aplikasi gendut yang mungkin tidak relevan kepada semua pengguna. Namun begitu, kebanyakannya boleh dinyahpasang atau disembunyikan dengan mudah melalui tetapan sistem.
Sistem Kamera Peranti – 200MP Super Sensing
Honor 400 Pro hadir dengan sistem kamera berteknologi tinggi yang terdiri daripada tiga lensa belakang iaitu sensor utama 200MP Super Sensing bersudut lebar dengan penstabil imej optikal (OIS), lensa ultra lebar 12MP serta lensa telefoto 50MP yang turut dilengkapi OIS. Kamera hadapan pula dilengkapi sensor 50MP dengan pemprosesan pintar untuk menghasilkan potret swafoto yang jelas dan seimbang.

Dari segi perisian, Honor 400 Pro dilengkapi dengan pelbagai ciri fotografi moden. Antaranya ialah Harcourt Portrait 2.0, iaitu mod potret khas yang diinspirasi oleh pencahayaan studio profesional. Versi ini menggunakan teknologi pintar untuk mengenal pasti wajah dan pencahayaan dengan lebih tepat.
Hasilnya, gambar potret kelihatan seolah-olah diambil di studio profesional dengan tona kulit yang seimbang serta bayang-bayang yang mendalam dan memukau. Telefon ini turut menyokong kesan visual gaya filem retro, ideal untuk peminat gaya klasik. Selain itu, ciri AI Portrait Snap mampu mengenal pasti wajah dan ekspresi secara automatik bagi merakam potret yang tampak semula jadi dan penuh spontan.

Untuk rakaman video, Honor 400 Pro menyokong resolusi setinggi 4K 30FPS lengkap dengan sistem penstabilan terbina bagi memastikan rakaman yang stabil. Format rakaman dalam nisbah sehingga 16:9 turut disediakan sesuai untuk pelbagai keperluan kandungan visual daripada vlog santai hingga ke penggambaran profesional.
Kualiti Gambar Peranti
Kualiti gambar pada Honor 400 Pro bergantung kepada tiga mod warna utama yang ditawarkan. Mod Original memberikan warna yang neutral dan semula jadi, sesuai untuk pengguna yang mementingkan ketepatan warna sebenar. Walaupun warna mungkin kelihatan sedikit pudar, mod ini memberi kebebasan kepada pengguna untuk menyunting gambar mengikut cita rasa dan mood yang diinginkan.


Mod Vibrance pula meningkatkan ketepuan dan kontras warna lalu menghasilkan gambar yang lebih terang, tajam dan menonjol. Warna yang lebih hidup menjadikan foto kelihatan lebih menarik dan sesuai untuk dikongsi terus ke media sosial tanpa perlu disunting. Mod ini pasti digemari oleh pengguna yang sukakan hasil gambar yang ceria dan menyerlah.

Sementara itu, Mod Authentic menampilkan palet warna yang lebih gelap dan mendalam berbanding Mod Vibrance untuk kesan visual yang lebih dramatik dan sinematik. Ia sangat sesuai untuk pengguna yang mengutamakan unsur artistik dan ingin gambar yang tampil berbeza dan unik. Walaupun tona warnanya lebih gelap dan pekat, gambar yang dihasilkan tetap sesuai untuk dimuat naik tanpa perlu suntingan yang rumit.






Untuk rakaman jarak jauh, Honor 400 Pro dilengkapi dengan sistem zum yang berkesan. Namun begitu, tanpa bantuan penuras atau ciri tambahan, gambar yang dibesarkan cenderung kehilangan ketajaman terutamanya di bahagian tepi. Ini berlaku kerana apabila imej dizum menjadikan perincian halus mula kabur akibat kehilangan kejelasan piksel.
Bagi memastikan hasil lebih jelas dan tajam, pengguna disarankan untuk mengaktifkan fungsi AI Zoom yang boleh bantu mengekalkan ketajaman imej secara menyeluruh. Ciri ini amat berguna khususnya bagi pengguna yang sering merakam subjek dari jarak jauh kerana ia mampu mengekalkan butiran halus dengan lebih baik berbanding sistem zum konvensional.




Mod Potret pada Honor 400 menawarkan hasil gambar yang berkualiti tinggi, namun terdapat beberapa aspek teknikal yang wajar diberi perhatian. Sekiranya pencahayaan latar belakang terlalu terang, ia boleh menjejaskan kualiti gambar kerana cahaya berlebihan mungkin menyebabkan perincian pada wajah subjek hilang.
Bagaimanapun, tona kulit yang dihasilkan tetap kelihatan semula jadi, meskipun tanpa penggunaan fungsi AI Portrait Enhance dalam Harcourt 2.0. Ini membolehkan pengguna mendapatkan gambar potret yang berkualiti tanpa perlu terlalu bergantung kepada teknologi kecerdasan buatan.



Apabila AI Portrait Enhance diaktifkan, warna kulit dapat dikekalkan dengan lebih konsisten, sambil menambah sedikit sentuhan kecantikan tanpa mengorbankan keaslian imej. Hasil akhir pula kelihatan seperti diambil dalam suasana studio profesional, terutamanya apabila digabungkan dengan penapis Harcourt yang memudahkan pengguna berkongsi gambar tanpa perlu suntingan tambahan.



Proses pasca tangkapan pada Honor 400 Pro mengambil sedikit masa untuk menghasilkan gambar akhir namun prestasi tetap mengatasi versi Lite. Walaupun masa pemprosesan dalam mod potret sedikit lebih lama berbanding mod foto biasa, ia tidak memberikan kesan negatif kepada pengalaman keseluruhan pengguna.
Bagi pengguna yang lebih mementingkan kelajuan, mungkin perlu menunggu beberapa saat untuk membolehkan gambar diproses sepenuhnya. Namun begitu, hasil akhir yang diperoleh memuaskan kerana setiap perincian dalam imej diproses dengan teliti bagi memastikan kualiti tertinggi dari segi ketajaman, warna dan kontras.


Bateri Dan Pengecasan Peranti
Honor 400 Pro hadir dengan bateri jenis Si/C berkapasiti 6,000mAh yang menjadi satu peningkatan ketara daripada 5,200mAh pada Honor 200 Pro. Peranti ini mampu mencatatkan Screen-On Time (SOT) sehingga hampir 14 jam bagi memastikan penggunaan sepanjang hari tanpa gangguan.

Ia juga menyokong pengecasan pantas berwayar sehingga 100W dan pengecasan nirwayar 50W, serta dilengkapi fungsi pengecasan berbalik yang membolehkan peranti lain dicas dengan mudah. Dengan pengecas ini, peranti mampu mencapai sekitar 50% caj dalam hanya 15 minit, 90% dalam 30 minit dan penuh 100% dalam masa kurang daripada 40 minit.
Pesaing Peranti
Honor 400 Pro Poco F7 Pro Google Pixel 9a 6.7″ AMOLED FHD+ 120Hz,
HDR Vivid, 5000 nits
(~460 ppi)6.67″ AMOLED FHD+ 120Hz,
Corning Gorilla Glass 7i
(~526 ppi) 6.3″ P-OLED FHD+
Corning Gorilla Glass 3
(~422 ppi) Snapdragon 8 Gen 3 (4 nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-X4
5 x 2.95 GHz Cortex-A720
2 x 2.0 GHz Cortex-A520Snapdragon 8 Gen 3 (4 nm)
1 x 3.3 GHz Cortex-X4
3 x 3.2 GHz Cortex-A720
2 x 3.0 GHz Cortex-A720
2 x 2.3 GHz Cortex-A520Google Tensor G4 (4 nm)
1 x 3.1 GHz Cortex-X4
3 x 2.6 GHz Cortex-A720
4 x 1.9 GHz Cortex-A520Adreno 750 Adreno 750 Mali-G715 MP7 12GB RAM 12GB RAM 16GB RAM 512GB ROM 256GB ROM 512GB ROM Kamera Utama
200 MP (lebar), OIS
50 MP (telephoto) OIS
12 MP (ultralebar)Kamera Utama
50 MP (lebar) OIS
8 MP (ultralebar) Kamera Utama
48 MP (lebar) OIS
13 MP (ultrawide)Kamera Hadapan
50MP (lebar)
2MP (kedalaman)Kamera Hadapan
20 MP (lebar)Kamera Hadapan
13 MP (lebar) IP68/69 IP68 IP69 Tiada bicu audio Tiada bicu audio Tiada bicu audio Audio Stereo Audio Stereo Audio Stereo Si/C Li-Ion 6000 mAh
Berwayar 100W
Nirwayar 50W
Berbalik 5W 6000 mAh
Berwayar 90W5100 mAh
Berwayar 23W (PD3.0)
Nirwayat 7.5WRM2699 (12/512GB)
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:
- 1 x Honor 400 Pro.
- 1 x Kepala Pengecas 100W.
- 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
- 1 x Kerangka Silikon Jernih.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.
Kesimpulan
Honor 400 Pro merupakan pilihan yang seimbang bagi pengguna yang mengutamakan gabungan antara produktiviti, prestasi dan reka bentuk moden, lengkap dengan sentuhan teknologi AI. Ia amat sesuai untuk individu yang mencari telefon pintar versatil bagi menyokong gaya hidup harian yang efisien.
Namun begitu, peranti ini masih mempunyai beberapa kekurangan yang perlu dipertimbangkan. Antaranya termasuk kehadiran aplikasi gendut yang mungkin tidak relevan untuk semua pengguna, serta prestasi pengecasan 100W yang tidak kekal sepenuhnya pada tahap maksimum kerana sumber kuasa akan dikurangkan secara automatik selepas tempoh tertentu.

Keseluruhannya, Honor 400 Pro adalah pilihan yang baik untuk pengguna yang mementingkan ciri pintar, penggunaan yang selesa, dan reka bentuk menarik. Telefon ini menawarkan nilai yang kukuh secara menyeluruh namun masih terdapat beberapa kompromi kecil yang mungkin memberi kesan kepada sesetengah pengguna bergantung pada apa yang mereka mahukan.
Kelebihan
- Reka bentuk premium dengan binaan seimbang.
- Paparan besar untuk pengalaman tontonan imersif.
- Kamera utama 200MP dengan OIS berkualiti tinggi.
- Sistem operasi MagicOS 9.0 dengan pelbagai fungsi pintar.
- Bateri besar 6000mAh dengan pengecasan pantas 100W.
Kekurangan
- Berat agak terasa mungkin kurang selesa untuk sesetengah pengguna.
- Skrin besar kurang sesuai untuk pengguna yang lebih gemar peranti kompak.
- Tiada bicu audio.
- Masalah bloatware.


