TECNO secara senyap memulakan tahun 2025 dengan pengenalan tablet kelas asas baharu Megapad 11. Berdasarkan spesifikasi yang ditawarkan, keupayaan tablet ini dilihat sudah memadai untuk kegunaan orang ramai. Dalam artikel ini, saya kongsikan beberapa pendapat mengenai penggunaannya.

SPESIFIKASI DAN REKAAN
SKRIN 11″ IPS LCD, 90Hz, 450 nit,
1200 x 1920CPU Helio G99 (6nm)
2x 2.2 GHz Cortex-A76
6x 2.0 GHz Cortex-A55 GPU Mali-G57 MC2 MEMORI 8GB RAM +
8GB RAM MayaSTORAN 128/256 GB KAMERA BELAKANG 13 Megapixel KAMERA HADAPAN 8 Megapixel AUDIO Kuad-speaker
Dolby AtmosBIOMETRI Tiada SISTEM OPERASI HiOS Android 14 SAMBUNGAN WiFi 5
Bluetooth 5.2PERLINDUNGAN Tiada BATERI 8,000mAh
18W BerwayarHARGA RM899 – 8/256 GB WiFi + LTE
RM699 – 8/128 GB WiFi + LTE
Rekaan Megapad 11 ini tiada apa-apa yang istimewa dan memukau selain pada pilihan warnanya sahaja. Misalnya unit yang kami dapat dengan warna hijau. Warna yang ceria pasti akan mengubah pengalaman penggunaan berbanding warna gelap dan kusam. Megapad 11 turut kelihatan seakan sebuah telefon pintar yang dibesarkan sahaja.

Di kiri dan kanan peranti terdapat sistem kuad-speaker untuk audio yang lebih seimbang dan lantang. Pada bahagian kanan pula terdapat port pengecasan USB-C dan bicu audio 3.5mm. Butang kuasa, butang laras audio serta talam SIM terletak di bahagian atas tablet ini dan ia mudah untuk diakses dengan butang yang sedap ditekan. Malang sekali tiada sebarang pengimbas cap jari disediakan dan pengguna terhad kepada sekuriti dalam perisian sahaja.

Keseluruhan tubuh tablet diperbuat daripada aluminium CNC dengan kemasan kusam yang nampak ceria. Ia terasa kukuh dan tidak rasa seakan sebuah tablet murahan. Pada bahagian kamera turut ada tekstur tambahan untuk menjadikan tablet ini kelihatan lebih premium dan bernilai.
SKRIN SAIZ MEGA
Skrin Megapad 11 ini datang dengan skrin bersaiz 11-inci. Ia adalah skrin LCD beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Saiz yang cukup besar ini sangat dihargai untuk penggunaan pelbagai tugasan.

Walaupun tablet berada dalam kelas asas, warna yang skrin hasilkan adalah sangat terang dan boleh mengesan setiap sentuhan dengan baik. Jadi untuk penggunaan membaca artikel, ulangkaji pelbagai mata pelajaran dan untuk menonton video pasti berguna. Cuma, kecerahan skrin terhad kepada 450 nit yang hanya sesuai untuk penggunaan di dalam rumah.

Bezel tebal pada peranti ini langsung tidak menjengkelkan kerana ia berada dalam saiz yang sekata. Ini bermakna, tidak kira jari bersaiz kecil atau besar – mengendalikan tablet ini sama ada untuk penggunaan menegak atau melintang pasti selesa.
PENGGUNAAN + ANDROID STOK TECNO
Bila sebut Tecno, orang akan tahu yang ia menjalankan sistem operasi HiOS. Namun pada Megapad 11, HiOS yang digunakan kelihatan mirip Android stok. Untuk saya yang sudah biasa dengan ColorOS, Funtouch OS dan Nothing OS, HiOS pada Megapad 11 sangat membosankan. Kemampuan kustomasi peranti sangat terhad dan ini tidak sesuai untuk semua pengguna.

Selain masalah ia terlampau kosong, Tecno mengisi talam aplikasi dengan beberapa aplikasi gendut. Kebanyakannya tidak saya gunakan tetapi dengan sokongan Play Store, aplikasi kegemaran dan lebih berguna tiada masalah untuk dimuat turun. Saya turut menggemari ciri produktiviti yang agak lancar, iaitu boleh menggunakan dua aplikasi serentak dalam tetingkap berbeza dengan prestasi memuaskan.

HiOS 14 yang digunakan adalah berasaskan Android 14, jadi kebanyakan ciri Android stok 14 boleh digunakan. Ciri HiOS yang disertakan terhad kepada pembantu maya Ela dengan ChatGPT terbina serta mod gaming tersendiri sahaja. Lain-lain penggunaan Megapad 11 memang tidak rasa mega dan tidak rasa megah.
PRESTASI TAK MEGAH
Tablet saya sebelum Tecno Megapad 11 ini adalah Samsung Galaxy Tab A8 melalui program PerantiSiswa. Walaupun Megapad 11 adalah tablet 2025, pengalaman penggunaan saya dengan Galaxy Tab A8 yang dilancarkan pada 2021 tidak ada banyak beza. Dari prestasi yang sederhana, sentuhan skrin yang boleh diterima dan untuk penggunaan harian lain. Sangat aneh yang One UI dengan Unisoc Tiger T618 masih boleh digunakan pada tahun 2025 dan ia mempunyai prestasi lebih kurang sama dengan HiOS bersama cip Helio G99.

Untuk perbandingan saya memilih Oppo Pad Neo dan Realme Pad 2 kerana ia adalah dua tablet yang masih dijual di pasaran Malaysia dan masih segar. Ia menggunakan cip yang sama tetapi skor penanda aras memperlihatkan jumlah lebih tinggi untuk Megapad 11.
Antutu 3D
- TECNO Megapad 11 – 446,774
- Realme Pad 2 – N/A
- Oppo Pad Neo – 395,231
Geekbench 6
- TECNO Megapad 11 – 740/2012
- Realme Pad 2 – 723/2005
- Oppo Pad Neo – 640/1816
WildLife Extreme
- TECNO Megapad 11 – 1371
- Realme Pad 2 – 1354
- Oppo Pad Neo – 1263

Pengalaman bermain permua agak memuaskan, dimana permua seperti eFootball 2025 dan FC Mobile boleh dimainkan dengan lancar pada tetapan sederhana. Isu pemanasan langsung tidak dapat dirasa ketika bermain. Prestasi pada Megapad 11 ini tidak menghampakan saya kerana saya sudah pun mempunyai jangkaan had cip yang digunakan. Apa yang lebih mengejutkan saya adalah penggunaan cip Helio G99 masih digunakan pada tahun 2025 dan ia masih boleh beroperasi.
TELEFONI, WIFI & GPS
Saya tidak menguji GPS kerana penggunaan peta saya hanya gunakan telefon. Kemudian aplikasi harian yang saya gunakan tiada yang memerlukan akses lokasi. Untuk telefoni, sokongan 4G pada tbalet ini sangat dihargai dengan akses Internet yang lancar. Sokongan sambungan WiFi pun tiada masalah putus-putus dan mempunyai penggunaan stabil dan seimbang sepanjang masa.

KAMERA TAK SEMENGGAH
Semua tahu yang kamera untuk tablet biasa terhad untuk penggunaan imbasan dokumen, kod QR atau untuk menyertai sesi telesidang. Jadi kamera 13MP di belakang Megapad 11 dan kamera 8MP di hadapan tidak memfokuskan kepada kemampuan fotografi atau videografi.


Kedua-dua kamera mempunyai prestasi yang sangat sederhana. Kelebihannya adalah, jika anda seorang pelajar dan menggunakan tablet ini untuk sesi kelas atas talian atau mana-mana sesi telesidang/panggilan video – wajah mengantuk dan bosan anda tidak begitu jelas kelihatan.
BATERI MEGA PUAS
8,000mAh! 8,000mAh! 8,000mAh! Saya ulang, tablet ini mempunyai kapasiti bateri sebesar 8,000mAh. Ya, sesuai dengan namanya Megapad dengan saiz bateri mega ini memang memuaskan. Untuk penggunaan ringan seperti membaca, menonton video, sedikit permua dan sedikit kamera – ia tiada masalah untuk bertahan sehingga 10 ke 11 jam SOT.

Satu sahaja yang membuatkan saya seorang yang tidak murah baran, terus ingin marah kepada Tecno – bateri besar tetapi pengecasan terhad 18W. Megapad 11 memerlukan masa hampir 3 jam untuk pengecasan penuh dan ini tidak boleh dimaafkan.
AUDIO MEGALICOUS
Kalau saya pakai telefon dengan speaker stereo bersama dua pemandu audio sudah memuaskan, apatah lagi tablet dengan empat pemandu audio untuk sistem kuad-speaker Dolby Atmos? Kalau anda rasa tidak cukup dengan empat, Tecno ada tambah satu lagi pemandu audio tambahan untuk tablet ini – menjadikannya mempunyai 5 pemandu audio magnet.

Ia memang kuat, lantang, mengasyikkan dan sangat seimbang. Namun ia tidak mempunyai ciri audio yang menjadikan tablet ini sebuah nilai hebat berbanding apa yang ditawarkan oleh pesaing. Syukur, port bicu audio 3.5mm masih disertakan untuk fleksibiliti penggunaan bersama aksesori audio lain.
KESIMPULAN
Sebagai bekas pengguna PerantiSiswa iaitu Samsung Galaxy Tab A8, penggunaan Tecno Megapad 11 memberikan penggunaan lebih kurang sama. Cuma, skrin adalah sedikit lebih baik dan bateri yang jauh lebih tahan lama. Jika penggunaan tablet Android terhad untuk menikmati kandungan hiburan yang ringan dan untuk tujuan kerja ulangkaji mata pelajaran – Megapad 11 adalah tablet Android kelas asas yang sudah memadai untuk ramai orang.

Harga jualan Tecno Megapad 11 di Malaysia adalah RM899 untuk 8/256 GB dan akan dijual bermula 14 Januari 2025. Sementara untuk versi lebuh mampu milik adalah 8/128 GB dengan harga RM699 yang akan dijual pada 3 Februari 2025. Ia adalah harga jualan yang lebih baik berbanding Samsung Galaxy Tab A9 dengan cip sama tetapi skrin dan bateri jauh lebih menarik. Alternatif lain adalah realme Pad 2 Lite dengan harga lebih kurang sama tetapi perisian yang sedikit lebih baik.
PRO DAN KELEBIHAN
- Rekaan yang kukuh
- Resolusi skrin tinggi
- Prestasi bateri yang baik
KONTRA DAN KEKURANGAN
- Sistem operasi yang membosankan
- Tiada pengimbas cap jari
- Kualiti kamera yang kurang memuaskan
- Cip yang agak berusia

*Ditulis oleh Amzari, pelatih Amanz – dengan teks tambahan oleh Fahim Zahar.
