Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

TechnologyGaming
1 Sep 2026 • 3:42 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Setelah mengulas tentang tetikus gaming Razer Viper V4 Pro sebelum ini, Razer telah menghantar sebuah lagi aksesori gaming baru, iaitu papan kekunci Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz. Papan kekunci ini hadir dengan dua pilihan saiz, iaitu 65% dan juga Tenkeyless. Razer telah menghantar model 65% untuk kami ulas, dan ia merupakan sebuah lagi aksesori gaming yang dibina khusus untuk tujuan gaming.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Rekaan Dan Spesifikasi

Secara luarannya papan kekunci Razer Huntsman V3 HE Magnetic kelihatan seperti sebuah papan kekunci mekanikal biasa sahaja. Rekaannya tidak banyak berbeza dengan penawaran papan kekunci Razer yang lain, dimana ia hadir dengan pencahayaan LED RGB, reka warna papan kekunci berwarna hitam dengan abjad dan nombor yang lutsinar yang boleh memperlihatkan sinaran cahaya pencahayaan.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Papan kekunci ini hadir dengan tapak yang mendatar, tetapi ada dua kaki yang boleh mengubah ketinggian papan kekunci ini untuk menjadikan pengalaman menaip dan gaming anda lebih selesa.

Sayangnya, tidak seperti tetikus Razer Viper V4 Pro, papan kekunci ini tidak hadir dengan sokongan sambungan nirwayar WiFi mahupun Bluetooth. Ia hanya boleh disambungkan ke komputer melalui kabel USB, dengan sambungan USB Type-C di belakang papan kekunci ini. Ia adalah kerana kelajuan pola 8KHz yang ditawarkan hanya boleh disampaikan melalui sambungan berwayar sahaja.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Kelebihan-kelebihan pada papan kekunci ini dapat dilihat melalui dua perkara. Pertama ialah suis magnetik Razer Hall Effect yang digunakan, dan kedua pula ialah sokongan perisian yang membolehkan puak gamer untuk memanfaatkan papan kekunci ini sepenuhnya.

Razer telah membangunkan suis Hall Effect mereka sendiri, yang merupakan sebuah suis linear, dan ini adalah penting untuk memanfaatkan kebolehan pengguna untuk mengubahsuai titik pengaktifan (actuation point) setiap kekunci pada tahap yang selesa untuk kegunaan sendiri.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Untuk anda yang tidak tahu, suis Hall Effect secara ringkasnya adalah suis yang menggunakan magnet sebagai mekanisma pengaktifan berbanding dengan spring besi yang seringkali diperlihatkan pada suis mekanikal lain. Kelebihan menggunakan suis Hall Effect berbanding dengan suis mekanikal ialah tahap pengaktifan kekunci boleh ditetapkan melalui perisian.

Penggunaan suis Hall Effect ini juga membolehkan Razer untuk memperkenalkan beberapa ciri-ciri baru yang dibina khas untuk mereka yang menggunakan papan kekunci untuk input dalam permainan, khususnya untuk tujuan pergerakan dan juga keperluan menginput yang laju.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Ciri pertama ialah Rapid Trigger Mode yang membolehkan pengguna untuk mengaktifkan kekunci sama secara berturut-turut tanpa perlu melepaskan jari dari kekunci. Apabila jari diangkat sedikit daripada kekunci, ia akan membolehkan kekunci tersebut ditekan semula, dan akan diterima sebagai input baru. Ini sangat berguna khususnya untuk pemain-pemain permainan MMO, MOBA dan juga permainan irama yang memerlukan input butang dan kekunci yang banyak.

Ciri kedua pula ialah Razer Snap Flex yang membolehkan pengguna untuk menetapkan dua arahan berbeza apabila kekunci ditekan dan dilepaskan. Fungsi ini dilihat sangat berguna khususnya dalam permainan penembak FPS yang mempunyai kebolehan yang memerlukan input yang berbeza.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Satu contoh yang saya boleh berikan adalah dalam permainan Doom: The Dark Ages, watak anda kini hadir dengan perisai yang boleh digunakan untuk melindungi diri dan juga menyerang musuh. Dengan Snap Flex, anda boleh menekan satu butang pada papan kekunci untuk mengaktifkan fungsi perlindungan, dan melepaskannya untuk menyerang musuh dengan perisai. Tanpa fungsi Snap Flex, input melindung dan menyerang secara teknikalnya adalah dua input yang berbeza.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Ciri ini boleh dimanfaatkan pada permainan-permainan komputer yang lain untuk mengurangkan keperluan menekan butang yang banyak.

Pengguna boleh mengubah tetapan untuk ciri-ciri ini, dan juga tahap pengaktifan kekunci melalui perisian Razer Synapse yang boleh dimuat-turun, ataupun melalui laman Razer Synapse Web yang membolehkan anda mengubahsuai tetapan ini melalui web. Ciri ini sangat berguna sekiranya anda menggunakan sebuah komputer yang tidak mempunyai perisian Razer Synapse dipasang.

Pengalaman Pengguna

Jujur saya katakan, bahawa apabila saya menggunakan papan kekunci Razer Huntsman V3 HE Magnetic ini untuk pertama kalinya, ia tidak berbeza berbanding dengan banyak papan kekunci mekanikal yang saya guna sebelum ini. Pengalaman menaip menggunakan suis Razer Hall Effect yang linear bukanlah sesuatu yang mengujakan, malah saya berani katakan bahawa ia adalah satu pembaziran sekiranya anda membeli papan kekunci ini khas untuk tujuan menaip semata-mata.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Malah, saya akan mengatakan bahawa anda tidak mengambil pengalaman bermain permainan komputer anda dengan serius, ini mungkin adalah papan kekunci yang paling tidak berbaloi untuk dibeli. Saya akan sarankan anda memilih untuk membeli beberapa papan kekunci yang telah saya ulas sebelum ini kerana nisbah penawaran ciri, pengalaman menaip dan penggunaan papan kekunci tersebut berbanding dengan harga jauh lebih berbaloi untuk pengguna komputer biasa.

