Nothing Phone (2a) telah pun rasmi dilancarkan hari ini. Peranti ini bukan sekadar baik dari segi rekaan dan lampu Glyph sahaja, tetapi prestasi, perisian dan kamera juga tidak mengecewakan. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan selepas sekitar dua minggu.


SPESIFIKASI DAN REKAAN
Skrin 6.7″ AMOLED, 1084 x 2412 (394 PPI)
Gorilla Glass 5, 30Hz-120Hz, 1300 nitsCip MediaTek Dimensity 7200 Pro (4nm)
2x 2.8 GHz Cortex-A715
6x 2.0 Cortex-A510GPU Mali-G610 MC4 Kamera Belakang 50 MP, f/1.88, OIS & EIS
50 MP, f/2.2
4K 30fps, 1080p 60fps
1080p 120fps (Slo-Mo)
TrueLens Engine, Ultra XDR,
Portrait OptimiserKamera Hadapan 32 MP f/2.2 Audio Speaker stereo Biometri Pengimbas cap jari bawah skrin Perlindungan IP54 Bateri 5000mAh Harga RM1,699 12/256 GB


Rekaan peranti masih rata di sisi, panel belakang masih lutsinar, sistem LED Glyph masih disertakan dan peranti ini sangat selesa di dalam tangan. Seperti semasa menggunakan Phone (1) dan Phone (2) tempoh hari, saya beberapa kali ditegur orang bertanya apakah telefon yang saya gunakan kerana rekaan peranti Nothing yang unik berbanding peranti pengeluar lain.


Di atas hanya ada lubang mikrofon sementara di bawah pula terdapat port USB-C, lubang mikrofon, slot kad SIM dan kekisi speaker. Pada sisi kanan terdapat butang laras suara dan sisi kiri pula hanya ada butang kuasa. Bonggol kamera di belakang tidak begitu besar dan nampak seakan sepasang mata. Di sebalik panel lutsinar peranti ini, komponen peranti yang mengambil inspirasi daripada peta sistem kereta api bawa tanah New York.


Satu perkara bonus yang saya suka pada rekaan peranti ini ialah apabila diletak atas permukaan yang rata tidak akan terjungkit. Jika anda ingin tahu, panel belakang peranti ini menggunakan bahan binaan TPU yang sama dengan kebanyakan kerangka pelindung. Tetapi Nothing memberitahu kami, pengguna tidak perlu risau akan kesan kekuningan kerana ia tidak akan berlaku dalam jangka masa pendek.
SKRIN
Saya tiada masalah dengan skrin peranti-peranti Nothing. Ia cantik, terang dan menyokong kecerahan yang cukup memuaskan. Tetapi pada tahun 2024, untuk peranti kelas pertengahan yang kebanyakannya sudah menggunakan skrin sehingga 1500 nits ke 2000 nits – Phone (2a) yang terhad kepada 1300 nits agak mengecewakan. Walaupun tidak menggunakan panel LTPO, kadar segar semula adaptif peranti ini agak baik tidak seperti peranti pesaing dalam kelas sama.


Perkara yang saya tidak boleh maafkan adalah, Nothing masih enggan memberi pengguna akses menonton video HDR. Baik Prime Video, Netflix atau Disney+ sokongan HDR 10+ atau Dolby Vision tidak disokong dan terhad kepada FHD sahaja. Alasan jurutera Nothing semasa Phone (1) adalah, Netflix mewajibkan aplikasi sedia terpasang. Tetapi banyak sahaja peranti pesaing yang tidak mempunyai Netflix terbina tiada masalah menstrim kandungan dengan kualiti tertinggi.


SISTEM BIOMETRI
Agak perlahan. Jari saya yang sudah dilap dengan kain dan diyakini bersih baik jari kiri atau kanan, kedua-duanya ada masalah. Ia mengambil masa yang sedikit lama untuk diimbas dan menyahkunci peranti.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – NOTHING OS, DIMENSITY 7200 PRO
Nothing Phone (2a) menggunakan Nothing OS 2.5 berasaskan Android 14. Ia adalah lebih kurang sama dengan pada Nothing Phone (2) sekarang, jadi ciri seperti Glyph Timer atau lampu bergerak mengikut aras suara dapat digunakan pada peranti ini. Nothing turut terus memfokuskan penggunaan tema monokrom, yang kini diberi pilihan ketika awal tetapan peranti.


