Rekaan fon telinga kini sudah mencapai satu titik pertemuan dimana hampir kesemuanya kelihatan seperti klon AirPods. Ini kerana ia rekaan yang paling selesa dan praktikal untuk digunakan. Dalam lambakan TWS yang muncul di pasaran, Xiaomi OpenWear Stereo telah dijual di Malaysia sejak pertengahan bulan lalu. Ia dari jenis yang disangkut ke telinga dan direka untuk golongan yang aktif. Ini ulasan penuh saya untuk Xiaomi OpenWear Stereo.

SPESIFIKASI
Xiaomi OpenWear Stereo Jenis Fon telinga cangkuk telinga Pemandu 17 x 12 mm Mikrofon 4 mikrofon Bateri Putik audio – 60 mAh (7.5 jam)
Pod pengecas – 788 mAh (38.5 jam)Port pengecas USB-C Pengecasan nirwayar Tiada Sambungan Bluetooth 5.3 Sistem operasi disokong Semua Sokongan pembantu maya Ya Butang kawalan Pada sesentuh Kemampuan kalis air IP54 Harga Jualan RM 599
REKAAN Dan PENGGUNAAN
OpenWear Stereo ialah fon telinga paling unik pernah sejak Sony MDR-G45LP yang saya gunakan hampir 30 tahun yang lalu. Dengan perkembangan teknologi, fon kepala jenis cangkuk di telinga MDR-G45LP kini hadir dalam saiz lebih kecil dan kompak OpenWear Stereo. Terdapat satu cangkuk pada setiap fon telinga OpenWear Stereo yang pada awalnya terasa aneh di dalam tangan kerana ia diperbuat daripada silikon lembut. Terasa seperti memegang gula-gula getah panjang.

Kerana ia lembut, tidak muncul isu kesakitan di belakang telinga seperti fon telinga jenis cangkuk lain yang menggunakan cangkuk plastik keras. Cangkuk dipadankan kepada speaker kecil berbentuk bujur dengan lubang berbentuk bulat. Setiap cangkuk telinga hanya seberat 9.6 gram yang sekitar dua kali ganda berat purata putik audio fon telinga biasa. Walaupun lebih berat, OpenWear Stereo selesa dipakai dengan ia tidak mendatangkan ketidakselesaan walaupun dipakai untuk tempoh yang lama.
Cuma harus saya akui memakainya untuk kali pertama akan terasa sedikit aneh kerana cangkuk mengelilingi seluruh bahagian belakang telinga dan bahagian yang mengandungi speaker terapung di hadapan lubang telinga. Sistem cangkuk yang digunakan tersemat kemas pada telinga dan walaupun kepala digoncangkan kuat tidak akan mudah tercabut.

Isu yang saya hadapi dengan rekaan ini ialah bahagian cangkuk yang diperbuat daripada silikon tadi adalah agak tebal. Bagi insan yang memakai cermin mata seperti saya, ia akan membuatkan tangkai cermin mata terangkat sedikit daripada kedudukan biasa. Oleh sebab itu jika anda memaki cermin mata dengan tangkai yang tebal (khususnya bingkai plastik), proses memasang OpenWear Stereo akan menjadi sedikit mencabar.
Pada bahagian sisi setiap fon telinga terdapat panel plastik yang mempunyai kemasan seakan logam. Panel ini juga menempatkan pad sesentuh untuk mengawal audio yang didengari. Pad menyokong kawalan satu, dua dan tiga tap yang boleh diubah tetapannya menerusi aplikasi. Sepanjang tempoh ulasan saya mendapati pad mengesan sentuhan dengan baik.

Tetapi jika anda tidak mahu menggunakannya, sistem kawalan sentuhan ini boleh dimatikan juga menerusi aplikasi. Keseluruhan cangkuk telinga melepasi piawaian IP54 membuatkannya kalis peluh tetapi tidak boleh direndam.
Dua cangkuk telinga disimpan di dalam pod pengecas berbentuk bujur yang agak besar saiznya. Apabila dimasukkan ke dalam poket seluar, saiznya dapat dirasakan dengan cukup ketara. Permukaan pod pengecas merangkap penyimpan mempunyai tekstur kasar. Ini membuatkan ia tidak mudah terlucut dari tangan apabila cuba ditarik keluar daripada poket seluar.

Di bahagian belakang terdapat port pengecasan USB-C sementara di bahagian dalamnya pula terdapat butang untuk proses tambatan bluerooth. Apabila ditekan untuk beberapa saat, lampu LED di bahagian hadapan akan berkelip-kelip dalam warna putih. Pod pengecas ini tidak menyokong pengecasan nirwayar. Bercakap mengenai bateri, ia boleh membekalkan kuasa sehingga 7.5 jam atau sehingga 38.5 jam dengan bantuan pod pengecas.
Secara keseluruhan rekaan OpenWear Stereo ini unik dan menarik ianya memerlukan tempoh membiasakan diri yang agak panjang lebih-lebih lagi jika anda memakai cermin mata seperti saya. Beberapa hari pertama menggunakannya saya perlu menekan bahagian pembesar suara masuk ke telinga sehingga ia terasa selesa.

Sebagai manusia saya sudah terbiasa dengan perasaan fon dimasukkan ke dalam rongga telinga dan bukannya separa terapung seperti OpenWear Stereo. Tambahan lagi tangkai cangkuk yang berjuntai juga terasa aneh kerana perlu berada dalam ruang yang sama dengan tangkai cermin mata. Hanya dengan membuka cermin mata barulah OpenWear Stereo lebih selesa dipakai untuk tempoh masa yang lama.
KUALITI AUDIO
Kualiti audio saya boleh katakan biasa sahaja kerana OpenWear Stereo terdapat jurang antara speaker dan lubang telinga. Saya samakan seperti anda memakai sebuah AirPods kemudian letakkan ia satu sentimeter daripada lubang telinga. Audio yang dilontar tidak begitu menerjah rongga telinga. Satu kekurangan yang paling ketara ialah bass yang tidak mantap. Malahan saya boleh katakan bass seperti tidak wujud. Bunyi bass dalam lagu kedengaran seperti gendang tin Milo. Sangat mengecewakan kerana 90% muzik yang saya dengari memberikan tumpuan kepada bass.
Semua muzik yang cuba saya dengar kedengaran rata. Ini adalah mengecewakan kerana saya pernah menggunakan beberapa TWS Xiaomi serta Redmi dan audio yang dihasilkan terasa lebih berkuasa.

Tahap kelantangan adalah memuaskan kerana saiz kekisi speaker yang agak besar. Mendengar podsiar juga saya boleh letakkan sebagai tidak mengecewakan. Tetapi sekali lagi saya perlu nyatakan kerana profil audio yang terasa rata, tiada dentuman dan terasa “jauh” saya sukar untuk menikmati muzik menggunakan OpenWear Stereo.
Ini tidak dibantu oleh rekaan terbuka menyebabkan semua audio sekeliling kerap menerjah sehingga mengganggu pengalaman menonton video. Fahim duduk bersebelahan saya di pejabat dan beliau bercakap dengan lantang. Sedang saya menonton Netflix, suara beliau dapat didengari dengan jelas sehingga dialog dalam filem yang ditonton tidak lagi begitu jelas.

