Telefon pintar? Mini tablet? Tablet besar? Semuanya dalam satu. Saya telah menguji Huawei Mate XT Ultimate Design dan ia benar-benar mengagumkan. Saya teruja apabila diberi peluang untuk mencuba telefon lipat tiga pertama di dunia. Pada mulanya, perasaan saya bercampur antara teruja, gemuruh dan risau, terutamanya apabila diminta untuk membuat ulasan.
Masakan tidak, harga telefon ini juga lebih tinggi daripada bayaran pendahuluan kereta Myvi saya. Kejadian melucukan juga berlaku ketika saya meminta bantuan rakan sekerja untuk membuka telefon sewaktu awal tiba di pejabat turut menambah pengalaman. Bagaimanapun, saya tetap memanfaatkan kesempatan yang ada meskipun dalam tempoh yang singkat. Ini adalah ulasan untuk Mate XT Ultimate Design.
Huawei Mate XT Ultimate Design Skrin Satu Lipatan – 6.4″ OLED 60Hz
Dua Lipatan – 7.9″ OLED 90Hz
Tiga Lipatan – 10.2″ OLED 90Hz
Sokong stylusPemproses Kirin 9010 (7nm) Cip 1x 2.3 GHz Taishan Big
3 x 2.18 GHz Taishan Mid
4 x 1.55 GHz Cortex-A510Cip Grafik Maleoon 910 RAM 16GB RAM Muatan Dalaman 1TB
(tiada kad mikroSD)Kamera Utama 50 MP, f/1.4-f/4.0 (lebar) OIS
12 MP, f/3.4, (periskop telefoto)
12 MP, f/2.2 (ultra-lebar)
5.5X optical zoom
4K, 1080P, HDRKamera Depan 8 MP, f/2.2, (lebar)
HDR, 4K/1080PBateri Si/C Li-Ion 5600 mAh
66W berwayar
50W nirwayar
7.5W pengecasan berbalikSIM/Telefoni Dwi SIM Nano NFC Ya Infra Merah Ya Kalis Air Tiada Sistem Imbasan Imbasan cap jari sisi
Imbasan Wajah Harga Jualan RM14,999 (16GB/1TB)
Rekaan Dan Skrin
Banyak yang boleh saya katakan tentang telefon lipat tiga ini. Ia bukan sekadar telefon boleh lipat, tetapi juga produk premium. Rekaan luarannya cukup kemas dan cantik, dilihat menerusi rekaan belakang yang dibaluti bahan kulit tiruan dengan tekstur yang memberi nilai eksklusif. Pilihan warna dan perincian digunakan menjadikan telefon ini istimewa, terutama warna merah yang sering dikaitkan dengan identiti menonjol dan membawa aura tersendiri. Sekilas pandang, ia kelihatan seperti Huawei Mate X6 yang pernah saya uji sebelum ini.


Bingkai logam berwarna emas menambah elemen premium. Reka bentuk lipat tiga merupakan kelebihan utama Mate XT, sesuai bagi mereka yang mahukan telefon serba guna. Ukurannya 6.4 inci ketika dilipat penuh seperti telefon pintar biasa, boleh menjadi 7.9 inci apabila dibuka separuh, dan 10.2-inci apabila dibuka sepenuhnya dengan nisbah aspek 16:9 seperti tablet yang luas. Sebagai perbandingan ukurannya lebih besar 2.6 inci daripada Samsung Galaxy Fold 6 dengan dwi-lipatan.

Ia benar-benar telefon semua dalam satu yang bermakna anda tidak memerlukan tablet lagi. Banyak ruang paparan telah membawa kepada rekaan yang lebih nipis, dan membolehkan Mate XT mempunyai ketebalan hanya 3.6mm apabila dibuka sepenuhnya. Namun apabila dilipat sepenuhnya pula ia didapati jauh lebih tebal (12.8mm) dan berat (298 gram) berbanding telefon pintar biasa, serta telefon dwi-lipatan yang lain. Walaupun demikian ia masih selesa digunakan tanpa menimbulkan sebarang isu yang besar.


Sewaktu dilipat telefon ini tidak mempunyai resolusi, kadar segar semula dan kecerahan puncak yang tinggi. Ia menyokong panel OLED tetapi hanya pada kadar segar semula 60Hz. Sebaik sahaja dibuka, ia boleh menyerupai sebuah tablet dengan resolusi 3K, kadar segar semula 90Hz dan kecerahan puncak lebih tinggi.
Skrin menawarkan kejelasan yang baik dengan resolusi 3K memberikan warna hitam pekat bersama penghasilan tona warna yang terang menjadikan pengalaman tontonan terasa menyeronokkan. Betul-betul setanding panel OLED pada beberapa telefon Huawei sedia ada. Bagaimanapun skrin didapati mengalami kesukaran untuk dibaca sewaktu dalam keadaan terbuka kerana kandungan menjadi malap yang ketara berbanding penggunaan dalam kawasan tertutup.


Paparan 10.2-inci yang besar juga sememangnya menyediakan ruang yang mencukupi untuk pelbagai kerja produktiviti dan hiburan, sama ada digunakan dalam keadaan menegak atau mendatar. Bezel pada keempat-empat sisi telefon adalah sama nipis yang membuatkan skrin kelihatan lebih seimbang dan sedap dipandang mata.


Secara lalai hampir kesemua aplikasi akan menggunakan kesemua permukaan skrin kecuali Facebook, TikTok dan Spotify. Kadar segar semula 90Hz digunakan juga berfungsi sebaiknya dengan kebolehan tatalan dan peralihan animasi yang lancar tanpa lengah masa yang ketara.
Kadar segar 90Hz sebenarnya sudah memadai dalam penggunaan harian biasa malahan mungkin tidak kelihatan terlalu berbeza kepada kebanyakan orang terutama mereka yang hanya merenung tanpa banyak pergerakan pada skrin melainkan digunakan untuk bermain permua ekstrem.


Tubuh Mate XT diperbuat daripada tiga bahagian berbeza dengan dua mekanisme engsel yang boleh dilipat ke luar dan ke dalam pada masa yang sama. Telefon boleh dibuka dengan sebaiknya, dan engsel terasa agak kukuh sepanjang penggunaan ulasan, sama ada boleh bertahan lama atau sebaliknya dirasakan hanya masa yang dapat tentukan.
Pada masa yang sama magnet yang digunakan juga menarik setiap bahagian logam dengan kuat sehingga memerlukan sedikit tenaga untuk membuka bahagian skrin. Tarikan itu didapati lebih kuat berbanding pengalaman saya membuka telefon lipat lain seperti Honor Magic V3, Oppo Find N5 atau Samsung Galaxy Z Fold 6.


Dari segi keselesaan, bahagian belakang yang mempunyai bonggol kamera terasa lebih berat berbanding dua bahagian skrin lain. Berat juga tidak seimbang disebabkan bonggol kamera yang besar dan timbul. Malahan telefon didapati tidak boleh dibuka sepenuhnya dalam keadaan lurus. Persoalan juga timbul berkaitan ketahanan telefon memandangkan skrin hadapan didapati sentiasa terdedah walaupun dalam keadaan berlipat.


Sebahagian bingkai turut terdedah meskipun digunakan bersama kerangka pelindung. Sekali lagi saya katakan hanya masa yang dapat tentukan. Sekarang ini apa yang penting jangan sesekali melipatnya dengan cara yang salah, atau telefon tiga lipatan ini bertukar menjadi tiga keping telefon biasa. Perlu diingatkan juga bahawa Mate XT Ultimate Design tidak melepasi sebarang penarafan kalis air bermakna penjagaan yang rapi amat diperlukan.

Pengimbas cap jari sisi digunakan pada telefon ini. Ia berfungsi dengan baik cuma kurang ergonomik yang menjadikan penggunaannya agak sukar semasa telefon ditutup. Sebagai alternatif sistem imbasan wajah turut disediakan menerusi ruang tetapan. Terdapat juga sokongan stylus yang menjadikan telefon ini bukan sahaja sesuai untuk menonton media tetapi juga mesin menghasilkan kandungan kreatif digital. Ia boleh diaktifkan melalui ruangan tetapan namun tidak didatangkan sekali dalam kotak pembungkusan. Ini bermakna ia perlu dibeli secara berasingan.

Kesemua bahagian sisi telefon adalah melengkung seumpama sebuah Mate X6. Butang kuasa yang juga merangkap pengimbas cap jari diletakkan pada bahagian kanan peranti. Selain itu butang laras audio juga ditempatkan pada sisi yang sama. Manakala sisi bawah terdapatnya ruang slot SIM tanpa kebolehan kad microSD, port USB-C dan satu kekisi audio. Pembesar suara adalah sejenis stereo dengan satu lagi kekisi audio di bahagian atas bersama pemancar infra merah. Ia juga mengakibatkan audio stereo yang seimbang tidak dapat dikecapi.

Sistem stereo yang digunakan lebih cenderung menghasilkan audio yang lebih lantang pada pembesar suara bahagian bawah berbanding bahagian atas. Kualiti audio Bluetooth juga amat baik dan sebenarnya lebih memuaskan berbanding pembesar suara. Mate XT Ultimate Design juga tidak mempunyai bicu audio 3.5mm tetapi bagi menghasilkan sebuah telefon yang nipis sebegini tentulah terdapat perkara yang perlu dikorbankan.
Perisian Dan Prestasi

Mate XT Ultimate Design menjalankan perisian EMUI 14.2 terkini, sama seperti telefon Huawei yang lain, ia tidak mempunyai perkhidmatan Google Mobile Services (GMS). Antara mukanya minimalis dan kemas, dengan ikonografi yang mudah difahami. Pengalaman pengguna tidak jauh berbeza tetapi manfaatnya dapat dirasai pada skrin yang lebih besar, menyerupai tablet.


Sebagai contoh, panel pemberitahuan dan kawalan dibahagikan kepada dua bahagian. Terdapat pintasan aplikasi yang berfungsi dengan baik, folder pintar yang boleh diubah saiznya, dan privasi dipertingkatkan. Di bahagian bawah terdapat dua taskbar yang memaparkan pintasan aplikasi yang boleh ditetapkan oleh pengguna serta aplikasi yang sering digunakan.




Sistem taskbar pada Mate XT Ultimate Design sama seperti yang digunakan pada telefon Huawei lain. Telefon ini juga boleh menjalankan dua aplikasi serentak bersama satu tetingkap terapung dengan nisbah tontonan yang lebih besar. Ini sangat sesuai bagi mereka yang suka paparan yang lebih besar pada elemen skrin.

Huawei tidak berkongsi maklumat terperinci mengenai cip yang digunakan, termasuk konfigurasi CPU, GPU, NPU, dan teknologi pengeluaran. Namun, wakil Huawei mengesahkan bahawa telefon ini dikuasai oleh cip HiSilicon Kirin 9010 yang sama digunakan pada siri Pura70 sebelum ini. Telefon ini dilengkapi dengan 16GB RAM dan storan dalaman 1TB tanpa sokongan kad microSD.
Untuk melihat perbezaan prestasi, saya membandingkan telefon ini dengan Oppo Find N5 (Snapdragon 8 Elite 7 teras), Samsung Galaxy S25 Ultra (Snapdragon 8 Elite for Galaxy), Oppo Find X8 Pro (Dimensity 9400), Apple iPhone 16 Pro Max (A18 Pro), Apple iPhone 16 Pro Max (A17 Pro) Samsung Galaxy Z Fold6 (Snapdragon 8 Gen 3), dan Pixel 9 Pro XL (Tensor G4).
AnTuTu 3D
Cip Skor Kirin 9010 737,053 Snapdragon 8 Elite 7 Teras 2,157,718 Snapdragon 8 Elite for Galaxy 1,946,864 Dimensity 9400 2,629,017 Apple A18 Pro 1,720,751 Apple A17 Pro 1,542,050 Snapdragon 8 Gen 3 1,610,669 Tensor G4 1,016,712

Geekbench 6
Cip Satu Teras Multi Teras Kirin 9010 1273 3196 Snapdragon 8 Elite 7 Teras 2866 7987 Snapdragon 8 Elite for Galaxy 2957 9435 Dimensity 9400 2663 8959 Apple A18 Pro 3359 8129 Apple A17 pro 2793 6925 Sanpdragon 8 Gen 3 1902 6943 Tensor G4 1916 4644

3DMark Wildlife Extreme
Cip Skor Kirin 9010 3921 Snapdragon 8 Elite 7 Teras 5507 Snapdragon 8 Elite for Galaxy 6135 Dimensity 9400 6251 Apple A18 Pro 4560 Apple A17 Pro 3746 Snapdragon 8 Gen 3 4752 Tensor G4 2567

Secara keseluruhan, telefon ini dapat memenuhi keperluan pengguna dengan baik. Sama ada digunakan untuk bermain permainan, menggunakan aplikasi harian atau melakukan kerja, prestasinya tetap lancar tanpa sebarang lengah masa. Aplikasi berat juga boleh dijalankan dengan lancar, terima kasih kepada perisian terkini yang membolehkan telefon ini berfungsi dengan baik pada skrin yang lebih besar.
Telefon tidak mengalami sebarang isu pemanasan melampau walaupun semasa menjalankan ujian penanda aras. Pengalaman bermain permua terutama Honor of King pada skrin yang besar amat memuaskan, namun, terdapat sedikit kesukaran dalam menekan butang dengan sebaiknya. Justeru langkah terbaik tentulah bermain permainan berkenaan dalam skrin yang dilipat separuh. Namun penjagaan yang teliti diperlukan bagi mengelakkan skrin yang dilipat tercalar atau rosak kerana kos membaiki bukanlah murah.

Namun, masih ada beberapa kekurangan. Telefon ini tidak menawarkan kebolehan multi-tugas baharu yang membenarkan tiga aplikasi berjalan serentak seperti yang terdapat pada Mate X6. Ketiadaan GMS juga boleh menjadi isu bagi sesetengah pengguna, terutamanya mereka yang sangat bergantung pada perkhidmatan Google sepenuhnya. Walaupun Huawei AppGallery semakin berkembang, ia masih belum setanding dengan Google PlayStore.



Kamera Dan Kualiti Gambar
Mate XT Ultimate Design hadir dengan kamera utama 50MP yang menawarkan aperture berubah-ubah diantara f/1.4 hingga f/4.0. Kamera utama ini dipadankan dengan ultra-lebar 12MP membolehkan tangkapan sudut luas, dan telefoto periskop 12MP dengan zum optikal 5.5x untuk jarak lebih jauh. Selain itu, telefon ini juga dilengkapi dengan kamera hadapan 8MP dengan auto fokus terbina untuk swafoto yang tajam dan jelas. Mate XT Ultimate Design juga membolehkan saya mengambil gambar dengan nisbah 1:1, 3:4, dan penuh, tetapi masih tidak menyokong nisbah 16:9 seperti kebanyakan telefon Huawei.

Gambar yang diambil dengan kamera utama Mate XT Ultimate Design memang jelas dan terperinci. Warna-warnanya hidup dan terang menjadikannya sedap dipandang. Dengan bantuan ciri AI dan HDR terbina, kontras dalam gambar kelihatan lebih baik dan warna menjadi lebih tepu. Namun hasil akhirnya masih bergantung pada jenis profil warna yang anda pilih. Ada gambar yang mungkin terlalu tepu tetapi secara keseluruhan dirasakan tiada masalah ketara berkaitan dedahan dan penghasilan semula warna.









Cumanya kamera menghadapi kesukaran ketika mengambil gambar pada cahaya yang malap kerana gagal mengekalkan perincian butiran dan menghasilkan hingar atau grain yang ketara. Begitu juga dengan hasil gambar ultra-lebar yang tidak begitu menonjol tetapi tidak juga mengecewakan. Ia memberikan prestasi yang boleh diterima tanpa sebarang isu besar. Hasil gambar zum kelihatan memadai dengan butiran yang jelas dan terperinci. Walaupun bukanlah terbaik tetapi prestasi masih ditahap memadai dalam pelbagai keadaan.





Portrait Mode pada Mate XT Ultimate Design juga memberikan hasil memuaskan dengan butiran yang jelas, terutama dalam situasi yang tidak terlalu kompleks. Kamera cukup bijak untuk membezakan antara latar belakang dan subjek, lalu menambah kesan kabur untuk mencantikkan gambar. Kesan bokeh juga boleh diubah mengikut kesesuaian tetapi tidaklah begitu sempurna.


Dalam sesetengah situasi, pengesanan objek boleh menjadi tidak tepat menyebabkan latar belakang yang salah menjadi kabur. Malahan fungsi Virtual Aperture hanya boleh digunakan pada gambar yang diambil menggunakan penuras bokeh disediakan – misalnya seperti Cicle. Pada masa sama penghasilan semula imej akan melalui pasca-proses yang agak keterlaluan.
Namun, secara keseluruhan, Portrait Mode telefon ini masih memberikan prestasi yang baik untuk kebanyakan penggunaan. Terdapat juga sejumlah alatan suntingan berasaskan AI untuk penghasilan semula gambar lebih baik tetapi memerlukan sambungan internet untuk diakses.




Bateri
Mate XT Ultimate Design mempunyai bateri 5,600mAh yang besar dan boleh dirasakan cukup untuk digunakan sepanjang hari asalkan tidak terlalu banyak menggunakan skrin paling besar. Berdasarkan penggunaan saya, di mana telefon ini disambungkan ke Wi-Fi dalam kebanyakan masa berserta digunakan untuk bermain beberapa sesi permua, menonton kandungan video, mengambil gambar dan menatal media sosial sekadar bagi mengisi masa lapang, ia boleh bertahan hampir lapan jam (diantara empat hingga tujuh jam) tanpa masalah. Bateri juga masih berbaki di tahap 21% pada waktu itu.

Tetapi jika saya hanya mengambil gambar dan tidak bermain permua dan lain-lain secara kerap, baterinya boleh bertahan lebih lama lagi. Mate XT Ultimate Design turut menyokong sistem pengecasan pantas berwayar 66W yang membolehkan ia dicas sepenuhnya dalam masa kurang daripada dua jam.
Kesimpulan
Peranti dengan skrin tri-lipat bukanlah suatu pilihan yang baharu, bahkan banyak model konsep lain telah dihasilkan oleh pelbagai pengeluar. Namun, kehadiran Mate XT yang sudah dijual secara komersial di Malaysia menunjukkan bahawa Huawei telah berjaya memasuki trend baharu ini lebih awal.

Mate XT bukan sekadar peranti teknologi, tetapi juga simbol evolusi dalam rekaan dan fungsi telefon pintar. Dengan skrin tri-lipat, ia menawarkan pengalaman visual yang lebih luas dan penggunaan yang belum pernah dilihat sebelum ini. Pengguna dapat menikmati pelbagai aplikasi, bermain permua, menonton kandungan video, dan kerja multi-tugas dengan lebih mudah. Prestasi juga baik dalam penggunaan harian dan pelbagai aplikasi. Kamera juga memadai yang menawarkan kualiti gambar yang baik untuk kebanyakan situasi.

Related News & Content