Tidak banyak perubahan besar pun di dalam Nothing OS kerana perubahan besar adalah untuk Nothing OS 3.0 yang akan tiba tahun ini. Penggunaan Widget turut ditekankan dengan banyak widget hidup disertakan seperti kompas, pedometer dan banyak lagi. Nothing turut menyertakan ciri AI yang boleh menjana imej latar, serta menggunakan AI untuk memastikan sistem sentiasa lancar.


Berikut adalah antara ciri yang saya sukakan pada peranti ini;
- RAM Booster
- Menambah jumlah RAM sehingga 8GB.
- Smart Clean
- Serpihan fail disusun semula dengan AI agar boleh kekal beroperasi pantas seperti penggunaan hari pertama.
- NTFS Optimisations
- Pemindahan fail dari peranti ke komputer lebih pantas dan lancar.
- HyperEngine 5.0
- Memastikan bingkai permua kekal pantas dan jimat bateri sehingga 18%.
- AI Wallpaper Generator
- Seperti siri Pixel 8 dan siri Galaxy S24, boleh jana imej latar dengan AI.


Nothing Phone (2a) akan disokong selama tiga tahun untuk kemas kini perisian dan empat tahun untuk tampalan sekuriti. Pada hemat saya, ia adalah perkara baik. Nothing pun menyarankan pengguna Phone (1) yang telah menggunakan peranti untuk dua tahun bertukar ke Phone (2a).
PRESTASI DAN PENANDA ARAS – Dimensity 7200-Ultra
Memandangkan saya telah menguji peranti Dimensity 7200 yang lain iaitu Redmi Note 13 Pro+ 5G dengan Dimensity 7200 Ultra, saya boleh katakan pengalaman penggunaan dengan Phone (2a) bersama Dimensity 7200 Pro adalah lebih kurang sama. Tetapi untuk permua dan multi-tugasan, Redmi adalah lebih baik. Disebabkan itu juga skor penanda aras Phone (2a) adalah lebih rendah.


Untuk penggunaan ringan dan bersahaja seperti sekadar kamera dan media sosial. Nothing Phone (2a) benar-benar dibangunkan memfokuskan kepada penggunaan teras Nothing OS sahaja.
Geekbench 6
- Nothing Phone (2a) – 1110/2589
- Redmi Note 13 Pro+ 5G – 1127/2658
- Oppo Reno11 Pro 5G – 934/3389
Antutu 3D
- Nothing Phone (2a) – 685,115
- Redmi Note 13 Pro+ 5G – 757,180
- Oppo Reno11 Pro 5G – 937,938
3DMark Wild Life Extreme
- Nothing Phone (2a) – 1157 / 6.93 FPS
- Redmi Note 13 Pro+ 5G – N/A
- Oppo Reno11 Pro 5G – N/A

Permua dengan grafik tinggi seperti COD Mobile boleh dimainkan pada tetapan maksimum, tetapi peranti akan mula memanas dan selepas bermain lengah masa pada sistem akan terasa. Permua lebih ringan seperti Marvel Snap turut rasa perlahan berbanding dimainkan pada Redmi Note 13 Pro+. Saya tidak rasa kecewa kerana wakil Nothing telah memberitahu saya, prestasi untuk permua bukan fokus utama peranti ini.
TELEFONI DAN GPS
Rekaan unik peranti ini membuatkan saya persoalkan Nothing, adakah menggunakan kerangka aluminium kemudian antena disembunyikan di sebalik lapisan cat dan plastik akan menjejaskan kualiti rangkaian Internet. Nothing menjawab tidak dan dalam cubaan saya tidak kira WiFi atau 5G semuanya beroperasi dengan baik. GPS juga baik sehingga saya boleh bergantung kepada peranti ini 100% untuk berjalan kaki di Barcelona seorang diri.
KAMERA
Setakat ini, Redmi Note 13 Pro+ dengan kamera 200MP adalah peranti kelas pertengahan yang berbaloi dimiliki. Bagaimana pula dengan Nothing Phone (2a) yang hanya ada kamera 50MP dan dijual pada harga lebih kurang sama. Kamera peranti ini agak baik, ia mampu memelihara butiran dengan baik cuma sistem OIS dan EIS yang digunakan seakan tidak begitu stabil. Ini menyebabkan gambar subjek bergerak atau di waktu malam kurang memuaskan.


Kemampuan zum boleh dilupakan kerana ia hanya digital dan tidak begitu memuaskan. Mod potret ada masalah fokus sedikit dan akhir sekali sudut ultra lebar kelihatan cantik. Perkara yang saya tidak puas hati adalah masa pasca proses setiap gambar adalah sekitar 3-5 saat yang mana agak perlahan.










