Ulasan Oppo Watch X – Jam Tangan Berguna Dengan Bateri Tahan Lama

TechnologyDigital
21 Mar 2024 • 5:31 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini di Amanz, Oppo baru-baru ini melancarkan satu lagi produk terbaru iaitu jam tangan pintar Oppo Watch X. Menerusi penawaran jam tangan pintar ini, pastinya pengalaman penggunaan yang lebih baik diharapkan di samping mungkin dapat menjadikan Oppo sebagai antara pengeluar jam tangan pintar yang terbaik di pasaran.


SPESIFIKASI

Oppo Watch X
Skrin1.43″ AMOLED, 466 x 466, 1000 nits
PemprosesSnapdragon W5 Gen 1 
Memori/Storan2GB RAM,
Storan 32GB
Sistem OperasiWearOS 4
Perlindungan5ATM
SensorPengimbas nadi optikal, sensor pemecut,giroskop, sensor cahaya ambien, kompas elektronik,sensor barometer, sensor analisis impedans bioelektrik, fungsi pengecaman postur larian
Lain-LainGPS, Galileo, Glonass, BDS, QZSS, Bluetooth 5.0, Speaker Mikrofon, IP68
Bateri500 mAh
Pengecasan 7.5W
Bahan BinaanKerangka daripada keluli tahan karat, Skrin kaca kristal nilam, Tali jam getah
HargaRM1399


REKAAN

Seperti biasa dari segi rekaan, Oppo jarang sekali gagal dalam menghasilkan reka bentuk yang tampak bergaya dan berkualiti pada kebanyakan peranti keluaran mereka. Reka bentuknya cukup bergaya di samping menerapkan elemen klasik dengan skrin berbentuk bulat bersaiz 1.43” AMOLED.

image is not available

Berat jam tangan ini ialah 49g dimana sedikit lebih berat berbanding Redmi Watch 4 yang pernah saya uji sebelum ini tetapi beratnya masih boleh diterima baik dan tidak memberikan beban yang melampau pada pergelangan tangan. Pada bahagian belakang terdapat sensor dengan binaan plastik yang selesa apabila bersentuh dengan kulit.

image is not available

Oppo Watch X didatangkan bersama tali jam silikon dengan dua pilihan warna iaitu warna Platinum Black dan Mars Brown. Jenis tali jamnya berkualiti dan tahan lasak serta tidak menyebabkan gatal pada pergelangan tangan sepanjang tempoh pemakaian. Memakai jam tangan ini pada waktu tidur juga langsung tidak terasa rimas.

image is not available

Pada bahagian sisi kanan jam terdapat dua butang yang digunakan untuk memperlihatkan senarai aplikasi dan untuk menjalankan beberapa tetapan. Meskipun, terdapat tombol pada salah satu butangnya, tombol berkenaan tidak menggerakkan paparan apabila diputar sebaliknya hanya akan berfungsi jika ditekan. Terdapat juga dua butang kecil pada kedua-dua bahagian hujung tali jam yang berfungsi dengan baik serta memudahkan proses pemasangan semula atau menukar tali jam jika mahu. 

image is not available

Terdapat pelbagai jenis latar belakang yang tersedia dan boleh saja diubah mengikut citarasa si pemakai. Salah satu perkara yang saya suka pada ciri jam tangan ini ialah, paparan jamnya bukan sahaja boleh diubah mengikut kesesuaian tetapi warna temanya juga boleh dipilih mengikut warna yang dimahukan. Biasanya saya akan menukar tema warna paparan pada jam mengikut warna pakaian yang dipakai.

image is not available

Lebih menarik lagi, jam tangan ini juga tahan lasak dimana menurut Oppo terdapat sebanyak 400% peningkatan terhadap ketahanan sekiranya jam ini terjatuh di atas permukaan keras. Skrin jam dengan binaan kaca kristal nilam ini juga dapat memaparkan paparan skrin dengan jelas dan apa yang paling penting ialah  tidak mudah calar. 

Tetapi sedikit mengecewakan, skrinnya memiliki bezel yang sangat tebal. Menggunakan paparan latar belakang dengan warna yang cerah akan menyebabkan ketebalan bezel-nya kelihatan lebih ketara. Namun, secara keseluruhan untuk rekaan jam adalah amat memuaskan dengan elemen rekaan yang bergaya dan klasik. 

image is not available


PENGALAMAN PENGGUNAAN

Sepanjang tempoh menggunakan Oppo Watch X ini, saya boleh katakan bahawa jam tangan ini adalah sebuah jam tangan pintar yang berguna untuk penggunaan harian. Semua aplikasi dan fungsi tersedia dapat dijalankan dengan baik. Tapi dari segi kelancaran pula, saya harus katakan bahawa ia tidak bertindak responsif dengan konsisten. Ini kerana adakalanya tatalannya terlihat lancar tetapi ada pula dalam beberapa keadaan saya sedari yang wujud sedikit lengah masa pada tatalan skrin. 

Walau bagaimanapun, skrinnya memiliki tahap kecerahan puncak sehingga 1000 nits yang pastinya mampu memberikan keterangan skrin pada tahap yang cukup baik walaupun di bawah cahaya matahari terik.

image is not available

Aplikasi Ohealth diperlukan dan harus dimuat turun daripada PlayStore secara percuma untuk memanfaatkan semua ciri dan fungsi yang tersedia padanya. Jam tangan ini saya uji dengan menghubungkannya bersama Oppo Reno11 5G dengan proses sambungan Bluetooth yang mudah tanpa perlu mengimbas sebarang kod QR.

Sistem operasi WearOS 4 digunakan pada jam tangan ini dilihat baik tanpa masalah perisian yang mengecewakan. Tetapi apa yang saya sedari sepanjang tempoh pemakaian ialah notifikasi yang muncul pada jam adalah sedikit lambat daripada paparan notifikasi yang muncul pada telefon dan sistem getarannya sedikit lemah menjadikan saya terlepas pandang beberapa notifikasi dengan kerap.

image is not available

Pelbagai aplikasi kecerdasan yang tersedia pada Oppo Watch X ini turut dapat digunakan dengan mudah menerusi sensor yang terbina padanya. Antaranya ialah teknologi pemantauan waktu tidur yang menunjukkan rekod peringkat waktu tidur yang berbeza. Selain itu, pemantauan tahap tekanan, penjejakan ratusan jenis senaman dan pelbagai lagi ciri lain turut tersedia. Malah fungsi pembayaran menggunakan Google Wallet dan ciri Google Assistant juga boleh digunakan.

Walau bagaimanapun, saya dapati jam tangan ini tidak dapat disambungkan dengan iPhone bahkan aplikasi sokongan di App Store juga tidak dibina. Namun, sambungan ke peranti Android yang lain seperti Samsung boleh saja dilakukan.

image is not available


BATERI

Oppo Watch X memiliki kapasiti sebesar 500mAh yang saya akui bukanlah yang paling besar jika dibandingkan dengan jam tangan pintar lain yang ada di pasaran tetapi pada hemat saya, saiz kapasiti baterinya sudah amat memadai. Ini kerana baterinya mampu bertahan selama 4 hari dalam satu kali pengecasan penuh.

Selama tempoh penggunaan hampir dua minggu ini, saya baru mengecas peranti ini sebanyak dua kali dan sehingga ke hari ini ia masih dapat digunakan dan baterinya masih boleh bertahan lama. Pengecas magnetik disediakan untuk mengecas peranti.

image is not available

Kemampuan prestasi dan kecekapan pada jam tangan ini pastinya dijana oleh teknologi yang disuntik ke dalamnya iaitu teknologi dwi-sistem operasi. Secara teknikalnya kedua dua sistem operasi yang digunakan ini berfungsi sesuai dengan perubahan agar prestasi dan jangka hayat bateri dapat diseimbangkan, di mana cip Snapdragon W5 Gen 1 menggerakkan WearOS manakala pemproses BES2700BP MCU menjalankan RTOS. Ini menjadikan bateri jam dapat bertahan dengan lebih lama.


APA DALAM KOTAK?

1x Oppo Watch X
1x Tali Jam
1x Pengecas magnet mudah alih
1x Kabel USB-C
1x Set manual dan buku keselamatan

image is not available


KESIMPULAN

Apa yang dapat saya simpulkan mengenai Oppo Watch X ini setelah dua minggu menggunakannya ialah ia merupakan jam tangan yang berguna dengan ketahanan bateri yang sangat baik. Rekaannya juga cantik dan selesa apabila dipakai. Faedah menerusi ciri dan fungsi yang terbina bersama adalah amat membantu dalam kehidupan seharian sekaligus dapat meningkatkan produktiviti si pemakai.

Harga yang ditawarkan untuk sebuah jam tangan pintar bergaya dengan sentuhan elemen klasik ini ialah RM1399. Bagi mereka yang melakukan pra-tempah sekarang hingga 22 April nanti akan menerima rebat RM100 dan juga boleh membeli tali jam tambahan pada harga RM1 berbanding harga asal RM129.

image is not available

PRO

  • Bateri yang tahan lama dengan pengecasan pantas.
  • Tahap kecerahan puncak 1000 nits.
  • Sensor yang baik untuk rekod kesihatan dan kecerdasan.
  • Memiliki pengecas magnetik.

KONTRA

  • Tombol berputar yang tidak berfungsi apabila dipusingkan.
  • Tatalannya tidak responsif secara konsisten.
  • Bezel tebal.
  • Sistem getaran lemah.

REKAAN – 8
PAPARAN – 8
FUNGSI – 8
APLIKASI – 8
BATERI – 10
= 8.4