Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

TechnologyHealth & Fitness
4 Jun 2026 • 5:44 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Huawei Watch Fit 5 Pro hadir dengan kemas kini kecil namun masih berjaya mengekalkan reputasinya sebagai salah satu jam kecergasan asas yang baik di pasaran. Ia tidak banyak mengubah formula asal siri ini sebaliknya menambah baik ciri yang sedia ada untuk memberikan pengalaman lebih lancar dan konsisten. Inilah ulasan penuh mengenai jam tangan baharu Huawei ini.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Spesifikasi

Huawei Watch Fit 5 Pro
JenisJam Tangan Pintar Asas
PaparanAMOLED, 3000 nits (puncak)
1.92 inci (480 x 408 piksel) ~328 ppi
Pemproses
RAM
Muatan Dalaman
Bateri471 mAh
SIM / TelefoniPanggilan menerusi tambatan bluetooth
SensorSensor kadar jantung / oksigen darah / pecutan / giro /. kadar denyutan jantung /. kompas / barometer / termometer (suhu kulit)
NFCYa
Infra MerahTiada
Tahap Ketahanan5 ATM kalis
IP6X
Habuk ECG diperakui
40m kalis berenang/menyelam (EN13319)
Diameter444.5 x 40.8 x 9.5 mm
(1.75 x 1.61 x 0.37 in)
Warnaorange/ white/ black
Harga JualanRM1099

Pengalaman Penggunaan

Huawei Watch Fit 5 Pro boleh dianggap sebagai versi baharu yang mengekalkan DNA sama seperti generasi sebelumnya, khususnya Fit 4 Pro. Ia hadir sebagai kesinambungan semula jadi daripada siri terdahulu dengan penambahbaikan yang lebih matang. Sebagai seseorang yang pernah menggunakan Fit 3 dan Fit 4 Pro sebelum ini, jelas model ini mengekalkan rasa yang sama namun pengalaman penggunaan terasa lebih praktikal.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Walaupun rekaannya masih mengekalkan kerangka segi empat sama yang berinspirasikan Apple Watch, pengalaman sebenar ketika digunakan terasa berbeza berbanding generasi terdahulu. Gabungan bahan binaan juga tidak menimbulkan masalah kepada saya kerana ia selesa dipakai tanpa menyebabkan alahan pada kulit, terutamanya dengan tali silikon yang digunakan.

Paparan LTPO OLED berukuran 1.92 inci yang lebih besar dan terang memberikan sudut pandang lebih luas serta bacaan data yang jelas. Bagi saya, saiz baharu ini langsung tidak menjadi isu. Malah, saya lebih suka kerana ia memberi pengalaman penggunaan yang lebih selesa.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Skrin Huawei Watch Fit 5 Pro tidak lagi kelihatan malap malah kecerahan puncaknya yang tinggi memastikan mesej serta data mudah dibaca tanpa perlu mengecilkan mata. Walaupun nampak premium, gaya rekaannya masih terlalu mirip dengan Apple Watch. Secara peribadi, saya rasa Huawei boleh cuba memperkenalkan identiti yang lebih tersendiri untuk membezakan siri Fit daripada pesaing pada masa akan datang.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Huawei Watch Fit 5 Pro hadir dengan satu tombol berputar dan satu butang fizikal yang melengkapkan kawalan pada jam tangan ini. Walaupun bukan perkara baharu untuk siri Huawei Fit, ia masih berguna dalam penggunaan harian. Kedua-duanya memberikan kawalan yang lebih praktikal dan memudahkan akses aplikasi. Ia juga membolehkan pengguna menatal paparan dengan lebih lancar. Selain itu, ia membantu mengawal fungsi tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada skrin sesentuh. Hasilnya, pengalaman penggunaan terasa lebih mudah dan konsisten.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Tombol berputar pada jam tangan ini menawarkan pelbagai fungsi. Apabila diputar, ia boleh membesarkan atau mengecilkan ikon dalam Grid Mode, menatal senarai aplikasi, serta kandungan dalam aplikasi. Jika ditekan, ia berfungsi untuk menghidupkan skrin, membuka senarai aplikasi, kembali ke skrin utama atau membisukan panggilan masuk/ Menekan dengan lama pula digunakan untuk menghidupkan atau mematikan jam tangan serta melakukan reset. Sementara itu, menekan sebanyak lima kali dengan pantas akan mengaktifkan fungsi SOS kecemasan.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Butang fizikal di bahagian bawah memberikan akses pantas kepada aplikasi olahraga secara lalai. Ia boleh diubah mengikut pilihan pengguna. Semasa melakukan aktiviti, butang ini berfungsi sebagai kawalan segera untuk mula atau berhenti seketika. Namun untuk menamatkan latihan, saya perlu menekan tombol berputar dengan lebih lama sedikit.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Selain itu, butang ini turut menyokong fungsi ECG yang menjadikannya lebih serba guna dalam penggunaan harian. Untuk menggunakan fungsi ini, jari telunjuk perlu diletakkan selama kira-kira 30 saat bagi membolehkan bacaan dibuat dengan tepat. Saya akan bercerita lebih lanjut tentang prestasinya di bahagian kualiti prestasi, termasuk beberapa penambahbaikan yang saya perhatikan sepanjang penggunaan.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Kawalan gerakan skrin pada Huawei Watch Fit 5 Pro direka dengan susun atur yang mudah difahami. Tatalan ke atas digunakan untuk menyemak notifikasi daripada aplikasi seperti WhatsApp, Snapchat, Telegram dan lain-lain yang diberi akses. Tatalan ke bawah pula memberikan akses pantas kepada ciri utama seperti kawalan kecerahan dan mod penjimatan bateri.

Tatalan ke kanan membawa kepada fungsi bantuan pintar, misalnya jadual yang telah ditetapkan, cuaca semasa serta pemain audio. Sementara itu, tatalan ke kiri membuka fungsi harian secara menyeluruh termasuk rekod aktiviti, kesejahteraan emosi, fasa bulan, data langkah, bacaan denyutan jantung, pemain muzik dan cuaca.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Kesemua fungsi ini masih boleh diubah mengikut kesesuaian pengguna, namun hanya enam aplikasi sahaja yang boleh dipilih sebagai kegemaran untuk sekali paparan. Selebihnya perlu digugurkan terlebih dahulu sebelum menambah aplikasi kegemaran lain kerana ia terhad kepada enam aplikasi sahaja pada satu masa.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Susun atur ini mudah dibiasakan kerana hampir sama dengan beberapa peranti boleh pakai Huawei lain yang pernah saya uji. Pengalaman keseluruhan terasa memuaskan dengan skrin yang lancar tanpa masalah lengah masa atau tersekat. Aplikasi dan fungsi berjalan baik tanpa isu yang mengganggu, sekali gus menjadikan Huawei Watch Fit 5 Pro lebih menyeronokkan untuk digunakan.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Secara jujur, gabungan kawalan skrin dan kawalan fizikal pada Huawei Watch Fit 5 Pro memang memberikan keseimbangan yang baik. Ia menjadikan jam tangan lebih mesra pengguna, terutama ketika melakukan aktiviti luar. Tidak semua keadaan sesuai bergantung sepenuhnya pada skrin sesentuh khususnya apabila tangan berpeluh atau basah. Dalam situasi sebegini, tombol berputar dan butang fizikal terasa jauh lebih praktikal. Hasilnya, pengalaman penggunaan menjadi lebih lancar dan konsisten dalam pelbagai keadaan.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Pada masa akan datang, memang wajar jika Huawei memberi perhatian kepada beberapa aspek penting untuk meningkatkan lagi pengalaman penggunaan. Penambahan bilangan aplikasi kegemaran yang boleh dipaparkan serentak akan memberi lebih banyak kebebasan kepada pengguna dalam menyesuaikan susun atur mengikut keperluan masing-masing. Begitu juga dengan kebebasan menukar fungsi butang fizikal terbina yang seharusnya diperluaskan agar mampu memenuhi kehendak pengguna berbeza.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Dengan penambahbaikan yang dicadangkan, Huawei Watch Fit generasi akan datang berpotensi menjadi lebih menyeluruh serta benar-benar memenuhi keperluan pengguna aktif dalam pelbagai situasi. Langkah ini bukan sahaja menjadikan jam tangan lebih praktikal malah mampu memberikan nilai tambah yang lebih besar kepada mereka yang mengutamakan keselesaan dan kelancaran ketika melakukan aktiviti.


