Ulasan Xiaomi Mijia Refrigerator Cross Door 510L – Moden Dan Kontemporari

Home & Living
3 Nov 2025 • 4:50 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Saya berpeluang melihat peti sejuk Xiaomi Mijia Refrigerator Cross Door 510L yang boleh dikatakan masih baharu memandangkan ia dikeluarkan dalam tahun yang sama. Ini merupakan kali pertama saya diberi peluang untuk membuat ulasan tentang sebuah peti sejuk dan pengalaman ini ternyata menarik serta membuka ruang untuk saya menilai dari sudut seorang pengguna biasa.


Pengalaman Penggunaan

Sebagai pengguna biasa, ulasan saya ini tidaklah bersifat teknikal sepenuhnya. Sebaliknya, saya lebih cenderung untuk berkongsi pengalaman  berdasarkan penggunaan harian.

image is not available

Dari segi reka bentuk, peti sejuk Xiaomi Mejia 510L menampilkan gaya yang moden dan kemas. Reka bentuk ini sangat sesuai untuk dapur rumah yang mengutamakan konsep minimalis. Unit yang saya terima telah ditempatkan di sebuah studio pejabat berkonsepkan ruang terbuka.

Secara keseluruhan, penampilannya kelihatan cukup menarik. Malah, ia nampak sesuai dengan persekitaran dan berjaya melengkapkan suasana dengan gaya kontemporari yang bergaya serta tersusun.

Kemasan luar peti sejuk ini hadir dalam warna kelabu dan setakat pengetahuan saya, hanya satu pilihan warna sahaja ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Permukaannya pula mempunyai tekstur berbiji yang cenderung kepada kemasan pusam serta tidak licin.

Ciri ini menjadikannya selesa untuk disentuh dan dipegang. Oleh itu, saya berpendapat bahawa reka bentuk sedemikian amat praktikal untuk digunakan dalam rutin harian.

image is not available

Menurut Xiaomi, rekaan ini diinspirasikan daripada menteori pallasit yang menggabungkan keindahan bintang dengan tekstur semula jadi batuan. Gabungan elemen ini bukan sahaja menghasilkan penampilan yang elegan, malah turut menyerlahkan sesebuah ruang dengan sentuhan yang berkelas.

Di samping itu, saya difahamkan bahawa dimensi peti sejuk ini direka mengikut piawaian industri. Ciri permukaan yang rata membolehkan ia disusun dengan lebih mudah dan kemas, sekali gus menjadikannya sesuai untuk pelbagai susun atur kediaman.

Walau bagaimanapun, Xiaomi menyarankan agar semasa proses pemasangan, pengguna menyediakan ruang sekurang-kurangnya 5cm di kedua-dua sisi, bahagian atas dan belakang peti sejuk. Langkah ini penting bagi memastikan pengudaraan serta pelesapan haba berlaku dengan lebih berkesan.

Justeru itu, kedudukan sebenar peti sejuk perlu disesuaikan mengikut pengalaman pengguna dan susun atur ruang kediaman masing-masing.

image is not available

Dari aspek fungsi, peti sejuk ini dilengkapi dengan empat pintu, iaitu dua di bahagian atas dan dua lagi di bahagian bawah. Secara lazimnya, peti sejuk satu atau dua pintu boleh menyebabkan keseluruhan ruang dalaman terdedah apabila dibuka, sekali gus menyebabkan angin sejuk keluar dalam jumlah yang banyak. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan tahap penyejukan, malah turut meningkatkan penggunaan tenaga elektrik.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa reka bentuk empat pintu yang ditawarkan oleh peti sejuk Xiaomi ini memberikan kelebihan dalam penggunaan harian. Saya hanya perlu membuka bahagian yang diperlukan tanpa mendedahkan keseluruhan ruang dalaman. Ciri ini sangat membantu dalam mengekalkan suhu sejuk di dalam peti sejuk, sekali gus mengurangkan pembaziran tenaga.

image is not available

Bukan itu sahaja, malah reka bentuknya turut memudahkan proses menyimpan dan mengambil barang dengan lebih teratur.

Pada pandangan saya, inilah antara kelebihan utama yang menjadikan peti sejuk ini sebagai pilihan bijak khususnya bagi mereka yang mengutamakan kecekapan, penjimatan dan kemudahan dalam kehidupan seharian.

Xiaomi turut menyatakan bahawa peti sejuk ini merupakan antara model paling nipis dalam kelasnya bagi kapasiti 510 liter. Saya tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut memandangkan saya tidak memiliki peti sejuk lain dengan kapasiti yang sama untuk dibuat perbandingan.

Namun begitu, dari segi reka bentuk luaran, model ini kelihatan lebih langsing dan kemas berbanding kebanyakan peti sejuk bersaiz besar yang pernah saya lihat.

image is not available

Apa yang boleh saya katakan ialah kapasiti 510 liter ini sememangnya menawarkan ruang yang mencukupi untuk menyimpan pelbagai jenis makanan dan minuman, termasuk barangan segar serta beku.

Dalam penggunaan harian, ruang dalaman yang luas ini ternyata sangat membantu pengguna menyusun barang dengan lebih teratur dan mudah dicapai.

Secara peribadi, saya menganggap saiz ini sebagai pilihan yang praktikal untuk keluarga bersaiz sederhana atau individu yang gemar menyimpan stok makanan dalam jumlah yang banyak.

Sebaik sahaja pintu peti sejuk dibuka, pengguna akan disajikan dengan susunan tiga dulang (tray) di bahagian tengah. Dulang-dulang ini sesuai untuk menyimpan makanan ruji harian atau manisan seperti kek, coklat dan pelbagai snek lain.

image is not available

Seterusnya, di bahagian bawah terdapat dua dulang tambahan yang direka khas untuk menyimpan bahan segar mengikut kategori. Satu dulang sesuai digunakan bagi menyimpan buah-buahan dan sayur-sayuran, manakala satu lagi boleh dimanfaatkan untuk proses nyahbeku (defrost) daging.

Daging beku selalunya mengambil masa yang agak lama untuk dilembutkan sebelum dimasak. Namun, peti sejuk ini menyediakan ruang khas yang boleh membantu mempercepatkan proses nyahbeku dengan lebih efisien. Lebih menarik lagi, suhu dalam ruang ini boleh dilaraskan mengikut jenis bahan yang disimpan.

image is not available

Melalui ciri iFresh Convertible Zone, pengguna boleh melaraskan suhu antara -1°C hingga 5°C mengikut jenis makanan yang disimpan. Pelarasan suhu ini boleh dilakukan dengan satu sentuhan sahaja sekali gus membolehkan makanan sentiasa segar melalui kawalan suhu yang lebih bebas. Berikut ialah cadangan suhu mengikut kategori bahan:

  • 0°C untuk kesegaran – sesuai untuk menyimpan daging dan ikan tanpa perlu dibekukan.
  • Suhu sejuk sederhana – sesuai untuk minuman dan makanan siap dimakan seperti keju, sosej atau sandwic agar senstiasa segar serta bebas kulat.
  • Suhu lebih tinggi – sesuai untuk menyimpan buah-buahan dan sayur-sayuran agar tahan lebih lama.
image is not available

Bergerak ke sisi, terdapat enam rak iaitu tiga di sebelah kiri dan tiga di sebelah kanan yang sesuai untuk menyimpan minuman atau bahan masakan. Ruang atas lazimnya digunakan untuk meletakkan telur. Bagi pengguna yang gemar menyusun bahan seperti bijan, kekacang atau rempah dalam balang menarik, rak ini turut boleh dimanfaatkan untuk menyusun balang tersebut dengan kemas.

Saya juga mendapati saiz rak ini cukup besar dan praktikal untuk menyimpan botol atau kotak minuman bersaiz besar. Sebagai contoh, saya telah meletakkan jus kotak bersaiz 500ml dan ia muat dengan kemas tanpa sebarang masalah.

image is not available

Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang isu kebersihan dan bau, memandangkan peti sejuk lazimnya menyimpan pelbagai jenis makanan yang boleh menghasilkan bau kurang menyenangkan. Untuk mengatasi perkara ini, Xiaomi memperkenalkan teknologi Ag+ Fresh, yang menggunakan modul ion perak antibakteria bagi membantu mengurangkan bau dan menghalang pertumbuhan bakteria.

image is not available

Menurut Xiaomi, teknologi Ag+ Fresh yang digunakan dalam peti sejuk ini mampu menyingkirkan sehingga 99.99% bakteria. Selain itu, ia turut membantu menyerap bau yang kurang menyenangkan, sekali gus mengekalkan kesegaran makanan.

Ujian keberkesanan turut menunjukkan bahawa sistem ini dapat mengurangkan bau hanyir seperti trimethylamine sebanyak 97.9%, dan bau busuk daripada makanan rosak seperti methyl mercaptan sebanyak 98.8%. Walau bagaimanapun, semua angka ini adalah hasil ujian teknikal yang dijalankan dalam keadaan terkawal.

Dalam penggunaan sebenar, tahap keberkesanan teknologi ini sangat bergantung kepada cara penjagaan oleh pengguna. Secara peribadi, saya boleh katakan prestasinya memuaskan.

image is not available

Namun, terdapat satu insiden di mana saya meletakkan pisang di dalam peti sejuk, dan selepas beberapa hari, buah tersebut menjadi lembik serta mula mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa walaupun teknologi tersedia, aspek kebersihan tetap bergantung kepada disiplin pengguna.

Oleh itu, saya simpulkan bahawa kebersihan dan bau dalam peti sejuk merupakan perkara yang subjektif dan sangat bergantung kepada amalan penjagaan harian. Teknologi sememangnya membantu, tetapi pengguna memainkan peranan utama dalam memastikan peti sejuk kekal bersih dan segar untuk tempoh masa yang panjang.

image is not available

Akhir sekali bahagian sejuk beku, terdapat dua pintu yang menempatkan enam ruang berbeza. Empat daripadanya merupakan ruang dulang yang sesuai untuk menyimpan bahan mentah seperti daging, ikan, ayam dan sebagainya. Jumlah ruang yang banyak ini memudahkan penyusunan agar bahan tidak bercampur.

Contohnya, ikan boleh diletakkan di satu ruang, ayam di ruang lain, dan seterusnya. Ini menjadikan bahagian sejuk beku kelihatan lebih kemas dan tersusun. Perasaan ketika membuka peti sejuk juga lebih menyenangkan kerana tidak perlu tercari-cari bahan yang disimpan.

image is not available

Dua ruang tambahan di bahagian atas pula sesuai untuk menyimpan barangan sejuk beku seperti ais, ais krim atau digunakan untuk membuat ais batu. Bayangkan, selepas pulang dari kerja, anda membuka peti sejuk dan terus mengambil ais yang tersedia. Dituang pula ke dalam segelas air oren sejuk, memang menyegarkan dan memberi rasa lega selepas seharian penat bekerja.

Walaupun saiz kedua-dua ruang ini tidak terlalu besar, ia tetap mencukupi untuk kegunaan harian. Sementara itu, bahagian sisi ruang sejuk beku tidak menempatkan sebarang rak atau kompartmen tambahan. Ruang ini dibiarkan kosong mungkin bagi mengekalkan rekaan yang nipis dan ringkas dalam kelasnya, malah kelihatan cukup minimalis.

image is not available

Sepanjang tempoh penggunaan singkat, saya mendapati sistem penyejukan berfungsi dengan baik dan senyap tanpa sebarang bunyi pelik yang mengganggu. Aliran angin sejuk juga terasa konsisten dan mencukupi. Susun atur ruang dalaman sangat membantu dalam memudahkan proses penyimpanan terutamanya dengan kehadiran rak yang boleh dilaraskan mengikut keperluan serta laci khas untuk menyimpan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Ruang simpanan di bahagian bawah juga saya pernah gunakan untuk menyimpan daging korban dan mendapati ia dapat mengekalkan suhu dengan baik serta membantu memastikan bahan mentah sentiasa segar. Berdasarkan pengalaman tersebut, saya boleh katakan bahawa reka bentuk dan fungsi peti sejuk ini memenuhi keperluan asas harian dengan cukup memadai.

image is not available

Antara ciri menarik lain yang ditawarkan ialah rekaan bukaan pintu 90 darjah, yang memudahkan akses walaupun dalam ruang yang terhad. Selain itu, laci-laci di dalam peti sejuk boleh ditarik dan ditutup dengan lancar tanpa sebarang halangan.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, laci dan dulang yang disediakan juga sangat mudah untuk ditarik keluar tanpa tersangkut. Jika ada ruang untuk penambahbaikan, mungkin bahagian ais boleh dilengkapi dengan penutup bagi memastikan ia lebih kemas dan terlindung.


Aplikasi Dan Sambungan

Kawalan tambahan pada peti sejuk ini boleh dilakukan melalui aplikasi Xiaomi Home, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui Apple App Store dan Google Play Store. Seperti kebiasaan, pendaftaran akaun diperlukan bagi membolehkan sambungan diteruskan.

image is not available

Setelah sambungan Bluetooth diaktifkan, pengguna boleh menambah peranti sama ada melalui fungsi imbasan atau secara manual. Berdasarkan pengalaman saya, saya memilih kaedah manual dengan menatal ke bawah untuk mencari nama model peti sejuk ini. Selepas itu, pengguna perlu menekan panel bercahaya pada pintu peti sejuk selama kira-kira tujuh saat bagi memulakan proses sambungan.

Peti sejuk akan mengeluarkan bunyi beep sebagai tanda bahawa ia telah mengesan sambungan Wi-Fi yang sama dengan peranti. Oleh itu, penting untuk dinyatakan bahawa kedua-dua peranti iaitu peti sejuk dan telefon pintar, mestilah disambungkan kepada rangkaian Wi-Fi yang sama agar proses ini berjaya.

image is not available

Proses sambungan ini mungkin mengambil sedikit masa bergantung kepada kekuatan isyarat Wi-Fi di kawasan masing-masing. Walaupun terdapat kemungkinan sambungan gagal dilakukan, pengguna masih boleh mencuba beberapa kali sehingga berjaya.

Sebaik sahaja sambungan berjaya, pengguna akan dipaparkan dengan antara muka kawalan yang memaparkan tiga mod suhu utama.

Pertama ialah Auto Mode, yang menetapkan suhu ruang peti sejuk pada lima darjah Celsius dan ruang pembeku pada -18 darjah Celsius. Seterusnya ialah Super Cool Mode, yang akan menurunkan suhu ruang peti sejuk kepada 2 darjah Celsius selama 8 jam sebelum kembali ke suhu asal.

Akhir sekali, terdapat Super Freeze Mode, yang menetapkan suhu ruang pembeku pada -24 darjah Celsius selama 50 jam sebelum kembali ke tetapan asal.

image is not available

Menariknya, pengguna juga boleh menukar nama peranti mengikut kesesuaian serta menetapkan tetapan yang diingini mengikut keperluan masing-masing. Selain itu, terdapat ciri Intelligent Status Detection yang berfungsi secara berterusan untuk memantau keadaan peti sejuk sepanjang masa. Sekiranya pintu dibiarkan terbuka melebihi dua minit, sistem akan mengaktifkan amaran dan menghantar notifikasi ke telefon pintar melalui aplikasi Xiaomi Home.

Saya sendiri pernah mengalami situasi di mana pintu peti sejuk dibiarkan terbuka terlalu lama, dan aplikasi segera menghantar amaran ke telefon saya. Ciri ini ternyata sangat berguna kerana bukan sahaja membantu menjimatkan tenaga, malah turut memastikan makanan kekal segar dan selamat disimpan.

Selain itu, terdapat toggle berwarna pada antara muka kawalan yang membolehkan pengguna melaraskan suhu dengan mudah mengikut keperluan. Lebih menarik lagi, jika anda mempunyai peranti yang serasi dengan Google Assistant, kawalan suara turut boleh digunakan untuk mengawal peti sejuk ini dengan lebih efisien.


Maklumat Tambahan

Dari segi teknikal, peti sejuk ini menggunakan pemampat jenis inverter yang direka untuk membantu menjimatkan tenaga serta menyokong operasi yang lebih senyap. Tahap kebisingan yang dihasilkan juga rendah iaitu sekitar 38dB menjadikannya sesuai untuk mereka yang mengutamakan suasana tenang. Berdasarkan pengalaman, saya turut boleh katakan bahawa tiada sebarang bunyi pelik yang kedengaran sepanjang tempoh penggunaan.

image is not available

Peti sejuk ini menggunakan teknologi No Frost yang membantu mengurangkan pembentukan ais serta mengekalkan suhu dalaman secara konsisten tanpa perlu nyahbeku manual. Ia menawarkan kapasiti keseluruhan sebanyak 510 litter dengan pembahagian ruang yang praktikal iaitu 178-liter untuk ruang pembeku, 29 liter untuk zon boleh ubah iFresh, dan 303-liter untuk ruang utama. Berat keseluruhan pula adalah sekitar 85 kilogram. Sebagai nilai tambah, pemampat ini turut disertakan dengan jaminan selama sepuluh tahun.


Kesimpulan

image is not available

Secara keseluruhan, pengalaman menggunakan Xiaomi Mijia 510L ini amat memuaskan. Meskipun saya bukan pengguna yang mahir dalam aspek teknikal, dari segi penggunaan harian, peti sejuk ini berjaya memenuhi keperluan asas dengan baik. Oleh itu, saya berharap ulasan ringkas ini dapat memberikan gambaran umum kepada sesiapa yang sedang mempertimbangkan untuk memiliki peti sejuk dalam kategori ini.

Dari segi harga, ia ditawarkan pada RM2899. Namun, jika anda menyemak laman rasmi, harganya kini serendah RM2399 dan berkemungkinan hanya untuk tempoh masa terhad.

Kelebihan (Pro)

  • Teknologi canggih.
  • Kapasiti besar dan ruang bebas.
  • iFresh Convertible Zone dengan pelarasan suhu.
  • Ruang nyahbeku khas.
  • Rekaan pintu 90° yang praktikal.
  • Laci mudah ditarik.

Kekurangan (Kontra)

  • Bahagian ais tiada penutup.
  • Agak berat dengan 85 kilogram.
View Original Article