Ulasan Vivo Y36 5G – Bukan Semua Sesuai Pakai

TechnologyDigital
6 Jul 2023 • 4:17 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sehingga ke saat ulasan ini ditulis, telefon pintar ini sudah boleh dibeli di Malaysia dengan harga RM1099 sebuah. Menjengah ke media sosial, tidak kurang ramai juga yang menyambut baik kehadirannya. Tetapi secara peribadi saya berpendapat ia tidak lebih daripada sebuah peranti pertengahan yang memberikan tumpuan penuh kepada kegunaan umum. Boleh dikatakan lebih sesuai untuk tugasan harian, pembelajaran dan hiburan dalam kalangan kumpulan pengguna tertentu seperti pelajar atau keluarga.

image is not available

Tetapi bagaimana pula bagi kelompok pengguna yang mencari peranti untuk pelbagai kegunaan lain? Kegunaan sesi permua yang panjang, misalnya? Saya secara peribadinya juga tidak menyarankan peranti ini untuk anda. Harganya juga tidaklah begitu murah untuk meletakkannya sebagai sebuah peranti bajet, tetapi jika mahu mencuba tidak salah. Sebabnya sebenarnya peranti ini mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Pasti ada di antara pembaca yang akan tertanya-tanya, mengapa saya berkata sebegini? Sebenarnya, jawapannya ada di artikel ulasan di bawah.


Spesifikasi

VIVO Y36 5G
Skrin6.44″ IPS LCD, 60Hz
1080 x 2388 piksel (~395 ppi)
PemprosesMediatek Dimensity 6020 (7nm)
Cip2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM8GB RAM
Muatan Dalaman256GB ROM
Kamera Utama50MP f/1.8 (lebar), PDAF
2MP (kedalaman)
Kamera Swafoto16MP f/2.5, (lebar)
Bateri5000mAh
Berwayar 44W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP54
Sistem ImbasanImbasan cap jari
Imbasan wajah
Harga JualanRM1099 (8GB/256GB)

SKRIN Dan REKABENTUK

Mulakan artikel ulasan dengan bercakap mengenai reka bentuk peranti. Kemasan yang baik, ringan dan nipis masih diteruskan di sini. Kombinasi sisi tubuh yang rata dan berkotak memberi keselesaan ketika dipegang. Keseluruhan kerangka dengan bucu yang dibulatkan juga menjadikan pengalaman bertambah baik. Tetapi kemasan jenis berkilat daripada kaca pula memberikan satu implikasi kontra.

image is not available

Ia terasa licin yang amat mudah memerangkap kotoran apabila digunakan tanpa kerangka menyebabkan mudah terdedah dengan risiko kerosakan. Sekilas pandang panel belakang peranti dilihat sama seperti generasi sebelum ini. Ia memuatkan bonggol kamera bersaiz sederhana besar pada sudut kiri, namun hanya sistem dwi-kamera utama yang digunakan. Terdapat juga LED Flash disediakan yang amat berguna untuk tangkapan gambar dalam keadaan amat malap.

image is not available

Skrin adalah sebesar 6.44-inci sejenis IPS LCD beresolusi FHD+. Bahagian atas terdapatnya lubang kecil yang menggantikan takuk pada generasi terdahulu. Perubahan ini juga menampakkan peranti lebih kemas untuk menepati piawaian rekaan masa kini. Penggunaan panel LCD juga tidaklah seteruk yang disangka kerana masih boleh digunakan seperti biasa khususnya bagi aktiviti harian seperti melayari web dan menonton video. Tetapi ketepatan warna sudah semestinya tidaklah sehebat mana dengan ia kelihatan kurang bermaya.

image is not available

Butang kuasa dan suara diperbuat daripada aluminium terletak pada sisi kanan. Bergerak ke bahagian atas anda boleh melihat adanya talam SIM hibrid yang menyokong SIM bersaiz nano dan slot mikro SD. Akhir sekali peranti juga mempunyai slot pengecasan USB-C, pembesar suara mono dan bicu audio 3.5mm di bahagian bawah.

Pembesar suara ini boleh menghasilkan bunyi yang kuat tetapi prestasi bukanlah di tahap yang baik, malahan kedengaran bingit untuk kelantangan yang maksimum. Namun berbeza pula ceritanya apabila digunakan bersama fon telinga yang menjadikan audio kedengaran lebih baik.

image is not available

Seterusnya sama ada perasan atau tidak, saya tidak bercakap mengenai sistem imbasan cap jari fizikal kerana ianya terbina di bawah skrin. Ia boleh berfungsi dengan baik sekali dalam keadaan jari yang bersih dah tidak basah. Sebagai pilihan terdapat juga sistem imbasan wajah disediakan yang lebih memudahkan penggunaan.