Aplikasi Sambungan

Seperkara yang sering ditanya oleh pengguna ialah sama ada jam tangan Huawei boleh digunakan dengan peranti Apple. Jawapannya ialah ya, kerana ia serasi dengan kedua-dua ekosistem termasuk Huawei Watch Fit 5 Pro. Saya sendiri telah mencuba sambungan dengan iPhone 14 dan Huawei Nova 14 dan proses melalui aplikasi Huawei Health berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Untuk pengguna Huawei, aplikasi Huawei Health boleh dimuat turun terus daripada AppGallery manakala pengguna iPhone pula boleh mendapatkannya dengan mudah di App Store. Aplikasi berwarna jingga ini ditawarkan secara percuma dan berdasarkan pengalaman saya, proses muat turun serta pemasangan berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan. Syaratnya, pengguna perlu mempunyai akaun dan mengingati kata laluan. Sebagai alternatif, sambungan juga boleh dilakukan menggunakan akaun Gmail.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Pengalaman menggunakan Huawei Watch Fit 5 Pro dengan telefon Android selain Huawei agak berbeza kerana sekatan di Google Play Store menyebabkan aplikasi Huawei Health tidak lagi tersedia di sana. Oleh itu, pengguna perlu memuat turun fail APK daripada laman rasmi Huawei. Walaupun proses mudah, ramai berasa ragu kerana pemasangan APK sering dikaitkan dengan isu keselamatan, dan saya faham kebimbangan itu.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Secara ringkas, pemasangan aplikasi melalui fail APK di Android selain Huawei boleh dianggap sebagai cabaran kecil. Jika Huawei menyediakan saluran muat turun yang lebih jelas serta lengkap dengan pengesahan keselamatan dan arahan mudah, ia akan meningkatkan keyakinan pengguna. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan keraguan, malah menjadikan proses pemasangan lebih mesra pengguna dan tidak menimbulkan banyak kebimbangan.

Huawei Watch Fit 5 Pro boleh digunakan dengan iPhone tanpa masalah besar tetapi tidak boleh disambungkan terus dengan Apple Health. Ini bermakna data kesihatan daripada jam tangan tidak akan digabungkan secara automatik dengan ekosistem Apple. Jika anda biasa menggunakan Apple Health, maklumat daripada Huawei Health tidak akan masuk ke sana. Sebaliknya, anda perlu buka aplikasi Huawei Health sendiri untuk melihat rekod aktiviti, tidur atau kadar denyutan jantung.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Pun begitu, fungsi asas jam tetap berjalan dengan baik di iPhone. Notifikasi, penjejakan senaman, dan pemantauan kesihatan berfungsi seperti biasa. Integrasi penuh dengan ekosistem Apple memang terhad, tetapi bagi saya ia bukan masalah besar jika tujuan utama hanya untuk merekod aktiviti harian. Bagi pengguna yang lebih suka semua data disatukan dalam Apple Health, ia mungkin terasa sedikit kurang praktikal.

Jika digunakan dengan iPhone, data kesihatan daripada Huawei Watch Fit 5 Pro hanya disimpan dalam aplikasi Huawei Health pada telefon dan tidak diselaraskan ke Huawei Cloud. Jadi, data itu tidak boleh diakses melalui peranti Huawei lain. Namun begitu, Huawei Health masih boleh dihubungkan dengan aplikasi pihak ketiga seperti Strava dan Adidas Running, memberi pengguna sedikit kebebasan untuk memilih platform kegemaran bagi menyimpan atau berkongsi data.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Apabila digunakan bersama peranti Huawei, pengalaman terasa lebih menyeluruh kerana aplikasi Huawei Health dibangunkan khas untuk ekosistem Huawei. Ia berfungsi dengan lancar serta boleh diselaraskan dengan Huawei Cloud untuk simpanan dan penyelarasan data kesihatan lalu memberikan notifikasi yang lebih konsisten. Selain itu, kemas kini aplikasi lebih pantas melalui AppGallery manakala integrasi dengan peranti boleh pakai Huawei terasa lebih lengkap.

Secara keseluruhan, Huawei Watch Fit 5 Pro boleh digunakan dengan baik pada kedua-dua platform. Namun, pengalaman di telefon Huawei lebih lancar kerana ia sebahagian daripada ekosistem Huawei. Di iPhone pula, fungsi asas seperti notifikasi, senaman dan kesihatan tetap berfungsi cuma integrasi tidak sepenuhnya. Jadi, aplikasi Huawei Health masih boleh digunakan tanpa masalah besar tetapi pengalaman tidak selengkap seperti di telefon Huawei.


Kualiti Prestasi

Sepanjang lebih dua minggu penggunaan, pengalaman keseluruhan dengan Huawei Watch Fit 5 Pro terasa lancar tanpa sebarang masalah lengah masa atau kegagalan aplikasi. Proses menatal dan menggunakan aplikasi juga berjalan dengan baik, dan antara perkara yang paling saya gemari ialah pilihan antara muka jam (watch faces) yang ditawarkan.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Sebagai contoh, antara muka panda comel ini memang unik kerana ia bergerak mengikut keadaan tubuh saya. Ini merupakan penambahbaikan berbanding generasi sebelum ini yang hanya berfungsi sebagai hiasan semata. Ketika berehat, animasi panda menunjukkan keadaan santai. Apabila bergerak, animasi turut berubah mengikut pergerakan tangan. Malah ketika mengantuk atau berehat, ia memberi reaksi yang sepadan. Keseluruhan pengalaman ini menjadikan antara muka tersebut bukan sekadar hiasan, tetapi seperti teman kecil yang sentiasa menemani rutin harian saya.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Selain itu, fungsi mini workout turut memberi pengalaman yang berbeza dan menarik. Ia berfungsi dengan baik serta kerap mengingatkan saya untuk bangun seketika daripada komputer riba atau tugasan dengan melakukan senaman ringkas selama kira-kira 30 hingga 40 saat. Senaman ini pendek sahaja maka tiada alasan untuk tidak bersenam walaupun dalam keadaan sibuk.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Menariknya, setiap kali selesai mini workout, saya menerima ganjaran berupa antara muka panda dengan tema negara baharu seperti China atau Bangkok, yang boleh dibuka selepas beberapa set senaman. Hal ini menjadikan pengalaman lebih menyeronokkan serta memberi motivasi tambahan untuk terus konsisten melakukan senaman harian.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Kebolehan penerimaan notifikasi pada Huawei Watch Fit 5 Pro memang patut dipuji kerana ia berfungsi dengan sangat baik. Setiap notifikasi masuk dengan pantas, seiring dengan masa notifikasi tiba di telefon yang disambungkan tanpa sebarang kelewatan. Hal ini membuatkan saya berasa lebih tenang kerana tidak perlu risau terlepas mesej penting ketika sibuk bekerja.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Namun begitu, ciri yang paling utama untuk generasi kali ini ialah fungsi mengesan tanda awal diabetes. Kehadiran ciri ini menjadikan jam tangan bukan sekadar alat pemantauan aktiviti harian, tetapi juga berpotensi sebagai sokongan awal dalam aspek kesihatan yang lebih serius. Selain itu, ia turut menambah nilai praktikal kepada pengguna yang ingin memantau kesihatan secara menyeluruh, di samping fungsi asas seperti penerimaan notifikasi dan penjejakan senaman.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Fungsi ini bukanlah untuk diagnosis penuh, sebaliknya lebih kepada memberi amaran awal supaya pengguna lebih peka terhadap kesihatan. Buat masa ini ia masih belum tersedia secara rasmi di Malaysia, namun saya berpeluang mencuba unit awal. Menurut Huawei, proses pengesanan mengambil masa antara 3 hingga 14 hari dengan syarat jam dipakai sepanjang hari termasuk ketika tidur.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Dalam pengalaman saya, keputusan mula keluar selepas kira-kira empat hari penggunaan berterusan (kecuali ketika solat dan mandi). Hasilnya menunjukkan kategori Medium Risk iaitu berpotensi mempunyai risiko. Namun seperti yang saya tekankan, ini hanyalah amaran awal untuk dijadikan rujukan dan selebihnya perlu berjumpa doktor bagi mendapatkan kepastian.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Secara jujur, keputusan tersebut tidak mengejutkan kerana gaya hidup saya kadangkala kurang disiplin, contohnya lupa minum air mineral secukupnya. Perkara kecil seperti ini mungkin menjadi punca kepada amaran yang berlaku. Pengalaman ini turut membuatkan saya lebih sedar untuk menjaga kesihatan dengan lebih baik.

Seterusnya, Huawei Watch Fit 5 Pro juga memberikan bacaan kesihatan yang boleh diharapkan untuk kegunaan harian dan kecergasan. Saya mendapati kiraan jarak adalah konsisten. Bagi data tidur, ia bukan hanya menunjukkan tempoh tidur, tetapi turut memberi gambaran tentang kualiti melalui pecahan deep sleep dan light sleep.

Purata tempoh tidur saya dalam tujuh hari kebelakangan ini ialah 9 jam 17 minit yang masih dalam julat normal bagi orang dewasa. Menariknya, aplikasi juga membantu mengenal pasti corak tidur, contohnya sama ada mendapat deep sleep yang mencukupi atau sebaliknya.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Selain itu, purata Sleep Score sebanyak 80 mata menunjukkan tidur saya berada pada tahap yang agak baik dengan Deep Sleep sekitar 17%, iaitu masih dalam julat normal bagi orang dewasa (10% hingga 25%). Apabila meneliti semula data ini, saya sedar ia memberi gambaran yang jelas tentang corak tidur. Secara tidak langsung, ia membuatkan saya lebih peka terhadap kepentingan menjaga rutin harian agar kualiti tidur lebih teratur.

Fungsi lain yang turut memberi kesan kepada saya ialah Featured Trends dan Insight Trends dalam aplikasi Huawei Health. Kedua-duanya memberikan pengalaman yang berbeza tetapi saling melengkapi. Featured Trends berfungsi untuk menunjukkan corak kesihatan yang paling ketara secara umum untuk membantu saya memahami gambaran besar tentang keadaan tubuh. Sementara itu, Insight Trends pula membawa saya lebih dekat dengan data harian yang lebih peribadi.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Sebagai contoh, data menunjukkan masa berdiri saya biasanya sekitar 5 jam sehari. Namun ada hari ia turun kepada hanya 1 jam iaitu berkurang 4 jam daripada kebiasaan. Keesokan harinya meningkat semula kepada 3 jam tetapi masih belum mencapai purata biasa. Walaupun ada sedikit peningkatan, keadaan ini masih belum ideal kerana terlalu lama duduk boleh menjejaskan peredaran darah dan meningkatkan risiko keletihan.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Resting heart rate saya baru-baru ini berada pada 72 bpm. Bacaan ini masih dalam julat normal dan boleh dianggap baik kerana menunjukkan jantung bekerja dengan stabil. Dari segi emosi, purata kebelakangan ini merekodkan 7% perasaan positif dan 68% perasaan neutral. Peratusan neutral yang tinggi menandakan keadaan emosi stabil manakala peratusan positif yang rendah pula menunjukkan ada ruang untuk meningkatkan mood.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Corak tidur kebelakangan ini menunjukkan saya biasanya mula tidur sekitar jam 11 malam. Namun ada satu hari saya berjaga agak lewat daripada biasa. Purata kadar denyutan jantung semasa tidur ialah 73 bpm dan bacaan ini boleh dianggap stabil kerana julat normal bagi kebanyakan orang dewasa semasa tidur berada antara 40 hingga 80 bpm bergantung pada tahap kesihatan individu. Oleh itu, bacaan 73 bpm masih menandakan tubuh berada dalam keadaan rehat yang baik.

Pada bahagian Insight Trends, data menunjukkan jam tidur merekodkan purata 9 jam 17 minit dengan tidur kurang daripada tiga jam tidak diambil kira. Hal ini tidak mengejutkan kerana jam tangan ini tidak selalu mengesan tidur singkat (nap). Untuk tidur malam penuh, bacaan boleh diharap tetapi bagi tidur sebentar ia mungkin kurang tepat.

Pada mulanya angka-angka ini nampak biasa sahaja. Namun apabila dilihat dalam bentuk trend, ia memberi gambaran jelas tentang gaya hidup dan membantu menilai semula tabiat harian terutama mula memasuki usia yang lebih matang.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Sistem GPS pada Huawei Watch Fit 5 Pro terasa lebih baik berbanding Fit 3 kerana ia lebih stabil dan cepat mengunci lokasi, menjadikan pengalaman penggunaan lebih lancar. Bagaimanapun, prestasi GPS tetap bergantung pada faktor persekitaran, contohnya di kawasan tertutup, berhampiran bangunan tinggi atau di bawah pokok, isyarat satelit boleh terganggu dan proses mengunci lokasi menjadi perlahan.

Peningkatan ini jelas jika dibandingkan dengan Fit 3, tetapi tidak terlalu besar sekiranya anda sudah menggunakan Fit 4 Pro. Ringkasnya, GPS pada Huawei Watch Fit 5 Pro cukup memadai untuk aktiviti harian, dengan syarat faktor persekitaran masih memainkan peranan penting dalam kelancaran penggunaan.


