
Penyokong kelab bola sepak Indonesia, PSPS Riau iaitu Curva Nord 1955 baru-baru ini dilapor mengeluarkan kenyataan mendakwa mahu boikot perusahaan Zamsaham sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Menerusi laman Instagram, curvanord1955_official, ultras kelab itu memuat naik kenyataan tersebut selepas berlaku insiden dipercayai membabitkan pembatalan perlawanan persahabatan antara PSPS Riau dan Kelantan Football Club.
Difahamkan, perlawanan berkenaan yang dijadual berlangsung pada 12 Julai lalu di Stadium Utama Riau terpaksa dibatalkan ekoran polis tempatan bertindak meminta “wang keamanan” yang bernilai RM11,821 satu jam sebelum perlawanan dimulakan.
Sehubungan itu, mereka mahu presiden kelab tersebut, Zamsaham atau nama sebenarnya Nurizam Tukiman untuk tampil bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut dalam tempoh 72 jam.
“Kami mendesak Presiden Club PSPS Riau Nurizam Tukiman untuk bertanggungjawab dalam kejadian yang terjadi.
“Dalam tempoh 72 jam tuntutan tidak direalisasikan, kami akan boikot dan tutup semua usaha Nurizam Tukiman,” tulis ultras kelab itu di Instagram.
View this post on Instagram
A post shared by CurvaNord1955_Official (@curvanord1955_official)
Dalam tuntutan yang dikemukakan oleh penyokong PSPS Riau, ia termasuklah pembayaran semula tiket perlawanan untuk keadilan penyokong selepas pembatalan perlawanan dan melunaskan isu tunggakan gaji pemain.
Jika tidak, penyokong kelab berkenaan akan bertindak memboikot perniagaan yang dilakukan presiden kelab berkenaan.
Walau bagaimanapun, sebahagian penyokong PSPS juga melihat dari sudut pandang lain bahawa tindakan itu kurang rasional dan menyokong tindakan yang dilakukan oleh Norizam.
Hal ini kerana tindakan pihak polis yang meminta wang sebanyak itu dalam tempoh yang singkat dilihat tidak wajar ekoran tidak dimaklumkan sejak dari awal.
Bagaimanapun, merujuk laporan portal Harimau Malaya, Zamsaham menjelaskan bahawa buat masa ini beliau tidak dapat menyelesaikan pembayaran balik tiket perlawanan tersebut disebabkan berlaku penyelewengan wang dalam pengurusan kelab.
Perkara itu membabitkan pemecatan pengurus pasukan terdahulu, Edward Riansyah. Individu berkenaan dilaporkan terlibat dalam penyelewengan dana pasukan itu untuk tujuan peribadi.
“Diharapkan perkara ini akan dapat diselesaikan dengan baik oleh pihak yang terlibat termasuk polis Riau, pengurusan kedua-dua pasukan serta para penyokong,” memetik laporan portal Harimau Malaya.
Terdahulu, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham merupakan presiden kepada PSPS Riau dan Kelantan FC. Beliau mula mengambil alih kelab Indonesia itu sejak Mei tahun lalu.
The post Ultras PSPS Riau Dakwa Mahu ‘Boikot’ Perniagaan Zamsaham Kalau Tuntutan Tidak Dipenuhi appeared first on Siakap Keli.
