Era Iron Man di dalam MCU sudah berakhir dengan kematian beliau di penghujung Avenger End Game. Sungguhpun begitu watak Iron Man masih lagi popular kerana lakonan penuh karisma Robert Downey Jr dan beliau bakal kembali sebagai Doctor Doom. Jadi apabila Poco X8 Pro Iron Man Edition dilancarkan di Malaysia baru-baru ini saya ingin menjawab persoalan adalah ia peranti yang baik untuk dibeli atau simpan duit anda untuk peranti yang lebih adiwira?

Spesifikasi
| Poco X8 Pro | |
| Skrin | 6.59″ AMOLED 1268 x 2756 pixel, 120Hz, Dolby Vision Corning Gorilla Glass 7i |
| Pemproses | Dimensity 8500 Ultra (4nm) |
| Cip | 1x Cortex-A725 3.4 GHz 3xCortex-A725 3.2 GHz 4xCortex-A725 2.2 GHz |
| GPU | Mali-G720 MC8 |
| RAM | 12 LPDDRR5x 12GB Memori maya |
| Storan | 512 GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama | 50MP f/1.5, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) |
| Kamera Hadapan | 20 MP f/2.0 |
| Bateri | 6500 mAh Pengecasan berwayar 100W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM/5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP69K |
| Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin optikal Imbasan wajah |
| Harga | RM 1899 (12/512GB) |
Skrin
Skrin sebesar 6.59″ adalah dari jenis AMOLED dengan resolusi 1268 x 2756 pixel dengan kadar segar semula 120Hz tetapi bukan LTPO. Kadar segar semula adalah 60Hz atau 120Hz sahaja. Terdapat mod untuk ia berubah mengikut aplikasi, diubah secara automatik atau ditetapkan sepanjang masa ke 60 atau 120Hz.

Skrin rata mempunyai bezel nipis yang sekata. Keterangan skrin adalah sehingga 3600 nit maka tiada isu melihat skrin di bawah cahaya matahari yang terik. Terdapat sokongan Dolby Vision dalam aplikasi Neflix, HBO Max dan Apple TV. Paparan warna adalah cantik dan setiap sentuhan serta tatalan dikesan dengan baik. Sistem haptik sahaja sedikit sederhana tidak setanding yang digunakan pada peranti mercu Xiaomi 17.
Biometri

Sebuah pengimbas cap jari dari jenis optikal dengan ia terletak agak rendah di bahagian bawah skrin. Imbasan dapat dilakukan dengan pantas asalkan jari tidak kotor ataupun basah. Sistem imbasan wajah walaupun sekadar 2D adalah pantas cuma memerlukan terdapat sumber cahaya.
Rekaan
Rekaan mempunyai persamaan dengan Xiaomi 17 yang telah saya ulas beberapa minggu lalu cuma X8 Pro sedikit lebih besar. Sisi rata dengan bingkai logam menjadikan peranti selesa dalam genggaman tangan. Berat peranti adalah seimbang kerana tiada bonggol kamera yang besar.

Keseluruhan tubuh berwarna hitam dengan panel belakang dihiasi rekaan Iron Man dalam bentuk bas relief. Corak futuristik seakan litar elektronik dapat dilihat apabila dipandang pada sudut tertentu. Lazimnya peranti edisi khas hanya memainkan warna tetapi pada X8 Pro Iron Man ini, tema adiwira ini sangat menyeluruh dan menonjol.

Saya bukan golongan sasaran telefon ini kerana saya lebih menggemari rekaan telefon yang minimalis. Tetapi jika dua anak saudara saya yang melihat telefon ini semasa balik Hari Raya tempoh hari mengatakan telefon ini nampak “cool”.
Butang laras audio dan kuasa terletak di sisi kanan. Di atas terdapat lubang mikrofon dan pemancar infra merah. Di bawah pula terdapat port USB-C yang dihimpit kekisi speaker dan talam SIM yang menyokong dwi SIM nano.

