Pada pelancaran siri Oppo Find X8 bulan November yang lalu, Oppo turut memperkenalkan fon telinga baharu mereka iaitu Enco X3i. Siri Oppo Enco X merupakan fon telinga dalam kelas mercu oleh Oppo tapi untuk Enco X3i ia merupakan TWS dalam kelas pertengahan premium. Saya berpeluang untuk mencuba sendiri Oppo Enco X3i untuk beberapa minggu dan dalam artikel ulasan ini saya akan kongsikan beberapa pendapat saya tentangnya.

SPESIFIKASI DAN REKAAN
Oppo Enco X3i Jenis Fon dalam telinga Pemacu Audio 10.4 mm woofer + 6mm tweeter Mikrofon 3x mikrofon Sensor Auto jeda Bateri 58mAh fon telinga
520mAh kerangka
7 jam berterusan
44 jam dengan pengecasTambatan Bluetooth 5.3
Google Fast PairCodec AAC,SBC, LHDC 5.0 Pengecasan USB-C
10 Minit untuk 2 Jam PenggunaanSokongan aplikasi HeyMelody (untuk peranti selain Oppo) Kawalan Sesentuh Kemampuan kalis air IP55 Fon telinga Harga Jualan RM499
Dari segi rekaan, saya amat suka dengan rekaan pada Enco X3i. Tambahan pula dengan warna Electric Blue ini yang tidak terlalu menonjol. Satu perkara yang saya kurang gemar pada Enco X3i ini ialah jenis kemasan berkilat yang digunakan, kerana kesan cap jari sangat mudah melekat lagi-lagi orang seperti saya yang kuat berpeluh. Sambungan USB-C pada Enco X3i ini digunakan untuk pengecasan, terdapat satu butang dalam pod pengecasan untuk melakukan tambatan dan lampu LED untuk menunjukkan tahap bateri.

Selain itu, Enco X3i ini juga mendapat sokongan kalis air dan debu IP55 jadi tiada masalah untuk menggunakannya semasa melakukan aktiviti sukan. Salah satu perkara yang saya suka dengan Enco X3i ini ialah ciri sentuh pada fon telinga ini sangat baik dan anda hanya perlu luncurkan jari ke atas atau bawah untuk menyesuaikan kelantangan audio. Sambungan boleh dibuat melalui Bluetooth 5.3 atau melalui tambatan Google Fast Pair.

KUALITI AUDIO
Oppo Enco X3i ini datang dengan dua jenis pemandu audio yang berbeza iaitu 10.4mm woofer dan 6mm tweeter. Ditambah pula dengan sokongan codec LHDC 5.0, Enco X3i menghasilkan bunyi cukup sedap apabila semua ciri ini digabungkan.
Kualiti audio yang dihasilkan Enco X3i ini sudah memuaskan hati saya. Sebelum saya menggunakan Enco X3i ini, saya adalah pengguna CMF Buds Pro 2 yang memfokuskan kepada bass tinggi. Pada Enco X3i ini, bass yang dihasilkan dalam paras yang cukup-cukup makan serta tidak melampau. Setiap bass dalam lagu boleh didengari tanpa sebarang masalah.

Saya banyak mencuba dengan lagu bergenre ‘post-hardcore’, di mana bass rendah di dalamnya boleh kedengaran dengan jelas bersama Enco X3i. Jika anda merasakan bass yang dihasilkan masih lagi tidak cukup, terdapat ciri Bass Boost dan BassWave di dalam aplikasi HeyMelody untuk dentuman yang lebih dalam.
Jika anda seperti saya yang meminati lagu genre Rock atau Progressive Rock, anda pasti akan menyukai bunyi gitar yang dihasilkan Enco X3i ini yang memang cukup merdu serta tidak terlalu nyaring. Pada bunyi frekuensi tinggi, Enco X3i ini boleh menjalankan tugasnya dengan baik tanpa sebarang bunyi yang pecah. ‘Sound Stage’ juga agak luas di mana anda boleh dengar setiap instrumen dengan baik dari setiap arah dan tidak berkecamuk antara satu sama lain.

Seperti kebanyakan TWS Premium di luar sana, Enco X3i ini juga hadir dengan ciri ANC, mod tembus bunyi dan ciri tambahan seperti Golden Sound 2.0 dan Oppo Alive Audio. Saya merupakan pengguna pengangkutan awam dan saya sangat suka dengan ciri pembatalan hingar pada Enco X3i ini kerana bunyi persekitaran dapat dikurangkan dengan sangat ketara.
Namun saya lebih sarankan anda untuk mengaktifkan ciri pembatalan hingar pintar mengikut keadaan sekeliling. Mod tembus bunyi agak baik, di mana saya boleh mendengar keadaan sekeliling dengan jelas. Salah satu ciri yang saya kurang gemar ialah Golden Sound 2.0 kerana audio akan menjadi seakan ‘distorted’ berbanding sepatutnya. Oppo Alive Audio pula tidak menghasilkan bunyi spatial yang memuaskan kerana saya rasakan bunyi spatial pada CMF Buds Pro 2 lebih mengasyikkan.
APLIKASI
Saya mencuba Enco X3i ini dengan peranti dari Oppo juga jadi saya tidak perlu memuat turun aplikasi HeyMelody secara berasingan. Penggunaan dalam aplikasi bagi saya cukup memudahkan. Anda boleh mengubah-ubah EQ dalam Enco Master EQ melalui profil yang telah dipra-tetapkan. Kadar mod ANC juga boleh dipilih dalam aplikasi ini memberi pengguna lebih kawalan yang fleksibel.

BATERI
Oppo mengiklankan TWS ini sebagai produk audio yang boleh bertahan sehingga 5.5 jam dengan tetapan LHDC, ANC atau mod tembus bunyi. Semasa saya mencubanya, fon telinga ini boleh bertahan dalam 6 jam dengan tetapan yang sama dan ini adalah satu pengalaman yang impresif.

Jika anda ingin ketahanan bateri yang lebih panjang anda boleh menggunakan codec AAC dan mematikan ANC. Melalui pod pengecasan, kadar bateri boleh dipanjangkan lagi ke 28 jam. Pengecasan juga cukup baik dengan hanya 10 minit pengecasan anda boleh dapat sehingga 7 jam penggunaan.
KESIMPULAN
Secara dasarnya, Oppo Enco X3i ini boleh memberikan kualiti audio yang cukup baik untuk ramai orang. Keseluruhan audio dari frekuensi rendah ke tinggi dapat didengar dengan jelas. Namun beberapa ciri tambahan pada Enco X3i ini tidak terlalu memberi kesan yang terlalu besar pada bunyi yang dihasilkan.

Kualiti binaan juga sangat cantik dan terasa premium, cukup selesa untuk pakai dalam tempoh masa yang lama sesuai dengan ketahanan bateri. Oppo Enco X3i ini dijual pada tanda harga RM499 yang lebih rendah dari Enco X2 terdahulu namun pada harga itu Enco X3i bersaingan rapat dengan jenama lain seperti Nothing Ear (a).
PRO DAN KELEBIHAN
- Pilihan warna yang menarik
- Prestasi ANC yang baik
- Menghasilkan bunyi yang sedap.
- Ciri sesentuh sangat responsif dan berguna.
KONTRA DAN KEKURANGAN
- Kemasan berkilat yang mudah kotor.
- Ciri tambahan yang kurang memuaskan.
- Harga jualan yang agak tinggi.

