Ulasan Huawei Pura80 Ultra – Gaya Mewah Dengan Kamera Canggih

TechnologyDigital
18 Aug 2025 • 2:25 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Huawei Pura80 Ultra muncul sebagai peranti unik di pasaran dengan sistem dwi-kamera periskop yang berkongsi satu sensor bersaiz besar. Gabungan sensor utama bersaiz 1″ bersama OIS turut menyumbang kepada hasil imej yang benar-benar mengagumkan.

image is not available

Dari tajuk sahaja, kekuatan Pura80 Ultra jelas terletak pada sistem kameranya. Namun, sejauh mana kemampuan kamera ini mampu mempengaruhi keputusan pembelian pengguna? Berikut ialah ulasan penuh mengenai Huawei Pura80 Ultra.


Spesifikasi

Huawei Pura80 Ultra
SkrinLTPO OLED, 120Hz, 1440Hz PWM, 3000 nits
6.8″ (1276 x 2848 pixel) ~459
PemprosesKirin 9020 (7 nm)
Cip1 x 2.5 GHz Taishan Big
3 x 2.15 GHz Taishan Mid
4 x 1.6GHz Cortex-A510
Cip GrafikMaleoon 920
RAM16GB RAM
Muatan Dalaman512GB ROM
Kamera Utama50 MP, f/1.6-4.0, PDAF OIS
50 MP, f/2.4, telefoto periskop, 1/1.28″
12.5 MP, f/3.6, telefoto periskop, OIS
40 MP, f/2.2, ultra-lebar
1.5 M Spectral Camera

*Kedua-dua kamera telefoto menggunakan sensor kamera yang sama
Kamera Swafoto13MP
Bateri5170mAh
Berwayar 100W
Nirwayar 80W
SIM/Telefoni2 Nano, 1 eSIM
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68/69
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM6599

Pengalaman Penggunaan

Menggunakan Pura80 Ultra sebagai peranti harian memberikan pengalaman yang memadai. Skrin 6.8 inci LTPO OLED beresolusi 1276 × 2848 piksel menawarkan visual terang dan jelas. Warna hidup dan imej kekal tajam untuk aktiviti seperti membaca, menonton video dan melayari web.

Selain itu, sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz membantu menjadikan tatalan dan peralihan antara aplikasi terasa lancar. Namun begitu, kadar sebenar yang digunakan mungkin berubah secara automatik bergantung kepada kandungan yang dipaparkan kerana skrin ini menyokong mod dinamik.

image is not available

Tahap kecerahan skrin mencukupi untuk kegunaan biasa, tetapi kurang sesuai di bawah cahaya matahari terik. Sokongan HDR Vivid tersedia namun penstriman seperti Netflix terhad kepada resolusi SD kerana hanya tiada sokongan DRM tertinggi Widevine L1.

Reka bentuk skrin melengkung di kedua-dua sisi menambah kesan kemas dan memberi keselesaan ketika digenggam. Bezel nipis dan seimbang menyerlahkan rekaan hadapan yang moden. Namun, sesetengah pengguna mungkin lebih gemar skrin rata atas faktor ketepatan sentuhan dan kawalan.

image is not available

Sepanjang penggunaan, skrin Pura 80 Ultra tidak menunjukkan sebarang kesan calar termasuk calar halus. Lapisan pelindung Crystal Armor Kunlun Glass generasi kedua memberikan keyakinan terhadap ketahanan fizikalnya.

Menurut pengeluar, kaca ini menawarkan ketahanan calar dan hentakan yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Namun, tahap perlindungan sebenar tetap bergantung kepada cara penggunaan dan keadaan persekitaran.

image is not available

Satu perubahan yang ketara pada model ini ialah kedudukan pengimbas cap jari yang kini terletak di bahagian sisi peranti. Ia berbeza daripada kebanyakan peranti mercu lain yang meletakkannya di bawah skrin. Sepanjang digunakan, pengimbas cap jari ini berfungsi dengan responsif tanpa sebarang isu ketara.

Pura 80 Ultra menyokong sistem imbasan wajah yang berfungsi dengan baik termasuk dalam keadaan pencahayaan rendah. Ia menggunakan kamera hadapan dan bukan sistem imbasan 3D, namun tetap memberikan prestasi yang boleh diharap untuk nyahkunci peranti.

image is not available

Panel belakang Pura 80 Ultra menampilkan bonggol kamera segi tiga seperti Pura 70 Ultra. Susun aturnya kemas, tetapi saiz bonggol yang besar menjadikan bahagian atas peranti terasa berat. Lensa utama menempatkan sistem dwi-telefoto dan kedua-dua sensor boleh dilihat bergerak secara menegak. Penjenamaan XMAGE turut boleh dilihat pada bonggol kamera.

Panel belakang diperbuat daripada kaca licin yang mudah memerangkap kesan cap jari, terutamanya apabila digunakan tanpa pelindung tambahan. Dua pilihan warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Sunburst Gold dan Black, masing-masing dengan daya tarikan tersendiri bergantung kepada cita rasa pengguna.

image is not available

Dari segi audio, Pura80 Ultra menyokong sistem pembesar suara stereo. Kualiti bunyi yang dihasilkan adalah baik untuk tontonan video dan mendengar muzik dengan kejelasan dan kekuatan yang memadai. Pun begitu, kekuatan bunyi tidak sepenuhnya seimbang antara pembesar suara atas dan bawah, di mana bahagian bawah cenderung menghasilkan bunyi yang lebih kuat.

Pura 80 Ultra tidak menyertakan bicu audio di mana selari dengan trend rekaan moden. Pengguna perlu menggunakan fon telinga nirwayar atau penyesuai USB-C untuk sambungan berwayar.


Perisian Dan Perkakasan  

Pura80 Ultra dikuasakan oleh cip Kirin 9020 yang dipadankan dengan 16GB RAM dan storan dalaman 512GB. Untuk pasaran Malaysia, hanya satu varian ditawarkan dan tiada sokongan RAM maya disediakan. Sepanjang penggunaan harian, prestasi peranti adalah memuaskan. Sistem beroperasi dengan lancar tanpa sebarang lengah atau gangguan aplikasi. Tatalan terasa responsif, dan kadar segar semula 120Hz memberikan pengalaman peralihan antara aplikasi yang stabil.

AnTuTu 3D

PerantiSkor
Huawei Pura80 Ultra 1049519
Honor 400 Pro1861573
Xiaomi 152,341,598
Samsung Galaxy S25 Ultra1,946,864
Oppo Find X8 Pro2,629,017
Apple iPhone 16 Pro Max1,720,751
Google Pixel 9 Pro XL1,016,712

Geekbench 6

PerantiSatu TerasMulti Teras
Huawei Pura80 Ultra Tidak boleh dilakukanTidak boleh dilakukan
Honor 400 Pro20246083
Xiaomi 1529188917
Samsung Galaxy S25 Ultra29579435
Oppo Find X8 Pro26638959
Apple iPhone 16 Pro Max33598129
Google Pixel 9 Pro XL19164644

3DMark Wildlife Extreme

CipSkor
Huawei Pura80 Ultra Tidak boleh dilakukan
Honor 400 Pro4467
Xiaomi 15Tidak boleh dilakukan
Samsung Galaxy S25 Ultra6135
Oppo Find X8 Pro6251
Apple iPhone 16 Pro Max4560
Google Pixel 9 Pro XL2567

Dalam ujian permainan, Pura80 Ultra menunjukkan prestasi yang baik. Permua seperti Honor of Kings boleh dimainkan dengan tetapan grafik maksimum dan kadar bingkai mencecah sehingga 119FPS secara konsisten sepanjang sesi permainan. Walaupun antara muka utama menunjukkan kadar sekitar 60–70FPS, prestasi meningkat sebaik sahaja permainan bermula. Permainan lain seperti Temple Run 2 turut berjalan lancar dengan kawalan seperti melompat, meluncur dan mengelak berfungsi cukup responsif.

Tidak boleh mengulas peranti Huawei tanpa menyentuh isu GMS. Pura80 Ultra membawa pendekatan yang lebih mesra pengguna dalam menangani isu ketiadaan sokongan rasmi GMS. Di Malaysia, keperluan terhadap aplikasi Google seperti YouTube, Gmail, dan Play Store adalah tinggi berbeza dengan pasaran China. Walaupun GMS tidak disokong secara rasmi, pengguna boleh memasang GBox sebagai alternatif untuk mengakses pelbagai aplikasi Google.

image is not available

Pengalaman menggunakan aplikasi Google pada Pura80 Ultra adalah antara yang paling mudah setakat ini. Aplikasi seperti YouTube, YouTube Music, Google Photos dan Gmail boleh digunakan dengan lancar dan kemas kini boleh dilakukan secara berkala. Ini memberikan sedikit kebebasan kepada pengguna walaupun tidak sepenuhnya setanding dengan peranti Android yang menyokong GMS secara rasmi.

Meskipun begitu masih terdapat beberapa kekangan. Sebagai contoh, aplikasi Chrome tidak boleh dikemas kini melalui PlayStore, dan memerlukan pemasangan semula melalui AppGallery. Keadaan ini menunjukkan bahawa GBox masih belum sempurna dan ada batasan dalam integrasi sistem.

