Ulasan Vivo X300 – Kecil Saiz, Besar Prestasi

TechnologyDigital
2 Dec 2025 • 6:18 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pengumuman siri vivo X300 mencetuskan keterujaan khususnya pada model X300 Pro dengan spesifikasi berkuasa. Namun di sebalik tumpuan itu, X300 turut menonjol dengan keistimewaannya sendiri. Ia bukanlah model yang sederhana sebaliknya hadir sebagai peranti mercu untuk mereka yang mahukan telefon pintar berprestasi tinggi dalam saiz yang selesa digenggam. Bagi pengguna yang menginginkan ciri premium tanpa saiz besar, Vivo X300 sedia memikat hati.


Spesifikasi

Vivo X300
Skrin6.31″ LTPO AMOLED
1216 x 2640 pixels
HDR10+, HDR Vivid, 4500 nits (peak)
Ultra HDR image support
PemprosesMediatek Dimensity 9500 (3 nm)
Cip1 x 4.21 GHz C1-Ultra
3 x 3.5 GHz C1-Premium
4 x 2.7 GHz C1-Pro
Cip GrafikArm G1-Ultra
RAM16GB LPDDR5X
Muatan Dalaman512GB UFS 4.1
Kamera Utama200 MP, f/1.7, 23mm (lebar) OIS
50 MP, f/2.6, 70mm (periskop telefoto)
OIS, 3Xoptical zoom
50 MP, f/2.0 (ultra-lebar)
Kamera Swafoto50 MP, f/2.0 (lebar)
HDR
BateriSi/C Li-Ion 6040 mAh (Global)
90W berwayar
40W nirwayar
Pengecasan berbalik
SIM/TelefoniNano/eSIM
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68/IP69
Sistem ImbasanPengimbas cap jari
Imbasan wajah
Harga JualanRM3599

Pengalaman Penggunaan

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa vivo mengekalkan beberapa ciri utama daripada X200 FE termasuk modul kamera bulat dan kemasan pusam. Malah, pengalaman saya memegang X300 terus mengingatkan kepada ulasan X200 FE sebelum ini. Untuk perbandingan, model yang paling hampir ialah X200 Pro Mini. Namun kerana ia tidak ditawarkan secara rasmi di Malaysia, X200 FE menjadi rujukan yang lebih tepat.

image is not available

Peranti ini kecil, kompak dan selesa digunakan dengan sebelah tangan. Dari segi jisim, saiz dan diameter hampir sama dengan X200 FE cuma peranti ni terasa sedikit lebih berat. Saya juga mudah membiasakan diri kerana iPhone 14 yang digunakan mempunyai saiz hampir sama menjadikan penggunaan X300 lebih menyenangkan dan tidak janggal.

image is not available

Dari segi binaan dan kemasan, pengalaman yang ditawarkan tidak jauh berbeza dengan X200 FE, malah terasa lebih kukuh dalam kelasnya. Walaupun selesa digenggam, keseimbangan fizikal peranti ini sedikit terganggu oleh bonggol kamera bulat yang besar terutama kerana saiz keseluruhan peranti yang kecil

Penjenamaan ZEISS juga masih jelas kelihatan, menandakan sistem kamera ini dibangunkan dengan kerjasama syarikat tersebut. Hal ini bukan kali pertama, malah sudah menjadi kebiasaan bagi telefon mercu vivo sejak beberapa tahun lalu.

Vivo mengekalkan rasa premium pada X300 dengan penggunaan kaca AG Matte di bahagian belakang, ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Merah Jambu, Biru dan Hitam. Rasa premium jelas dirasai kerana ia tidak menyerupai plastik murahan.

image is not available

Permukaan ini bukan sahaja tahan daripada kesan cap jari, malah mampu memantulkan cahaya dengan corak halus yang berubah-ubah sekali gus menambah nilai eksklusif pada rekaan. Lebih penting lagi, bahagian belakang tidak mudah tergelincir daripada genggaman meskipun ketika memegang barangan lain. Selepas lebih dua minggu penggunaan harian, saya semakin menghargai betapa praktikalnya telefon ini kerana ia tidak melenguhkan jari dan memastikan peranti sentiasa terjaga dalam genggaman.

image is not available

Rekaan susun atur butang dan port pada X300 masih mengekalkan gaya standard seperti kebanyakan peranti vivo lain. Di bahagian kanan terdapat butang kuasa bersama pelaras audio manakala ruang SIM, port USB-C dan pembesar suara ditempatkan di bahagian bawah.

Seterusnya, IR Blaster disediakan di bahagian atas. Keadaan ini tidak mengejutkan kerana kebanyakan peranti moden turut menggunakan konsep serta susunan yang serupa, menjadikan pengalaman penggunaan lebih mudah.

image is not available

Sehingga kini, vivo masih belum menyediakan butang khusus untuk kamera seperti yang ditawarkan oleh beberapa pengeluar pada peranti mercu mereka. Setakat pengetahuan saya hanya X Fold dilengkapi dengan ciri tersebut. Justeru, diharapkan vivo dapat menambah butang kamera pada model akan datang bagi melengkapkan pengalaman pengguna ketika merakam gambar sama ada secara mendatar atau menegak.

Berbeza dengan model Pro, X300 tidak dilengkapi butang boleh ubah suai di bahagian kiri, sekali gus menjadikannya lebih ringkas dari segi rekaan. Namun begitu, ia masih mengekalkan kedudukan sensor cap jari ultrasonik yang diletakkan kira-kira 1/3 dari bahagian bawah skrin. Kedudukan ini sebenarnya memudahkan ibu jari mencapai sensor lantas menjadikan proses membuka kunci menjadi lebih mudah.

Pembesar suara peranti ini hadir dengan sistem stereo, di mana satu lagi kekisi terletak pada bahagian gagang telefon. Bunyi yang dihasilkan mungkin tidak seimbang sepenuhnya namun ia kedengaran jelas dan tidak kosong sekali gus cukup sesuai untuk kegunaan harian.

image is not available

X300 menggunakan skrin LTPO AMOLED bersaiz 6.31 inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 4500 nits. Spesifikasi ini sama seperti siri X200 sebelum ini. Sepanjang penggunaan, skrin tidak menunjukkan masalah menjadi malap, termasuk ketika digunakan di bawah cahaya terang.

Paparan kelihatan jelas dan terang, dengan warna yang hidup terutama bagi tona yang menyerlah. Hitam juga nampak pekat yang menjadikan paparan lebih mendalam. Pada masa sama, tatalan terasa lancar melalui sokongan kadar segar semula 120Hz yang juga menjadikan pengalaman penggunaan lebih responsif.

image is not available

Skrin 120Hz ini memang memberi kesan kepada bateri tetapi berdasarkan pengalaman saya ia masih memuaskan untuk kegunaan harian. Tambahan pula, AI Adaptive Eye Comfort Mode boleh melaras warna skrin mengikut cahaya sekeliling bagi mengurangkan keletihan mata. Skrin ini juga mendapat persijilan TÜV Low Blue Light dari Jerman sekali gus menjadikan pengalaman menatal terasa selesa walaupun digunakan dalam tempoh lama.


Perkakasan Dan Perisian Dalaman

Peranti ini hadir dengan cip MediaTek Dimensity 9500 sama seperti versi Pro. Cip ini merupakan yang paling premium daripada MediaTek, sekali gus mampu memberikan prestasi lebih mantap. Selain itu, ia digabungkan dengan memori 16GB RAM serta storan dalaman 512GB di samping menawarkan RAM maya 16GB yang terbina secara automatik tanpa pilihan untuk mengubah tetapan.

image is not available

Bagaimanapun, storan dalaman ini tidak boleh dikembangkan, maka pengguna hanya terikat dengan kapasiti 512GB sahaja. Meskipun begitu melalui fungsi Lossless App Compression, pengguna boleh menjimatkan sehingga 50GB ruang storan. Ciri ini disediakan pada sistem operasi baharu OriginOS 6yang sebelum ini tidak terdapat pada Funtouch OS.

Dari segi pengalaman seperti yang boleh dijangka daripada sebuah peranti mercu, prestasinya terasa laju, lancar, dan stabil tanpa sebarang masalah sistem atau lengah masa. Selain itu, peralihan animasi ketika bertukar aplikasi juga berjalan lancar tanpa gangguan mahupun tersangkut. Selain itu, proses muat turun aplikasi sangat pantas dan tidak memakan masa yang panjang.

image is not available

Untuk pengalaman permua, saya sempat menguji Honor of Kings dan prestasinya didapati lancar tanpa sebarang isu ketara. Dengan tetapan tertinggi, permainan ini boleh dimainkan secara konsisten pada tahap 120FPS meskipun melibatkan ramai watak tanpa masalah tersangkut. Selain itu, grafik kelihatan cantik dengan warna yang menonjol manakala tiada isu pemanasan melampau seperti yang pernah dialami pada peranti dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5.

AnTuTu 3D

CipSkor
Vivo X3003,309,171
Honor Magic8 Pro3,424,247
Vivo X300 Pro3,507,869
OnePlus 153,720,096
Google Pixel 10 Pro1,214,735
Oppo Find X9 Pro3,472,342
Apple iPhone 17 Pro2,634,345
Samsung Galaxy S25 Ultra1,946,864
Oppo Find X8 Pro2,629,017
Apple iPhone 16 Pro Max1,720,751
image is not available

Geekbench 6

CipSatu TerasMulti Teras
Vivo X300336110063
Honor Magic8 Pro35879853
Vivo X300 Pro350710469
OnePlus 15355310484
Google Pixel 10 Pro23036134
Oppo Find X9 Pro31589298
Apple iPhone 17 Pro35608835
Samsung Galaxy S25 Ultra29579435
Oppo Find X8 Pro26638959
Apple iPhone 16 Pro Max33598129
image is not available

3DMark Wildlife Extreme

CipSkor
Vivo X3005836
Honor Magic8 Pro7,659
Vivo X300 Pro7,075
OnePlus 156,741
Google Pixel 10 Pro3,266
Oppo Find X9 Pro6,127
Apple iPhone 17 Pro5,873
Samsung Galaxy S25 Ultra6,135
Oppo Find X8 Pro6,251
Apple iPhone 16 Pro Max4,560
image is not available

Peranti ini turut menampilkan sistem operasi baharu OriginOS 6, yang buat pertama kali ditawarkan untuk pasaran luar China. Peralihan ini menandakan berakhirnya era Funtouch OS, digantikan dengan antaramuka moden yang lebih segar serta animasi yang lebih lancar. OriginOS 6 turut memperkenalkan ciri-ciri praktikal seperti Lossless App Compression, yang mampu menjimatkan sehingga 50GB ruang storan, serta RAM Expansion automatik sehingga 16GB untuk pengalaman penggunaan yang lebih efisien.

image is not available
image is not available

Selain itu, sistem ini turut hadir dengan keupayaan AI Retouch yang menawarkan pelbagai fungsi pintar. Antaranya ialah AI Eraser untuk memadam subjek yang tidak diingini, peningkatan kualiti imej melalui AI Ultra HD, AI Image Expander bagi meluaskan bingkai gambar, serta AI Color Adjust yang membolehkan pengguna menukar tona warna sama ada warm atau cold.

image is not available

Sementara itu, ciri AI Flip Card pula berfungsi sebagai kad interaktif berasaskan AI yang boleh digunakan sebagai wallpaper dengan sokongan sehingga empat gambar. Kad ini juga boleh memaparkan kemas kini penting seperti cuaca dan maklumat lain, menjadikan pengalaman penggunaan lebih praktikal dan menarik.

image is not available
image is not available

Pengguna juga boleh menikmati ciri Live Updates yang menyerupai konsep Apple Dynamic Island dengan mengekalkan maklumat penting di bahagian atas skrin bersama akses pantas kepada tindakan relevan. Fungsi lain termasuk Copy & Go yang membolehkan nombor telefon terus digunakan untuk panggilan atau mesej selepas disalin serta Drag & Go yang memudahkan suntingan imej tanpa perlu meninggalkan aplikasi semasa. Seiring dengan era AI, OriginOS 6 turut menyokong integrasi Gemini dan Circle to Search untuk pengalaman lebih pintar.