Ini bukanlah bermaksud bahawa papan kekunci Razer Huntsman V3 HE Magnetic ini tidak bagus, tetapi ia dibina secara khusus untuk digunakan oleh atlit-atlit e-sukan dan juga mereka yang mengambil pengalaman gaming mereka secara serius.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Jika anda memainkan permainan-permainan seperti DoTA, League of Legends, OSU!, Stepmania, Call of Duty, Counter-Strike, Apex Legends dan seantaranya, ciri-ciri Rapid Trigger Mode dan Snap Flex akan membantu anda mengurangkan jumlah input dalam permainan, dan mengoptimasikan cara anda bermain permainan-permainan ini.

Anda juga mungkin akan memerlukan sedikit masa dengan mencuba fungsi-fungsi ini, khususnya dengan ciri Snap Flex kerana anda akan perlu membina muscle memory untuk membiasakan diri anda dengan input-input baru ini. Saya menguji ciri Snap Flex dengan permainan-permainan penembak seperti Doom: The Dark Ages untuk mengubahsuai cara saya menggunakan perisai dalam permainan untuk melindungi diri dan melontarnya sebagai serangan.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Jika anda musykil tentang sokongan pola 8KHz yang ditawarkan pada papan kekunci Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini ini, secara ringkasnya ia membolehkan pengguna untuk mengaktifkan input kekunci dengan sentuhan yang sangat ringan.

Saranan saya ialah anda cuba untuk bermain dengan tetapan ini untuk mendapatkan tahap pengaktifan yang sesuai dengan corak penggunaan anda. Kadang-kala, anda akan mahu kekunci tertentu untuk boleh diaktifkan dengan cepat, dan untuk yang lain, anda akan mahu sedikit tekanan sebelum ia diaktifkan.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Razer juga menyertakan sekeping nota tentang pintasan-pintasan papan kekunci yang boleh digunakan untuk mengaktifkan atau mematikan fungsi-fungsi gaming yang kami nyatakan tadi. Jujur saya katakan bahawa ia agak banyak, dan walaupun saya menghafal banyak pintasan papan kekunci sebelum ini, ia masih lagi agak sukar untuk mengingati beberapa daripada pintasan-pintasan ini.

Satu lagi ciri yang saya gemar dengan Razer sekarang ialah kebolehan untuk mengubahsuai tetapan tanpa perlu memasang perisian Razer Synapse pada komputer. Saya sedar bahawa perisian tersebut sangat penting untuk pengguna dalam ekosistem Razer, tetapi jujur saya katakan saya tidak begitu gemar melihat begitu banyak perisian dimulakan apabila saya menghidupkan komputer.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Untuk ini, Razer telah memperkenalkan Razer Synapse Web, yang merupakan perisian ekosistem yang ditawarkan melalui laman web, yang membolehkan pengguna untuk menukar pelbagai tetapan aksesori Razer mereka tanpa perlu memuat-turun perisian tersebut.

Dengan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini, saya boleh menukar tetapan-tetapan seperti tahap tekanan untuk mengaktifkan suis kekunci, fungsi-fungsi Rapid Trigger Mode dan Snap Flex dan pencahayaan RGB pada papan kekunci.

Buat masa ini, Razer Synapse Web nampaknya hanya menyokong sejumlah kecil siri aksesori gaming Razer, termasuklah papan kekunci Razer Huntsman V3 dan juga tetikus gaming Razer Viper V4 Pro. Selain daripada dua aksesori ini, ia juga menyokong komputer riba Razer Blade 16 dan Razer Blade 18 yang dilancarkan pada tahun ini, tetapi kedua-dua komputer riba ini tidak ditawarkan di Malaysia.

Ada Apa Dalam Kotak

Ini adalah apa yang ditawarkan didalam sebuah kotak Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz:

  • 1x Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz
  • 1x kabel USB Type-C
  • 1x manual

Penutup

Jika anda seorang gamer tegar yang mahu mengoptimasikan cara anda bermain permainan-permainan komputer kegemaran anda, atau mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang atlit e-sukan, ia mungkin adalah satu idea yang baik untuk menggunakan papan kekunci Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz ini sebagai salah satu aksesori gaming pilihan anda.

Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar

Papan kekunci ini juga hadir dengan pilihan saiz Tenkeyless (RM599) selain daripada 65% (RM509) sekiranya anda memerlukan kekunci-kekunci barisan Function dan kekunci pintasan lain untuk tujuan produktiviti juga selain daripada gaming. Walaupun dengan pilihan saiz papan kekunci tersebut, saya masih akan mengatakan bahawa papan kekunci ini dibina khusus untuk mereka yang mahu memaksimumkan kecekapan dan kemampuan gaming mereka.

Pro:

  • Saiz padat, mudah dibawa kemana-mana
  • Suis Hall Effect menjanjikan tahap pengaktifan input yang jitu
  • Sokongan Razer Synapse Web
  • Pelbagai ciri-ciri baru yang boleh dimanfaatkan oleh gamer yang serius.
  • Hadir dengan pilihan saiz berbeza

Kontra:

  • Tiada sokongan sambungan nirwayar
  • Tiada sokongan hotswap untuk suis
  • Pengalaman menaip yang biasa sahaja
Image from: Ulasan Razer Huntsman V3 HE Magnetic Mini 65% 8KHz – Hanya Beli Kalau Anda Gamer Tegar
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved