OnePlus 15 dilancarkan secara rasmi tahun di Malaysia minggu ini dengan ia adalah yang pertama dilengkapi cip Snapdragon 8 Elite Gen 5. Memang sekilas pandang ia adalah mirip dengan Oppo Find X9 Pro yang baru memasuki pasaran Malaysia dan menggunakan Dimensity 9500. Jadi antara dua peranti yang serupa tetapi tak sama ini, yang mana satu lebih berbaloi untuk dimiliki?

SPESIFIKASI
| OnePlus 15 | |
|---|---|
| Skrin | 6.78″ LTPO AMOLED, 165Hz 1272 x 2772 pixel Dolby Vision, HDR10+, HDR Vivid |
| Pemproses | Snapdragon 8 Elite Gen 5 |
| Cip | 2 x 4.6 GHz Oryon V3 Phoenix L 6 x 3.62 GHz Oryon V3 Phoenix M |
| Cip Grafik | Adreno 840 |
| RAM | 16GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 512GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama | 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.0 (Ultra Lebar) 50MP f/2.8, OIS (Telefoto 3.5x) 8K@30fps |
| Kamera Swafoto | 32MP f/2.4 4K 60FPS |
| Bateri | 7300 mAh SiC Pengecasan berwayar 120W Pengecasan nirwayar 50W Pengecasan berbalik 10W |
| SIM/Telefoni | Nano/eSIM |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68/IP69K |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari bawah skrin Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM4399 (16/512 GB) |
SKRIN
Skrin rata sebesar 6.78″ LTPO AMOLED sekilas pandang nampak seperti tiada bezanya dengan panel Oppo Find X9 Pro dan Vivo X300 Pro yang bersaiz sama. Namun ini tidak benar sama sekali kerana ia menyokong kadar segar semula sehingga 165Hz dan kadar mengesan sentuhan 3200Hz yang adalah tertinggi di pasaran sekarang.

Panel yang rata ini mempunyai bezel yang cukup nipis dengan ia sekata di empat-empat sisi. Di atas kami katakan kadar segar semula ialah sehingga 165Hz tetapi dalam majoriti situasi ia akan hanya meningkat ke 120Hz. Mod 165Hz hanya diaktifkan dalam aplikasi tertentu seperti COD Mobile dan Real Racing. Dengan kadar segar semula serta pengesanan sentuhan tinggi, peranti terasa amatlah lancar ketika digunakan.
Bagi pencinta kandungan video, skrin OnePlus 15 menyokong HDR10+ dan Dolby Vision secara serentak. Kandungan Netflix dan Apple TV boleh ditonton menggunakan mod Dolby Vision ini dengan kadar bingkai sehingga 60Hz.
BIOMETRI
Sistem biometri adalah dari jenis pengimbas jari sisi terbina bawah skrin dan imbasan wajah. Lokasi pengimbas cap jari pada OnePlus 15 kini lebih tinggi berbanding model tahun lalu. Proses mengimbas cap jari menjadi lebih mudah dengan kedudukan pengimbas baharu ini. Ianya juga beroperasi lebih. pantas. Imbasan wajah juga pantas asalkan dalam situasi kawasan sekeliling yang terang.

REKAAN
Rekaan tubuh ialah kemas kini yang paling saya sukai berbanding OnePlus 13. Ia mempunyai sisi dengan kemasan yang agak kasar terasa seperti permukaan tembikar dan tidak memerangkap kotoran. Kemasan panel belakang pula menggunakan teknologi MAO (micro arc oxidation) yang tahan lasak tetapi juga tidak memerangkap kotoran dengan mudah. OnePlus 15 ialah telefon pertama yang saya rasakan selesa digunakan tanpa kerangka.

Butang Plus Key menggantikan butang luncur pada sisi kiri yang menjadi identiti OnePlus sejak sekian lama. Menerusi butang ini lebih banyak aksi boleh ditetapkan oleh pengguna seperti melancarkan kamera, membuka aplikasi tertentu, membisukan notifikasi, menyimpan ke Mind Space dan melancarkan aplikasi Recorder.

Dua kekisi untuk speaker diletakkan di atas dan bawah untuk menghasilkan audio yang sekata. Di belakang terdapat bonggol kamera berbentuk empat segi yang besar tetapi tidak begitu tinggi. Kerana ia berkotak, peranti sentiasa stabil di atas meja. Sebuah pemancar infra merah (IR blaster) juga diletakkan di dalam bonggol ini untuk fungsi alat kawalan jauh.

Tubuh melepasi piawaian IP68/IP69K yang tertinggi pernah diberikan kepada peranti OnePlus. Setelah sekian lama tidak ingin memberikan piawaian kalis air dan debu, tahun in mereka terus memberikan piawaian yang terbaik di dalam kelasnya.

Tubuh OnePlus 15 juga masih nipis walaupun ia dilengkapi bateri sebesar 7300 mAh. Dalam kalangan peranti mercu tahun ini, OnePlus 15 mempunyai saiz bateri kedua terbesar di belakang Oppo Find X9 Pro yang dilengkapi bateri 7500 mAh. Bateri gergasi silikon karbon ini menyokong pengecasan 120W SuperVOOC.