Tubuh juga mempunyai kemampuan kalis air IP69K. Tak perlu risau akan rosak kalau secara tak sengaja ia menyelam ke dalam kolam sekiranya diserang Namor the Submariner. Jika anda masih risau tubuh peranti edisi khas ini mungkin rosak, Poco memberikan kerangka plastik keras yang mempunyai motif tulang belakang baju kebal Iron Man dan litar elektronik.
Penggunaan dan Perisian
Sistem operasi HyperOS 3.0.1.0 yang saya gunakan adalah berasaskan Android 16. Ini ialah versi yang lebih lama jika dibandingkan dengan yang saya gunakan pada Xiaomi 17 tempoh hari. Dari segi ciri tidak banyak beza dengan peranti yang lebih mercu ini. Yang menjadikan X8 Pro Iron Man Edition unik ialah tema Iron Man yang mengubah rekaan ikon dan hadir dengan imej latar khusus.
Saya sebenarnya kurang menggemari tema Iron Man kerana ia mengubah ikon sehingga sukar dikenali. Anda boleh mengubahkan ke tema lalai HyperOS 3 yang saya rasakan nampak lebih cantik dan sedap mata memandang. Namun begitu jika anda peminat Tony Stark tema yang diberikan ini memang serasi dengan rekaan peranti yang serba serbi Iron Man.

Poco memberikan kemas kini 5 versi Android dan 6 tahun tampalan sekuriti yang adalah cukup lama untuk peranti kelas pertengahan. Ia peningkatan berbanding 4+6 tahun yang ditawarkan tahun lalu. Dalam kelas pertengahan, hanya siri Samsung Galaxy menawarkan sokongan lebih lama tetapi peranti dijual pada harga jauh lebih tinggi.

Terdapat sokongan Circle to Search dan Google Gemini yang saya rasakan sangatlah berguna pada peranti Android. Tiada ejen AI seperti pada siri Galaxy S26 tetapi ada ciri melakukan alih bahasa secara masa nyata, suntingan gambar, membesarkan gambar, ringkasan dokumen, dan melakukan transkrip daripada audio yang dirakam. Jarvis masih belum wujud tetapi Geminipun masih berguna pada X8 Pro Iron Man Edition.

Gimik lain ialah terdapat dua lampu LED pada gelung lensa kamera. Ia boleh diaktifkan untuk berkelip apabila menerima panggilan telefon atau notifikasi penting. Warna boleh diubah mengikut citarasa. Apabila menyala nampak seperti X8 Pro mempunyai dua Arc Reactor di bahagian belakang.
Yang saya sedikit kurang senang ialah banyaknya iklan dalam aplikasi Xiaomi. Cuba ubah tema? Tengok ikan dulu. Mahu lakukan imbasan peranti? Iklan sepam dua. Mahu muat turun aplikasi daripada stor Xioami? Iklan lagi. Iklan boleh dimatikan tetapi perlu dilakukan satu persatu dalam setiap aplikasi tanpa satu suis global dalam tetapan peranti.
Penanda Aras
Poco X8 Pro menggunakan cip Dimensity 8500 Ultra (4nm) dengan padanan memori 12GB RAM LPDDR5x serta storan dalaman 512GB UFS 4.1. Cip kelas pertengahan ini adalah antara yang terpantas dalam kelasnya. Mari bandingkannya dengan peranti di bawah.
- Vivo V70 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Oppo Reno15 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Oppo Reno14 Pro – Dimensity 8450 (4 nm)
- Honor 400 Pro – Snapdragon 8 Gen 3 (4 nm)
- Google Pixel 10 Pro XL – Tensor G5 (3 nm)
- Poco X7 Pro – Dimensity 8400 Ultra (4 nm)
AnTuTu 3D
| Peranti | Skor |
| Poco X8 Pro | 2,086,502 |
| Vivo V70 | 1,464,284 |
| Oppo Reno15 | 1,412,018 |
| Oppo Reno14 Pro | 1,437,541 |
| Honor 400 Pro | 1,861,573 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 1,214,735 |
| Poco X7 Pro | 1,590,533 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Poco X8 Pro | 1721 | 6340 |
| Vivo V70 | 1361 | 4181 |
| Oppo Reno15 | 1280 | 3857 |
| Oppo Reno14 Pro | 1615 | 6174 |
| Honor 400 Pro | 1224 | 6083 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2303 | 6134 |
| Poco X7 Pro | 1575 | 6121 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Poco X8 Pro | 4120 |
| Vivo X70 | 2093 |
| Oppo Reno15 | 2082 |
| Oppo Reno14 Pro | 3780 |
| Honor 400 Pro | 4467 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2567 |
| Poco X7 Pro | 3839 |

Sepanjang penggunaan ini, tidak ada masalah untuk aktiviti biasa seperti menatal media sosial, membuka aplikasi menjalankan permua popular. Prestasinya lebih baik berbanding Pixel 10 Pro XL yang merupakan peranti mercu yang jauh lebih mahal.

Kamera
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP f/1.5 (OIS) dan ultra sudut lebar 8MP f/2.2 , dengan kamera hadapan 20 MP f/2.0. Sistem kamera yang agak terhad dan sama sahaja dengan X7 Pro tahun lalu.
Tetapi saya rasakan ada peningkatan dari segi kualiti gambar yang diambil. Ia nampak lebih tajam, terang dan menyerlah lebih-lebih lagi dalam situasi pencahayaan yang baik. Dalam waktu malam pula imej mula hilang ketajaman tetap masih memuaskan. Tidak mengejutkan juga gambar diambil menerusi lensa ultra lebar tidak sebaik lensa utama kerana sensor lebih kecil dan lensa lebih perlahan. Untuk peranti berharga bawah RM200, kualiti kameranya adalah agak baik.









Audio
Terdapat speaker stereo dengan audio yang lantang dengan sokongan Dolby Atmos. Walaupun speaker tidak simetri pengalaman audio masih lagi baik dan memuaskan bagi telefon pintar dalam kelas pertengahan ini. Cukup lantang dan jelas untuk tontonan pelbagai media menggunakan speaker fizikal terbina.

Bateri
Bateri 6500 mAh dari jenis silikon karbid (SiC) boleh dicas semula menggunakan pengecas 100W secara berwayar sahaja. Tiada sistem nirwayar atau berbalik nirwayar disokong. Tetapi telefon boleh digunakan sebagai powerbank mengecas perantu lain pada output 27W sahaja.
Secara purata SOT antara 10-12 jam dapat dicapai dalam penggunaan sederhana dan begitu juga ketahanan sepanjang hari. Pada penggunaan lebih berat penggunaan hampir 17 jam boleh dicapai. Masa untuk mengecas semula bateri pula hanya 45 minit menggunakan pengecasan 100W. Pengecas tidak diberikan di dalam kotak dengan Poco hanya memberikan kabel USB-A ke USB-C.

Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Poco X8 Pro Iron Man.
- 1x Kerangka plastik Iron Man.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM Marvel.
- 1x Kotak edisi khas Iron Man.

Kesimpulan
Poco X8 Pro Iron Man Edition dijual pada harga RM1899 di Malaysia dan ia adalah peranti yang menawarkan prestasi memuaskan, skrin yang cantik, rekan yang sangatlah unik dan hayat bateri yang memuaskan. Bagi sebuah peranti kelas pertengahan ia menawarkan nilai yang menarik.

Bagi peminat MCU khususnya Iron Man pula ia tidak begitu mahal untuk dimasukkan dalam koleksi memorabilia peribadi. Jika tak mahu versi Iron Man, Poco X8 Pro dijual pada harga bermula RM1299 untuk versi 8/256GB.
Kekurangan ialah kamera sama seperti tahun lalu tanpa lensa telefoto, tiada pengecasan nirwayar dan pengecas 100W perlu dibeli secara berasingan.
Pro
- Skrin menyokong Dolby Vision pada aplikasi penstriman utama.
- Dimensity 8500 Ultra berkuasa untuk peranti kelas pertengahan.
- Prestasi kamera utama yang memuaskan.
- Kalis air dan debu IP69K
- Ketahanan bateri amat baik dengan pengecasan 100W.
- Kemas kini 5 versi Android 6 tahun tampalan sekuriti.
Kontra
- Tiada pengecasan nirwayar.
- Lensa ultra lebar kurang memuaskan.
- Tiada pengecas diberikan.
- Iklan dalam HyperOS yang leceh untuk dimatikan.


