Ulasan HP Omnibook X Flip 14 – Fleksibel Tapi Bukan Untuk Semua

TechnologyDigital
26 Sep 2025 • 6:11 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Komputer riba pada waktu sekarang merupakan sesuatu alat yang agak penting untuk sesetengah pihak untuk urusan seharian lebih lagi untuk golongan kreatif dan sebagainya. Jika anda mempunyai satu mesin yang cukup kuasa ia amat memudahkan lagi urusan seharian. HP Omnibook X Flip 14 iaitu sebuah komputer Copilot+ PC telah tiba di makmal Amanz untuk diuji dan akan diulas lebih lanjut dalam artikel ulasan ini. 

image is not available

HP Omnibook X Flip 14
Skrin14″ (1920 x 1200 pixel)
IPS Touch, 62.5% sRGB, 400 nit, 360 Darjah
CPUIntel Core Ultra 7 265V
GPUIntel Arc 140V
RAM16 GB LPDDR5x
Storan Dalaman512GB SSD
Kamera Utama1080P
I/O1 x USB-C1: USB3.2 Gen2
1 x USB-C2: Thunderbolt 4
2 x USB-A (10GBps)
1 x HDMI: HDMI 2.1-TMDS
1 x 3.5mm Bicu audio
Bateri59Wh
Pengecasan 65W USB-C
SIM/TelefoniTiada
WiFiWiFi 6E
802.11a/b/g/n/ac/ax
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanTiada
Harga JualanRM5599

Rekaan

Sekali pandang saya agak tertarik dengan rekaan pada HP Omnibook X Flip 14 ini. Ia menggunakan rekaan serba minimalis yang nampak elegan dan premium walaupun ia bukanlah komputer riba yang ternipis di dalam kelasnya. Warna Atmospheric Blue yang digunakan ini juga kelihatan sangat kemas dan cantik. Dari segi bahan binaan ia menggunakan bahan jenis besi namun tidak dinyatkan sama ada ia adalah aluminium atau keluli tahan karat. Beratnya hanya 1.38kg yang agak ringan untuk saya sendiri memandangkan saya sudah terbiasa dengan berat pada komputer riba gaming.

image is not available

image is not available

Komputer ini menggunakan dua engsel yang agak berkualiti malang sekali ia gagal ujian satu jari. Engsel ini juga membolehkan komputer riba ini menjadi sebuah tablet dengan kebolehan berpusing 360 darjah. Ciri ini membuatkan komputer riba ini lebih fleksibel dan versatil.

Port sambungan juga boleh dikatakan lengkap untuk komputer riba professional. Pada sisi kanan terdapat USB-A dan bicu audio 3.5mm. Bahagian sisi kiri pula mempunyai 2X port USB-C yang salah satu daripadanya mempunyai sokongan Thunderbolts 4, HDMI dan juga USB-A. 

image is not available

image is not available

Secara keseluruhannya, rekaan pada HP Omnibook X Flip 14 ini kelihatan sangat baik tanpa sebarang masalah. Saiznya yang kompak juga memudahkan untuk bawa komputer riba ini kemana-mana sahaja. Cuma mungkin dalam jangka masa panjang akan terdapat beberapa masalah kosmetik kerana ia menggunakan bahan binaan jenis besi. 

image is not available

Skrin

HP Omnibook X Flip 14 ini seperti nombor yang terdapat dalam namanya menggunakan skrin bersaiz 14” panel IPS dengan resolusi 2K. Untuk perlindungan ia menggunakan kaca Corning Gorilla Glass 3 yang agak rendah namun kebarangkalian untuk anda terjatuhkan komputer riba ini mungkin agak rendah. Tahap kecerahan skrin ini boleh mencapai sehingga 300 nits yang boleh diterima. Skrin ini juga boleh disentuh untuk navigasi tanpa pad sesentuh namun ia menggunakan panel berkilat yang mudah memerangkap cap jari. 

image is not available

Secara keseluruhan komputer riba ini mempunyai spesifikasi skrin yang agak baik namun nilai sRGB agak rendah iaitu 62.5% yang agak mengejutkan untuk komputer riba dalam kelas ini. Walaupun begitu ia masih lagi dapat memberikan pengalaman yang baik kerana warna yang dihasilkan ternampak cerah sahaja untuk mata kasar mungkin pengguna kreatif akan lebih terasa nilai sRGB yang rendah ini. Bezel skrin ini agak tebal pada bahagian atas dan bawah, hanya bahagian sisi sahaja yang mempunyai bezel yang nipis. 

image is not available

Selain mempunyai sokongan sesentuh, skrin ini juga menyokong stylus. Kebolehan untuk menggunakan stylus ini agak jarang untuk sesebuah komputer riba tapi ia masih lagi mempunyai kekurangan dimana tidak dapat menolak sentuhan tapak tangan yang agak mengganggu ketika melukis. Saya lebih sarankan untuk guna pad melukis asing untuk pengalaman lebih baik. 

image is not available

Papan Kekunci

Papan kekunci yang ada pada HP Omnibook X Flip 14 ini merupakan papan kekunci yang sangat baik pernah saya gunakan pada komputer riba. Ia menggunakan bahan jenis chicklet yang kelihatan sangat minimal dan saya suka jenis font yang digunakan oleh HP yang kelihatan sangat kemas. Pengalaman menaip juga sangat baik dan tidak mengeluarkan bunyi bising yang mungkin akan mengganggu orang sekitar. Terdapat sistem yang lampu yang boleh diubah tahap keterangannya, sesuai jika anda seorang yang suka buat kerja dalam gelap.

image is not available

Perkara yang saya kurang suka adalah terdapat ruang di antara kekunci yang senang untuk memerangkap habuk. Setiap kekunci juga menggunakan kemasan yang tidak berkilat selari dengan kemasan pada tubuh komputer riba ini. Kalau anda seseorang yang mempunyai masalah hyperhidrosis, kesan cap jari agak mudah terlihat pada kekunci yang sering ditekan. 

