
Cincin pintar semakin mendapat perhatian sebagai alternatif menarik kepada jam tangan pintar. Dengan saiz yang lebih kecil, ia bukan sahaja selesa dipakai, malah turut menawarkan pelbagai fungsi kesihatan dan kecergasan. Apabila berpeluang mencuba Oura Ring 5, mula timbul persoalan sama ada cincin sekecil ini benar-benar mampu mengesan aktiviti harian serta keadaan kesihatan. Inilah ulasan penuh pengalaman saya bersama Oura Ring 5.

Pengalaman Penggunaan
Saya telah memakai Oura Ring 5 hampir sepanjang masa sama ada ketika tidur, bekerja, mahupun menjalani aktiviti harian. Reka bentuknya yang nipis menjadikannya selesa di jari manakala penggunaan titanium dengan salutan khas memberikan keyakinan terhadap ketahanannya. Selepas lebih dua minggu dipakai tanpa ditanggalkan, cincin ini masih kelihatan seperti baharu tanpa sebarang calar. Keadaan ini memberikan kepuasan kerana ia kekal cantik seperti hari pertama digunakan.

Cincin ini begitu ringan sehingga kadangkala saya terlupa ia berada di jari. Ia tidak mengganggu waktu tidur dan mudah digunakan kerana tidak perlu ditanggalkan setiap hari kecuali ketika mandi. Walaupun dilengkapi dengan ketahanan air 5ATM, saya lebih selesa menanggalkannya sewaktu mandi atau ketika terdedah kepada air dalam jumlah yang banyak. Menariknya juga, cincin ini bukan sahaja sesuai dipakai pada jari telunjuk malah selesa juga pada jari lain termasuk manis sekali gus memberikan lebih banyak pilihan gaya. Namun begitu, sensor berfungsi dengan lebih tepat apabila dipakai pada jari telunjuk atau jari tengah.
Dari segi penampilan, rekaannya masih boleh ditambah baik kerana ia kelihatan agak tebal pada jari wanita, seolah-olah lebih sesuai untuk lelaki yang berjemari besar. Meskipun begitu, ketika dipakai ia tetap selesa dan tidak membebankan. Bagi mereka yang mengutamakan gaya minimalis atau mahukan cincin yang lebih kecil di jari, saiz ini mungkin kurang sesuai.

Cincin ini tidak dilengkapi paparan, di mana sesuatu yang wajar memandangkan saiznya yang kecil. Untuk menyemak hayat bateri serta data aktiviti, saya bergantung sepenuhnya pada aplikasi Oura Ring yang menjadi pelengkap utama kepada peranti ini. Dari segi penawaran, cincin ini hadir dengan lima pilihan warna dengan masing-masing ditawarkan pada harga berbeza bergantung pada material yang digunakan.
Kemasan perak (silver) seperti yang ditunjukkan dalam gambar memberikan lebih keyakinan berbanding pilihan warna lain. Warna ini kelihatan konsisten dari luar hingga ke bahagian dalam, sekali gus mengurangkan risiko masalah kosmetik yang mungkin timbul. Sementara itu, pilihan warna lain menggunakan gabungan dua tona berbeza yang memerlukan penjagaan lebih rapi agar tidak mudah terjejas oleh calar atau perubahan kosmetik.

Bahagian dalam cincin ini dilengkapi dengan 12 LED terbina, dan rekaan terbaharu membolehkan sensor berada lebih rapat dengan jari bagi meningkatkan ketepatan bacaan. Berdasarkan pengalaman peribadi, permukaan sensor yang sedikit timbul daripada bahagian dalam cincin tidak menimbulkan sebarang ketidakselesaan ketika dipakai. Malah, tahap keselesaan yang ditawarkan begitu baik sehingga hampir tidak disedari.
Untuk pengecasan, saya menggunakan pengecas standard yang disertakan dalam kotak bungkusan dan disambungkan melalui kabel USB. Proses pengecasan harian cukup mudah, hanya perlu memastikan cincin berada pada kedudukan yang tepat di dok pengecas.
Sambungan Dan Aplikasi
Untuk menggunakan Oura Ring, saya perlu terlebih dahulu memuat turun aplikasi Oura versi terkini daripada Apple App Store atau Google Play Store. Selepas itu, cincin diaktifkan dengan meletakkannya di atas dok pengecas khas sehingga lampu pada dok menyala sebelum disambungkan ke telefon pintar.

Namun begitu, terdapat perkara penting yang saya perasan ketika cuba memasang cincin ini. Prosesnya wajar diberi perhatian kerana ia bukan sekadar sambungan biasa. Aplikasi Oura memerlukan langganan berbayar sebelum boleh digunakan sepenuhnya. Saya perlu mendaftar akaun dan mengesahkan pembelian langganan menggunakan kad kredit. Di sinilah timbul kesukaran apabila cubaan menggunakan kad debit dan perkhidmatan seperti WISE tidak berjaya, malah beberapa percubaan dengan kad kredit juga gagal.
Tidak dinafikan, cincin ini menawarkan teknologi yang canggih serta berfungsi dengan baik. Namun, keperluan langganan berbayar dan sekatan kaedah pembayaran menjadikan proses pemasangan kurang mesra pengguna. Langganan aplikasi Oura ditetapkan pada harga USD 6.99 (~RM28.46) sebulan. Sekiranya timbul masalah, sokongan hanya boleh dihubungi melalui e-mel, yang lazimnya mengambil masa panjang untuk diselesaikan. Keseluruhannya, faktor ini sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran pengalaman pengguna.

Meskipun pemberian satu bulan percubaan boleh dianggap sebagai langkah positif, keadaan selepas tempoh tersebut menjadi agak terbatas. Jika langganan tidak diteruskan, fungsi utama cincin ini untuk pemantauan kesihatan akan berkurangan. Akibatnya, kegunaan cincin menjadi terhad kerana ia tidak lagi berfungsi sepenuhnya sebagai peranti kesihatan, sebaliknya lebih kepada aksesori semata-mata.

Antara muka aplikasi Oura Ring direka dengan gaya moden menggunakan tema gelap bersama ikon bewarna putih yang memberikan kesan profesional. Paparan data disusun dengan teratur, memaparkan maklumat kesihatan seperti Sleep Regularity, Activity Score dan Stress dalam bentuk kad, graf serta penunjuk prestasi. Susun atur ini memudahkan pengguna memahami maklumat utama dengan lebih cepat dan jelas.

Secara keseluruhan, ikon dan label dalam aplikasi Oura Ring jelas serta mudah difahami. Tab seperti Today, Vitals dan My Health menggunakan simbol yang mudah dikenali. Paparan data turut menunjukkan trend tidur, aktiviti dan kadar denyutan jantung melalui grafik ringkas, sekali gus membantu pengguna menilai prestasi harian dengan lebih cepat dan jelas.
Bagaimanapun, terdapat beberapa aspek yang boleh diperbaiki dari sudut pengalaman penggunaan. Istilah teknikal seperti Sleep Debt, Chronotype dan juga Readiness Score mungkin kurang jelas bagi pengguna biasa sekiranya tidak disertakan penjelasan tambahan. Selain itu, banyak fungsi ditempatkan dalam menu sisi, menyebabkan pengguna perlu melalui beberapa langkah sebelum mencapai ciri tertentu. Susun atur ini kadangkala menjadikan pengalaman keseluruhan terasa kurang mesra.

Aliran penggunaan keseluruhan memerlukan sedikit masa untuk dibiasakan, khususnya bagi pengguna baharu. Saya sendiri turut merasainya kerana ini merupakan kali pertama saya membuat ulasan mengenainya.
Prestasi Kutipan Data
Sepanjang ulasan, cincin dilihat konsisten dalam memberikan data yang meyakinkan. Namun, saya tidak akan menyentuh semua bahagian kerana terlalu banyak aspek yang boleh diperincikan. Oleh itu, saya memilih untuk memberi fokus kepada komponen utama seperti Sleep Tracking, Symptom Radar, Readiness dan Meal Log. Kesemua ini relevan dengan pengalaman harian saya serta menunjukkan bagaimana data digunakan untuk memberikan gambaran menyeluruh tentang keadaan tubuh.

Corak tidur saya kelihatan konsisten tetapi sebenarnya agak tidak teratur. Sebagai contoh, terdapat satu malam yang menunjukkan saya hanya tidur sekitar lima jam dengan masa di atas katil hampir enam jam. Walaupun singkat, aplikasi tetap merekodkan tidur saya sebagai tenang. Dari segi kualiti, saya hanya memperoleh sedikit tidur nyenyak dan REM, manakala selebihnya terdiri daripada tidur ringan. Menariknya, saya juga mudah tertidur dengan hanya mengambil beberapa minit selepas berbaring.
Pada malam yang sama, aplikasi menunjukkan saya mengalami sedikit Sleep Debt, iaitu jumlah keseluruhan tidur masih belum mencukupi untuk badan. Graf disediakan turut menunjukkan corak tidur yang bermula agak lewat, diikuti dengan bangun lebih awal serta beberapa kali terjaga sepanjang malam. Selain itu, aplikasi merekodkan bacaan seperti denyutan jantung dan HRV. Walaupun angka tersebut agak teknikal, aplikasi masih cuba menjelaskan bahawa tubuh saya berada dalam keadaan stabil kerana corak pernafasan sepanjang malam kekal konsisten tanpa gangguan ketara.
Untuk lebih mudah memahami fungsi Sleep Tracking ini, Oura Ring 5 sebenarnya bukan sekadar merekodkan jumlah jam tidur, malah turut menilai sama ada tubuh saya mengalami kekurangan tidur berbanding keperluan sebenar. Ada kalanya jumlah tidur kelihatan mencukupi, contohnya tujuh jam, namun aplikasi menunjukkan bahawa badan masih memerlukan lebih. Inilah yang dimaksudkan dengan konsep Sleep Debt tadi, iaitu kekurangan tidur daripada hari-hari sebelumnya yang masih belum dipulihkan sepenuhnya.
Walaupun terdapat malam saya tidur lebih lama, aplikasi tetap mengingatkan bahawa hutang tidur belum selesai kerana tubuh masih menyimpan kekurangan tersebut. Hal ini menjelaskan mengapa saya kadangkala bangun pagi dengan rasa penat walaupun tidur panjang. Oura membantu menterjemahkan keadaan tubuh dengan memberikan isyarat apabila saya perlu menambah waktu tidur sehingga benar-benar pulih.
Saya menyukai fungsi hutang tidur kerana ia bukan sekadar mengira berapa lama saya tidur, tetapi juga menunjukkan sama ada jumlah tidur itu benar-benar mencukupi. Kadangkala tidur kelihatan baik kerana saya cepat lelap dan jarang terjaga, namun jika jam tidur tidak mencukupi, aplikasi tetap mengira adanya hutang tidur. Dari sini saya sedar bahawa bukan sahaja kualiti tidur penting, tetapi kuantiti juga perlu bagi memastikan tubuh pulih sepenuhnya.
Bahagian yang paling menarik seterusnya ialah Symptom Radar. Fungsi ini berperanan seperti sistem amaran awal untuk tubuh. Oura telah mempunyai data asas mengenai keadaan badan saya, maka sebarang perubahan kecil dapat dikesan dengan cepat. Contohnya, apabila suhu badan meningkat sedikit atau kadar denyutan jantung ketika rehat lebih tinggi daripada biasa.
Apabila perkara sebegini berlaku, Oura akan memberikan amaran bahawa tubuh mungkin sedang mula menyesuaikan diri terhadap sesuatu. Sebagai contoh, pengalaman saya semalam menunjukkan tanda kecil yang dikesan oleh Oura. Ia bukan bermaksud saya sakit tetapi tubuh memberi isyarat awal bahawa lebih banyak rehat diperlukan. Oura mengingatkan saya supaya tidak terlalu memaksa diri, memberi masa untuk pulih serta menjaga rutin tidur dan pengambilan air.
Bahagian menarik seterusnya ialah Readiness Score. Dalam keadaan tertentu, aplikasi memaparkan tahap kesediaan saya sebanyak 72% (Good). Oura Ring 5 boleh diibaratkan sebagai laporan harian tentang keadaan tubuh. Ia menggabungkan pelbagai bacaan seperti tidur, tahap pemulihan, kadar denyutan jantung, HRV, suhu badan serta tanda-tanda kecil yang mungkin menunjukkan perubahan.
Skor ini tidak hanya bergantung pada tidur semata-mata, tetapi turut mengambil kira petunjuk dalaman tubuh. Gabungan bacaan tersebut menunjukkan bahawa badan saya masih cukup bersedia untuk menjalani aktiviti harian. Secara ringkas, skor ini boleh dianggap sebagai isyarat sama ada tubuh sudah cukup rehat atau masih memerlukan tambahan tidur untuk pulih dengan lebih baik.

Saya juga menyukai ciri Log Meal berasaskan AI kerana ia memberi ruang untuk mencatat makanan harian secara manual. Walaupun tidak automatik, cara ini membantu saya lebih peka terhadap pilihan makanan. Dengan mencatat secara konsisten, saya mula melihat corak tertentu seperti makan lewat malam menyebabkan tidur kurang nyenyak, manakala pemakanan sihat pula meningkatkan Readiness Score.
Fungsi ini memudahkan saya melihat semula apa yang dimakan dan kesannya terhadap tubuh. Apabila makanan dicatat, Oura boleh mengaitkannya dengan data lain seperti tidur, tahap kesediaan (readiness), atau symptom radar. Jadi, jika tidur saya tiba-tiba tidak nyenyak atau kadar denyutan jantung ketika rehat meningkat, saya dapat melihat kemungkinan kaitan dengan pemakanan.
Ciri ini membuatkan saya lebih sedar tentang apa yang masuk ke dalam badan. Kadangkala makanan kelihatan biasa sahaja, tetapi apabila dibandingkan dengan data, ternyata ia memberi kesan terhadap proses pemulihan. Namun begitu, Oura tidak memberikan jawapan muktamad sebaliknya berfungsi sebagai petunjuk awal untuk kita menilai semula corak pemakanan sendiri.
Sebenarnya terdapat banyak lagi fungsi yang ditawarkan oleh cincin ini selain daripada 4 ciri utama yang telah disebutkan. Antaranya termasuk pengesanan aktiviti, penjejakan kitaran untuk wanita, pemantauan tahap stres, kapasiti kardio dan pelbagai lagi. Namun, satu perkara penting perlu diambil kira ialah semua fungsi tambahan ini hanya boleh diakses melalui langganan berbayar. Tanpa langganan, data dalam aplikasi Oura tidak dapat dilihat dan cincin ini sekadar menjadi aksesori biasa tanpa maklumat kesihatan yang boleh dirujuk.
Cincin ini juga masih mempunyai kekurangan yang ketara yang boleh diperbaiki. Kadangkala ia tersalah mengesan aktiviti, contohnya regangan ringan pernah dilabelkan sebagai Pilates kerana sistem hanya meneka berdasarkan corak pergerakan. Walaupun terdapat pilihan untuk membetulkan atau menambah aktiviti secara manual, tahap ketepatan pengesanan sepatutnya lebih konsisten bagi sebuah peranti premium
Selain itu, sambungan pada cincin kadangkala terputus. Situasi ini menyebabkan saya perlu membuka semula aplikasi untuk menyambung semula data. Ada juga keadaan di mana saya perlu meletakkan semula cincin pada dok pengecas bagi memastikan sambungan kembali berfungsi. Kekurangan sebegini menunjukkan aspek teknikal yang masih perlu diperbaiki.
Ketahanan Bateri
Ketahanan bateri Oura Ring 5 dipasarkan mampu bertahan sehingga sembilan hari bergantung pada penggunaan dan tetapan aplikasi. Berdasarkan pengalaman, dakwaan ini terbukti benar kerana bateri boleh mencapai sehingga sembilan hari dengan penggunaan berterusan. Selain itu, ketahanan bateri turut dipengaruhi oleh saiz cincin. Semakin besar saiznya, semakin lama jangka hayat bateri dapat bertahan.
Kesimpulan
Oura Ring 5 ialah cincin pintar premium yang kecil, selesa dipakai dan mempunyai bateri tahan lama. Ia menawarkan pelbagai bacaan kesihatan harian, namun langganan bulanan diperlukan untuk mengakses semua ciri. Bagi pengguna yang sanggup melabur demi gaya serta analisis kesihatan yang mendalam, ia merupakan pilihan yang meyakinkan. Sebaliknya, jika hanya memerlukan fungsi asas, lebih sesuai memilih alternatif lain tanpa yuran keahlian bulanan.
Kelebihan
- Reka bentuk kecil, premium dan selesa.
- Bateri tahan sehingga 9 hari.
- Sensor untuk pemantauan kesihatan harian.
- Ringkas dan bergaya, alternatif kepada jam tangan pintar
- Aplikasi dengan analisis tidur, aktiviti dan lain-lain.
Kekurangan
- Ketepatan sensor kadangkala kurang konsisten.
- Harga tinggi berbanding alternatif lain.
- Perlu langganan bulanan untuk akses penuh fungsi.
- Fungsi asas mungkin tidak berbaloi untuk sekadar mencuba.
- Saiz kecil biasanya bateri kurang tahan lama.