Peranti juga melepasi penarafan kalis air IP53 yang bermakna tidak perlu risau mengenai kerosakan melibatkan cecair yang minima. Tetapi janganlah pula direndam peranti ke dalam air dengan sengaja. Kemudian peranti juga mempunyai NFC yang menjadi antara ciri diperlukan dalam sesebuah telefon pintar masa sekarang.


PERISIAN Dan PENGGUNAAN

Android 13 digunakan dengan pelancar FunTouchOS 13 pada peranti. Secara umumnya antaramuka adalah ringkas yang memudahkan navigasi dan mirip pelancar Android asli. Ia juga hadir dengan kebolehan kostumasi memadankan warna elemen antaramuka dengan latar belakang secara automatik, di samping pilihan widget juga lebih pelbagai.

image is not available

image is not available

Ciri menarik lain ialah extended RAM yang boleh menambah sehingga 8GB RAM secara maya tanpa pilihan saiz yang lebih kecil. FunTouchOS 13 turut memberi fokus terhadap pengalaman fotografi lebih baik dengan penstabilan baharu yang bantu mengurangkan masalah gambar bergoyang. Bukan itu sahaja video yang dirakam turut boleh disunting semula dengan kebolehan melaras atau membisukan audio sewaktu proses dibuat.

image is not available

Namun bahagian yang saya kurang berkenan dengan FunTouchOS adalah susun atur aplikasi di tetapan agak bersepah. Setiap simbol dan ikon dilihat menggunakan warna sama yang boleh menimbulkan kekeliruan. Malahan ia juga tidak jelas sehinggakan ada masanya perlu membawa maklumat yang tertulis untuk setiap kategori. Ini adalah berbeza dengan pengalaman menggunakan OriginOS yang lebih kemas, sistematik dan ceria.

Satu lagi isu yang mungkin perlu disentuh ialah sesetengah aplikasi tidak boleh dimuat turun dari Play Store. Sebagai contoh Netflix tidak muncul langsung apabila carian dilakukan, sebaliknya saya terpaksa memasangnya secara sideloading. Isu aplikasi gendut sedia dimuat-turun dan iklan yang tidak diperlukan turut berlaku pada peranti.


PENANDA ARAS – Dimensity 6020

Pemproses kelas pertengahan MediaTek Dimensity 6020 digunakan pada peranti. Memori 8GB RAM disediakan dengan kebolehan RAM maya 8GB RAM jika perlu, kemudian storan dalaman pula sebesar 128GB. Berikut adalah markah yang dicatatkan menerusi ujian Antutu dan Geekbench 6 bersama pesaing terdekat:

Geekbench 6

  • Vivo Y36 5G – 648/1638
  • Oppo A98 5G – 885/2034
  • OnePlus Nord CE 3 Lite 5G – 876/1972
  • iQOO Z7X – 899/2109

AnTuTu 3D

  • Vivo Y36 5G – 368,767
  • Oppo A98 5G – 411,010
  • OnePlus Nord CE 3 Lite 5G – 400,999
  • iQOO Z7X – 410,677

Dari penggunaan harian, saya menyedari terdapat masalah sela masa cukup ketara. Tatalan pada antaramuka utama terasa kurang lancar, begitu juga dengan tatalan di antara menu dan aplikasi. Masa menanti agak lama untuk aplikasi dilancarkan juga dapat saya sedari. Lebih mengeruhkan keadaan apabila aplikasi kerap kali dihentikan secara paksa (force close) ketika digunakan.

image is not available

Keadaan ini sudah semestinya menimbulkan perasaan kecewa terutamanya apabila sedang digunakan untuk membalas teks yang penting dan tiba-tiba aplikasi tertutup dengan sendiri. Peranti juga terasa perlahan untuk jenis permua tertentu, tetapi baiknya apabila isu panas melampau tidak berlaku sepanjang ulasan. Bagaimanapun unit yang digunakan untuk ulasan ini masih di peringkat ujian, maka besar kemungkinan hal yang sama tidak berlaku pada peranti yang dipasarkan secara rasmi.


KAMERA

Sistem kamera utama yang digunakan terdiri dengan sensor lebar 50MP dan kedalaman 2MP yang juga menyokong rakaman video sehingga 1080P/60FPS. Sementara itu kamera swafoto pula sebesar 16MP pula boleh merakam video terhad pada 720P. Mod kamera yang disediakan adalah Night, Portrait, Photo, Video, 50MP , Pano, Documents, Slo-mo, Time-lapse, Pro, Double Exposure, Dual-view dan Live Photo.

image is not available

Sokongan zum pula maksimum 10X tetapi terbaik hanya sehingga 2X, dalam pada itu fungsi kecantikan terbina turut disokong dengan kebolehan tangkapan swafoto lebih cantik tanpa solekan. Keter sediaan dua jenis pilihan sistem penstabilan terbina yang disediakan turut memberi nilai tambah pada peranti. Namun kekurangan ketara mula kelihatan apabila tiadanya sensor ultra-lebar dan sistem OIS yang diberikan.

image is not available

image is not available

image is not available

Kualiti gambar secara umumnya baik apabila terdapat pencahayaan yang sempurna, tidak kira sama ada diambil di dalam kawasan terbuka mahupun tertutup. Imej yang diambil dengan kamera utama mempunyai butiran yang dan penghasilan semula warna nampak hidup juga selesa dilihat. Bagaimana saya dapati berlakunya pasca proses yang ketara pada imej dalam sesetengah keadaan.

Seterusnya peranti juga mempunyai mod malam terbina yang boleh digunakan untuk kamera belakang dan hadapan. Penghasilan semula imej dilihat lebih terang berbanding mod automatik namun bergantung kepada pencahayaan sekeliling kerana masalah blooming masih berlaku.

image is not available

image is not available

image is not available


BATERI

Bateri 5,000mAh yang digunakan boleh dianggap saiz yang standard untuk kebanyakan peranti hari ini. Jangka hayat bateri boleh bertahan lebih sehingga 21 jam dalam penggunaan yang sederhana dengan SOT sekitar 6 jam. Pada penggunaan lebih berat pula SOT boleh dinikmati lebih 9 jam yang bertahan dengan SOT mencapai 12 jam.

Selepas kehabisan bateri sokongan pengecasan berwayat 44W diberikan mampu memastikan peranti dapat dicas sepenuhnya dalam masa hampir satu jam. Kepala pengecas juga diberikan bersama kabel USB-A ke USB-C berwarna putih.

image is not available


Peranti Pesaing

Vivo Y36 5GRedmi Note 12 5GOnePlus Nord CE 3 Lite
6.44″ IPS LCD 60Hz
1080 x 2388 piksel
(~395 ppi)
6.67″ AMOLED 90Hz
1080 x 2400 piksel
(~395 ppi)
6.72″ IPS LCD 120Hz
1080 x 2400 piksel
(~391 ppi)
Dimensity 6020 (7nm)
2 x 2.2 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 4 Gen 1 (6 nm)
2 x 2.0 GHz Cortex-A78
6 x 1.8 GHz Cortex-A55
Snapdragon 695 (6 nm)
2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 x1.7 GHz Kryo 660 Silver
Mali-G57 MC2Adreno 619Adreno 619
8GB RAM8GB RAM8GB RAM
256GB ROM256GB ROM256GB ROM
Kamera Utama
50MP f/1.8 (Lebar), PDAF
2MP (Kedalaman)
Kamera Utama
48MP f/1.8 (Lebar), PDAF
8MP, f/2.2 (Lebar)
2MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Utama
108MP f/1.8, (Lebar)
2MP, f/2.4, (Makro)
2MP, f/2.4, (Kedalaman)
Kamera Hadapan
16MP f/2.5
Kamera Hadapan
13MP f/2.5
Kamera Hadapan
16MP f/2.4
IP54IP53Tiada
Bicu audioBicu audioBicu audio
Audio monoAudio stereoAudio stereo
5000mAh
Berwayar 44W
5000mAh
Berwayar 33W
5000mAh
Berwayar 67W
RM1099 (8/256GB)RM1099 (8/256GB)RM1099 (8/256GB)


Apa Di Dalam Kotak?

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Vivo Y36 5G.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 44W.
  • 1x Manual Pengguna.
  • 1x Kerangka Silikon.
  • 1x Pin SIM.


Kesimpulan

Kelebihan Vivo Y36 5G terletak pada memori dan storan yang cukup besar untuk keperluan harian. Prestasi bateri yang tahan lama juga memberi satu lagi nilai tambah pada peranti. Kemampuan fotografi yang boleh diterima juga, anda boleh sahaja berkongsi sesuatu yang menarik khususnya di media sosial.

image is not available

Kekurangan pada prestasi membuatkan saya tidak menyarankannya buat mereka yang sudah terbiasa dengan peranti berkuasa. Isu yang terjadi boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna. Seterusnya isu yang ditemui pada perisian FunTouchOS diharapkan lebih matang dan boleh ditambah baik pada masa mendatang, sekurang-kurangnya menjadikannya lebih mesra pengguna.

Pro

  • Gabungan memori dan storan bersaiz besar
  • Kapasiti bateri besar
  • Kemampuan kamera boleh diterima.
  • Sokong NFC

Kontra

  • Prestasi kurang memuaskan.
  • Lambakan aplikasi gendut dan iklan yang tidak diperlukan.
  • Pelancar FunTouchOS kurang matang.

image is not available