Vivo sekali lagi cuba menjadi antara pengeluar terawal menawarkan peranti mercu generasi baharu mereka ke pasaran Malayuia. Ia bermula dengan subjenama mereka iQOO 12 yang cukup hebat dan kini vivo X100 Pro pula. Saya telah menggunakan peranti ini untuk beberapa minggu dan saya rasakan antara calon peranti mercu terbaik Amanz 2024 telah ditemui.
SPESIFIKASI
vivo X100 Pro Skrin 6.78-inci AMOLED LTPO, 2800 x 1260,
3000 nits, 120Hz, HDR10+Pemproses Dimensity 9300 (4nm)
vivo V3 Chip (6mm)Cip 1x 3.25 GHz Cortex-X4
3x 2.85 GHz Cortex-X4
4x 2.0 GHz Cortex-A720Cip Grafik Immortalis-G720 MC12 RAM 16GB LPDDR5X Muatan Dalaman 512GB UFS 4.0 Kamera Utama 50 MP, 1-inci, f/1.75, OIS (Sudut Lebar)
50 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
50 MP, f/2.5, OIS, 4.3x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
Telephoto Sunset, Astro Portrait, Zeiss Portrait, Zeiss Natural ColorKamera Depan 32 MP, f/2.0 Bateri 5400 mAh
Pengecasan berwayar 100WSIM/Telefoni Dwi SIM Nano /5G NFC Ya Infra Merah Ya Kalis Air IP68 Sistem Imbasan Cap jari bawah skrin Harga Jualan RM4599 (16/512 GB)
REKAAN
Peranti ini masih kelihatan lebih kurang sama dengan X90 Pro, cuma kali ini bonggol kamera gergasi berada di tengah yang nampak lebih kemas. Satu yang mengganggu panel belakang yang cantik ini adalah ayat Extreme Imagination – kerana pada hemat saya logo Zeiss atau vivo | Zeiss Co-Engineered sudah memadai. Unit yang saya uji ini menggunakan nama Startrail Blue iaitu kemasan biru cair yang licin dengan corak lingkaran bintang.

Di dalam tangan X100 Pro benar-benar rasa premium, cuma apabila saya sudah biasa mengendalikan peranti mercu yang kebanyakannya menggunakan rekaan rata pada tubuh dan skrin. Oleh itu rekaan melengkung yang vivo gunakan membuatkan ia terasa sedikit janggal. Dengan ianya licin, kerangka pelindung adalah amat wajib digunakan jika tidak mahu peranti retak ataupun pecah.

X100 Pro adalah peranti memfokuskan fotografi generasi keenam vivo dan generasi kelima dengan Zeiss, adakah mereka masih tidak yakin dengan kemampuan kamera? Kerana di atas peranti pun masih mahu letak ayat “Professional Photography, di samping lubang mikrofon dan sensor infra merah.

Di bawah hanya terdapat satu lagi lubang yang sama, port USB-C, slot kad SIM dan kekisi speaker. Butang kuasa serta butang laras suara diletakkan di sisi kiri. Di hadapan adalah skrin melengkung yang nampak cantik dengan lubang untuk kamera swafoto. Akhir sekali di belakang terdapat bonggol kamera gergasi yang memuatkan tiga sensor kamera utama.

SKRIN
Skrin 6.78-inci pada peranti juga antara yang paling cantik dan terang pernah saya gunakan. Kecerahan sehingga 3000 nits tidak menjadi masalah untuk menggunakan peranti ini di bawah cahaya matahari yang terik. Sokongan HDR10+ juga memuaskan kerana memberikan pengalaman menonton Netflix yang mengasyikkan. Tambahan pula ada ciri yang meningkatkan lagi warna paparan, tonton YoTube atau Prime Video turut menyeronokkan.

Saya hanya ada isu kecil, di mana vivo menyatakan X100 Pro menggunakan skrin AMOLED dengan LTPO. Tetapi kadar segar semula adaptif peranti ini seakan tidak konsisten dengan kerap bergerak pada kadar 60Hz ke 90Hz berbanding 1Hz ke 120Hz. Lain-lain tiada masalah langsung, dengan perisian turut membantu menjadikan skrin peranti mesra untuk mata pengguna.

SISTEM BIOMETRI
vivo X100 Pro menggunakan sensor jenis optikal. Ini bermakna, bahagian imbasan cap jari akan menyala terang ketika menggunakannya di kawasan gelap. Tidak tahu kenapa pengimbas cap jari ultrasonik yang lebih tepat tidak digunakan sedangkan ia bukanlah teknologi baharu. Nyahkunci berasaskan imbasan wajah turut berfungsi dengan cemerlang.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – FUNTOUCH OS 14
Bertahun saya mengadu dengan vivo Malaysia, kenapa peranti berharga atas RM4000 masih ingin menyertakan iklan? Bukan setakat iklan, turut terdapat ikon Hot Apps dan Hot Games sebagai iklan kekal di talam aplikasi yang mencadangkan pengguna aplikasi menarik di gedung aplikasi vivo. Akhirnya pada Funtouch OS 14 berasaskan Android 14 yang dijalankan pada vivo X100 Pro ini lebih bersih.

Walaupun vivo sudah cuba menyertakan banyak elemen Android stok pada tetapan sistem, sekuriti atau pilihan kustomasi, Funtouch OS 14 masih cuba mengetengahkan aplikasi kendiri. Misalnya aplikasi panggilan telefon dan pemesejan bukan Google Phone atau Google Messages seperti pada pesaing. Widget juga cuba membawakan identiti tersendiri dengan konsep interaktif.

Memori maya 16GB menjadikan jumlah memori peranti mencecah 32GB membantu memberikan prestasi terbaik. Kemudian ciri Global Search memudahkan saya mencari sesuatu di seluruh peranti termasuk dalam aplikasi dengan mudah dan pantas. Ultra Game Mode pula membenarkan saya bermain permua tanpa sebarang gangguan tetapi dengan prestasi di luar jangkaan. Akhir sekali Dynamic Effects memberikan saya peluang mengubahsuai tema peranti agar ia lebih diperibadikan dengan personaliti saya.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS – DIMENSITY 9300
MediaTek Dimensity 9300 masih menggunakan binaan 4nm dan ia adalah pesaing kepada Snapdragon 8 Gen 3. Saya akan membandingkan prestasi peranti ini dengan iQOO 12, iPhone 15 Pro Max serta Xiaomi 13 Ultra. Ujian penanda aras yang saya uji adalah AnTuTu 3D, Geekbench 6 dan dua 3DMark iaitu Willd Life Extreme serta Solar Bay. Dalam ujian ini, Dimensity 9300 jauh ketinggalan dengan Snapdragon 8 Gen 3. Ia lebih seakan Snapdragon 8 Gen 2 yang sedikit lebih berkuasa.

Antutu 3D
- vivo X100 Pro – 1,852,552
- iQOO 12 – 2,075,821
- iPhone 15 Pro Max – 1,523,961
- Xiaomi 13 Ultra – 1,527,588
Geekbench 6
- vivo X100 Pro – 2071 / 5032
- iQOO 12 – 2181 / 6631
- iPhone 15 Pro Max – 2873 / 7228
- Xiaomi 13 Ultra – 2015 /5 457
3D Mark Wildlife Extreme
- vivo X100 Pro – 24.35 FPS
- iQOO 12 – 30.22 FPS
- iPhone 15 Pro Max – 22.1 FPS
- Xiaomi 13 Ultra – N/A
3DMark Solar Bay
- vivo X100 Pro – 6929 / 26.35 FPS
- iQOO 12 – 8528 / 32.43FPS
- iPhone 15 Pro Max – 4943 / 18.8FPS
- Xiaomi 13 Ultra – N/A

Saya ada cuba bermain COD Mobile pada peranti ini. Ia tidak dinafikan berjalan dengan sangat lancar dengan tetapan grafik paling tinggi. Cuma selepas 15 minit bermain, peranti sudah mula menjadi suam. Walaupun begitu ia masih tidak memanas ke tahap serius. Ini membolehkan saya terus bermain dua permua berbeza dalam jam yang sama.
TELEFONI DAN GPS
Peranti ini tiada masalah dengan kad SIM Maxis untuk sambungan 5G kerana sentiasa pantas dan stabil. Sokongan VoWiFi dan VoLTE juga cukup baik. Sambungan WiFi adalah pantas dan tidak mengalami sebarang masalah sambungan. GPS pula cepat dalam mengunci lokasi dengan Google Maps dan Waze berjaya memberi arahan selok-belok.
KAMERA
Kami di Amanz mempunyai teori yang kualiti kamera siri vivo X berselang-seli setiap generasi antara baik dan buruk. Bermula X60 baik, X70 buruk, X80 baik, X90 buruk dan kini X100 pula kembali baik. Walaupun masih menggunakan sensor sama dengan X90 Pro iaitu 50MP 1″ Sony IMX989, bantuan cip Vivo V3 dan Dimensity membawakan kualiti fotografi terbaik vivo.

Secara keseluruhan, vivo X100 Pro berpotensi menjadi juara peranti fotografi terbaik. Mod malam yang cantik hampir tiada kesan hingar, warna yang tajam serta cantik untuk setiap mod, profil warna Zeiss yang sedap mata memandang serta pelbagai profil bokeh Zeiss seakan Xiaomi dengan Leica diberikan. Kekurangan utama yang saya tidak gemari adalah mod potret yang tidak konsisten, kejap kemas dan kejap tidak. Kemudian sudah tahun 2024, kenapa peralihan antara sensor apabila menukar mod sudut lebar ke sudut ultra lebar ke zum ada perubahan warna dan fokus menjadi lari.














VIDEO
Peranti ini turut menambahbaik kemampuan rakaman video. Sampel di bawah adalah contoh rakaman 4K 30FPS yang stabil, warna jelas, fokus baik dan butiran dipelihara pada tahap hampir sempurna. OIS jelas membantu di sini kerana gelongsor yang laju serta pantas ini kelihatan perlahan dalam video. Bukan itu sahaja, rakaman gerak perlahan 720p juga kelihatan menarik dan saya rasa ini antara terbaik pernah saya uji sendiri.
AUDIO
vivo X100 Pro menyokong speaker stereo, tetapi tiada sebarang kerjasama dengan Dolby atau jenama syarikat audio lain. Walaupun begitu, vivo ada sistem tersendiri iaitu Audio Super Resolution yang membolehkan mana-mana audio dimainkan pada resolusi lebih tinggi. Bukan itu sahaja, ciri Hi-Fi terbina membenarkan beberapa aplikasi video dan audio memainkan audio pada format ini. Dengar dua atau tiga kali memang enak, tetapi apabila sudah biasa akan kedengaran aneh sedikit kerana kualiti audio yang terlampau digital atau buatan perisian.

BATERI
Ketahanan bateri adalah tidak begitu baik. Saya kerap menerima SOT 4-5 jam untuk penggunaan ringan dan SOT sekitar 3-4 jam untuk penggunaan berat. Peranti ini mempunyai bateri berkapasiti 5400mAh dengan sokongan pengecasan pantas 100W yang boleh mengecas peranti dari 0% ke 100% sekitar setengah jam. Cuma, bateri yang habis macam botol air yang bocor ini saya tidak pasti masalah pada Dimensity 9300 atau Funtouch OS 14 yang vivo boleh baiki dengan kemas kini.

PESAING
vivo X100 Pro iPhone 15 Pro Max Xiaomi 13 Ultra 6.78-inci AMOLED LTPO, 2800 x 1260, 3000 nits, 120Hz,
HDR10+6.78-inci AMOLED LTPO, 2796 x 1290, 2000 nits, ProMotion 120Hz,
Dolby Vision6.73″ AMOLED LTPO, 3200 x 1440, 2600 nits, 120Hz,
Dolby VisionDimensity 9300 (4nm)
1x 3.25 GHz Cortex-X4
3x 2.85 GHz Cortex-X4
4x 2.0 GHz Cortex-A720A17 Pro (3nm)
2x 3.78 GHz
4x 2.11 GHzSnapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510Immortalis-G720 MC12 Apple GPU 6-teras Adreno 740 16GB LPDDR5X 8GB 12 GB LPDDR5X 512GB UFS 4.0 256/512/1000 GB NVMe 512GB UFS 4.0 Kamera Utama
50 MP, 1-inci, f/1.75, OIS
50 MP, f/2.0
50 MP, f/2.5, OIS, 4.3x Zum Optikal
Telephoto Sunset, Astro Portrait, Zeiss Portrait, Zeiss Natural ColorKamera Utama
48 MP, f/1.75, OIS Sensor-shift
12 MP, f/2.8, OIS, 5x Zum Optikal
12 MP, f/2.2, Sudut Ultra Lebar
3D LiDARKamera Utama
50MP, 1″, f/1.9-4.0, HyperOIS
50 MP f/3.0, 5x Zum Optikal, OIS
50 MP f/1.8, 3.2x Zum Optikal, OIS
50 MP f/1.8
Leica Authentic Look, Leica VibrantKamera Hadapan
32 MP f/2.0Kamera Hadapan
12 MP f/1.9Kamera Hadapan
32 MP f/2.0IP68 IP68 IP68 Tiada bicu audio Tiada bicu audio Tiada bicu audio Audio Stereo Audio Stereo Audio Stereo 5400 mAh (Berwayar 100W) 4441 mAh (Berwayar 20W) 5000 mAh (Berwayar 90W) RM 4,599 (16/512 GB) RM 6499 (8/256 GB)
RM 7499 (8/512 GB)
RM 8499 (8/1000 GB)RM5199 (12/512 GB)
APA ADA DALAM KOTAK?
Berikut adalah apa yang ada di dalam kotak dalam setiap pembelian peranti ini;
- 1x vivo X100 Pro
- 1x Pengecas FlashCharge 120W
- 1x Kabel USB-C ke USB-C
- 1x Kerangka pelindung silikon
- 1x Pin SIM
- 1x Set manual dan buku keselamatan
KESIMPULAN
Dengan harga RM4,599 untuk varian 16/512 GB, vivo X100 Pro benar-benar menjadi peranti mercu fotografi terawal di Malaysia. Kita belum tahu bila Oppo Find X7 akan dilancarkan atau Xiaomi 14, jadi X100 Pro ini adalah calon yang layak untuk menjadi telefon raya. Rekaan serta binaan yang premium, perisian yang semakin baik, kemampuan kamera yang hebat, pengecasan yang pantas serta ada perlindungan IP68 – vivo X100 Pro adalah peranti mercu fotografi yang cemerlang dan hampir sempurna.

PRO
- Skrin yang cukup cantik.
- Kemampuan kamera yang hebat dengan zum yang bagus.
- Perisian yang semakin matang.
- Prestasi yang menakjubkan.
- Pengecasan yang cukup pantas.
KONTRA
- Mod potret yang tidak begitu kemas.
- Bateri yang tidak tahan lama.
- Rekaan melengkung dan kemasan licin.
- Aplikasi kamera yang mengelirukan.