Perisian – OxygenOS 16
OxygenOS 16 adalah berasakan Android 16 dengan ia amat mirip dengan ColorOS 16. Semua ciri-ciri yang diberikan adalah sama contohnya ialah Flux Themes dan membolehkan ikon diubah bentuk, saiz, warna, sudut serta animasi. Tema ini mirip dengan pilihan yang diberikan dalam NothingOS 2 dan iOS 26. Ikon misalnya boleh diubah menjadi monokrom atau menggunakan satu warna sahaja secara seragam. Memang cantik tetapi tidak boleh dinafikan ia mengambil inspirasi daripada Nothing dan Apple.

Baiklah antaramuka mungkin tidak begitu original tetapi bagaimana pula dengan penggunaan? NothingOS 16 adalah amat lancar dengan tiada isu seperti animasi tersekat atau ralat dalam paparan kandungan. Animasi nampak cantik dan tidak menambat-lambatkan proses membuka aplikasi.
Terdapat ciri tambahan RAM Expansion sehingga 12GB jika memori 16GB sedia ada dirasakan tidak mencukupi. Smart Sidebar memudahkan aplikasi dilancarkan dengan pantas serta mengakses mod Split View. Live Alerts pula meletakkan aplikasi seperti pemain muzik, peta dan notifikasi Google dalam kapsul kecil yang sentiasa dipaparkan berhampiran kamera swafoto. Ini adalah ciri mirip Dynamic Island.

Ciri AI yang ditawarkan pula adalah bentuk carian universal AI Search yang mencari fail tersimpan dalam peranti dengan pantas. Maklumat dalam tangkapan skrin, nota, tetapan dan kalendar juga boleh dicari menggunakannya. AI writer membantu anda menulis sekiranya kekeringan idea. AI Voice Scribe mengubah rakaman audio menjadi transkrip yang boleh dibaca. Menerusi AI Translate alih bahasa masa nyata boleh dilakukan.
Dalam aplikasi Photos pula ada beberapa lagi ciri AI tambahan seperti AI Recompose, AI Eraser, AI Relight, AI Perfect Shot, AI Detail Boost, AI Unblur, dan AI Reflection Eraser. Berdasarkan nama saya yakin anda boleh mengagak apakah suntingan yang boleh dilakukan oleh setiap ciri AI ini.

Fungsi standard Google Circle to Search, Gemini dan Gemini Voice juga disertakan kerana ia tidak lagi eksklusif pada sesetengah jenama peranti sahaja sejak tahun ini. Pendek kata penawaran ciri-ciri pada OxygenOS 16 adalah memuaskan dengan majoritinya berguna.
PENANDA ARAS
Berikut ialah markah penanda aras Antutu 3D, Geekbench 6 dan 3D Mark Wildlife Extreme. Saya bandingkan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 pada OnePlus 15 dengan peranti-peranti mercu di bawah.
- Tensor G5 – Google Pixel 10 Pro XL
- Dimensity 9500 – Oppo Find X9 Pro
- Apple A19 Pro – Apple iPhone 17 Pro
- Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
- MediaTek Dimensity 9400 – Oppo Find X8 Pro
- Apple A18 Pro – Apple iPhone 16 Pro Max
AnTuTu 3D
| Cip | Skor |
| OnePlus 15 | 3,720,096 |
| Google Pixel 10 Pro | 1,214,735 |
| Oppo Find X9 Pro | 3,472,342 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 1,946,864 |
| Oppo Find X8 Pro | 2,629,017 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 1,720,751 |

Geekbench 6
| Cip | Satu Teras | Multi Teras |
| OnePlus 15 | 3553 | 10484 |
| Google Pixel 10 Pro | 2303 | 6134 |
| Oppo Find X9 Pro | 3158 | 9298 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 2957 | 9435 |
| Oppo Find X8 Pro | 2663 | 8959 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 3359 | 8129 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| OnePlus 15 | 6741 |
| Google Pixel 10 Pro | 3266 |
| Oppo Find X9 Pro | 6127 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 6135 |
| Oppo Find X8 Pro | 6251 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 4560 |

Secara rasminya OnePlus 15 ialah telefon paling berkuasa di Malaysia kerana markah penanda aras yang dicatatkan sangat melampau. Setanding dengan markah pada peranti prototaip Snapdragon 8 Gen 5 yang saya uji di Hawaii beberapa bulan lalu. Ini ialah peranti pertama mencecah 10,000 markah dalam ujian Geekbench.
Berita baik ialah apabila menjalankan permua lazim tiada sebarang isu. Memasang dan melancarkan aplikasi adalah super pantas. Dalam permua seperti COD Mobile dan Genshin Impact, ia boleh dijalankan pada tetapan tertinggi. COD Mobile ialah antara aplikasi yang menyokong mod skrin 165 FPS dan ia berfungsi seperti diiklankan. Pada tetapan ini kualiti grafik secara automatik dihadkan ke Medium sahaja oleh aplikasi.
Selepas 5-6 sesi MP dalam COD Mobile, peranti tidak menjadi panas cuma sedikit suam sahaja di belakang. Berbeza sungguh dengan Pixel 10 Pro XL dengan Tensor G5 yang memanas seperti pisang goreng baru diangkat digoreng.

