Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

TechnologyDigital
30 Jun 2026 • 11:35 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Semasa zaman pandemik Covid-19 lebih enam tahun lalu, jualan tablet meningkat kerana keperluan anak-akan menjalani pelajaran secara PDPR. Ramai bertanya saya apakah tablet paling sesuai digunakan. Saya menyarankan tablet paling murah dan paling asas sahaja dibeli kerana meramalkan PDPR tidak akan kekal lama serta tidak mahu anak kecil menggunakan tablet untuk menjalankan aplikasi permainan.

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Pandemik sudah berakhir dan permintaan untuk tablet asas yang murah cukup-cukup untuk penggunaan oleh anak masih lagi wujud. TechLife Pad Plus 2 adalah tablet terkini dalam kelas ini ditawarkan di Malaysia tetapi adalah ia masih boleh disarankan? Ini ulasan pantasnya.

Spesifikasi Dan Rekaan

TechLife Pad Plus 2
Skrin12″ IPS LCD, 5:3
1200 x 2000 pixel, 90Hz
PemprosesMediaTek Helio G100 (6nm)
Cip2× Cortex-A76 2.2GHz
6× Cortex-A55 2.0GHz
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM6 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128 UFS 2.2 (mikro SD 1TB)
Kamera Utama8 Megapixel f/2.0
Kamera Swafoto5 Megapixel f/2.2
Bateri9000 mAh
Pengecasan berwayar 18W
SIM/TelefoniYa/4G
NFCTiada
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanWajah
Harga JualanRM 899 (6/128GB) 4G

Rekaan tablet ini adalah sama seperti beberapa tablet OEM mampu milik yang sama ulas sejak empat tahun kebelakangan Skrin hadapan rata dengan bezel tebal memudahkan ia dipegang, sisi berkotak, empat lubang speaker sisi, kamera hadapan dalam bezel dan bonggol belakang untuk kamera utama.

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Skrin rata 12″ IPS LCD dengan resolusi 2K dan kadar segar semula 90Hz adalah sederhana dengan ia mengesan sentuhan dengan baik. Warna juga sederhana dengan ia tidak begitu mudah dilihat di bawah matahari yang terik. Ini adalah perkara biasa pada skrin LCD maka saya tidak akan terlalu kritikal. Setelah sekian lama menggunakan peranti skrin OLED, kekurangan LCD dapat dilihat dengan ketara.

Dengan sokongan DRM L1, Pad Plus 2 boleh memaparkan kandungan Netflix dan beberapa platform penstriman utama pada resolusi HD penuh. Ini adalah amat penting pada tablet dengan skrin 12″ kerana jika resolusi lebih rendah video yang ditonton akan nampak sedikit pecah.

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Butang kuasa pada sisi diperbuat daripada logam dengan ia selesa apabila ditekan. Tiada pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa. Malahan sistem imbasan cap jari langsung tidak disertakan. Saya bergantung sepenuhnya kepada sistem imbasan wajah yang agak pantas. Saya ciri yang agak aneh ialah tiada bicu audio 3.5mm pada tablet yang besar ini. Maka aksesori audio bluetooth diperlukan sepanjang masa. Turut tidak disertakan ialah NFC dan pemancar infra merah.

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Empat speaker diletakkan pada bahagian sisi menyokong audio stereo tetapi tanpa ciri tambahan Dolby Atmos. Audio yang dilontarkan lantang tetapi terasa kurang bertenaga. Bass tidak begitu ketara dan pada tetapan audio tinggi kedengaran kurang jelas. Untuk pengalaman audio terbaik gunakanlah fon kepala atau fon telinga.

Terdapat sebuah talam untuk kad mikro SD sehingga 1TGB dan untuk SIM. Tablet menyokong rangkaian 4G, Wi-Fisehingga 5GHz dan tambatan bluetooth 5.3. Melengkapi rekaan peranti ialah port pengecasan USB-C pada bahagian bawah. Peranti juga tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air.

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Penggunaan Dan Perisian

TechLife Pad Plus 2 menggunakan sistem operasi Android 16 dengan pelancar Easy Launcher. Serasi dengan namanya, Easy Launcher senang digunakan tanpa penambahan ciri tidak diperlukan atau sebarang bloatware. Pelancar ini nampak seperti Android stok tanpa sebarang pemperibadian ditawarkan.

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Perkara positif yang sama boleh berikan ialah Pad Plus 2 berjalan dengan lancar walaupun dilengkapi pemproses kelas permulaan dengan saiz RAM yang kecil. Majoriti aplikasi lazim boleh dilancarkan dengan pantas tanpa sebarang isu. Perkara positif lagi ialah tiada ciri AI yang hanya disumbat sekadar

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Saya tidak boleh berbohong kepada anda. Pada waktu yang sama spesifikasi rendah ini mendatangkan isu apabila menggunakan aplikasi lebih intensif. Saya memasang Red Dead Redemption dan masa muat turun agak lama (kerana storan UFS 2.2 sahaja) dan masa melancarkan permua 3D ini juga lebih perlahan berbanding peranti dengan cip lebih berkuasa. Apabila sudah dilancarkan, RDR tersekat-sekat sehingga sukar dimainkan.

RAM sekadar 6GB sahaja dengan sokongan penambahan memori maya sebanyak 6GB lagi. Ianya tidak mencukupi apabila lebih daripada lima aplikasi dilancarkan serentak. Pelayar web kurang responsif dan sesetengah aplikasi akan disegar semula apabila diletakkan di latar belakang terlalu lama. Pad Plus 2 tidak mesra bagi mereka yang gemar menggunakan lebih daripada dua aplikasi serentak.


Penanda Aras

Cip MediaTek Helio G100 merupakan cip kelas permulaan yang dilengkapi 2 teras CPU Cortex A76 dan 6 teras CPU Cortex A55 yang dipadankan dengan GPU Mali G57 MC2. Ia dilancarkan pada Ogos 2024 dan oleh itu boleh dikategorikan sebagai sudah agak berusia. Maka saya bandingkan tablet ini dengan beberapa telefon dan tablet dengan spesifikasi hampir setanding.

  • Redmi Pad 2 4G  – Helio G100 Ultra (6nm)
  • Realme 16 5G – Dimensity 6400 Turbo (6nm)
  • Realme C100 – Dimensity 6300 (6nm)
  • Honor 600 Lite – Dimensity 7100 Elite (6nm)
  • Infinix Note Edge – Dimensity 7100 (6nm)

AnTuTu 3D

PerantiSkor
TechLife Pad Plus 2556,956
Redmi Pad 2 4G422,508
Realme 16 5G531,226
Realme C100577,629
Honor 600 Lite726,401
Infinix Note Edge805,806

Geekbench 6

PerantiSatu TerasMulti Teras
TechLife Pad Plus 27051907
Redmi Pad 2 4G7271928
Realme 16 5G8011902
Realme C1006631758
Honor 600 Lite8672660
Infinix Note Edge9722827

3DMark Wildlife Extreme

CipSkor
TechLife Pad Plus 2370
Redmi Pad 2 4G342
Realme 16 5G381
Realme C100383
Honor 600 Lite640
Infinix Note Edge692

Tablet mampu menjalankan aplikasi lazim seperti Chrome, Facebook, Instagram, WhatsApp dan YouTube dengan agak lancar asalkan tidak lebih daripada enam aplikasi dibuka serentak. Lebih daripada angka ajaib ini, kelancaran peranti terjejas. Kombinasi hanya 6GB RAM dengan cip pemproses usang membuatkan ia tidak lagi mampu menawarkan pengalaman yang memuaskan secara konsisten.

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Seperti saya nyatakan dalam beberapa perenggan di atas, menjalankan permua juga mempunyai had. Permua 2D atau 3D ringkas boleh dijalankan pada tetapan rendah. Apabila mula mencuba permainan lebih kompleks seperti Red Dead Redemption dan COD Mobile peranti menawarkan kadar bingkai yang rendah membuatkan sesi permainan langsung tidak memuaskan.


Kamera

Kamera utama di belakang adalah sebesar 8MP dan di hadapan pula sebesar 5MP sahaja yang merupakan spesifikasi kamera peranti tahun 2012. Di media sosial kerap didengar terma “kamera kentang” untuk kamera yang gambarnya kabur serta kurang bermaya. Kamera pada Pad Plus 2 layak diberikan status kentang kerana hasilnya boleh anda lihat di bawah.

Semua gambar kabur kerana kamera tidak mempunyai OIS. Dalam situasi pencahayaan rendah, gambar yang ditangkap nampak gelap. Jika ada sumber cahaya pula, keterangan melampau membuatkan keperincian pada objek tidak dapat dilihat. Tidak ada perkara positif boleh saya katakan mengenai kamera tablet ini.

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas
Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas
Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas
Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas
Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas
Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Bateri

Bateri sebesar 9000 mah memberikan hayat SOT mencecah 11 jam dalam penggunaan sederhana. Saya gunakan tablet ini untuk menstrim perlawanan Piala Dunia. Sebagai tablet pemain media, ini ialah hayat penggunaan yang baik. Tetapi bateri gergasi ini hanya menyokong pengecasan 18W yang membuatkan proses mengecasnya semula adalah hampir 2.5 jam. Terlalu perlahan kerana saya mempunyai powerbank 24,000 mAh yang boleh dicas sepenuhnya dalam masa 2 jam.

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Audio

Audio dari empat speaker adalah lantang pada tetapan tinggi. Tetapi kualiti audio agak berkecamuk dengan perbezaan antara instrumen dalam lagu sukar didengari. Ia juga kedengaran rata kerana tiada sokongan sistem seperti Dolby. Walaupun bersaiz besar, Pad Plus 2 tidak mempunyai bicu audio. Untuk pengalaman audio terbaik, saya sarankan fon telinga digunakan sepanjang masa.

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian Redmi Pad 2 4G di Malaysia.

  • 1x TechLife Pad Plus 2
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 18W
  • 1x Pin SIM
  • 1x Manual

Kesimpulan

TechLife Pad Plus 2 dijual di Malaysia pada harga RM899 dengan konfigurasi 6/128GB dan sokongan 4G. Nampak mahal tetapi hakikatnya ini ialah harga paling mampu milik untuk tablet kelas permulaan disebabkan krisis RAM yang semakin meruncing. Tablet in terlalu asas sehingga saya tidak boleh menyarankan pembelian kepada mereka yang ingin mencari sebuah tablet kerja.

Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas

Saya boleh sarankan pembelian jika ingin diberikan kepada anak sebagai tablet pertama atau sekadar menjadi tablet penstriman kandungan video atau melayari web. Untuk tujuan ini TechLife Pad Plus 2 memadai tanpa perlu berbelanja lebih dalam situasi ekonomi terumbang ambing serta harga jualan peranti semakin mahal.

Pro

  • Skrin besar yang menyokong penstriman HD pada majoriti aplikasi utama.
  • Boleh menjalankan pelbagai aplikasi lazim.
  • Sokongan kad mikro SD sehingga 1TB.
  • Bateri 9000 mAh yang tahan lama.
  • Sokongan 4G.

Kontra

  • Kamera mengecewakan
  • Tiada pengimbas cap jari.
  • Pengecasan agak perlahan mengambil masa 3 jam
  • Tiada maklumat mengenai sokongan kemas kini peranti.
Image from: Ulasan TechLife Pad Plus 2 – Tablet Terlalu Asas
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved