Bolehkah dengan mudah saya berpindah dari Apple Watch Ultra ke Samsung Galaxy Watch6 Classic? Jawapannya, boleh!. Saya telah menggunakan jam ini untuk beberapa minggu bersama dengan Galaxy Z Flip5 saya. Ini adalah jam Wear OS sebenar, bukannya TicWatch atau Pixel Watch. Samsung telah menemui strategi jam tangan pintar yang hampir sempurna. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan dan pendapat kenapa anda patut beli jam ini.

SPESIFIKASI DAN REKAAN
Samsung Galaxy Watch6 Classic Skrin 1.5″ Super AMOLED, 480 x 480, Kaca Nilam Pemproses Exynos W930 (5nm)
Dwi-Teras 1.4 GHz, Cortex-A55
Mali-G68Memori 1GB RAM + 16GB Sistem Operasi One UI Watch 5 (Wear OS 4) Perlindungan IP68 Sensor Pemecut, Barometer, Sensor Analisis Impedans Bioelektrikal, Sensor Elektrikal Jantung, Giroskop, Geomagnetik, Hall, Suhu infra merah, Sensor cahaya, Pengimbas nadi optikal Lain-Lain GPS + Bluetooth 5.3
Bezel Berputar Haptik Fizikal
Speaker, MikrofonBateri 425mAh, mencapai 40 jam (tanpa AOD), 30 jam (AOD)
Pengecasan QiBahan Binaan Kerangka aluminium, Kaca nilam Harga Watch6 Classic 43mm, Bluetooth – RM1399
Watch6 Classic 43mm, LTE – RM1699
Watch6 Classic 47mm, Bluetooth – RM1499
Watch6 Classic 47mm, LTE – RM1799
Rekaan jam sama dengan nama jam, iaitu Klasik. Skrin bulat, butang yang taktil serta bezel berputar yang bukan sekadar gimik. Jam dibina daripada aluminium dan skrin dilindungi dengan kaca nilam memberikan nilai premium pada jam ini. Di tangan jam ini nampak elegan, maskulin dan bergaya.

Skrin 1.5″ AMOLED cukup terang dan juga lancar. Tiada masalah pada sentuhan, warna yang cantik, dan mudah dilihat di bawah cahaya matahari. Sokongan Always-on display juga baik dan pantas bertukar ke skrin hidup. Cuma kami mengharapkan Wear OS suatu hari nanti akan menyertakan mod malam seperti Apple Watch untuk AOD yang lebih mesra bateri.

Bezel berputar pada jam ini memberikan kepuasan tahap maksimum. Ia ibarat bermain dengan pemutar kegelisahan kerana ada kesan haptik fizikal yang bukan dari perisian. Setiap putaran amat sedap dan dipadankan pula dengan muka jam yang ada bunyi jarum berdetik, segala tekanan boleh hilang dengan hanya memutarkan bezel jam ini tanpa henti.

Jam memang nampak sedikit tebal di tangan, tetapi pada tangan saya yang bersaiz besar ia tiada masalah. Lagi-lagi model jam ini adalah 47mm yang sangat sesuai dengan diri saya. Penggunaan sepanjang hari termasuk untuk tidur tidak menyebabkan pergelangan saya sakit, berpeluh atau gatal-gatal.

Tali jam kulit palsu yang saya gunakan amat lembut pada kulit saya. Ia menjadikan penggunaan jam ini lebih selesa tidak kira untuk apa jua jenis aktiviti. Terdapat pelbagai pilihan tali jam seperti jenis silikon untuk bersukan atau fabrik dengan velkro seakan pada Apple Watch. Samsung turut menggunakan sambungan tali jam baharu, di mana ia masih menggunakan sistem pin tetapi kini dengan satu butang untuk cabut atau pasang.

PENGALAMAN PENGGUNAAN
Ini adalah kali pertama saya menggunakan jam Galaxy Watch pada jangka masa yang panjang. One UI Watch adalah iterasi Wear OS terbaik pernah saya gunakan. Penggunaannya bersama peranti Samsung sudah menghampiri iPhone dan Apple Watch cuma masih belum sempurna. Ekosistem yang cuba diberikan seperti penggunaan yang selari dengan Samsung Galaxy Z Flip5 atau peranti Samsung lain adalah sangat mesra pengguna.

Sebenarnya tidak banyak ciri Wear OS 4 berbanding Wear OS 3. Perubahan besar adalah jam ini tidak lagi perlu diformat dan melakukan tetapan penuh apabila ingin sambung guna pada telefon lain. Lain-lain masih lagi Wear OS 3 dengan rekaan antaramuka One UI yang semua sedia kenal pada peranti Samsung.

Tetapan dan kawalan utama jam ini adalah dengan aplikasi Galaxy Wearables. Ia amat ringkas dan mudah digunakan berbanding aplikasi Watch pada iOS atau Mobvoi Health untuk TicWatch. Samsung hanya menggunakan ikon yang cerah dengan teks yang ringkas untuk setiap tetapan.

Galaxy Watch6 Classic turut hadir dengan ciri NFC untuk sokongan Google Pay atau Samsung Wallet. Kaedah penggunaan yang mudah dan pantas, iaitu tekan butang bawah untuk beberapa saat untuk terus membayar di kedai. Cuma walaupun sudah ada banyak Samsung Points terkumpul, Samsung Malaysia masih tidak menyenaraikan ganjaran yang boleh ditebus.

Selama ini saya bergantung kepada Apple Watch untuk ciri ECG, kadar degupan jantung dan data kecergasan saya yang lain-lain. Galaxy Watch6 Classic nampaknya boleh menggantikan Apple Watch saya. Ciri kegemaran saya adalah Bioelectrical Impedance Analysis atau BIA untuk mendapatkan data komposisi tubuh.

Ciri ECG juga amat berguna untuk saya pantau kadar degupan jantung saya. Seperti Apple, data yang dikumpul turut boleh dieksport ke bentuk dokumen sebagai rujukan bersama doktor. Ciri seperti ini membantu saya untuk menambah ilmu pengetahuan mengenai kesihatan tubuh dengan lebih mendalam.

Semua data boleh dipantau dengan aplikasi Samsung Health. Cara data dipaparkan adalah dalam bentuk graf dan carta yang berwarna-warni serta teks dengan maklumat yang mudah faham. Pemantauan aktiviti dan sukan juga boleh dilakukan dan menariknya Samsung turut memberikan nasihat untuk tubuh yang lebih sihat. Aplikasi Samsung Health turut mempunyai ciri untuk membantu tidur dengan lebih nyenyak iaitu White Noise.

Bercakap mengenai tidur, Galaxy Watch6 Classic adalah jam terbaik untuk mendapatkan tidur yang paling nyenyak. Sudah berbulan saya cuba baiki kitaran tidur saya kerana waktu tidur yang tidak konsisten telah menjejaskan kesihatan diri. Hanya selepas satu minggu tidur saya sudah berada di tahap yang hampir sempurna (saya rasakan).

Samsung melabelkan setiap pengguna dengan haiwan berbeza berdasarkan corak tidur. Setiap haiwan ada nasihat tersendiri dan kaedah mendapatkan tidur yang sempurna yang berbeza dengan haiwan lain. Ia juga boleh mengesan dengkur dan memberitahu pengguna sama ada tidur lena atau tidak.

Bonus yang tiada pada jam lain adalah mengukur tekanan darah. Ciri ini walau bagaimanapun tidak boleh bergantung kepada jam sepenuhnya. Alat pemantauan tekanan darah seperti OMRON dalam siri HEM wajib ada untuk menyelarikan corak degupan jantung dan data sistolik serta diastolik.
APA YANG TAK BEST?

Saru sahaja yang saya ingin merungut adalah prestasi. Benar, prestasi jam ini amat pantas. Ia di antara Snapdragon Wear 4100+ dan Snapdragon W5+ Gen 1, di mana masih ada sedikit lengah masa iaitu pada peralihan animasi. Saya rasakan ini adalah isu pada Wear OS itu sendiri bukan pada Samsung. Jika dibandingkan dengan watchOS, animasinya sangat lancar sehinggakan jam model lima tahun lepas masih terasa lancar seperti jam baharu. Google masih perlu mengoptimasikan Wear OS agar lebih bersaing sengit dengan Apple.
BATERI
Kebiasaannya, jam Wear OS hanya bertahan selama sehari penuh. Kecuali pada Galaxy Watch5 dan TicWatch Pro yang boleh mencapai sekitar 2-3 hari. Untuk Samsung Galaxy Watch6 Classic, selepas menggunakannya selama beberapa minggu sebagai jam harian saya mendapati ia hanya bertahan sekitar satu hari setengah sahaja.

Ini adalah untuk penggunaan berat termasuk Samsung Wallet, mengawal muzik, kamera, membalas WhatsApp, menyemak emel, menggunakan ketika tidur serta menggunakan ciri kecergasan lain. Pengecasan pada saya masih perlahan iaitu sekitar 1 jam 30 minit atau 50% bateri dengan 30 minit cas.
Penggunaan ringan boleh memberikan jam ini hampir dua hari tetapi di siang hari kedua akan terkejar-kejar mencari pengecas. Jam juga boleh dicas dengan peranti yang menyokong pengecasan nirwayar berbalik tetapi aneh sekali tidak semua pengecas Qi boleh digunakan.
PESAING
Samsung Galaxy Watch6 Classic Apple Watch Ultra TicWatch 5 Pro Skrin 1.5″, Super AMOLED
480 x 4801.92″ LTPO OLED,
502 x 4101.43“ AMOLED, 466 x 466 + Ultra-low-power Display Pemproses Exynos W930 (5nm)
Dwi-teras 1.4 GHz, Cortex-A55
Mali-G68Apple S8 (7nm) + Apple W3 & Apple U1
Dwi-teras 1.8GHz
Apple GPUSnapdragon W5+ Gen 1 (4nm)
Kuad-teras 1.7GHz
GPU A702Memori 1/16 GB 1/32 GB 2/32 GB Sistem Operasi One UI Watch 5 (Wear OS 4) watchOS 9 Wear OS 3.x Perlindungan IP68 100m, IP6X 5ATM Sensor Pemecut, Barometer,
Sensor Elektrikal Jantung,
Giroskop, Geomagnetik,
Hall, Suhu infra merah, Sensor cahaya, Pengimbas nadi optikalSensor oksigen darah, jantung elektrikal, Pengimbas nadi optikal,
pemecut High-G, giroskop HDR, cahaya ambien, suhu air, tolok kedalamanPemecut, Giroskop, Pengimbas nadi PPG HD, SpO2,
suhu kulit, sensor off-body sela masa rendah, Barometer, KompasLain-Lain GPS + Bluetooth 5.3
Bezel Berputar Haptik Fizikal
Speaker, MikrofonGPS + eSIM + Bluetooth 5.3
Tombol berputar + haptik
Speaker, MikrofonGPS + Bluetooth 5.2
Tombol berputar + haptik
Speaker, MikrofonBateri 425mAh
Qi542mAh
Dermaga magnetik628mAh
Dermaga khasBahan Binaan Alumnium + Kaca nilam Titanium + Kaca nilam + Seramik Besi + Aluminium siri-7000 + gentian kaca nilon diperkuatkan Harga BERMULA RM1399 RM3799 SEKITAR RM1500
APA ADA DALAM KOTAK?
Berikut adalah apa yang anda akan dapat dalam setiap pembelian Samsung Galaxy Watch6 Classic;
- 1x Galaxy Watch6 Classic
- 1x Set tali jam mengikut jenis yang dibeli.
- 1x Kabel pengecas
- 1x Manual
KESIMPULAN
Sebagai peminat jam Wear OS yang telah menggunakannya sejak 2017, Samsung Galaxy Watch6 Classic adalah jam Wear OS terbaik pernah saya gunakan setakat ini. Apa yang Samsung bawakan pada One UI Watch mereka menjadikan pengalaman penggunaan jam tangan pintar sebenar pada Android lebih memuaskan. Walaupun masih tidak sehebat antara iPhone dan Apple Watch, tetapi sudah berada d tahap ia boleh diterima.

Dengan harga bermula RM1399 untuk Watch6 Classic atau RM1099 untuk Watch6, ia adalah jam tangan Wear OS yang berbaloi. Skrin hebat, prestasi mantap, perisian menarik dan binaan premium. Model Classic adalah kegemaran kerana bezel berputar dengan kesan haptik ibarat pemutar kegelisahan.
Pro
- Skrin yang cantik, terang dan lancar.
- Prestasi pantas dan menakjubkan.
- Bezel berputar ibarat pemutar kegelisahan.
- Sokongan perisian dan aplikasi yang hebat.
- Ada pilihan model eSIM.
- Harga kompetitif untuk jam Wear OS.
Kontra
- Ketahanan bateri yang tidak memberangsangkan.
- Peralihan animasi yang memberi ilusi lengah masa.
- Wajib menggunakan peranti Samsung untuk manfaat sepenuhnya.
- Masih banyak aplikasi menarik tiada seperti pada watchOS.