Ketahanan Bateri

Huawei mendakwa jam tangan ini mampu bertahan antara 7 hingga 10 hari bergantung pada penggunaan. Dari pengalaman saya sendiri, kenyataan itu memang tepat kerana saya boleh dapat sekitar 6 hari secara konsisten. Malah, walaupun bateri tinggal 5%, ia masih mampu bertahan sehingga keesokan harinya walaupun saya biarkan semalaman tanpa dicas.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Enam hari sebenarnya masih satu pencapaian yang baik dengan cara penggunaan harian saya yang agak aktif. Tahap kecerahan skrin sederhana, sambungan Bluetooth sentiasa aktif untuk menerima notifikasi, serta pemantauan kesihatan berterusan seperti kadar denyutan jantung dan SpO₂ sepanjang hari memang memberi kesan kepada ketahanan bateri.

Baterinya boleh dianggap tahan lama kerana mampu bertahan hampir seminggu walaupun semua fungsi utama digunakan secara konsisten. Hal ini tidak mengejutkan kerana Huawei Watch tidak menyokong aplikasi pihak ketiga secara menyeluruh, lalu sistem menjadi tidak terbeban dengan proses latar belakang. Hasilnya, ketahanan bateri lebih baik berbanding banyak jam tangan pintar lain.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Selain itu, sistem operasi HarmonyOS turut memberi kelebihan besar dari segi penggunaan tenaga. Dengan kawalan aplikasi yang terhad dan aktiviti latar belakang yang minimum, ia lebih menjimatkan bateri. Pilihan aplikasi juga dikawal oleh Huawei, seperti MyBorderPass, TNG dan aplikasi waktu solat. HarmonyOS pula direka dengan fokus kepada fungsi kesihatan, notifikasi dan mod sukan tanpa proses tambahan yang berat seperti pada WearOS yang biasanya lebih banyak menggunakan kuasa bateri.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Proses pengecasan semula pula tidak mengambil masa lama. Dari 1% ke 100%, bateri boleh penuh dalam masa kurang daripada satu jam. Selain itu, ia boleh dicas menggunakan dermaga khas berbentuk bulat seperti kebanyakan jam Huawei. Menariknya, saya dapati model Fit 5 turut serasi dengan pengecas versi Pro, jadi lebih mudah kerana tidak perlu membawa pengecas berasingan.


Kesimpulan

Huawei Watch Fit 5 memang membawa peningkatan yang ketara berbanding generasi sebelumnya, terutama dari segi fungsi kesihatan dan kecergasan, paparan LTPO OLED yang lebih besar serta terang, dan rekaan yang selesa dipakai lama tanpa menimbulkan masalah pada kulit. Walaupun ia tidak menyokong aplikasi pihak ketiga secara menyeluruh, fungsi asas seperti kesihatan, notifikasi dan mod sukan sudah mencukupi untuk kegunaan harian.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Dengan harga RM1,099, Huawei Watch Fit 5 boleh dianggap berbaloi jika anda mencari jam tangan dengan bateri tahan lama, paparan jelas dan pengalaman penggunaan yang stabil. Namun, ia mungkin kurang fleksibel berbanding Apple Watch atau WearOS yang menawarkan lebih banyak aplikasi. Sebagai jam tangan pintar asas yang fokus pada kesihatan dan kebolehgunaan, ia tetap memberikan nilai yang seimbang.

Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar

Jika keutamaan anda ialah bateri tahan lama dan fungsi kesihatan yang konsisten, Huawei Watch Fit 5 memang pilihan sesuai kerana ia menawarkan keseimbangan antara prestasi dan ketahanan bateri untuk kegunaan harian. Sebaliknya, jika anda lebih mementingkan ekosistem aplikasi yang luas serta integrasi penuh dengan telefon, Apple Watch SE atau Samsung Galaxy Watch 6 mungkin lebih berbaloi. Sementara itu, untuk pilihan lebih mampu milik Amazfit GTR 4 adalah alternatif yang menarik.


Kelebihan

  • Bateri tahan lama (hingga seminggu).
  • Paparan LTPO OLED besar dan terang.
  • Rekaan selesa dipakai lama.
  • HarmonyOS ringkas dan jimat bateri.
  • Fungsi kesihatan, notifikasi dan sukan lengkap.

 Kekurangan

  • Aplikasi pihak ketiga terhad.
  • Integrasi telefon tidak meluas.
Image from: Ulasan Huawei Watch Fit 5 Pro – Naik Taraf Kecil Dengan Impak Besar