image is not available

Dari segi reka bentuk, vivo memperkenalkan bahasa rekaan baharu yang dinamakan Origin Design, dengan elemen seperti rim light yang menyerupai kesan kaca (Liquid Glass) dalam iOS 26. Antaramuka ini menampilkan reka bentuk tiga dimensi, Dynamic Glow, Translucent Color System dan Gradient Blur yang menjadikan paparan lebih hidup. Fungsi Notification & Widget Stacks turut bantu menyusun maklumat dengan lebih kemas manakala pemperibadian skrin kunci pula memberi kebebasan kepada pengguna untuk menjadikannya lebih peribadi.

image is not available
image is not available

Selain itu, terdapat ciri Tap to Share yang memudahkan perkongsian dengan peranti iPhone, dan pada masa sama boleh digunakan bersama MacBook dan Windows melalui aplikasi EasyShare yang menjadikan integrasi antara peranti lebih lancar.


Kamera Dan Prestasi Gambar

Di sinilah perkara mula menjadi menarik. Sekali lagi, Vivo memilih untuk tidak menggunakan sensor 1″ sebaliknya mengekalkan pendekatan berbeza yang dianggap lebih sesuai. Saya mendapati profil warna ZEISS kali ini kelihatan lebih semula jadi berbanding sebelumnya. Pada masa yang sama, pilihan warna Vivid Mode nampak sangat terang serta menyerlah.

image is not available
image is not available
image is not available
image is not available

Bagaimanapun, mod ini kurang sesuai digunakan jika persekitaran hanya mempunyai satu atau dua warna utama kerana hasilnya boleh kelihatan terlalu menonjol. Sebaliknya, vivid lebih berkesan apabila terdapat banyak warna yang jelas menonjol sekali gus memberikan hasil yang lebih hidup dan menarik.

image is not available
image is not available
image is not available
image is not available

Selain itu, Textured Mode memberikan hasil yang lebih sinematik dengan perincian yang jelas. Fungsi Macro juga berkesan kerana gambar kelihatan tajam dan subjek dapat dipisahkan dengan jelas daripada latar belakang. Namun begitu, mod ini memerlukan keadaan dengan pergerakan yang minimum. Sebagai contoh, ketika saya cuba mengambil gambar semut di atas pokok, walaupun sistem autofocus berfungsi dengan baik, kamera tetap sedikit bergelut untuk menangkap pergerakan kecil tersebut.

image is not available
image is not available

Seterusnya, 50MP Mode menghasilkan gambar yang lebih tajam berbanding mod biasa. Namun begitu, apabila dibandingkan dengan 200MP Mode terdapat sedikit perbezaan dari segi warna. Dalam hal ini, mod 200MP tidak menyokong fungsi zum tetapi masih boleh digunakan untuk memangkas selepas tangkapan dengan kualiti yang terjaga. Bagi zum maksimum, kualiti gambar mula terjejas dan saya mendapati hasil terbaik hanya sehingga 20 kali zum.

image is not available
image is not available
image is not available
image is not available

Sementara itu bagi Ultra-Wide Mode, sudut tepi gambar kelihatan kurang tajam. Namun begitu, kamera masih mampu memproses imej dengan baik walaupun terdapat cahaya latar yang terang. Peralihan zum pula terasa lancar tetapi pada tahap maksimum agak sukar untuk distabilkan. Selain itu, terdapat masalah ‘Chromatic Aberration’ yang ketara apabila mengambil gambar membelakangi cahaya dalam keadaan tertentu.

image is not available
image is not available
image is not available
image is not available
image is not available

Pengalaman saya dengan Potrait Mode khususnya pada waktu malam sangat memuaskan kerana hingar berkurangan dengan ketara, perincian subjek kelihatan jelas dan latar belakang dapat diasingkan dengan baik. Selain itu, tona kulit tampak semula jadi serta tidak terlalu kusam. Walaupun begitu, kamera masih agak sukar memisahkan objek kecil daripada subjek utama seperti bingkai cermin mata, namun isu ini jarang berlaku.

image is not available
image is not available
image is not available
image is not available

Saya juga mendapati lebih baik menggunakan Night & Landscape Mode berbanding mod kamera biasa untuk tangkapan waktu malam. Hasilnya menunjukkan hingar yang lebih rendah, objek bercahaya tidak kelihatan terlalu blooming dan subjek masih tajam serta jelas. Selain itu, langit malam kelihatan terang tanpa terlalu banyak hingar.

image is not available
image is not available
image is not available
image is not available
image is not available

Perlu dinyatakan bahawa selepas mengambil gambar menggunakan mod kamera biasa, terdapat sedikit lengah masa namun tidak terlalu lama. Sementara itu bagi 50MP Mode dan 200MP Mode, lengah masa lebih ketara. Selain itu, dalam keadaan tertentu, gambar kelihatan seolah-olah terlalu diproses apabila diperhatikan dengan teliti. Walaupun demikian, secara keseluruhan kamera ini tetap memberikan pengalaman yang baik dengan hasil yang memuaskan.

Dari segi rakaman video, prestasi autofokus adalah baik apabila subjek berada dekat, tetapi agak sukar untuk mengekalkan fokus jika subjek berada jauh. Kamera turut menyediakan fungsi Log Mode yang sesuai bagi pengguna yang gemar melakukan ‘color grading’. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa penggunaan mod ini hadir dengan beberapa kompromi, antaranya kestabilan yang berkurangan.


Bateri Dan Pengecasan Pantas

X300 hadir dengan bateri besar berkapasiti 6040mAh dalam tubuh kompak sekali gus mampu bertahan sepanjang hari walaupun dengan penggunaan berat. Dalam penggunaan sebenar, ketahanan baterinya berada pada tahap baik serta dapat menyokong aktiviti harian yang sibuk tanpa sebarang masalah.

Malah, berdasarkan pengalaman penggunaan, peranti ini mampu mencapai sehingga 15 jam Screen-On Time (SOT) dan sekitar 9 jam SOT dalam senario lain yang menjadikannya antara telefon pintar kompak dengan ketahanan bateri yang mengagumkan.

Selain itu, sokongan pengecasan 90W berwayar dan 40W nirwayar disediakan bagi memastikan proses pengecasan semula boleh dilakukan dengan pantas. Malah pengecasan singkat turut memadai untuk memberikan tenaga tambahan yang bermakna pengguna tidak perlu bergantung terlalu lama pada soket kuasa.


Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:

  • 1 x Vivo X300
  • 1 x Kepala Pengecas 90W.
  • 1 x Kabel USB-A ke USB-C.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM.

Kesimpulan

X300 boleh dianggap sebagai peranti mercu kompak tanpa kompromi besar. Ia menggabungkan rekaan moden, panel LTPO 120Hz yang terang serta sistem kamera berkualiti tinggi meskipun tidak setanding dengan model X300 Pro. Ditambah pula dengan bateri 6040mAh, pengecasan pantas 90W, peranti ini juga menawarkan pengalaman setaraf peranti mercu dalam tubuh kecil.

image is not available

Namun begitu, ia bukan pilihan untuk semua. Dengan harga yang bersaing dengan Apple, Samsung dan lain-lain, peranti ini tidak memiliki ekosistem yang kukuh atau sokongan perisian paling lama. Pun begitu, bagi mereka yang mengutamakan peranti bersaiz kompak, bateri tahan lama dan kamera terbaik dalam kelasnya, model X300 jelas menarik sebagai sebuah peranti mercu dengan identiti sendiri.


Kelebihan

  • Reka bentuk kompak dan selesa digenggam.
  • Paparan LTPO 120Hz yang terang dan lancar.
  • Cip mercu dengan prestasi mantap.
  • Kamera berkualiti tinggi dengan prestasi mantap.
  • OriginOS segar dengan ciri AI menarik.
  • Bateri 6040mAh tahan seharian.
  • Pengecasan pantas 90W berwayar dan 40W nirwayar.

Kekurangan

  • Ekosistem kurang kukuh.
  • Sokongan perisian lebih singkat berbanding pesaing.
  • Harga tinggi bersaing dengan jenama utama.
image is not available