Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

TechnologyDigital
2 Sep 2026 • 9:01 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Pengenalan Oppo Reno16 Pro 5G mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna. Ada yang memuji, ada juga yang mempersoalkan harga jualannya yang hampir menyamai kategori mercu. Perdebatan ini menunjukkan peranti ini menimbulkan persoalan tentang nilai pembelian dan kedudukannya dalam pasaran semasa. Jadi, bagaimana sebenarnya prestasi Reno16 Pro 5G ini? Berikut ialah ulasan penuh.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Spesifikasi Peranti

OPPO Reno16 Pro 5G
SkrinAMOLED, 144Hz, 3840Hz PWM, HDR10+, 600 nits
6.32 inci FHD+ (1216 x 2640 piksel)
nisbah 19.5:9 (~460 ppi)
PemprosesMediatek Dimensity 8550 Super (4nm)
Cip1 x 3.4 GHz Cortex-A725
3 x 3.2 GHz Cortex-A725
4 x 2.2 GHz Cortex-A725
Cip GrafikMali-G720 MC8
RAM12GB RAM LPDDR5X
RAM Maya (+12GB RAM)
Muatan Dalaman265/512GB UFS 4.0
Kamera Utama200 MP, f/1.8, 24mm (lebar) PDAF, OIS
50 MP, f/2.8, 80mm (telefoto) PDAF, OIS
50 MP, f/2.0, 16mm (ultrawide)
Kamera Depan50 MP, f/2.0 (ultra-lebar)
BateriSi/C Li-Ion 6700 mAh
Berwayar 80W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP68/69
Sistem ImbasanImbasan cap jari
Imbasan wajah
Harga JualanRM3699 (12/256GB)

Pengalaman Penggunaan

Oppo sinonim dengan reka bentuk peranti yang bergaya dan Reno16 Pro meneruskan tradisi itu dengan konsisten. Ada yang berpendapat tiada perubahan besar berbanding siri Reno sebelum ini, dan pandangan itu wajar kerana reka bentuk sememangnya subjektif. Sebahagian pengguna menganggap ia sudah memadai, manakala yang lain pula mengharapkan kelainan yang lebih ketara.

