Sphygmomanometer ialah peranti perubatan yang boleh mengukur tahap tekanan darah. Ia juga sering digunakan untuk individu yang benar-benar perlu memantau tekanan secara berkala khususnya seseorang yang mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular. Pernahkah kita tertanya-tanya bolehkah kita mengambil tekanan darah melalui seutas jam tangan di pergelangan tangan? Bagaimana teknologi terkini mampu menyelesaikan kompleks situasi ini? Jawapannya ialah boleh menggunakan jam tangan baharu Huawei Watch D2 dan berikut ulasan kami untuknya.

Spesifikasi Ringkas
Huawei Watch D2 Jenis Jam Tangan Pintar Asas Paparan 1.82-inci AMOLED
480 × 408 pixels
PPI 347Pemproses – RAM – Muatan Dalaman – Bateri 420mAh SIM / Telefoni Panggilan menerusi tambatan bluetooth Sensor Accelerometer 9-paksi IMU
Giroskop
Magnetometer
Pengesan nadi optikal
ECG
Sensor cahaya
Barometer
Suhu
TekananNFC Tiada Infra Merah Tiada Tahap Ketahanan IP68 Diameter 48 × 38 × 13.3 mm Warna Moon Black Fluoroelastomer
White Composite Leather Harga Jualan
Rekabentuk
Hakikatnya bukanlah kali pertama Huawei menghasilkan jam tangan sebegini malahan Watch D2 dilancarkan sebagai pengganti kepada Watch D yang diumumkan pada tahun 2022. Ia mempunyai kerangka berbentuk segi empat tepat dengan gabungan binaan berasaskan keluli tahan karat dan kaca. Skrin adalah AMOLED 1.82-inci dengan resolusi tinggi 480 x 408 piksel untuk paparan visual yang jelas dan terang. Selain itu dilindungi dengan kaca tahan lasak yang memastikan jam tangan sentiasa kelihatan baharu walaupun selepas penggunaan jangka masa panjang.

Saya secara peribadi berpendapat tiada masalah dengan kecerahan malahan skrin yang besar turut mampu mempamerkan data kesihatan dan pemberitahuan dengan sebaiknya. Tahap kecerahan juga baik dengan teks dan grafik yang kelihatan sangat baik, jelas dengan sudut tontonan yang hebat dan sensitiviti sentuhan sebaiknya.

Ia juga jauh lebih kecil dan ringan berbanding pendahulunya sekali gus menjadi perubahan yang penting. Beratnya ialah 40 gram (tanpa tali) dengan ketebalan sekitar 13.3mm yang menjadikan pengalaman penggunaan terasa seakan memakai jam tangan pintar biasa. Ia juga membawa kepada pengalaman yang berbeza dengan cubaan singkat saya memakai Watch D dalam sesi pertemuan media tahun sebelum ini.

Keistimewaan Watch D2 tentulah pada tali jam yang dilengkapi beg udara untuk mekanisme pengukuran tekanan darah yang betul. Ia disambungkan terus ke tali jam tangan itu sendiri yang pada mulanya menerima reaksi kurang senang daripada saya yang berpendapat akan memberi ketidakselesaan untuk dipakai untuk jangka masa panjang. Namun saya silap apabila pada hakikatnya ia terletak kemas dengan sebahagian daripada beg udara yang memberikan keselesaan tambahan.

Saya dimaklumkan bahawa sebanyak dua pilihan tali disediakan iaitu Black Fluoroelastomer atau White Composite Leather. Dalam masa sama anda boleh mendapat dua saiz tali di dalam kotak pembelian untuk kegunaan pergelangan tangan masing-masing. Saya sedang menguji Watch D2 berwarna Black Fluroelastomer yang secara peribadi berpendapat bahan yang digunakan terasa baik di pergelangan tangan.

Cuma talinya lebih lebar berbanding jam tangan biasa dan juga sensor di belakang yang sedikit tebal. Rasanya lebih baik sekiranya Huawei boleh meminimumkan saiz sensor ini seperti pada sisir Watch GT5 untuk lebih keselesaan semasa digunakan pada pergelangan tangan. Perlu dinyatakan bahawa sensor kesihatan TruSense System digunakan merupakan versi serupa dengan Watch GT 5 untuk memastikan bacaan data lebih tepat.

Terdapat dua butang fizikal di sebelah kanan bagi tujuan menavigasi jam tangan ini. Salah satu daripadanya sejenis tombol berputar yang boleh digunakan untuk menavigasi atau kembali ke muka jam apabila ditekan. Ia turut memberikan kesan haptik yang baik semasa digunakan tetapi saya lebih banyak menggunakan skrin sesentuh berbanding butang diberikan. Sementara itu butang dibawahnya pula lebih panjang yang secara lalainya ditetapkan untuk pemantauan tekanan darah tetapi juga boleh disesuaikan.

Sebelah kiri pula menempatkan pembesar suara bersama mikrofon yang diletakkan betul-betul disebelahnya. Peranti juga diperakui persijilan IP68 yang sepatutnya tahan terhadap habuk dan air, namun tidak direka untuk aktiviti lain yang melibatkan rendaman air yang dalam. Ia turut tidak boleh digunakan dalam keadaan mandian air panas atau sauna, mahupun semasa menyelam dalam atau sebarang aktiviti lain yang melibatkan tekanan air bersuhu tinggi. Hal ini memandangkan Watch D2 tidak mempunyai sebarang penarafan 5ATM atau apa-apa yang seumpamanya.
Sambungan Aplikasi
Penggunaan bersama aplikasi Huawei Health amat disarankan untuk pengalaman lebih baik dan kawalan yang turut boleh disesuaikan. Seperti mana yang anda tahu, aplikasi hanya tersedia secara terbina melalui gedung aplikasi Huawei AppGallery dan Apple Appstore. Sementara itu peranti Android lain perlu memuat-turun fail APK versi terkini dan memasangnya semula secara manual. Adalah penting untuk mempertimbangkan bahawa fail APK yang dimuat turun di luar gedung aplikasi rasmi juga biasanya mempunyai satu lagi kelemahan penting, misalnya seperti tidak dikemaskini secara automatik dan tidak dimaklumkan juga kemas kini baharu.


Proses memasang dan menambah peranti juga sangat mudah sehingga boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Persediaan di antara peranti dan jam tangan adalah mudah dan cepat untuk mereka yang sedia mempunyai aplikasi Huawei Health. Jika sebaliknya persediaan dilihat remeh disebabkan beberapa langkah yang perlu dilengkapi sepenuhnya untuk memuat akaun. Seterusnya imbas kod QR disediakan dan satu tetingkap terapung dengan nama model akan muncul bagi tujuan pengesahan. Setelah selesai pengguna akan dipaparkan dengan beberapa tutorial ringkas yang menunjukkan langkah penggunaan. Antaramuka pada aplikasi Android dan iPhone dilihat sama tanpa perbezaan yang besar.


Pelbagai butiran kesihatan dan kecergasan juga boleh dipantau dengan mudah melalui skrin utama. Dalam masa sama cukup ringkas dan mudah difahami tanpa mengambil masa yang lama. Penjejakan aktiviti juga biasa dengan widget khusus yang serupa pada kebanyakan jam tangan Huawei. Data terkumpul turut boleh diselarikan dengan beberapa aplikasi lain seperti Strava dan Apple Health.
Pengalaman Penggunaan
Prestasi keseluruhan adalah sebaik yang boleh diperoleh melalui siri Watch GT5 sebelum ini. Saya boleh menatal menu serta membuka aplikasi dengan lancar. Pengalaman animasi yang dipertingkatkan turut boleh dirasai melalui perisian terkini HarmonyOS 5.0 yang juga sama digunakan pada Watch GT 5 sebelum ini. Watch D2 lebih tertumpu pada kesihatan dan kecergasan yang mana sebahagian besar aplikasi disediakan lebih terarah kepada matlamat yang ditetapkan. Ini membantu pengguna memahami dengan jelas apa yang boleh diharapkan melalui penggunaan jam tangan ini.

Ambulatory Blood Pressure Monitoring (ABPM) menjadi salah satu ciri kesihatan yang cukup menonjol. Seperti yang dinyatakan jam tangan ini dilengkapi dengan tali khas yang mempunyai beg udara di bahagian dalam. Anda perlu memastikan jam tangan ini diletakkan dengan betul pada pergelangan tangan untuk menggunakan ciri tersebut. Misalnya jika saiz tali didapati tidak sesuai dengan pergelangan tangan maka ciri tersebut tidak akan berfungsi seperti yang sepatutnya.

Hal ini dikatakan demikian kerana saya berhadapan situasi dimana tidak boleh mengakses ciri berkenaan ekoran saiz pergelangan tangan yang tidak betul. Apabila ini berlaku maka satu pemberitahuan yang meminta pengguna membetulkan saiz tali untuk penggunaan sebaiknya akan diberikan. Maka anda perlu mengikut arahan diberikan untuk tujuan pengukuran tekanan darah yang betul. Adalah lebih baik anda berehat sekurang-kurangnya lima hingga sepuluh minit sebelum mula mengukur tekanan darah.

Pastikan anda duduk pada posisi yang betul dan bernafas melalui hidung pada kadar normal selama beberapa saat. Adalah lebih baik sekiranya belakang anda lurus dan rapat ke kerusi dalam masa sama bahu juga harus dalam keadaan tegak dan lurus. Kemudian letakkan lengan anda sejajar dengan jantung dan menyokong siku dengan tapak tangan anda yang lain. Disarankan agar tidak memberi tekanan atau tekan terlalu kuat pada beg udara jam tangan sebaliknya hanya meletakkan tangan anda di bahagian dada seperti biasa.

Saya katakan begini kerana ia tidak akan berfungsi jika anda melakukannya sambil baring, atau lengan menekan dada dengan terlalu kuat. Beg udara di bawah tali tadi akan mengembang serta mengempis seperti sphygmomanometer digital dan bacaan diambil pada skrin jam tangan. Hasil pengukuran juga boleh diringkaskan secara langsung pada aplikasi HUAWEI Health. Anda turut boleh menetapkan Watch D2 untuk mengambil bacaan secara automatik pada waktu tertentu termasuk semasa sedang tidur.

Saya telah mencubanya beberapa kali dan Watch D2 memberi hasil keputusan konsisten dengan bacaan tekanan darah yang normal. Namun persoalannya adakah bacaan data ini boleh dipercayai? Saya katakan seeloknya boleh dijadikan rujukan sahaja memandangkan Watch D2 bukanlah alat perubatan rasmi.
Oleh itu hasil pemantauan hanya untuk rujukan malahan tidak boleh dijadikan asas diagnosis atau rawatan perubatan. Untuk makluman perubatan terperinci lebih baik berunding dengan doktor pakar. Saya juga tidak membandingkan ukuran tekanan darah dengan monitor tekanan tradisional memandangkan tidak memilikinya satu di rumah.

Selain itu saya turut menguji fungsi Pengesanan elektrokardiogram (ECG) pada jam tangan ini. Ia boleh berfungsi melalui butang di sebelah kanan dengan perlu meletakkan jari selama 30 saat untuk mengambil bacaan. Kemudian anda boleh semak data tersebut melalui aplikasi Huawei Health yang juga disertakan satu graf bacaan yang dihasilkan untuk tujuan menganalisis perubahan aktiviti elektrik dalam jantung.
Bacaan SpO2 juga boleh diperolehi dalam masa yang lebih cepat daripada jam tangan Huawei yang lain melalui sensor TruSense System baharu. Cuma saya secara peribadi merasakan ciri suhu kulit masih perlu diperbaiki memandangkan Watch D2 tidak boleh mengukur suhu badan dengan cepat. Penjejakan tahap tekanan juga ada sekiranya memerlukan.

Sebahagian besar aktiviti harian biasa yang meliputi kiraan langkah berjalan juga berfungsi dengan baik. Bacaan data terkumpul untuk langkah hampir tepat dengan perbezaan kecil mengikut kiraan normal. Cuma tetapan untuk GPS mengambil masa agak lama untuk mengunci sebuah lokasi.
Fungsi lain yang turut diuji secara berterusan ialah penjejakan waktu tidur. Ia boleh menyokong pengesanan tidur secara automatik kemudian data yang dijejak secara umumnya serupa dengan yang lain seperti kadar pernafasan dan degupan jantung berehat. Dalam masa sama boleh memberi cadangan berkaitan, serta mempunyai muzik santai untuk bantu kualiti tidur.