Pad Sesentuh

Pad sesentuh yang terdapat pada HP Omnibook X Flip 14 bukan yang terbesar dari segi saiznya namun saya faham mengapa saiznya sebegini kerana komputer riba ini menyokong stylus serta mempunyai skrin yang boleh disentuh. Walaupun begitu, pad sesentuh ini dapat mengesan pelbagai gestur dan gerakan yang dibuat dengan baik. 

image is not available

Prestasi Dan Penggunaan

HP Omnibook X Flip 14 ini hadir dengan beberapa pilihan spesifikasi di pasaran Malaysia. Unit yang sedang diuji ini menggunakan pemproses Intel Core Ultra 7 256V digabungkan dengan 16GB RAM LPDDR5X dengan kelajuan 8533 MT/s. Storan dalaman pula adalah sebesar 512GB M.2 PCIE 4.0. Gabungan spesifikasi memberikan prestasi yang agak baik namun agak sedikit kecewa kerana ia menggunakan 16GB RAM sahaja dan tidak dinyata sama ada ia boleh dinaiktaraf atau tidak. 

image is not available

image is not available

Kelajuan storan yang digunakan tidak mengejutkan kerana mampu mencapai 6.856 GB/s untuk kelajuan membaca dan 5.728 GB/s untuk kelajuan menulis. Kelajuan storan ini memberikan pengalaman membuka aplikasi menjadi pantas dan sangat lancar tanpa sebarang masalah. Dalam ujian PCMark 10 pula, ia mampu mencapai skor yang menakjubkan menunjukkan kebolehan cip Intel ini dalam membuat tugasan yang berat. 

image is not available

Dalam penggunaan seharian, komputer ini terasa pantas dan stabil untuk tugasan seperti menulis, melayari laman web, menyunting gambar dan video. Namun ketika menyunting video menggunakan CapCut, tubuh akan menjadi suam sedikit dan kipas akan mula berpusing dengan agak kuat. 

image is not available

Walaupun komputer riba ini tidak dikategorikan sebagai komputer riba gaming ia masih lagi mampu untuk bermain beberapa permainan cumanya bukanlah dalam tetapan yang terbaik dan tertinggi. Saya hanya cuba bermain Sifu pada komputer ini dan mendapati ia akan menjadi agak panas ditambah dengan kipas yang agak kuat walaupun dalam tetapan sederhana. Saya yakin untuk permainan yang berusia komputer riba ini boleh menjalankannya tanpa sebarang masalah. 

Bateri

Bateri sebesar 59Wh dimuatkan di dalam komputer riba ini. Ini merupakan komputer Windows pertama saya guna yang boleh mencapai prestasi bateri lebih dari 2 jam malah sehingga 10 jam penggunaan biasa. Saya pernah tertinggal pengecas di pejabat dengan baki sekitar 65% dan ia masih boleh digunakan sehingga keesokan paginya. Dari pengecasan pula ia menggunakan pengecas 65W USB-C yang mengambil masa sekitar 1 jam 20 untuk pengecasan penuh. 

Kesimpulan

Sebagai seorang kali pertama menggunakan komputer riba Copilot+ PC, HP Omnibook X Flip 14 ini memberikan pengalaman yang agak baik. Ia mempunyai rekaan yang baik serta ringan, ketahanan bateri yang menakjubkan dan hadir dengan sokongan stylus. 

image is not available

Persoalannya untuk siapakah komputer riba ini ? Saya tidak sarankan komputer ini kepada seseorang yang mementingkan penghasilan warna pada skrin seperti pelukis dan sebagainya namun untuk seseorang yang sering bergerak sana-sini dan mahukan satu komputer riba yang cukup kuasa untuk lakukan tugasan ringan.

image is not available

Jika anda berminat HP Omnibook X Flip ini dijual pada tanda harga RM5599 untuk model yang menggunakan cip Intel Ultra 7 ini. Saya juga turut menggunakan HyperX Cloud III S Wireless ini bersama komputer riba ini. Ini merupakan fon kepala gaming dengan pemandu bersaiz 53mm yang dapat menghasilkan kualiti audio yang baik semasa gaming ataupun penggunaan secara kasual. Saya boleh menggunakan fon kepala ini tanpa risau tentang bateri kerana ia mampu bertahan sehingga 120 jam. Ia juga sangat selesa di kepala kerana menggunakan busa memori yang dibalut dengan kulit jadi tiada masalah untuk menggunakannya dalam tempoh yang panjang.

PRO dan Kelebihan

  • Kualiti binaan yang baik.
  • Skrin boleh dilipat 360 Darjah.
  • Mempunyai sokongan stylus.
  • Papan kekunci sedap digunakan.
  • Ketahanan bateri yang menakjubkan.
  • Prestasi yang cukup untuk kerja dan gaming ringan.

KONTRA dan Kekurangan

  • Nilai sRGB agak rendah untuk ketepatan warna.
  • Cepat memanas melalukan tugas yang berat sedikit.

image is not available