Namun perlu diakui bahawa segmen telefon pintar kini sudah berada pada tahap matang. Dalam keadaan sebegini, sukar untuk melihat perubahan besar daripada satu generasi ke generasi berikutnya. Kebanyakan pengeluar lebih menekankan penambahbaikan kecil serta pengalaman penggunaan yang konsisten, berbanding memperkenalkan sesuatu yang benar-benar baharu. Akhirnya, semua ini bergantung kepada keutamaan pengguna sendiri.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Pun begitu, Reno16 Pro tetap memberi pengalaman yang menyenangkan. Saya tidak terlalu kisah tentang saiznya kerana ia hampir sempurna untuk kegunaan harian. Sebagai pengguna iPhone 14 sebelum ini, saya tidak perlu menyesuaikan diri dengan telefon ini. Ia muat elok di tangan kecil saya dan mudah digunakan dengan satu tangan. Walaupun digunakan berjam-jam, saya tidak pernah rasa tidak selesa.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Bahagian sisi yang melengkung menjadikan telefon ini lebih selesa digenggam, walaupun terdapat sedikit kesukaran ketika memasang atau menanggalkan pelindung skrin. Akhirnya, saya memilih untuk menggunakan tanpa kerangka pelindung pada kebanyakan masa kerana lebih gemar menikmati kemasan asalnya. Namun begitu, ia bukanlah isu besar. Dalam penggunaan harian, telefon ini tetap terasa stabil di tangan hasil binaannya yang kukuh.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Saya juga tidak menghadapi masalah dengan unit berwarna hitam yang diterima kerana ia membawa aura klasik dan sering dianggap sebagai pilihan selamat. Kemasan pusam pada panel belakang membantu mengurangkan kesan cap jari, walaupun tidak sepenuhnya menghilangkannya. Saya suka bagaimana warna ini tidak memantulkan cahaya di mana berbeza dengan varian putih yang lebih berani bereksperimen dengan konsep planet terapung. Hitam mungkin nampak sederhana, tetapi sebenarnya ia memberikan rasa premium yang tersendiri serta relevan tanpa mudah lapuk.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Oppo menambah butang AI Snap Key di sisi kiri, menjadikannya model pertama dalam siri Reno yang menerima ciri ini selepas ia diperkenalkan pada segmen mercu mereka. Dari segi rasa, ia mirip dengan Action Button pada iPhone. Secara lalai, ia membuka Mind Space, tetapi boleh ditukar kepada pintasan lain seperti kamera, lampu suluh atau profil bunyi. Tekanannya terasa tegap dan responsif, namun saya sendiri jarang menggunakannya. Bagi saya, ia sekadar tambahan yang menarik dan bukannya sesuatu yang penting dalam penggunaan harian.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Susun atur butang dan port pada Reno16 Pro terasa konsisten dengan model Oppo sebelum ini. Di sebelah kanan terdapat butang kuasa serta pelaras audio, manakala bahagian bawah menempatkan port USB-C, pembesar suara stereo (satu lagi di bahagian atas telefon), dan dulang SIM. Semuanya mudah dicapai dan memberi rasa yang sudah biasa. Kebetulan saya kerap mengulas peranti Oppo sejak kebelakangan ini, jadi susun atur seperti ini tidak lagi terasa asing.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Pengalaman saya dengan pembesar suara stereo pada Reno16 Pro agak bercampur. Pembesar suara utama di bahagian bawah kedengaran lantang dan jelas kerana ruangnya lebih besar. Sebaliknya, pembesar suara di bahagian atas yang berkongsi ruang dengan earpiece menghasilkan bunyi yang lebih sempit. Akibatnya, audio terasa tidak seimbang dengan bahagian bawah lebih dominan. Walaupun begitu, keseluruhan pengalaman audio masih memadai, cuma keseimbangan antara kedua-dua pembesar suara boleh diperbaiki untuk menjadikan pengalaman mendengar lebih konsisten.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Skrin berukuran 6.5 inci hadir dengan kadar segar semula 144Hz. Bezel yang simetri dan nipis menjadikan paparan nampak moden serta kemas. Sejujurnya, saya tiada masalah dengan teknologi yang digunakan kerana pengalaman menonton dan menatal terasa konsisten serta lancar. Perubahan tahun ini jelas pada kadar segar semula skrin, yang meningkat daripada 120Hz di Reno15 Pro kepada 144Hz di Reno16 Pro. Namun realitinya, tidak semua orang akan melihatnya sebagai sesuatu yang besar atau berbaloi.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Bagi kebanyakan pengguna biasa, kadar segar semula 120Hz memang sudah cukup untuk kegunaan harian tanpa terasa perbezaan besar. Peningkatan kepada 144Hz di Reno16 Pro lebih memberi nilai kepada mereka yang benar-benar peka dengan kelancaran paparan atau gemar bermain permua yang menyokong kadar segar semula tinggi.

Pun begitu, dalam penggunaan harian, skrin Reno16 Pro terasa selesa untuk digunakan dengan satu tangan. Ruang paparan cukup luas untuk bermain permainan, menonton video dan menatal media sosial. Panelnya memberi warna yang jelas serta bermaya sekaligus menjadikan pengalaman tontonan lebih hidup khususnya di YouTube dan Netflix.

Namun ada satu kelemahan yang saya perasan. Apabila digunakan di luar pada cuaca panas terik, kecerahan skrin menjadi malap dan kandungan sukar dilihat dengan jelas. Dalam penggunaan harian biasa, paparan memuaskan, tetapi di luar ia terasa kurang selesa.


Perkakasan Dalaman – Dimensity 8550 Super

Oppo Reno16 Pro hadir dengan cip Mediatek Dimensity 8550 Super. Unit ulasan ini dilengkapi memori 12GB RAM serta storan dalaman 256GB yang mencukupi untuk tugasan serentak dan simpanan aplikasi harian. Namun, ramai pengguna mengharapkan versi global mengekalkan spesifikasi sama seperti di China yang menggunakan Dimensity 9500s. Perbezaan ini membuatkan sebahagian pengguna kurang puas hati kerana jangkaan awal tidak dipenuhi.

