Ultimate Print raih tender cetak saman PDRM RM47j

14 Jun 2023 • 8:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Grup Percetakan Ultimate Print Sdn Bhd (UPSB)

SHAH ALAM - Grup Percetakan Ultimate Print Sdn Bhd (UPSB) berjaya memenangi tender perolehan kontrak perkhidmatan mencetak dan pengeposan notis saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak RM47.28 juta selama tiga tahun.

Ketua Pegawai Operasinya, Azizi Fickry berkata, kerja percetakan itu akan bermula pada penghujung Jun ini.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun, UPSB akan mencetak sebanyak 12 juta saman yang dikeluarkan oleh PDRM.

“Dengan adanya kerjasama dengan agensi kerajaan, secara tidak langsung ia dapat memperkukuhkan lagi kedudukan UPSB sebagai pemain utama industri dalam bidang percetakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Azizi, bukan mudah untuk memasuki pasaran keselamatan kerana ia memerlukan pelaburan lebih RM1 juta untuk menyediakan kelengkapan dan ruangan yang mengikut standard ditetapkan.

Katanya, aspek sekuriti seperti ketahanan bilik kebal, jumlah kamera litar tertutup (CCTV) dan ruangan yang hanya boleh diakses oleh individu tertentu telah diiktiraf oleh Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

Di samping itu, katanya, sekuriti siber milik syarikat juga canggih kerana maklumat yang dicetak bersifat peribadi dan sulit yang memerlukan aspek sekuriti yang tinggi.

Azizi berkata, penganugerahan projek ini merupakan satu keyakinan pasaran terhadap kemampuan syarikat untuk mencetak kerja-kerja keselamatan yang lebih kompleks yang memerlukan kepakaran bertaraf antarabangsa seperti pasport dan kad pengenalan.

“Selain percetakan keselamatan, UPSB juga merupakan pencetak buku, akhbar dan al-Quran tercanggih dan antara yang terbesar di Malaysia.

“Kini pihak syarikat sedang meneroka pasaran percetakan antarabangsa,” katanya.