Ulasan TTRacing Maxx One Piece Collection Luffy Edition – Adakah Ini One Piece Yang Dicari-cari?

TechnologyDigital
1 Aug 2024 • 6:25 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sebagai seorang kipas susah mati siri manga dan anime One Piece, saya tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba dan membeli apa-apa pun aksesori One Piece yang menarik minat saya.

image is not available

Jadi apabila TTRacing, sebuah jenama perabot gaming yang cukup terkenal untuk penawaran kerusinya dan meja gaming mereka menghubungi Amanz untuk bertanya sekiranya kami berminat untuk membuat ulasan tentang kerusi siri One Piece Collection mereka, saya tidak teragak-agak untuk mengatakan ya.

Penawaran

Siri kerusi gaming TTRacing One Piece Collection hadir dengan beberapa pilihan model, termasuklah TTRacing Maxx One Piece Luffy Edition, TTRacing Surge X One Piece Zoro Edition, TTRacing Swift X One Piece Nami Edition dan TTRacing DUO V4 One Piece Chopper Edition.

image is not available

Untuk ulasan ini, kami telah meminta untuk kerusi gaming TTRacing Maxx One Piece Luffy Edition, kerana ia merupakan kerusi gaming terbesar yang ditawarkan dalam koleksi ini, dan khususnya kerana Monkey D. Luffy merupakan watak utama siri ini.

Pemasangan

Kotak yang menyimpan semua bahagian-bahagian kerusi ini adalah agak besar. Sekiranya anda membeli dan memasangnya secara berseorangan, saranan saya ialah untuk sekurang-kurangnya pinjam atau beli sebuah troli untuk memudahkan anda memunggah kotak kerusi ini ke lokasi rumah atau pejabat anda.

image is not available

Jika anda pernah memasang sebuah kerusi TTRacing, pemasangan kerusi ini mungkin tidak begitu rumit untuk anda. Saya sudah lama tidak memasang sebuah kerusi gaming, jadi saya perlu menelaah manual beberapa kali untuk memasang beberapa bahagian secara betul, khususnya tempat letak tangan 4D yang sedikit mengelirukan kerana ia tidak hadir dengan pengenalan jelas tentang bahagian manakah yang patut dipasang pada bahagian kanan dan kiri.

image is not available

Selain daripada itu, kerusi ini boleh dipasang secara berseorangan dalam masa 45 minit ke satu jam (pengalaman saya), dan pastinya lebih pantas sekiranya anda ada seorang rakan untuk membantu anda, khususnya dalam memasang tempat duduk pada bahagian tapak.

image is not available

Oh ya, sebelum saya lupa, penawaran kerusi TTRacing Maxx One Piece Luffy Edition ini juga hadir dengan satu hadiah istimewa, iaitu topi jerami milik Monkey D. Luffy, yang boleh diletakkan di sekeliling bahagian rehat kepala kerusi ini.

Rekaan

Seperti yang dikatakan sebelum ini, keunikan kerusi TTRacing One Piece Collection hadir daripada rekaannya yang memiripi watak-watak daripada siri anime dan manga One Piece. Untuk kerusi yang dihantar kepada kami, TTRacing Maxx One Piece Luffy Edition pada pendapat saya hadir dengan rekaan terbaik dalam siri ini.

image is not available

Kerusi ini rata-rata hadir dengan rekaan berwarna merah yang mana ia adalah warna baju Luffy itu sendiri, dan memperlihatkan beberapa corak yang pastinya biasa dilihat oleh peminat One Piece. Ini termasuklah parut berbentuk “X” di dada Luffy, Huruf “D” yang merupakan nama tengah Monkey D. Luffy dan salah satu plot device yang penting dalam siri tersebut.

image is not available

Di bahagian pula nama Monkey D. Luffy yang disulam dapat diperlihatkan, bersama-sama dengan sebahagian daripada peta dunia One Piece. Bahagian sisi pula memperlihatkan tenunan seakan-akan topi jerami Luffy, dan semua aspek-aspek yang digabungkan ini menjadikannya sebuah kerusi yang wajib dimiliki oleh mana-mana peminat One Piece.

Pengalaman

Terdapat banyak perkara yang saya suka tentang kerusi TTRacing Maxx One Piece Luffy Edition ini. Di antara butiran yang khusus ialah saiznya yang cukup besar untuk membolehkan saya duduk di atas kerusi ini dengan pelbagai cara, seperti duduk biasa, duduk bersila, duduk bersimpuh, dan juga berbaring dengan melenturkan tempat rehat belakang sejauh 155 darjah.

image is not available

Penggunaan kain premium Air Threads Fabric juga sangat membantu dalam menambahkan keselesaan duduk untuk jangka masa yang lama. Setelah menggunakan kerusi ini untuk kira-kira dua minggu, saya boleh katakan bahawa gabungan kain Air Threads Fabric yang selesa ini bersama-sama dengan span tebal memberikan pengalaman duduk yang selesa tidak kira sekejap ataupun lama.

image is not available

Saya titik-beratkan keselesaan menggunakan kerusi dengan kain ini kerana secara lazimnya banyak kerusi gaming menggunakan kulit sintetik yang bagi saya memerangkap haba terlalu banyak dan menyebabkan isu berpeluh yang lebih serius. Penggunaan bahan kain ini bagi saya lebih selesa dan tidak menyebabkan isu kepam dan peluh.

image is not available

Satu isu yang saya lihat mungkin boleh berlaku ialah kerusi ini akan hadir dengan kesan kotor yang mungkin lebih sukar untuk dibersihkan kerana kotoran pada kain fabrik lebih susah untuk dibersihkan berbanding dengan kulit sintetik, tetapi buat masa ini, perkara ini masih boleh diendahkan.

image is not available

Akses kepada butang-butang dan tuas untuk melaraskan pelbagai fungsi kerusi ini seperti ketinggian, lenturan tempat rehat belakang dan juga tempat letak tangan boleh diakses dengan mudah, dan saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk melaraskan kedudukan bahagian-bahagian kerusi ini.

image is not available

Dari segi ergonomik, saya akan menjadi yang pertama untuk berkata bahawa kerusi TTRacing ini adalah lebih selesa daripada banyak penawaran yang serupa di luar sana, tetapi masih tidak boleh menandingi keselesaan jangka-masa panjang sebuah kerusi ergonomik yang dibangunkan khusus untuk kegunaan di pejabat.

image is not available

Akan tetapi, ini bukanlah untuk mengatakan bahawa kerusi ini tidak selesa. Cuma bagi saya yang tidak begitu gemar dengan kerusi yang menggunakan rekaan bucket seat, penggunaan bantal lumbar adalah wajib untuk memastikan belakang anda sentiasa tegak khususnya apabila anda duduk untuk jangka masa yang panjang.

Penutup

Tidak dinafikan bahawa kerusi gaming TTRacing One Piece Collection, khususnya TTRacing Maxx Luffy Edition adalah kerusi gaming yang paling sesuai untuk kipas susah mati siri One Piece. Model Maxx hadir dengan saiz yang paling besar, dan bagi saya ialah yang paling berbaloi di antara kesemua model yang ditawarkan mereka.

image is not available

Tetapi ini juga bergantung kepada anda sendiri samada anda sukakan kerusi jenis ini ataupun tidak. Seperti yang saya katakan sendiri, jika anda tidak begitu minat dengan kerusi rekaan bucket seat, ia mungkin bukan untuk anda, khususnya dengan tanda harga RM1149.

Pro:

  • Besar dan selesa
  • Rekaan cantik
  • Fungsi-fungsi yang mudah diakses
  • Mudah dipasang

Kontra:

  • Senang kotor
  • Rekaan bucket seat yang mungkin bukan kegemaran semua

image is not available