Saya perlu letakkan audio ke tahap paling lantang untuk mengurangkan derai ketawa Fahim daripada terus menerjah rongga telinga saya. Tetapi ini menyebabkan apa yang saya sedang dengari mengganggu orang lain yang duduk bersebelahan. Xiaomi mengatakan rekaan OpenWear akan mengurangkan masalah audio “bocor” kepada orang lain tetapi realitinya pada tetapan ini ia menjadi tidak efektif.
Terdapat mod ANC disertakan sekali tetapi jujur saya katakan kepada anda saya tidak dapat mendengar perbezaan yang ketara jika ia dihidupkan ataupun tidak. Ada TWS terbuka yang masih boleh menghalang bunyi sekitar daripada menerjah masuk seperti Galaxy Buds Live yang saya ulas beberapa tahun yang lalu.
Ini mampu dilakukan kerana kedudukan speaker yang lebih rapat kepada lubang telinga. Pada OpenWear Stereo seperti yang telah saya nyatakan di atas, ruang yang agak jauh membuatkan sistem ANC tidak beroperasi dengan memuaskan. Oleh itu selepas dua hari saya matikan sahaja ANC kerana ia akan hanya menggunakan lebih banyak kuasa bateri.
MIKROFON
Apabila melakukan panggilan telefon, penerima mengatakan suara saya kedengaran jelas. Walaupun keadaan sekeliling sedikit bising, suara saya masih dapat ditangkap dengan baik.
PERISIAN
Aplikasi Xiaomi Earbuds yang diberikan mudah digunakan tetapi ciri yang ditawarkan adalah terhad. Terdapat paparan bateri untuk kedua-dua fon telinga da juga pod pengecas. Kemudian terdapat pilihan memperibadikan tetapan pad sentuhan. Cuma saya ingin memberikan saranan kepada Xiaomi supaya memberikan butang tetapan mematikan pad sentuhan. Ini adalah ciri yang diberikan oleh Sony dan Samsung dalam aplikasi mereka.

Saya inginkan tetapan ini kerana dalam proses memasukkan OpenWear ke dalam telinga, saya PERLU menyentuh pad sentuhan beberapa kali bagi meletakkan ke posisi yang lebih selesa. Adalah sangat kurang menyenangkan setiap kali saya cuba mengubah kedudukan OpenWear muzik terhenti atau pembantu maya dilancarkan secara tidak sengaja.
Dari dalam aplikasi terdapat juga tetapan mengemaskini perisian, mod mencari OpenWear sekiranya ia hilang, mod beta yang mengaktifkan ANC yang lebih selesa dan kesan audio (melebihkan treble, suara dan seimbang). Pilihan tetapan yang diberikan adalah sangat terhad. Equaliser yang membolehkan saya menyimpan profil audio peribadi juga tidak ada.
BATERI
Bateri diiklankan boleh bertahan sehingga 7.5 jam dan saya rasakan ini dapat dicapai jika muzik diletakkan pada tetapan 70-80% ketika digunakan. Saya berjaya menggunakannya sepanjang hari di pejabat. Kemudian saya hanya perlu mengecas semula pod pengecas setiap 4 hari. Pengecasan semula mengambil masa lebih sejam hanya secara berwayar. Tiada sebarang sokongan pengecasan nirwayar disertakan.

DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian di Malaysia.
- 1x Xiaomi OpenWear Stereo
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual

KESIMPULAN
Fon telinga rekaan terbuka Xiaomi OpenWear Stereo ialah produk untuk golongan yang ingin mendengar muzik ketika melakukan aktiviti luar tanpa mereka menyedari keadaan sekeliling. Ini adalah penting jika anda berlari di atas jalan raya misalnya. Dalam hal ini saya rasakan OpenWear adalah TWS yang memang berjaya.

Sebagai sepasang fon telinga untuk mendengar muzik sahaja saya rasakan ia jatuh di bawah palang kualiti asas. Audio yang dilontar adalah rata dan kosong sehingga bass langsung tidak boleh didengari. Audio dari luar akan menerjah telinga sepanjang masa walaupun pada tetapan audio paling lantang. ANC yang diberikan adalah seperti bass, langsung tidak dapat dirasakan ia berfungsi.
Pada harga RM 599 ia adalah lebih murah berbanding Powerbeats Pro yang dua kali ganda lebih mahal. Dalam arena fon telinga untuk bersukan pilihan yang ditawarkan adalah terhad. Sungguhpun begitu saya tidak boleh menyarankan kepada anda pada ketika ini.
Pro
- Rekaan mesra mereka yang bersukan sukar tertanggal dari telinga.
- Pod pengecas besar tetapi nipis. Selesa dalam poket seluar.
- Hayat bateri yang sangat baik.
- Kalis air IP54.
- Pad sesentuh responsif.
Kontra
- Kualiti audio tidak memuaskan kerana tiada bass.
- Sistem ANC yang tidak dapat dikesan.
- Tiada pengecasan nirwayar.
- Ciri aplikasi agak terhad.
- Tidak begitu selesa untuk mereka yang bercermin mata.