Huawei telah menyediakan alternatif yang semakin baik untuk pengguna yang memerlukan aplikasi Google tetapi pengalaman ini masih belum bebas sepenuhnya. Ia sesuai untuk pengguna yang sanggup menerima sedikit batasan demi menikmati kelebihan lain yang ditawarkan oleh peranti ini.

Pura 80 Ultra menjalankan EMUI 15 dengan antaramuka yang mengekalkan gaya rekaan versi terdahulu. Ia menyokong folder besar, widget, dan tema animasi yang bertindak balas terhadap gerakan peranti. Pengalaman keseluruhan lancar dan dibantu oleh beberapa ciri AI untuk penggunaan harian.

image is not available

image is not available

  • AI Messaging – Kebolehan menyembunyikan notifikasi mesej apabila sistem mengesan individu lain sedang melihat skrin. Berguna dalam situasi tertentu, namun sokongan aplikasi masih terhad dan kebolehannya tidak konsisten.

  • AI Calls – Menambah kejelasan panggilan dengan teknologi pengurangan bunyi dua hala. Prestasinya baik dalam persekitaran bising walaupun tidak sepenuhnya sempurna.

  • AI Best Expression – Memilih ekspresi wajah terbaik daripada beberapa gambar. Hasilnya bergantung pada kualiti gambar asal dan kadangkala kelihatan kurang semula jadi.

image is not available

  • AI Translation – Menyokong terjemahan suara dan teks secara masa nyata. Ia berguna dalam situasi komunikasi berlainan bahasa.

  • Emoji Crush – Tema menarik yang membolehkan ekspresi emoji berubah apabila peranti digoncang. Ia berfungsi dengan baik dan menambah elemen ceria pada antaramuka.

  • AI Removal – Ciri suntingan imej yang membolehkan objek tidak diingini dibuang secara manual atau automatik. Hasilnya berguna tetapi tidak sentiasa konsisten.

image is not available

EMUI 15 turut menawarkan air gestures seperti tatalan tanpa sentuhan dan grabshot, serta pintasan cap jari yang boleh ditetapkan untuk membuka aplikasi tertentu.


Kamera Dan Kualiti Gambar

Pura 80 Ultra dilengkapi sistem kamera pelbagai fungsi untuk fotografi mudah alih. Kamera utama 50MP menggunakan sensor 1” dengan penuras RYYB, Ultra Lighting HDR, aperture boleh ubah f/1.6–f/4.0 dan OIS dengan julat dinamik sehingga 16EV.

image is not available

Kamera belakang turut menampilkan lensa ultra lebar 40MP dengan autofokus, serta dua lensa telefoto periskop yang berkongsi sensor besar 1/1.28 inci. Lensa pertama menyokong zum optikal 3.7x, manakala lensa kedua menawarkan zum sehingga 9.4x.

Dalam penggunaan sebenar, kamera utama Pura 80 Ultra menghasilkan gambar dengan warna terang dan tepu. Dalam pencahayaan baik, warna kadangkala sedikit keterlaluan tetapi hasil keseluruhan tetap menarik. Ketajaman imej konsisten dengan perincian jelas dalam kebanyakan situasi.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Lensa ultra-lebar Pura80 Ultra berfungsi dengan baik. Ia mampu merakam imej bersudut luas tanpa herotan ketara terutama dalam pencahayaan yang mencukupi. Dalam cahaya rendah, prestasi menurun dengan ketajaman dan ketepatan warna berkurang namun hasil rakaman masih boleh diterima.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Dalam ujian zum, kamera Pura 80 Ultra menunjukkan prestasi stabil sehingga 10x dengan imej kekal tajam dan perincian yang baik. Pada zum maksimum 100x, kualiti merosot dengan butiran kabur dan warna pudar.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Mod potret Pura 80 Ultra menghasilkan bokeh kemas dengan pemisahan subjek yang jelas. Edge detection berfungsi baik namun prestasi menurun apabila subjek mempunyai elemen kecil seperti aksesori terutama dalam pencahayaan belakang yang terang.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Warna kulit dalam mod potret kelihatan semula jadi tanpa penambahbaikan keterlaluan. Rakaman waktu malam turut menghasilkan bokeh yang menarik termasuk kesan gelembung cahaya apabila terdapat pencahayaan sederhana di latar belakang.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Mod Aperture Pura 80 Ultra menunjukkan prestasi berubah-ubah bergantung pada keadaan rakaman. Dalam situasi tertentu, pemisahan tepi subjek kurang tepat terutama dengan elemen kacil seperti aksesori kecil. Namun begitu, perincian utama subjek kekal jelas dan memuaskan.

Rakaman makro Pura 80 Ultra menghasilkan imej tajam dengan edge detection yang jitu. Prestasi dilihat konsisten pada zum 3.7x hingga 10x sesuai untuk subjek kecil. Warna seimbang dan terang, menjadikan imej kelihatan menarik.

image is not available

image is not available

image is not available

Rakaman waktu malam Pura 80 Ultra menunjukkan prestasi yang baik dengan imej tajam, perincian jelas, dan hingar terkawal. Pencahayaan lampu juga dikendalikan dengan baik tanpa silau berlebihan. Namun, apabila fungsi zum digunakan dalam keadaan gelap, prestasi mula menurun. Objek kecil seperti daun mula kehilangan perincian walaupun hingar kekal terkawal dan tidak terlalu menjejaskan kualiti imej.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Dari segi pemprosesan imej, kamera mengambil sedikit masa untuk memaparkan hasil akhir. Namun, kualiti imej tetap memuaskan dengan warna seimbang dan ketajaman terjaga.

Rekaan bonggol kamera Pura 80 Ultra yang besar dan berat boleh menimbulkan ketidakselesaan apabila memegang peranti dengan sebelah tangan. Selain itu, saiz bonggol yang menonjol turut meningkatkan risiko jari tersentuh lensa secara tidak sengaja sekali gus menyebabkan kotoran yang boleh menjejaskan kualiti rakaman.

Ketiadaan pilihan rakaman dalam nisbah 16:9 menyukarkan pengguna yang gemar menyunting gambar untuk paparan media sosial. Walaupun format 4:3 menawarkan resolusi tertinggi tetapi pilihan nisbah yang lebih pelbagai dapat meningkatkan keselesaan pengalaman penggunaan.


Bateri Dan Pengecasan

Pura 80 Ultra dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5170mAh untuk pasaran global dan 5700mAh bagi versi China. Dalam penggunaan harian, bateri ini mampu bertahan sepanjang hari walaupun skrin 120Hz diaktifkan termasuk untuk aktiviti seperti penstriman video, penggunaan kamera, dan media sosial.

Prestasi bateri berada pada tahap memuaskan bagi sebuah peranti mercu yang menggunakan paparan LTPO OLED beresolusi tinggi. Dalam senario penggunaan intensif, masa penggunaan skrin sekitar enam jam masih boleh dicapai walaupun kadar segar semula 120Hz diaktifkan sepanjang masa.

Peranti ini menyokong pengecasan pantas berwayar 100W yang mampu mengisi penuh bateri dalam kira-kira 45 minit. Ia juga dilengkapi dengan fungsi pengecasan berbalik untuk mengecas aksesori lain, walaupun fungsi ini tidak diuji secara langsung.


Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:

  • 1 x HUAWEI Pura80 Ultra.
  • 1 x Kepala Pengecas 100W.
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Pencungkil SIM.
  • 1 x Manual Pengguna.


Kesimpulan

Pura 80 Ultra menampilkan rekaan premium serta sistem kamera canggih, menjadikannya pilihan menarik bagi peminat fotografi mudah alih. Pun begitu, bonggol kamera yang besar dan berat boleh menjejaskan keselesaan penggunaan sebelah tangan khususnya bagi pengguna bertangan kecil.

Dari segi prestasi, Pura 80 Ultra berfungsi dengan baik untuk tugasan harian dan multimedia. Walaupun ketiadaan sokongan GMS mungkin menjadi kekangan bagi sesetengah pengguna, prestasi keseluruhan tetap memuaskan. Bateri peranti ini mampu bertahan sepanjang hari walaupun kadar segar semula 120Hz diaktifkan secara berterusan.

Secara keseluruhan, Pura 80 Ultra merupakan pilihan ideal bagi pengguna yang mengutamakan fotografi mudah alih, rekaan premium, dan ciri pengecasan pantas. Namun, ia mungkin kurang sesuai bagi mereka yang mementingkan keselesaan penggunaan sebelah tangan serta akses penuh kepada ekosistem aplikasi Google.


Pro

  • Rekaan premium dan tahan lasak.
  • Kemampuan fotografi yang baik.
  • Perisian yang penuh ciri tambahan dan lancar.
  • Paparan LTPO OLED berkualiti tinggi.
  • Pengecasan pantas berwayar dan nirwayar.
  • Pengurusan bateri yang baik.
  • Kalis air IP68/69.

Kontra

  • Tiada sokongan GMS.
  • Cip Kirin 9020 kurang efisien.
  • Bonggol kamera besar dan berat.
  • Tiada sokongan 5G untuk versi global.
  • Harga kurang kompetitif.