Berikut ialah perbandingan kemampuan Realme 16 Pro+ berbanding beberapa lagi peranti dalam lingkungan harga dan spesifikasi yang sama.

  • Realme 16 Pro+ – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
  • Nothing Phone (4a) Pro – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
  • Poco X8 Pro – Dimensity 8500 Ultra (4 nm)
  • Vivo V70 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
  • Oppo Reno15 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)

AnTuTu 3D

PerantiSkor
Oppo Reno16 Pro 5G2,041,950
Realme 16 Pro+1,424,007
Nothing Phone 4(a) Pro1,408,711
Poco X8 Pro2,086,502
Vivo V701,464,284
Oppo Reno151,412,018

Geekbench 6

PerantiSatu TerasMulti Teras
Oppo Reno16 Pro 5G15536183
Realme 16 Pro+13374132
Nothing Phone 4(a) Pro12823907
Poco X8 Pro17216340
Vivo V7013614181
Oppo Reno1512803857

3DMark Wildlife Extreme

CipSkor
Oppo Reno16 Pro 5G3949
Realme 16 Pro+2108
Nothing Phone 4(a) Pro1993
Poco X8 Pro4120
Vivo X702093
Oppo Reno152082

Meskipun begitu, pengalaman harian dengan Reno16 Pro masih berjalan lancar dan memadai untuk kegunaan biasa. Telefon ini memberi prestasi yang pantas serta responsif dalam tugasan harian, lalu menjadikan penggunaan seharian terasa memuaskan. Namun apabila digunakan dalam tempoh lama terutama ketika bermain permua, peranti ini mula menjadi hangat. Suhu yang meningkat menyebabkan prestasi menurun tetapi saya perasan tiada masalah kegagalan sistem berlaku.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Oppo Reno 16 Pro 5G menggunakan ColorOS 16. Dari segi kelancaran keseluruhan, pengalaman terasa baik kerana telefon berjalan lancar dan aplikasi dibuka dengan pantas. Antara muka juga kelihatan kemas bersama ciri AI turut menambah nilai. AI Mind Pilot membolehkan saya mendapatkan jawapan daripada beberapa model AI besar seperti Gemini, Perplexity dan ChatGPT dalam satu tempat. Sementara itu, AI Mind Space berfungsi sebagai ruang khas untuk menyimpan dan mengatur kandungan yang saya tangkap melalui AI Snap Key.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Pengalaman penggunaan terasa lebih menyenangkan dengan adanya Live Space, yang menambah animasi baharu pada skrin kunci agar kelihatan lebih menarik. Kapsul notifikasi turut lebih segar manakala O+ Connect memudahkan perkongsian fail merentas platform termasuk antara peranti Oppo dan Apple. Beberapa ciri tambahan seperti AI Grouping, AI Menu Translation, AI Popout dan AI Scan juga membantu memudahkan tugasan harian.