Antara ciri lain yang boleh ditemui adalah ciri pemberitahuan pintar untuk sejumlah aplikasi seperti WhatsApp, telegram, YouTube dan lain-lain. Notifikasi hanya boleh dibaca tanpa kebolehan membalas. Di samping terdapatnya beberapa widget berguna untuk kehidupan seharian seperti kalendar, cuaca, gaya hidup, log panggilan masuk, kalendar kitaran haid wanita dan lain-lain.
Panggilan suara juga disokong dengan kebolehan mendail dan menjawab panggilan masuk terus daripada jam tangan. Saya tidak sebetulnya menggunakan ciri itu untuk keperluan peribadi tetapi prestasi cukup baik dengan kelantangan audio yang jelas daripada kedua-dua pihak sama ada pendail mahupun penerima panggilan. Diikuti juga kebolehan mendengar muzik pada perkhidmatan penstriman seperti Spotify secara melalui pembesar suara disediakan.

Namun masih terdapat kekangan untuk perisian asas yang perlu diberi keutamaan bermakna tiada gedung aplikasi atau pembayaran mudah alih boleh dibuat melalui Watch D2. Saya juga menghadapi masalah di mana sambungan ke telefon pintar yang kerap terputus sehingga memerlukan aplikasi dibuka secara kerap untuk proses kemas kini data. Jelas bahawa bukanlah kali pertama saya berhadapan permasalahan tersebut malahan sejak menggunakan kebanyakan peranti boleh pakai Huawei.
Ketahanan Bateri
Huawei mengiklankan jam tangan ini boleh bertahan sehingga 7 hari dengan sekali pengecasan. Ia bagaimanapun bergantung pada senario harian yang bermaksud penggunaan pemantauan tekanan darah dan ECG secara kerap menyebabkan bateri cepat habis. Sama halnya dengan fungsi GPS dan Screen On yang diaktifkan berterusan turut boleh menyebabkan bateri cepat habis. Pengecasan semula pula boleh dibuat menggunakan dermaga khusus yang serupa dengan kebanyakan jam tangan Huawei. Namun perlu disentuh juga tiada sebarang jenis sokongan pengecasan pantas diberikan melaluinya.
Apa Di Dalam Kotak?
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian Huawei Watch D2 di Malaysia;
- 1 X Huawei Watch D2
- 1 X Kabel pengecas USB-A ke dermaga khusus.
- 1X Tali jam tambahan.
- 1 X Notis Waranti
- 1 X Manual pengguna.
Kesimpulan
Huawei Watch D2 bukanlah seutas jam tangan tidak sesuai dipakai untuk semua. Mungkin ia sesuai untuk mereka yang sememangnya perlu alat pengesanan tekanan darah dan isyarat jantung setiap hari yang mudah alih. Bagi yang tidak memerlukannya pula masih banyak jam tangan pintar lain dengan prestasi sama yang boleh dijadikan pilihan misalnya seperti Watch GT 5 atau Watch GT5 Pro.
Meskipun begitu diakui bahawa prestasi Watch D2 sememangnya berada di tahap yang baik. Ia juga tertumpu pada ciri kesihatan dan kecergasan sepenuhnya dengan ketepatan bacaan lebih baik melalui sensor TruSense System baharu. Selain itu boleh berfungsi sebaiknya dalam kebanyakan aktiviti harian dengan ketahanan bateri yang boleh diharapkan.
Pro Dan Kelebihan
- Lebih nipis berbanding generasi sebelum ini.
- Sistem pemantauan tekanan darah terbina.
- Paparan yang jelas, terang dan nyata.
- Pelbagai ciri kecergasan dan kesihatan terbina.
- Prestasi mantap sensor cekap.
Kontra Dan Kekurangan
- Tiada sokongan aplikasi pihak ketiga.
- Sambungan ke telefon pintar sering terputus.
- Bukan sesuai untuk semua.
- Tiada pengecasan pantas.