Mengambil gambar berkali-kali juga tidak membuatkan telefon menjadi panas melampau. Ambillah sebanyak mana gambar yang anda mahukan peranti tidak akan tergendala. Peranti hanya menjadi panas melampau semasa menjalankan ujian Antutu 3D. Sistem Antutu mencatatkan suhu sehingga 48 darjah Celsius semasa ujian dilakukan sehingga langsung tidak boleh dipegang.
KAMERA
Kamera utama terdiri daripada sudut lebar 50MP, ultra lebar 50MP dan telefoto 50MP dengan zum sehingga 120X secara digital. Di hadapan pula kamera swafoto sebesar 32MP. Di atas kertas spesifikasi yang tidak mengecewakan bagi sebuah peranti mercu. Perbezaan hanyalah pada Find X9 Pro dan X300 Pro sensor telefoto sebesar 200MP.
Gambar yang diambil OnePlus 15 adalah ok tetapi tidak menakjubkan. Kurang menyerlah pada penghasilan warna jika saya bandingkan dengan kamera Find X9 Pro dan X300 Pro. OnePlus juga tidak menawarkan kit kamera dengan telefon ini. Di samping itu, tiada butang kamera disertakan pada sisi telefon seperti dua peranti pesaing tadi.
Dalam semua situasi saya terkilan dengan warna yang kurang bermaya dan kadang kala imej kurang tajam walaupun kamera mempunyai OIS. Tiada lagi sistem Hasselblad dan oleh sebab itu tiada mod X-Pan yang cukup saya gemari.







Kamera boleh melakukan zum sehingga 120X menerusi mod digital. Seperti semua kamera peranti mercu moden, algoritma digunakan untuk meningkatkan kualiti akhir gambar. Pada tetapi sehingga 30X gambar masih nampak memuaskan. Juara zum tahun 2025 masih lagi Pixel 10 Pro XL yang mempunyai algoritma yang terbaik khususnya pada tetapan zum yang melanpau.






BATERI
Bateri 7300 mAh boleh bertahan lebih sehari dengan sekali caj. Satu pencapaian yang sangat menakjubkan. Secara purata jika telefon dicabut daripada pengecas pada jam 7 pagi, masih ada lebih 35% bateri pada jam 10 malam apabila saya ingin tidur. SOT lebih 10 jam adalah kebiasaan dalam penggunaan sederhana. Pengecasan semula pula hanya mengambil masa sekitar 40 minit dengan pengecas 120W. Ini adalah jauh lebih pantas berbanding 70 minit untuk mengecas bateri 5000 mAh pada Gaalxy S25 Ultra.

AUDIO
Dua speaker stereo mempunyai kekisi yang menembak ke sisi. Audio sangat seimbang dan lantang. Tiada terasa kosong cuma kurang dinamik. Ini kerana hanya sistem O-Reality disokong bukannya Dolby Atmos. Skrin ada Dolby Vision tetapi audio pula tiada Dolby Atmos yang saya rasakan adalah sedikit aneh. Tiada bicu audio tetapi ini bukan perkara baharu bagi sebuah peranti OnePlus.

DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x OnePlus 15
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

KESIMPULAN
OnePlus 15 ialah peranti sangat berkuasa, skrin yang pantas, bateri yang tahan lama, dengan pengecasan yang pantas. Ini dipadankan dengan perisian yang lancar dan mempunyai pelbagai ciri tambahan menarik. Jika lima kriteria ini penting untuk anda pada telefon yang ingin dibeli, OnePlus 15 melepasinya dengan cemerlang.

Tetapi saya harus menyatakan prestasi kamera tidak sebaik peranti mercu pesaing. Dalam sesetengah situasi gambar daripada Pixel 10 Pro Fold nampak lebih cantik walaupun dengan sensor lebih kecil. Juga perisian hanya disokong 4+6 tahun sahaja.
Tetapi dengan harga jualan RM4399 sebuah, ia lebih murah berbanding peranti lain dengan cip dalam kelas yang sama. Harga lebih mampu milik berbanding pesaing ini membuatkan kekurangan yang ada boleh dimaafkan.
Pro
- Rekaan premium sangat selesa dan tidak mudah kotor.
- Kombinasi RAM dan storan pantas.
- Snapdragon 8 Elite Gen 5 memang paling berkuasa setakat ini.
- Kalis air dan debu IP69K
- Bateri 7300 mAh tahan lama dan menyokong pengecasan pantas 120W.
Kontra
- Kamera sekadar sederhana tiada lagi Hasselblad.
- Sokongan perisian hanya 4+6 tahun.
- Pengecas tidak disertakan dengan pembelian.