Kamera Dan Kualiti Gambar

Reno16 Pro hadir dengan kamera utama 200MP OIS, kamera telefoto 50MP dengan zum optik 3.5x serta ultra lebar 50MP bersudut pandang 116° dengan autofokus. Kamera hadapan 50MP menawarkan sudut pandang 100° dengan auto fokus sesuai untuk swafoto berkumpulan. Dari segi video, ia menyokong rakaman 4K60fps dengan gabungan EIS dan OIS, HDR serta mod-mod kreatif seperti dual-view dan Pop Cam terbina.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Pengalaman kamera Reno16 Pro memperlihatkan keseimbangan antara kekuatan dan kelemahan. Pada jarak fokus 1x dan 2x hasil imej kelihatan memuaskan dengan kualiti, pencahayaan serta ketajaman yang terpelihara. Lensa sudut lebar masih mampu mengekalkan perincian namun sudut pandangnya terasa agak sempit bagi pengguna yang menggemari perspektif lebih luas.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Apabila beralih kepada fungsi zum, kelemahan mula jelas kerana pencahayaan semakin pudar dan perincian berkurangan dengan ketara, khususnya pada zum digital. Dari segi warna, pendekatannya lebih semula jadi dengan sedikit kepekatan pada merah dan hijau, manakala warna lain kelihatan sederhana tanpa profil khas untuk bereksperimen.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Mod potret pada Reno16 Pro memberikan hasil yang meyakinkan. Pengesanan tepi dan pemisahan objek kelihatan kemas, walaupun terdapat sedikit cabaran apabila digunakan pada jarak fokus 1x. Resolusi tinggi pula menyokong sehingga 200MP pada kamera utama, manakala lensa sudut lebar dan zum 3x menggunakan sensor 50MP. Hasilnya memadai dengan ketajaman dan perincian yang baik, namun tidak selalu konsisten dalam semua keadaan.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Pop Camera menawarkan penuras dengan aura retro ala kamera digital. Hanya sebahagian kecil penuras menarik perhatian manakala selebihnya terasa biasa. Menariknya, Pop Camera terbina terus dalam aplikasi kamera sistem, bukan aplikasi tambahan. Selain itu, proses pasca rakaman kini lebih menarik dengan ciri pop-up baharu yang pasti digemari pengguna. Dari sudut prestasi keseluruhan kamera, proses pasca rakam mengambil masa agak lama sehingga gambar siap diproses sedikit perlahan, namun tidak menjejaskan pengalaman penggunaan

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Ketahanan Bateri

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Jangka hayat bateri merupakan salah satu kekuatan Oppo Reno16 Pro 5G. Dengan kapasiti 6,700mAh, ia mampu bertahan sepanjang hari bergantung pada corak penggunaan. Dalam penggunaan sebenar, SOT direkodkan adalah antara 7 hingga sekitar 10 jam bagi senario intensif seperti menggunakan aplikasi peta untuk navigasi, mengambil gambar, membalas mesej, atau bermain permua berpanjangan. Bagi penggunaan lebih ringan, ia boleh mencecah sehingga 16 jam. Angka ini menunjukkan variasi bergantung pada aktiviti, namun secara keseluruhan baterinya stabil dan cukup tahan untuk kegunaan harian.


Apa Di Dalam Kotak

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:

  • 1 x Oppo Reno16 Pro 5G.
  • 1 x Kepala Pengecas 80W.
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM.

Kesimpulan

Oppo Reno16 Pro 5G ialah telefon kelas pertengahan premium yang menawarkan pengalaman hampir setaraf mercu dengan gabungan kamera beresolusi tinggi, paparan dengan kadar segar semula tinggi, serta bateri yang tahan lama. Telefon ini sesuai untuk pengguna yang mahukan peranti bergaya dengan kemampuan kamera yang berkualiti serta ketahanan bateri yang boleh diharap sepanjang hari.

Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu

Namun begitu, harga jualan RM3,699 meletakkan Reno16 Pro terlalu dekat dengan kategori mercu. Situasi ini menjadikan nilai untuk wang sukar dipertahankan kerana pada julat harga tersebut pengguna sebenarnya sudah boleh mendapatkan telefon mercu sebenar yang menawarkan prestasi lebih seimbang.

Reno16 Pro 5G sesuai untuk mereka yang benar‑benar mengutamakan kamera dan bateri. Namun, ia kurang sesuai bagi pembeli yang mencari keseimbangan antara prestasi menyeluruh dan harga yang sepadan. Itulah kompromi yang perlu dipertimbangkan.

Kelebihan

  • Reka bentuk premium dan selesa digenggam.
  • Paparan AMOLED 144Hz yang lancar.
  • Kamera dengan hasil imej tajam, potret meyakinkan.
  • Bateri besar, mampu bertahan seharian.
  • Ciri AI baharu yang menambah nilai.
  • Kalis air IP68/69.

Kekurangan

  • Harga yang ditawarkan agak tinggi.
  • Cip Dimensity 8550 Super (bukan 9500s versi China).
  • Audio stereo tidak seimbang.
  • Kecerahan skrin kurang memuaskan di luar cahaya terik.
  • Prestasi menurun bila suhu meningkat.
  • Reka bentuk tidak banyak berubah dari siri Reno sebelumnya.
Image from: Ulasan Oppo Reno16 Pro 5G – Resipi Lama, Rasa Lebih Baharu
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved