Dalam kalangan peminat soundbar ada jenaka yang dikeluarkan setahun sekali iaitu beli soundbar siri Q Samsung model tahun lepas sejurus selepas model tahun ini dilancarkan. Sebabnya ialah potongan harga yang menjadikan pembelian berbaloi kerana perbezaan antara kedua-dua model adalah sedikit.

Samsung Q-series Soundbar HW-Q990H telah dilancarkan di Malaysia pada beberapa bulan lalu dan saya rasakan tahun ini jenaka yang sama lebih tepat daripada biasa kerana perbezaan dengan HW-Q990F adalah kecil seakan kemas kini perisian versi 1.1.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
| Samsung Soundbar HW-Q990H | |
|---|---|
| Jenis | Soundbar |
| Pemandu | 23 speaker, 1 sub (11.1.4) |
| Port I/O | 1x HMDI eARC 2x HDMI 2.0 1x Optikal |
| Sokongan Audio | ATMOS Music ATMOS Dolby 5.1ch Dolby Digital Plus Dolby True HD Eclipsa Audio |
| Codec | MP3,AAC,OGG,FLAC,WAV,ALAC,AIFF |
| Ekosistem Disokong | Samsung SmartThings Samsung Q-Symphony Google Chromecast Apple AirPlay Spotify Connect |
| Sokongan pembantu maya | Tiada |
| Butang Fizikal | Ya |
| Bluetooth | Bluetooth 5.3 |
| Bicu Audio AUX | Tiada |
| NFC | Tiada |
| Harga Jualan | RM 6499 (promosi RM 5,359) |
Samsung Soundbar Q990H menyokong 11.1.4 saluran audio dengan 23 speaker kesemuanya sama seperti Q990F. Ia terdiri daripada satu soundbar sepanjang 1232.0 x 70.8 x 138.0 mm,, dua speaker satelit untuk saluran audio belakang dan satu subwoofer. Soundbar utama mempunyai rekaan berkotak dengan tubuh diperbuat daripada logam. Sekali lagi saiz, dimensi dan kemasan seperti model tahun lalu sehingga saya sukar membezakannya dengan Q990F yang juga ada dalam simpanan makmal Amanz.

Keseluruhan bahagian hadapan mempunyai ribuan lubang untuk audio daripada pemandu ditembak ke semua arah. Dengan kekisi logam ini, isu habuk terkumpul tidak akan berlaku berbanding kemasan fabrik kerana lebih mudah dibersihkan.
Walaupun rekaan kitar semula, saya masih merasakan rekaan ini kekal malar hijau kerana. Satu, ia tidak menarik perhatian mata apabila diletakkan di bawah TV. Kedua pula ialah ia nampak kemas serta kontemporari dengan selera ruang TV rumah-rumah moden yang inginkan estetik minimalis.

Dua speaker satelit mempunyai rekaan logam yang sama dengan pemandu audio yang ditembak ke atas untuk menyokong sistem Dolby Atmos. Akhir sekali subwoofer 48W bersaiz kompak dipadankan dengan dua unit pemandu 8″ menembak ke sisi kiri dan kanan. Menurut Samsung ini akan memberikan dentuman bass seimbang sekaligus menghapuskan isu getaran yang lazim dikaitkan dengan sub.

Saiz kompak ini diperkenalkan tahun lalu setelah mengambil kira ruang tamu moden yang semakin kecil. Setiap kali sistem audio diletakkan di rumah, antara yang menjadi dilema pembeli ialah di mana sub perlu diletakkan. Dengan sub yang kompak ia boleh diletakkan dalam rak TV membolehkan ledakan bass terus menumbuk data pengguna,
Seperti kesemua soundbar siri Samsung Q, Q990H adalah panjang dan besar menyebabkan ia paling serasi dipadankan dengan TV sebesar 65″ dan ke atas. Adalah canggung melihat soundbar lebih besar daripada TV. Maka tidak mengejutkan tahun ini kesemua TV mercu baharu keluaran Samsung tiada lagi bersaiz lebih kecil daripada 65″. Hakikatnya pada tahun 2026, skrin 55″ yang dahulu dianggap besar kini adalah sama statusnya dengan telefon dengan skrin 6.3″. Ia masih wujud tetapi tidak lagi begitu popular.

Pada bahagian atas terdapat beberapa butang fizikal untuk mengawal tahap audio, butang kuasa dan butang membisukan mikrofon. Buang-butang ini diperbuat daripada getah. Sebuah skrin dot matrix diletakkan di hadapan kanan memaparkan status audio dan input yang sedang digunakan.

Ia terlalu kecil untuk memaparkan maklumat yang diperlukan. Jadi aplikasi SmartThings kami sarankan dipasang pada telefon pintar bagi memudahkan tetapan Q990H diubah dan melihat dengan lebih jelas pelbagai mod yang boleh diubah oleh pemilik.
Saya sarankan Q990H dikawal sepenuhnya dengan SmartThing kerana membolehkan mengubah tetapan granular treble, bass, keseimbangan audio, EQ dan banyak lagi boleh dilakukan lebih pantas tanpa memeningkan kepala. Alat kawalan yang diberikan adalah agak asas jika dibanding dengan penawaran dalam aplikasi.

Dari segi I/O pula terdapat 1x HMDI eARc, 2x HDMI 2.0, dan 1x input optikal. Sambungan HDMI 2.1 membolehkan isyarat 4K 120Hz dipindahkan daripada peranti ke soundbar kemudian ke TV. Untuk sambungan audio secara nirwayar terdapat sistem Spotify Connect, Google Chromecast Audio dan Apple Air Play 2. Jika anda memiliki peranti Samsung, ciri Tap Sound untuk memindahkan audio dari telefon ke Q990H juga boleh dilakukan. Tiada perubahan dilakukan di sini berbanding Q990F.

PENGGUNAAN
Proses sambungan kepada TV adalah mudah agak mudah lebih-lebih lagi jika dipadankan dengan TV Samsung. Ekosistem Tizen OS akan segera mengesan soundbar lengkap dengan nama model di skrin. Saya cuba melakukan yang sama pada sebuah TV jenama lain dengan Google TV. Ia masih lagi mudah tetapi integrasi pada Tizen OS adalah jauh lebih lengkap.

Apabila diaktifkan, keempat-empat komponen Q990F akan berhubungan antara satu sama lain secara automatik. Sambungan kepada TV pula dilakukan dengan satu kabel HDMI menerusi port HDMI eARC. Saya melakukan majoriti ulasan ini dengan TV terkini Samsung R95H Micro LED bagi mendapatkan pengalaman ekosistem Samsung yang paling ideal. Dengan ekosistem Samsung, Q990H boleh menawarkan audio Dolby Atmos secara nirwayar. Ini tidak disokong pada ekosistem/sistem operasi lain.
KUALITI AUDIO
Sistem Dolby Atmos yang memenuhi segenap ruang dan dapat dirasakan dari mana arah bunyi datang lengkap dengan kesan ketinggian. Samsung mengatakan ketinggian bunyi audio pada Q990H adalah lebih baik berbanding Q990F tetapi saya tidak dapat mendengar perbezaan ketara apabila kedua-dua soundbar memainkan audio yang sama. Yang boleh dikesan perbezaan ialah mod dialog yang memberikan suara watak dalam filem kedengaran lebih jelas.

Terdapat ciri mengurangkan kelantangan iklan secara terbina tetapi saya tidak boleh mengujinya kerana tidak menonton lagi kandungan TV terrestrial atau Astro. Semua platform penstriman yang dilanggan tidak menyajikan iklan.
Subwoofer lebih kecil dan dengan dua pemandu menghasilkan bass mantap dan seimbang. Dentuman bass bukan sekadar getaran menumbuk data atau memecahkan gegendang telinga. Ia sama seperti pengalaman saya berpindah daripada Sony XM5 ke Sony XM6, bass Q990H bukan yang paling berdentum kuat tetapi ianya lebih terperinci.

Mulakan dengan filem Dune: Part Two. Dalam babak Paul menunggang cacing pasir di Arrakis, dentuman alat Thumper bermula perlahan sebelum memenuhi seluruh ruang makmal audio. Kemudian apabila cacing pasir muncul, setiap pergerakan jutaan butir pasir menghujani skrin dapat didengari. Dengan dialog enhancer, suara teriakan Paul dan watak-watak lain kedengaran jelas di tengah-tengah. Berbeza sekali jika speaker TV digunakan kerana bahagian ini sering ditenggelami audio lain yang lantang.

Kemudian saya menguji pula dengan babak tembak menembak ikonik filem Heat. Bunyi ledakan raifal, pistol dan senapang patah dapat didengari dengan jelas. Tidak berkecamuk dengan arah ditembak dapat dikesan dengan jelas. Kemudian bunyi kaca pecah juga tidak ditenggelami oleh bunyi watak yang menjerit kerana panik. Heat ialah filem yang menjadi standard ujian audio bersama dengan babak lobi The Matrix.

Dalam permainan video pula, sistem audio 360 PlayStation 5 juga disokong dengan baik. Dapat didengari arah peluru berpandu dalam Ace Combat 8, letupan flashbang dan bom dalam Call of Duty III dan bunyi zombie menyorok dalam Resident Evil 4. Pengalaman audio Q990H adalah mantap tetapi sekali lagi amat sama dengan Q990F.
ALAT KAWALAN JAUH
Alat kawalan jauh diperbuat daripada plastik sementara butang diperbuat daripada bahan getah. Ia masih memerlukan dua bateri AAA untuk berfungsi dan bukan jenis solar yang diberikan dengan TV pintar Samsung. Pada alat kawalan jauh ini terdapat butang menukar input, memulakan proses tambatan BT, mengubah mod bunyi dan mengubah tetapan treble/bass. Sudah empat tahun alat kawalan jauh ini digunakan pada soundbar Q-Series.

Tetapi seperti kami katakan di atas tadi, skrin LCD di hadapan soundbar terlalu kecil untuk kami melakukan penetapan dengan mudah dan adalah lebih mudah ini dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar.
DALAM KOTAK
Dalam setiap pembelian, anda akan menerima seperti berikut.
- 1x Soundbar Q990H
- 1x Subwoofer Q990H
- 2x Speaker satelit Q990H
- 1x Kabel HDMI 1.5m.
- 4x Kabel kuasa 3 Pin
- 1x Manual.
KESIMPULAN
Q990H adalah sama sahaja dengan Q990F baik dari sudut rekaan, saiz, konfigurasi audio, jumlah speaker, sokongan perisian dan pengalaman audio. Perbezaan antara dua model yang dilancarkan selang setahun ini terlalu kecil sehingga boleh dikatakan sama.

Ini bukan bermakna Q990H sebuah soundbar yang gagal. Sebaliknya palang tinggi yang ditetapkan oleh Q990F tahun lalu adalah cukup tinggi tinggi semakin sukar untuk diatasi. Ada sebab mengapa Sony dan Apple tidak mengemaskini kelengkapan audio mereka setiap tahun,
Samsung Q990H dijual pada harga RM 6,499 tetapi kini ditawarkan pada harga promosi RM 5,359. Potongan harga yang banyak tetapi Q990F boleh dibeli pada harga bawah RM 5,000 di beberapa kedai atas talian hari ini. Produk yang 99% sama tetapi harga yang jauh lebih rendah.
Pro
- Sistem audio 11.1.4 yang lengkap dan mantap.
- Sokongan Dolby Atmos dan Eclipsa Audio.
- Sesuai untuk pelbagai jenis kandungan.
- Subwoofer kecil menjimatkan ruang.
- Sokongan ekosistem SmartThings, Chromecast Audio, Air Play 2 dan Spotify Connect.
- Aplikasi SmartThings kini lebih berguna.
Kontra
- Alat kawalan jauh mengelirukan.
- Wireless Dolby Atmos hanya pada TV keluaran Samsung.
- Kurang serasi dipadankan dengan TV bawah 65″.
- Tiada perbezaan ketara dengan Q990F.


